KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini ada menyatakan bahawa para atlet yang akan mewakili negara di Sukan Olimpik, London, 2012, haruslah membiasakan diri dari sekarang berlatih di dalam bulan puasa kerana temasya sukan itu akan dilangsungkan dalam bulan puasa pada tahun hadapan.
Datuk Zolkples |
Beliau memberi pandangan sebagai sifatnya Ketua MSN. Tetapi itulah dilema yang dihadapi oleh para ahli sukan yang beragama Islam berbanding dengan bukan Islam; antara tuntutan agama dan sebagai atlet.
Namun keadaan ini telah memberi kelebihan pada yang bukan Islam dalam menjalankan sebarang aktiviti, termasuk menjalani latihan dan sebagainya. Bagi yang berpuasa tentulah mustahil menjalani apa-apa aktiviti yang memerlukan tenaga yang lebih.
Orang yang menjalani ibadat puasa sahaja tanpa bersukan pun kelihatan letih dan tidak bertenaga. Apatah lagi berpuasa dan dalam masa yang sama mahu bersukan pula.
Apakan daya sistem kehidupan kita sekarang tidak menghalang aktiviti sukan berhenti buat sementara di dalam bulan puasa. Aktiviti sukan terus berjalan tanpa henti seperti di bulan-bulan yang lain.
Kalau kita sendiri tidak dapat menghalang aktiviti sukan dari terus berjalan di negara kita, apalah yang hendak diharapkan sangat pada penganjur seperti Sukan Olimpik, London itu yang tidak peka dengan kewajiban berpuasa.
Justeru itulah prestasi para atlet bukan Islam lebih baik dan menonjol berbanding para atlet beragama Islam. Kerana bagi atlet Islam mereka ada larangan-larangan dan kewajiban yang perlu ditunaikan.
Lainlah jika para atlet beragama Islam merasakan tuntutan agama itu boleh dikemudiankan dan memberi keutamaan pada sukan sebagai salah satu perjuangan sebagaimana yang dikatakan Datuk Zolkples tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan