Selasa, 16 Ogos 2011

Muammar Gaddafi semakin terancam


PERANG saudara di Libya sudah sampai kemuncak sejak enam bulan lalu
bila rakyat bangkit memberontak terhadap pimpinan Muammar Gaddafi.

Khabarnya, tentera penentang Gaddafi kini berada hanya 50km dari ibu kota Tripoli,
kubu kuat pemimpin Libya itu.

Sebelum ini beberapa buah bandar telah jatuh ke tangan pemberontak.
Ini akan terus mengancam kedudukan Gaddafi yang telah berkuasa
di Libya lebih 40 tahun.

Keadaan bertambah rumit bila semua bekalan dan alat senjata ke Tripoli
telah disekat para pemberontak yang telah berjaya menawan bandar-bandar
penting dan strategik yang sebelum ini dikuasai tentera kerajaan.

Tentera pemberontak yang berada dibarisan depan pertempuran telah
dibantu oleh kaum wanitanya yang bergotong royong memasak dan menyediakan
makanan untuk dihantar ke kawasan pertempuran.

Sebahagian besar rakyat begitu nekad untuk menjatuhkan Gaddafi yang
dianggap tidak membawa sebarang perubahan pada Libya dan rakyatnya.
Malah mereka menuduh pemimpin itu telah menghimpun segala kekayaan
milik negara untuk kepentingan diri dan keluarganya.

Muammar Gaddafi berulangkali berikrar tidak akan mengundurkan diri
dan akan mempertahankan kedudukannya hingga titisan darah terakhir
Beliau tidak akan meninggalkan Libya, walaupun nyawanya terancam.

Gaddafi telah menuduh puak radikal al Qaeda bertanggungjawab di atas
apa yang berlaku di negaranya kini. Beliau telah menyeru rakyatnya agar
bersatu mempertahankan Libya dan menentang habis-habisan puak al Qaeda
yang dianggapnya sebagai pengganas.

Apakah Gaddafi akan menerima nasib yang sama menimpa bekas Presiden Mesir,
Hosni Mubarak yang telah dibicarakan di mahkamah oleh rakyatnya sendiri ?

Mubarak sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat telah juga berikrar tidak akan
meninggalkan Mesir dan mahu mati di tanahairnya sendiri. Walaupun
beliau dan keluarganya berpeluang lari ke luar negara, namun beliau tidak
melakukannya, sebaliknya telah ke pusat peranginan, Sham El Sheikh.

Sekiranya Gaddafi tidak mahu menerima nasib yang sama beliau dan keluarganya
tidak punya banyak pilihan melainkan meninggalkan Tripoli ke destinasi
yang boleh menyelamatkan nyawa dan keluarganya.

Jika dia berdegil sudah pasti beliau akan menerima nasib yang sama
dan akan diadili rakyatnya sepanjang beliau berkuasa selama lebih
empat dekad.

Dan situsai terkini membayangkan beliau tidak mungkin dapat
mempertahankan kedudukannya lagi. Puak pemberontak semakin
hari semakin kuat dan menghampiri ibu kota Tripoli.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan