Khamis, 4 Ogos 2011

Negara Islam terus lemah dan kucar kacir


DALAM bulan Ramadan negara-negara Islam terus dilanda masalah dan krisis yang tidak menentu. Dari Mesir hingga ke Somalia umat Islam terus dicengkam berbagai rintangan dari soal politik, kebuluran dan sebagainya.

Semuanya telah sedikit sebanyak memberikan imej negatif pada agama dan umat Islam. Sudah tentu segala yang menimpa umat Islam itu bukanlah gambaran ajaran sebenar agama Islam, tetapi sikap dan pegangan mereka telah menyimpang dari ajaran Nabi s.a.w.

Pihak barat pula, terutama media telah memainkan peranan dengan memburukkan lagi keadaan dengan mengekploitasi berita-berita negatif itu saban hari dengan visualnya sekali. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain lagi yang boleh dipaparkan.

Di Somalia, akibat konflik politik ramai rakyatnya menjadi pelarian dan banyak yang kebuluran kerana tidak cukup makanan. Suasana bertambah buruk dengan musim kemarau yang panjang mengakibatkan kematian.

Di Mesir pula kelmarin telah berlangsung perbicaraan terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak dan dua anaknya Aala dan Gamal serta beberapa orang bekas menteri kabinet di atas tuduhan rasuah dan kematian 800 orang penunjuk perasaan.

Walaupun setelah enam bulan berlalu kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim Mubarak, politik Mesir belum pulih sepenuhnya. Masih berlaku beberapa pertempuran pihak keselamatan dan orang awam. Yang terbaru kelmarin di luar mahkamah antara penyokong bekas Presiden itu dengan para penyokong keluarga mangsa yang terbunuh.

Bagi penyokong bekas Presiden itu perbicaraan kelmarin adalah satu penghinaan terhadap Mesir dan Mubarak yang dianggap sebahagiannya sebagai pemimpin yang telah menyelamatkan Mesir dari kancah peperangan. Manakala bagi pihak keluarga mangsa menuntut keadilan di atas kehilangan keluarga mereka.

Di Libya, Syria, Yemen, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Palestin dan lain-lain darah umat Islam terus mengalir tanpa kelihatan jalan penyelesaian. Lebih memburukkan lagi keadaan berlakunya pengeboman berani mati terhadap sesama agama di beberapa tempat.

Ini semua telah memberi gambaran negatif dan melemahkan negara dan umat Islam sehingga mereka tidak lagi dapat membela dan membantu saudara mereka yang memerlukan bantuan. Pihak musuh Islam pula terus dengan percaturan politik mereka dengan mengaut segala hasil bumi seperti minyak dan gas bagi kepentingan kuncu-kuncu mereka.

Sampai bilakah negara dan umat Islam akan bersengketa sesama sendiri ?

Kadang-kadang terfikir adakah sikap berpecah dan bersengketa umat Islam adalah sesuatu yang telah "digazetkan" ?  Tetapi sekiranya kita mengamati sejarah umat Islam, terutamanya zaman di antara Khalifah Uthman Affan dan Sayidina Ali Abu Talib banyak berlaku fitnah dan perselisihan dari segi fahaman politik yang menyebabkan berlaku pertumpahan darah.

Bukan sedikit para sahabat yang gugur dalam pertempuran sesama sendiri, terutamanya peperangan antara Ali dan Muawiyah. Namun mereka berperang bukan berselisih tentang akidah, tetapi lebih pada persoalan pemerintahan dan politik.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan