BULAN ini negara akan menyambut hari kemerdekaan ke 54. Seperti biasa kerajaan terpaksa melakukan berbagai kempen mengibar bendera Jalur Gemilang di berbagai peringkat termasuk pihak swasta dan dikalangan rakyat sendiri.
Kempen dijalankan sehingga tahap memberi bendera secara percuma pada para peniaga agar mereka mengibarkannya di bangunan atau premis mereka sempena menyambut 31 Ogos itu.
Tanpa kempen dan pemberian bendera secara percuma seolah semua lapisan masyarakat tidak begitu prihatin dan mengambil berat untuk mengibar Jalur Gemilang sebagai lambang kesetiaan dan kemegahan menjadi warganegara.
Inilah sikap sebilangan rakyat yang tidak sepatutnya berlaku setelah kita menikmati segalanya sepanjang 54 tahun. Rakyat sentiasa menuntut kemudahan itu dan ini; bantuan dari kerajaan, kemudahan pengangkutan, keselesaan penggunaan lebuhraya dan berbagai lagi kemudahan "kelas pertama".
Kerajaan telah menyediakan berbagai kemudahan tersebut dan sebagai rakyat yang menikmatinya, sekurang-kurangnya sebagai ucapan syukur dan berterima kasih haruslah menterjemahkan sikap itu dengan mengibar bendera negara tercinta.
Hanya di negara inilah tempat kita berlindung dan tidak ada lagi tempat untuk kita bernaung selain di bumi Malaysia ini. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.
Pada setiap acara sukan kita akan berdiri tegak dan khusyuk mendendangkan lagu Negaraku dan berkibarnya Jalur Gemilang dengan penuh hormat dan setia. Tetapi mengapakah bila menjelangnya bulan kemerdekaan sikap kita begitu dingin dan tidak bersemangat terhadap peri pentingnya Jalur Gemilang sebagai satu kemegahan.
Bila Jalur Gemilang dipijak dan dibakar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kita melenting dan marah. Seolah kita merasakan maruah kita dicabar dan perasaan kita disakiti. Namun ia tidak seharusnya setakat itu sahaja. Kita perlu menterjemahkan lebih hebat lagi kecintaan dan kesetiaan kita pada Jalur Gemilang dengan mengibar dan menjaganya sentiasa, lebih-lebih lagi di bulan ini.
Kalau kita pernah membaca apa sahaja sejarah peperangan dahulu kala, setiap pembawa bendera yang berkuda tetap akan mengibar bendera mereka dengan gagah dan megah. Ada satu kisah di mana seorang tentera yang ditugaskan memegang bendera, tetap tidak melepaskannya sekalipun sebelah tangannya telah terputus. Dan bila tangannya yang sebelah lagi terputus, ia mengepit bendera itu diketiaknya.
Begitulah besar dan pentingnya bendera bagi sesebuah bangsa dan negara. Kita sekarang berada dalam negara yang penuh nikmat dan selesa. Apakah begitu sukar untuk mengibar bendera kita walau hanya untuk setahun sekali ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan