Sabtu, 13 Ogos 2011

Akhbar The Star perlu dikena tindakan


SELURUH masyarakat Islam di negara ini tidak berpuas hati dengan akhbar The Star yang menyiarkan iklan beserta gambar hidangan daging babi dan artikel mengenai restoran yang menyediakannya dalam sisipan Ramadan Delights; ruangan khas bagi mempromosikan tempat berbuka puasa kepada umat Islam yang tersiar kelmarin.

Sikap akhbar itu menunjukkan ia tidak sensitif dan menghormati perasaan umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini. Ia bukan sahaja menguris perasaan masyarakat Islam bahkan telah menghina kesucian bulan Ramadan yang mulia.

Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, telah diarah bertemu secara peribadi dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagi menjelaskan pendirian dan penjelasan penuh pihak pengurusan akhbar itu berhubung isu sensitif ini.

Setakat ini The Star hanya memohon maaf dalam bentuk surat dalam dua perenggan atau enam baris sahaja. Dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana isu ini besar dan telah membangkitkan sensitiviti agama.

Akhbar tersebut sepatutnya memohon maaf dalam bentuk yang lebih serius dan bersungguh-sungguh di atas kesilapan itu dan tidak memandang remeh apa yang telah berlaku. Dalam permohonan maafnya itu ia dibuat dalam bentuk saiz yang kecil, seolah-olah isu ini kecil dan tidak memberi apa -apa makna pada masyarakat Islam.

Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menerima alasan The Star dengan begitu mudah dan dalam cara yang acuh tidak acuh bersabit isu sensitif ini. Ia perlu dikenakan tindakan tertentu sebagai amaran dan ingatan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang pada masa hadapan.

Penarikan balik permit akhbar tersebut sebagaimana yang dituntut setengah pihak, mungkin agak keterlaluan. Tetapi tindakan berupa hukuman perlu diambil sebagai teladan semua pihak agar sensitiviti dan kesucian agama Islam dihormati.

Barangkali, tindakan yang wajar ialah dengan menggantung sementara penerbitan akhbar itu dalam tempoh pendek sebulan atau dua bulan sebagai hukuman di atas kesilapannya itu.



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan