Isnin, 8 Ogos 2011

Antara hujan dan panas


SEJAK lapan hari berpuasa cuaca begitu panas terik hingga ke petang. Keletihan dan tekak yang kering menguji kesabaran dalam menjalani ibadah puasa.

Sebagai sifatnya manusia bila cuaca panas teringin pula agar hujan turun dari langit membasahi bumi yang kering itu. Nah, kelmarin hari ketujuh berpuasa hujan turun dengan begitu lebat di sebelah petangnya.

Apa jadi ? Habis hiruk pikuk dibuatnya. Dengan angin dan ribut yang kencang serta hujan yang lebat membasahi setiap lorong dan jalan, orang ramai yang keluar untuk membeli juadah berbuka puasa berlari bertempiaran mencari tempat berteduh.

Gerai-gerai jualan yang berpayung habis berterbangan dipukul angin kencang. Air hujan yang turun tidak sampai sepuluh minit dah mula bertakung membataskan pergerakkan orang ramai yang berhajat mencari bahan juadah berbuka.

Kelmarin bukan sahaja menghalang orang ramai dari membeli secara bebas dan santai, malah para peniaga bazar ramadan pun tidak ada rezeki.

Khemah dan payung di gerai mereka habis bergoyang dek tiupan angin dan air hujan yang lebat. Semua bahan jualan makanan, minuman dan sebagainya basah ditimpa hujan. Semua barang jualan sudah tidak boleh dijual lagi. Barangkali, semua makanan itu disedekahkan atau dibuang begitu sahaja.

Saya sendiri terperangkap tidak dapat bergerak dan hajat untuk membeli sesuatu yang dihajati terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Jadi pengajarannya ? Bila cuaca panas tidak perlu merungut dan merenget. Manusia memang suka mengeluh. Nah, kelmarin takdir hujan dan angin kencang melanda; para peniaga tidak boleh berniaga dan orang ramai pun tidak boleh membeli apa yang dihajati.

Oleh itu sebagai manusia kita perlu bersyukur dalam apa keadaan sekalipun. Kalau cuaca panas kita bersyukur. Dan kalau hujan turun pun kita bersyukur. Panas dan hujan ibarat siang dan malam, silih berganti ianya mempunyai hikmahnya tersendiri.

Hari ini hari kelapan berpuasa dan cuaca nampak terang tidak seperti semalam. Semoga cuaca baik dan tidak hujan agar suasana di bazar ramadan berjalan seperti biasa. Tetapi, entahlah, kalau nanti petang cuaca kembali mendung dan hujan turun lagi seperti semalam kita terimalah seadanya.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan