Sabtu, 6 Ogos 2011
Politik : Berita angin dan spekulasi
ADA berita melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedang giat berusaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir-akhir ini. Kononnya TPM itu tidak menyokong konsep satu Malaysia yang diilhamkan Najib.
Tan Sri Muhyiddin pula sering memberi kenyataan bahawa beliau "orang melayu dahulu, baru orang Malaysia." Pendirian ini pernah disanggah secara terus terang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz yang tidak bersetuju dengan kenyataan TPM itu.
Apa pun ini bukanlah satu isu besar kerana ia lebih pada masalah persepsi yang berbeza antara Muhyiddin dan jemaah menteri yang lain.
Namun yang terbaru pula bertiup kencang mengatakan usaha ini berjalan terus bagi menggulingkan Najib sebagai Presiden UMNO. Hujahnya ialah kini Najib gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri dengan sempurna lantaran banyak masalah yang timbul, lebih-lebih lagi masalah perkauman yang semakin tajam.
Ada juga di kalangan UMNO menganggap Najib kini sudah menjadi satu liabiliti pada parti dan kerajaan. Maka itu timbul satu NGO yang baru - Amanah- yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan di sertai beberapa pemimpin dan bekas menteri yang telah bersara.
Kewujudan Amanah adalah sebagai wadah menyedarkan kerajaan tentang kelemahan dan kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran sekarang. Apakah peranan Amanah akan berkesan dan relevan dengan suasana kini tidak dapat dipastikan, hanya masa dapat menentukan.
Berita angin yang lebih nakal bertiup kencang hujung minggu ini ialah tentang usaha Muhyiddin ini disokong oleh Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Zahid Hamidi. Manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang juga sepupu pada Najib, berdiri teguh dibelakang Presiden UMNO itu.
Sebenarnya berita-berita ini tidak mempunyai asas dan fakta yang betul. Lebih-lebih lagi Datuk Zahid Hamidi merupakan bekas Setiausaha Politik Datuk Najib dan orang yang rapat dan mendapat kepercayaannya selama ini.
Tetapi itulah iklim politik di Malaysia seolah jika tiada berita angin dan spekulasi ianya tidak menarik dan lengkap. Dan tidak kurang penting juga ianya adalah satu perang saraf atau psikologi dari pihak lawan untuk melemahkan pihak satu lagi.
Sebagai orang awam kita perlu berhati-hati dan menapis dahulu sebelum menerima berita-berita seumpamanya. Kadang-kadang ia boleh membawa fitnah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan