Hujah Nik Aziz seperti biasa Umno menolak perjuangan Islam. Dengan itu Umno kena ikut Pas dan bukan sebaliknya. Apakah Umno menolak Islam atau tidak terserah pada para mufti, cendekiawan Islam dan ulama dalam Umno memberi hujah masing-masing. Biarkanlah Nik Aziz dengan pendirian dan pandangannya yang pastinya tidak bertaraf mutlak dan muktamad.
Mazlan Aliman |
Tetapi jelas Nik Aziz seorang yang beremosi dan ada rasa dendam bila ada orang menyebut perkataan Umno. Baru-baru ini beliau ada berkata akan meludah di muka sesiapa yang menemuinya bertujuan mengadakan kerjasama Umno-Pas.
Nik Aziz tentulah masih kecewa dengan kegagalan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional untuk memerintah negara ini. Bayangkan sejak 2009 hingga 2013 beliau dan para pemimpin PR begitu agresif berceramah dan berkempen dengan hanya satu tekad menjatuhkan BN serta mentalkinkan Umno.
Slogan "Pas ganti Umno" dijaja begitu meluas ke seluruh pelusuk negara. Seolah Pas sudah mampu dan bersedia mengambil alih peranan Umno selama ini sebagai wadah umat melayu dan Islam. Acara dan program sembahyang hajat anjuran Pas memohon kejayaan dan kehancuran Umno tidak pernah lekang.
Kehadiran dan kebanjiran setiap program terutama sembahyang hajat boleh mencecah puluhan ribu dalam stadium dan kawasan lapang. Nik Aziz sendiri menjadi imamnya. Suasananya begitu hebat seolah kemenangan sudah berada dalam genggaman. Kali ini Umno pasti tersungkur.
Lidah rasmi Pas, Harakah terus meniupkan semangat para penyokong dengan slogan Ini kalilah ! Secara psikologinya mesej yang hendak disampaikan kemenangan dalam PRU13 adalah hampir pasti. Bayangan Putrajaya sudah berada di depan mata. PRU13 ini adalah masa dan ketikanya untuk meraih kejayaan dan bukan menanti PRU14 yang masih jauh.
Namun semuanya hancur luluh dan berkecai. Impian Pas bersama PKR dan DAP untuk ke Putrajaya gagal lagi. Bukan sahaja pembangkang gagal memerintah kerajaan pusat, malah Pas mengalami kemerosotan secara keseluruhan kecuali prestasinya di Selangor.
Mengikut road map Pas ke Putrajaya, sasarannya ialah memenangi 52 kerusi Parlimen. Tetapi Pas hanya menang 21 kerusi - satu jumlah amat kecil dan paling sedikit antara parti yang bertanding. Di Kelantan, walaupun Pas dapat mengekalkan kuasa namun kerusinya menurun. Sebaliknya Umno menambahkan kerusinya dari tujuh menjadi 12 kerusi DUN. Paling pahit Kedah jatuh ke tangan BN.
Pas sering memperlekeh dan merendah-rendahkan Umno tetapi Umno menang 88 kerusi parlimen - jumlah paling banyak dari parti-parti yang bertanding. Dan fakta paling jelas Umno mendapat sokongan terbesar di kalangan orang melayu jika dibandingkan dengan Pas. Justeru slogan "Pas ganti Umno" tertolak dan tidak terpakai lagi.
Selepas keputusan PRU13 belum ada lagi satu analisa atau kesimpulan secara rasional dari pihak parti Pas mengenai kegagalan mereka secara keseluruhannya. Yang ada hanyalah berkisar soal kredibiliti SPR dan soal undi popular - yang saya kira sudah tidak popular dan memberi sebarang makna.
Cuma apa yang menarik perhatian adalah satu artikel dalam Harakah Daily, 28 Mei lalu yang ditulis oleh Mazlan Aliman, AJK Pas Pusat. Mazlan menulis dengan memberi hujah dan penjelasan secara rasional dan matang mengenai sikap yang perlu diambil Pas dalam menghadapi dan menerima keputusan PRU13 serta melangkah ke hadapan.
Beliau menulis Pas perlu muhasabah dan mengakui kelemahan diri dan menolak tindakan setengah pihak yang mengadakan perhimpunan bantah. Kerana tindakan itu tidak dapat mengubah apa-apa dan menggesa agar menerima hakikat bahawa BN adalah pihak yang menang.
Mazlan juga begitu kecewa Pas hanya mampu menang 21 kerusi Parlimen jauh dari target sebenar 52. Beliau terus menggesa agar parti memperbaiki segala kelemahan bagi menghadapi PRU14.
Mazlan adalah seorang pemimpin Pas yang lantang bersuara, terutama berkaitan dengan Felda, namun beliau tidak emosional menerima hakikat keputusan PRU13 lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan