Jumaat, 26 Ogos 2011

Subky Latiff : Kolumnis yang prolifik



SUBKY LATIFF dalam tulisannya yang terbaru dalam Harakah Daily,
ada menyebut tentang usahanya menyiapkan memoirnya berbentuk jilid.

Jilid pertama sudah lama siap, tapi belum diterbitkan lagi. Jilid kedua,
menurutnya, baru sahaja siap. Dan kini jilid ketiga baru bermula. Sekiranya
tidak ada keuzuran beliau akan menyiapkan jilid ketiga ini.

Subky seorang kolumnis yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam
dunia kewartawanan dan persuratkhabaran tanahair. Bermula sebagai
pemberita Utusan Melayu di Pulau Pinang sehinggalah menjadi salah
seorang pengarang kanan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Beliau pernah bekerja di bawah Melan Abdullah dan Osman Abadi.
Subky juga pernah bertugas bersama dengan Ishak Haji Muhammad atau
Pak Sako ketika di Utusan.

Beliau juga adalah bekas pengarang majalah Mastika dan diberi
tugas mengisi atau menulis dalam ruangan pojok Awang Selamat; yang
dahulunya dikenali dengan Awang Sulung.

Ketika di Utusan Melayu jugalah beliau dihantar ke Jerman untuk
mengikuti kursus kewartawanan selama setahun di Institiut Of Berlin.
Subky juga salah seorang wartawan yang mengikut rombongan Allahyarham
Tun Razak ke Beijing bagi mengadakan era diplomatik dengan China.

Setelah berada di Utusan selama 12 tahun beliau mengambil
keputusan meninggalkannya atas soal prinsip. Selepas keluar
dari Utusan beliau menerbitkan akhbarnya sendiri iaitu Suara Rakyat
dan Suara Merdeka.

Namun usia kedua akhbar tersebut tidak panjang dan hanya
sempat setakat 12 keluaran dan ia diharamkan KDN.

Justeru itu bermulalah beliau sebagai seorang wartawan tanpa
akhbar. Subky adalah orang pertama menerokai buku-buku
politik. Buku politiknya, Siapa selepas Tun Razak dan Suka
duka politik Tun Razak mendapat ramai perhatian, terutama
orang-orang melayu.

Pada era Tun Hussein Onn, Subky bersama Allahyarham Tan Sri
Khir Johari mengasaskan akhbar Watan dengan beliau menjadi
pengarangnya yang pertama.

Semenjak itu Subky tidak pernah kering dengan tulisan-tulisannya
yang bercorak kritikal dan sinis tentang pergolakan politik
tanahair. Sehingga kini beliau terus menulis tanpa henti dalam
kolum-kolum tetapnya seperti dalam Harakah, Siasah dan Buletin
Rakyat.

Tidak siapa dapat menafikan Subky adalah satu-satunya kolumnis
yang paling konsisten dalam penulisannya. Beliau bukan sahaja
konsisten dalam menulis bahkan paling banyak menghasilkan bahan
penulisan.

Ramai penulis kolum lain di negara ini (tidak perlu sebut nama)
sekejap timbul dan sekejap tenggelam. Ada sesetengah itu terus
tenggelam dan tidak muncul-muncul.

Tetapi Subky sejak tahun 1963, tahun pertama ia berjinak dengan
dunia kewartawanan hingga hari ini, tulisan-tulisannya terus terbit
dan tidak pernah kering dengan ideanya.

Oleh itu bila Subky mendedahkan bahawa beliau kini sedang
menyiapkan memoirnya sehingga tiga jilid, ianya bukanlah sesuatu
yang mengejutkan. Bahkan begitulah sepatutnya, dengan banyaknya
penulisannya dan luasnya pengalaman dalam bidang kewartawanan,
memoir beliau itu akan menjadi satu bahan yang amat berharga
buat peminatnya, lebih-lebih lagi pada para penuntut dalam bidang
yang berkaitan.

Seperti kata Subky, dalam dunia ini hanya satu kerja sahaja yang
beliau tahu iaitu menulis. Lain-lain kerja dia tidak tahu dan tidak
pernah buat.

Subky mengimbau kembali peristiwa lalu, di mana dia sering tewas
dalam pilihanraya semasa menjadi calon PAS. Beliau pernah kalah
dalam pilihanraya di Perak, Selangor dan Trengganu.

Katanya, itu semua adalah takdir Allah mahu dia kalah. Kalau dia
menang dan menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau tidak akan menulis
dan mempunyai masa.

Jadi takdir Allah mahukan dia terus menulis kerana hanya menulis
sahaja kerja yang beliau tahu.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan