UMNO sempena menyambut ulang tahunnya ke 65 telah menganugerahkan Tokoh Melayu Terbilang kepada Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Prof.Naquib, 80tahun, seorang ilmuan dan intelektual yang tidak perlu diperkenalkan lagi . Beliau banyak menghasilkan buku tentang sejarah, kebudayaan, kesusasteraan, ilmu sufi, pemikiran, falsafah Islam dan metafizik.
Beliau juga adalah pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan adik kepada Allahyarham Prof. Dr.Syed Hussein Al Attas, seorang intelektual yang banyak menghasilkan kajian tentang rasuah.
UMNO telah memilih beliau sebagai Tokoh Terbilang Melayu di atas sumbangan dan pemikiran beliau dalam bidang yang diceburinya. Ianya adalah satu pengiktirafan kerajaan di atas segala kerjanya dalam bidang ilmu dan akademik.
Beliau bukanlah calang-calang orang serta dihormati oleh semua golongan masyarakat di negara ini, baik dari pemimpin hinggalah para cendekiawan. Ilmunya banyak dan luas pengetahuannya.
Sudah tentulah kesudian Prof. Naquib menerima anugerah ini sebagai tanda yang beliau juga mengiktiraf UMNO sebagai satu wadah memperjuangkan nasib orang melayu dan Islam. Sebagai seorang ilmuan beliau tidak mungkin akan menerimanya jika entiti itu bercanggah dan bertentangan dengan falsafah dan disiplin ilmu yang diterapkan dalam semua hasil karya dan kajian yang dijalankannya.
Semua orang perlu menghormati beliau sebagai seorang ilmuan dan bukan ahli politik. Beliau tidak perlu campur masalah kepartian kerana kedudukan beliau terlalu tinggi dan dihormati.
Tetapi kesanggupannya menerima anugerah ini dan kehadirannya bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi satu perlambangan kepada seluruh bangsa melayu dan Islam di negara ini agar merenung akan masa depan mereka yang mula terancam.
Prof. Naquib adalah seorang yang berpendirian dan berprinsip. Tidak mungkin beliau akan menerima anugerah UMNO ini, tetapi dalam masa lain mencemuh UMNO. Barangkali, banyak perkara yang beliau tidak bersetuju dengannya, namun secara umumnya beliau menerima UMNO sebagai wasilah orang melayu dan Islam di negara ini.
UMNO tidak akan mempolitikkan Prof. Naquib. Kerana beliau bukan seorang yang lemah dan bertaraf politikus jalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan