Ahad, 7 Ogos 2011

Andaian dan harapan PRU 13


TAN SRI ABDULLAH AHMAD atau Dollah Kok Lanas dalam kolumnya, Sinar Harian, 7 Ogos 2011, telah membuat satu analisa dan rumusan yang menarik tentang politik negara dan prospek keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 13 yang bakal tiba.

Tan Sri Abdullah Ahmad
Antara lain beliau menyatakan bahawa UMNO akan menjadi sebuah parti yang besar selepas PRU 13. DAP akan terus mendapat dan memenangi kerusi-kerusi majoriti Cina. Manakala parti MCA, Gerakan dan PKR akan "hanyut".

PAS pula berjaya memenangi beberapa kerusi melayu, tetapi tidak mencukupi untuknya menubuhkan kerajaan pusat dan menawan Putrajaya.

Analisis beliau itu mempunyai asas dan kebenarannya. Dalam konteks ini, alasan paling kukuh ialah tentang jumlah keseluruhan kerusi di parlimen ialah 222 kerusi. UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di semua kerusi.

Apakala PAS paling banyak ia mampu meletakkan calon hanyalah dalam 80 kerusi. Pada PRU 12 PAS bertanding sebanyak 60 kerusi parlimen. Kalau dalam PRU 13 ini PAS hanya mampu bertanding 80 kerusi, ini bermakna ia tidak sampai separuh dari jumlah keseluruhan di parlimen.

Dengan itu bagaimana PAS dapat menawan Putrajaya ? Impian PAS hanya dapat dicapai sekiranya ia mendapat bantuan dari DAP. Itupun tidak pasti berapakah kerusi yang boleh dimenangi PAS dari 80 kerusi yang dipertandingkan.

Apakah PAS akan memenangi kesemua 80 kerusi itu ? Jawabannya, kemampuan PAS untuk memenangi kesemuanya adalah mustahil dan tidak mungkin. Justeru itu sekiranya ia menang kurang dari jumlah tersebut, maka PAS akan dikuasai dan tunduk pada DAP; yang sudah tentu akan menang kerusi lebih banyak atau sama dengan jumlah kerusi yang dimenangi PAS.

Jadi, tanggapan umum bahawa PAS akan menjadi tunggangan DAP adalah benar. Apa yang jelas MCA dan Gerakan memikul tugas yang berat dalam menarik pengundi Cina menyokong BN. Apakah MCA dan Gerakan akan berjaya ?

Menurut Tan Sri Abdullah dengan melontarkan persoalan, sekiranya MCA dan Gerakan gagal kali ini, apakah DAP akan menyertai BN dan seterusnya melakukan berbagai tuntutan dari dalam ?

Rumusan yang boleh dibuat kali ini ialah pengundi melayu akan cenderung pada UMNO dan pengundi Cina tetap akan berpihak pada DAP. Trend dan pola pengundian akan lebih bersifat kaum.

UMNO dan BN akan mencapai kejayaan pada PRU 13 nanti, soalnya mampukah BN mengurangkan dominasi DAP terhadap kerusi-kerusi majoriti Cina.

Manakala PAS, prestasinya semasa pilihanraya Sarawak yang lalu boleh dijadikan ukuran. Ia bertanding lima kerusi dan tewas semuanya. Itupun PAS berbangga kerana dapat bertanding hanya lima kerusi di Sarawak dan apakah ini parti yang bercita-cita mahu ke Putrajaya ?

Peranan PAS dalam PRU 13 nanti hanya ada dua: Pertama, memecah undi melayu dan menafikan peluang UMNO. Dan kedua, bantu DAP mencapai cita-cita menguasai negara !


















1 ulasan: