PARLIMEN boleh dibubarkan bila-bila masa saja dari sekarang memberi laluan Pilihan Raya Umum(PRU) 13 diadakan. Tempoh mandat kerajaan hari ini akan tamat pada April 2013. Dengan hanya berbaki beberapa bulan saja dari sekarang ia bukanlah satu masa yang panjang.
Oleh itu elemen kejutan tentang tarikh keramat itu bukan lagi menjadi bahan suspen bagi semua parti politik dan para pengundi. Kini sudah hampir Januari dan paling lewat PRU 13 diadakan pada Februari, Mac atau April 2013. Ada juga kemungkinan Datuk Seri Najib Razak akan membiarkan tempoh parlimen bubar dengan sendirinya bila habis tempoh pada April. Justeru itu PRU 13 boleh diadakan pada Mei atau Jun.
Bagi parti pembangkang Najib seolah mahu melengahkan tarikh pembubaran parlimen. Namun apa yang jelas beliau mengira faktor Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat yang mahu mengadakan pilihanraya secara berasingan sejak tahun lepas lagi. Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung menghabiskan mandat 2008 sepenuhnya sehingga April.
Dalam suasana sekarang pilihanraya cara berasingan tidak berbangkit lagi. Ini adalah sesuatu yang mahu dielakkan dari berlaku oleh UMNO dan BN. Ia memberi kelebihan pada pembangkang sekiranya berlaku.
Semasa tempoh Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri (1981-2003) tarikh PRU sentiasa menjadi bahan kejutan dan tidak sesiapa pun dapat meramalkan atau meneka dengan tepat. Ia sering diadakan di luar jangkaan para pemerhati politik dan pemimpin pembangkang. Tidak kurang kadang-kadang ia dibuat dalam keadaan parti pembangkang belum bersedia sepenuhnya. Dan sering pula PRU diadakan setahun lebih awal dari tarikh matang tempohnya.
Parti pembangkang tidak bersetuju tentang kuasa mutlak PM yang boleh menentukan bila tarikh PRU patut diadakan. Mereka mahu meminda undang-undang ini bila berkuasa di Putrajaya kelak. Sehingga kini ia adalah sesuatu yang tidak menyalahi undang-undang negara.
Dalam konteks sekarang tarikh PRU 13 bukan lagi menjadi teka-teki buat semua orang. Sudah hilang kejutan dan suspennya yang dikira berbaki beberapa bulan saja lagi. Semua pihak telah pun bersedia. Hanya tunggu tiupan wisel dibunyikan.
Cuma mungkin unsur kejutan yang bakal berlaku ialah isu-isu panas dan sensitif yang pasti timbul setelah bubarnya parlimen. Biasanya isu-isu seperti ini mampu menikam kerajaan atau pembangkang dalam tempoh satu atau dua minggu sebelum hari mengundi.
Khabarnya, baik kerajaan atau pembangkang sudah pun menyimpan isu-isu sensitif dan panas itu untuk didedahkan bila sampai masanya. Inilah sepak terajang politik. Setiap isu akan dieksploit dan dimanipulasi sebaik mungkin bagi mempengaruhi para pengundi.
Bagi para penyokong 'hard core' parti masing-masing tentu tidak banyak memberi kesan. Yang menjadi sasaran ialah mereka yang duduk di atas pagar. Pengundi atas pagar mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan kemenangan setiap calon.
Apakah isu panas dan sensitif yang bakal menjadi kejutan nanti ? Kenalah tunggu seminggu sebelum hari mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan