Jumaat, 12 Ogos 2011

Kes Anwar akan tangguh lagi ?


DATUK Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, telah hadir di mahkamah hari ini di atas arahan hakim untuk ditemubual oleh para peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Kesanggupan keduanya hadir di mahkamah seharusnya dipuji. Sekiranya mereka tidak hadir, maka akan timbul berbagai cerita dan tohmahan terutamanya dari pihak pembangkang.

Kes liwat ini telah berada di mahkamah sudah lebih tiga tahun. Sepanjang tempoh itu kes ini telah tertangguh lebih dari 60 kali. Kesemuanya adalah dari tindakan pihak pembela membuat pelbagai permohonan.

Tarikh akhir perbicaraan ialah pada 8 Ogos lalu dan akan bersambung semula pada 15 Ogos ini. Apakah selepas ini akan ada lagi penangguhan ?

Di sebelah pihak pendakwaan kelihatan lebih bersedia dan ingin meneruskan secepat mungkin kes liwat ini. Manakala pihak peguam bela dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak cuba melengah-lengahkan kes ini dari berjalan lancar.

Lebih mendukacitakan segala yang berkaitan dengan kes ini telah cuba dimanipulasi dan dipolitikkan demi kepentingan tertentu. Seolah ada sesuatu yang tidak kena dengan pihak pembelaan. Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai bukti kukuh dan alibi semasa kejadian liwat berlaku, beliau tidak perlu melengah-lengah kes ini kerana ianya telah menjejaskan dengan teruk reputasinya sebagai pemimpin.

Lagi cepat beliau membersihkan namanya lagi baik untuk masa depannya yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku sebaliknya dengan kesanggupan ramai sekali bekas rakan-rakannya yang mahu tampil sebagai saksi dalam kes liwat ini.

Sebagai rakyat negara ini khasnya, semakin cepat kes ini selesai adalah lebih baik, kerana ianya telah memecahbelahkan rakyat berbagai kaum, lebih-lebih lagi orang-orang melayu. Ia mesti diselesaikan dengan segera kerana iklim politik negara memerlukan satu suasana dan nafas baru dan tidak lagi berkisar hanya soal-soal "selak dalam kain" bertahun lamanya.

Kita perlu membuka lembaran baru dan bermula di landasan yang lebih segar dan bersih. Rakyat sudah tentu bosan dengan segala cerita tidak benar dan fitnah yang menyerabutkan fikiran mereka.

Kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri Zainal Abidin, satu masa dulu agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundurkan diri dan memberi laluan pada muka baru adalah tepat dan kena pada masanya. Sehingga kini kenyataan Dr Mohd Asri itu tidak pernah mendapat respons dari Datuk Seri Anwar.

Berita akhir-akhir ini pula timbul bahawa pihak pembangkang telah merancang untuk memilih Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengganti Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Sehingga hari ini berita ini tidak pernah dinafikan Tengku Razaleigh.

Justeru perkembangan ini telah menguatkan lagi hujah bahawa masa depan Datuk Seri Anwar dalam senario politik tanahair boleh dikira dengan jari.

Beliau tidak banyak pilihan melainkan bersungguh-sungguh mempertahankan dan membersihkan namanya di mahkamah bahawa semua tuduhan ini adalah fitnah dan konspirasi politik untuk menjatuhkannya.

Dan tindakan ini adalah wajar kerana jika beliau berjaya membuktikan beliau tidak bersalah, maka kerajaan Barisan Nasional dan UMNO khasnya akan tumbang dan akan ditolak rakyat. Beliau juga boleh mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Tidakkah jalan ini logik dan menasabah ? Namun, apakah perbicaraan pada 15 0gos ini akan tertangguh lagi ?






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan