Ahad, 14 Ogos 2011

Antara bedah lutut dan bedah jantung


MOHD Sayuti Omar atau MSO dalam entrinya pada 13 Ogos telah menyentuh tentang pembedahan lutut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dilakukan oleh seorang doktor dari Amerika Syarikat dan bukannya doktor melayu tempatan.

Menurut MSO, isu ini bukan masalah besar, tetapi sekadar ingin menunjukkan betapa Najib lebih mengutamakan doktor asing dari doktor melayu di negara sendiri. Dan ini katanya, bertentangan dengan slogan Najib sendiri iaitu rakyat didahulukan.

Pandangan MSO ini ada benarnya. Adalah molek sekiranya Perdana Menteri menggunakan khidmat doktor tempatan bagi menjalani pembedahan lututnya itu.

Tetapi seperti kata MSO ini bukan isu besar kerana ia cuma satu pembedahan lutut dan bukannya satu pembedahan yang serius seperti pintasan jantung dan sebagainya.

Cuma saya teringat semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, beliau diserang sakit jantung dan stroke. Semasa Dr. Mahathir dirawat dan berehat panjang, jawatannya itu dipangku oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.

Masa itu Dr. Mahathir telah dirawat sepenuhnya di Hospital Kuala Lumpur sehingga sembuh seperti sediakala. Dan untuk rekod, Dr. Mahathir telah menjalani pembedahan saluran jantung atau coronary by past di Kuala Lumpur oleh seorang dokter melayu bernama Dr. Zainal dengan jayanya.

Selepas pembedahan itu berjaya, Dr Mahathir telah menyatakan keyakinannya terhadap Dr. Zainal dan kakitangan hospital di sini boleh melakukannnya dengan baik, menyebabkan beliau mengambil keputusan tidak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

Pembedahan ke atas Dr. Mahathir adalah serius kerana ia melibatkan jantung. Dan ia perkara besar. Tetapi bila Datuk Najib bedah lutut, ia cuma masalah kecil dan bukan isu besar, seperti kata MSO.

Namun, saya teringat juga selepas Dr. Mahathir berjaya dibedah, giliran Datuk Dr. Haron Din, seorang ulamak terkenal diserang sakit jantung. Dr. Haron Din, kini Timbalan Mursyidul Am PAS dan juga seorang bomoh perubatan yang terkenal itu telah pergi ke Australia untuk mendapatkan rawatan. Di sana Dr. Haron telah menjalani pembedahan jantungnya.

Ini cerita 20 tahun dahulu semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Masalah Dr. Mahathir dan lutut Najib bukan isu besar. Tetapi pemergian Dr. Haron Din ke Australia menjalani pembedahan jantung, bukan isu kecil.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan