Ahad, 14 Ogos 2011

Dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Masjid India


DALAM bulan puasa dan menjelang Hari Raya tempat
paling sibuk dan popular di Kuala Lumpur ialah Jalan Tuanku
Abdul Rahman (TAR).

Semua jenis barang terdapat di sini lebih-lebih lagi jenis kain dan
pakaian, berselerak gerai-gerai di kaki lima menawarkan berbagai
tawaran dan harga runtuh.

Sekarang orang ramai berpusu-pusu di TAR membeli segala keperluan
bagi menyambut Syawal. Kerana bila dekat raya keadaan akan menjadi
lebih sesak dan melemaskan.

Ketika saya baru lepas tamat sekolah menengah, Jalan TAR adalah tempat
paling saya suka mundar-mandir bila pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

Pada masa itu usia saya 19 tahun dan tempat yang kerap saya kunjung ialah Pustaka Antara;
sebuah gedung buku yang dipunyai Datuk Aziz. Kalau tidak silap, tinggi bangunan
Pustaka Antara ini ialah lima tingkat.

Dari tingkat satu hingga tingkat teratas ia dipenuhi dengan buku-buku, terutamanya buku dari
Indonesia. Pustaka Antara ialah sebuah syarikat buku yang tersohor satu masa dulu.
Tetapi kini Pustaka Antara dan taukenya, Datuk Aziz sudah tiada lagi.

Bangunannya sekarang pun mungkin dihuni orang lain. Dan kalau tidak silap
ingatan saya, bangunan ini pernah menjadi ibu pejabat parti UMNO sebelum ia
mempunyai bangunannya sendiri di PWTC.

Di bangunan ini juga pernah menjadi tempat ibu pejabat akhbar Mingguan Watan yang
diasaskan oleh Tan Sri Khir Johari.

Semasa saya berada di Kuala Lumpur, sepanjang jalan TAR menjadi tempat harian saya
menghabiskan masa seharian. Kadang-kadang saya akan membelek dan membaca buku
berjam-jam lamanya di Pustaka Antara; dari satu tingkat ke satu tingkat.

Selain Jalan TAR, tempat yang kerap saya ulang alik ialah antara Chow Kit dan
Kampung Baru serta Jalan Masjid India. Di Masjid Indialah tempat saya bersolat dan
menunaikan fardu Jumaat pada setiap minggu.

Kini sudah lama saya tidak berkunjung ke Kuala Lumpur. Tetapi semua jalan antara
Jalan TAR, Chow Kit dan Jalan Masjid India masih segar dalam ingatan saya.
Kerana di semua jalan inilah tempat saya berjalan kaki hampir setiap hari.

Kalau saya ke KL lagi dan berada antara jalan-jalan ini, sudah tentu saya tidak
akan sesatlah !

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan