DALAM banyak keratan akhbar yang saya simpan terdapat satu tajuk seperti di atas ditulis oleh Tajudin Saman yang tersiar dalam Berita Minggu, Ahad, 22 Jun 1997 mengisahkan Jaafar Rahim (sekarang Datuk) mengumpul lebih kurang 15,000 judul buku di dalam sebuah bilik rumahnya.
Datuk Jaafar Rahim |
Beliau yang mula kerja sebagai seorang kerani pada tahun 70an sentiasa berusaha memperbaiki diri dan bercita-cita menjadi seorang ilmuan.
"Saya sedar cita-cita itu tidak mungkin dicapai tanpa ilmu dan wadah terbaik untuk menimba ilmu ialah daripada buku. Inilah pendorong utama saya berdamping rapat dengan buku," katanya.
Dalam perpustakaan peribadinya, Jaafar membahagikan pelbagai buku kepada dua peringkat. Pertama ialah buku rujukan utama (bermakna sering digunakan) dan kedua, yang jarang dirujuk. Menurutnya lagi, semua bilik dalam rumahnya dipenuhi dengan buku.
Satu tabiatnya yang tidak elok ialah beliau suka melonggokkan buku di atas katil. "Buku itu tidak saya baca pun," katanya.
"Tapi kegemaran melonggokkan buku di atas katil saya lakukan sehingga hari ini. Cuma sesekali apabila ada masa, saya ambil satu daripadanya untuk dibaca. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya gemar berbuat begitu tapi ini mungkin kerana saya terlalu suka membaca. Jika tak ada masa, tengok buku pun jadilah," katanya.
Bila ditanya bagaimana dia mencari buku yang dikehendakinya pada satu-satu masa. Jaafar memberitahu, "Cara saya menyusun buku dalam perpustakaan ini mungkin tidak mengikut sistem yang betul tapi biasanya saya ingat di mana saya letak sesuatu buku. Apabila saya memerlukan buku itu, saya tahu di mana tempatnya.
"Sebab itu saya tidak mahu orang lain, sekalipun isteri saya, mengubah tempat letak buku dalam bilik ini. Kalau orang lain ubah, memang susah saya mahu mencarinya," katanya.
Jaafar Rahim yang bermula dari bawah berjaya menjadi anggota kerabat DBP dan terkenal sebagai penceramah motivasi dan pemikiran kreatif di pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Kejayaan ini semua dapat dicapai lantaran minat dan kegilaannya terhadap buku; sesuatu hobi yang diminatinya.
"Saya bercita-cita menjadi pemikir dan ilmuan. Tapi biarlah yang beriman. Ada ilmu tanpa iman, pun tak jadi juga. Seorang pengarang Islam, Al Jais mati di tengah himpunan buku. Saya tidaklah minta begitu, tapi biarlah saya juga boleh habiskan sisa usia dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri, keluarga, agama dan negara", katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan