Selasa, 30 Ogos 2011

Sambutan Aidil Fitri : Dulu dan sekarang



SUASANA menyambut Aidil Fitri sekarang dengan suasana
dahulu amat jauh berbeza sekali.

Kalau dahulu selepas sahaja selesai solat di masjid kebanyakannya
akan bergegas menziarah kubur, membaca doa dan sebagainya.
Sesudah itu bermulalah program mengunjungi rumah ke rumah
sekitar kampung terdekat.

Biasanya ia dilakukan secara kumpulan sehingga 20 orang mengunjung
dari satu rumah ke satu rumah berdekatan. Mereka akan berjalan beramai-
ramai penuh dengan riuh-rendahnya.

Dan kalau tempatnya agak jauh mereka akan berkenderaan secara
konvoi. Dalam kunjungan ini tidak ada rumah yang ketinggalan. Semuanya
dipastikan akan dikunjungi oleh rombongan ini.

Acara ini akan terus berlanjutan sehingga ke petang. Kalau ahli
rombongan ini berjumlah 20 orang, maka dipastikan kesemuanya
dikunjungi. Begitulah sekiranya ahli rombongan mencecah 30 orang
ia akan berlanjutan ke lewat petang. Yang pentingnya semua rumah
ahli rombongan dilawati.

Tradisi ini adalah satu amalan yang baik dan menyeronokkan. Ia
menimbulkan suasana ukhwah dan kemesraan di dalam kehidupan
masyarakat setempat dan sekitarnya.

Barangkali, amalan seperti ini kurang mendapat perhatian masyarakat
sekarang. Zaman sudah berubah. Masyarakat semakin moden dan amalan
berkunjung ini tidak lagi menjadi satu budaya, terutama generasi muda -
generasi Facebook, Twitter dan laman sosial lain.

Masing-masing sekarang berperap di rumah "menunggu" dan menghadap
ke kaca televisyen yang penuh dengan sajian pelbagai hiburan yang
mengasyikkan.

Sebagai ahli masyarakat kita perlu memainkan peranan menghidupkan
kembali tradisi dan budaya murni ini agar ianya menjadi satu amalan
di hari mulia ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan