Ahad, 21 Ogos 2011

PRU 13: Najib berteka-teki ?



KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa
Pilihan Raya Umum (PRU) 13 boleh diadakan bila-bila masa dari
sekarang telah menaikkan kembali suhu politik mengenai tarikh
keramat itu.

Selepas peristiwa Bersih pada 9 Julai lalu yang telah menimbulkan
sedikit ketegangan ramai pemerhati meramalkan tarikh PRU 13 akan
sedikit tertunda.

Tetapi selepas mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru
ini Datuk Seri Najib telah memberi "hint" bahawa tarikh PRU itu
tidaklah terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat.

Inilah keistimewaan yang ada pada Perdana Menteri negara ini, beliau
seorang sahaja yang tahu bila masa yang sesuai pilihanraya dapat
diadakan.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013. Kalau hendak
dikira masa masih panjang dan berbagai perkara boleh berlaku.

Di sinilah peranan Perdana Menteri yang akan bermain teka-teki dengan
tarikh itu dan dalam masa yang sama ia merupakan satu strategi
parti pemerintah dalam menghadapi parti pembangkang.

Parti pembangkang memang dari dahulu lagi tidak berpuas hati dengan
"hak" penentuan tarikh yang ada pada Perdana Menteri itu. Mereka menggesa
ianya diubah dengan menentukan lebih awal terlebih dahulu.

Bagaimanapun, perkara ini telah menjadi satu tradisi sejak dulu lagi
dan ia tidak pula menyalahi undang-undang.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya bermain
teka-teki ini sehingga membuat pihak pembangkang tidak dapat meneka
dengan tepat bila Parlimen akan dibubarkan.

Dalam konteks ini, Tun memang pintar dalam menimbulkan suasana
suspen dan thrill; membuat semua pihak menunggu-nunggu tarikh keramat
itu. Ada suatu masa bendera parti PAS sampai lusuh dan koyak; dek menunggu
parlimen dibubarkan - namun pilihanraya tidak juga berlaku.

Tidak seperti zaman Pak Lah Badawi, sebulan sebelum parlimen dibubarkan
semua pihak termasuk parti pembangkang sudah dapat menghidu hari
bersejarah itu. Malah rakyat kebanyakan pun dapat menelah dan meneka
dengan tepat bila pilihanraya akan diadakan.

Ini kerana memang sifat Pak Lah yang tidak ada unsur suspen dan thrill;
semua langkahnya dapat dibaca. Di tambah pula Pak Lah adalah seorang
Perdana Menteri yang lurus bendul.

Kini giliran Najib pula sebagai orang yang akan menentukan hari bersejarah
itu. Dia perlu mengambil iktibar dari Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Apakah Najib akan terus berteka-teki atau lurus bendul ?














Tiada ulasan:

Catat Ulasan