Jumaat, 31 Mei 2013

Antara Setiausaha Agung Umno dan BN

DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli Parlimen Putrajaya adalah Setiausaha Agung Umno merangkap Setiausaha Agung BN. Dalam kabinet baru beliau diberi tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebagai wakil rakyat dan kini sebagai menteri tugas beliau menjadi bertambah berat dan membebankan. Apa lagi selaku Setiausaha Agung Umno dan BN yang menghadapi cabaran memperkukuhkan kembali parti selepas keputusan PRU13.
Tengku Adnan

Berdasarkan suasana politik semasa sebagai Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak perlu mempertimbangkan kembali kedudukan Setiausaha Agung Umno yang juga memikul tugas Setiausaha Agung BN.

Sudah sampai masanya kedua jawatan tinggi dan penting itu dibahagikan kepada dua calon dan bukannya seorang seperti sekarang. Tengku Adnan tidak mungkin dapat memikul dan melaksanakan semua tugasnya dalam satu masa dengan berkesan. Kesemua jawatan yang dipegangnya sekarang adalah besar dan penting belaka.

Jika Presiden parti tidak mengarahkannya, Tengku Adnan sayugia perlu melepaskan satu jawatan sama ada Setiausaha Agung Umno atau BN dengan memberi laluan pada calon lain yang layak. Langkah ini adalah untuk kebaikan parti secara keseluruhannya.

Sebenarnya sejak dulu lagi jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN dipegang oleh dua tokoh berlainan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini tugas Setiausaha Agung BN dipikul Setiausaha Agung Umno sekaligus.

Satu masa ketika Allahyarham Tun Ghafar Baba masih Naib Presiden Umno dan tidak berada dalam kabinet beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung BN. Manakala jawatan Setiausaha Agung Umno diberikan pada kalangan pemimpin yang rapat dengan Presiden.

Sekiranya tidak silap kedudukan ini berubah bila Tun Ghafar menang jawatan Timbalan Presiden Umno setelah menewaskan penyandangnya, Tun Musa Hitam. Bila Tun Ghafar menjadi Timbalan Presiden, jawatan Setiausaha Agung BN tidak diganti sebaliknya jawatan itu secara otomatis dipegang Setiausaha Agung Umno. Dan kedudukan itu terus kekal sehingga hari ini.

Justeru untuk kebaikan dan keberkesanan parti Umno dan BN dalam mengharungi cabaran seterusnya adalah lebih efektif kedua jawatan penting itu diamanahkan pada dua tokoh berlainan. Barangkali, Tengku Adnan boleh terus kekal sebagai Setiausaha Agung Umno. Dan Setiausaha Agung BN diberikan pada tokoh Umno lain yang layak dan berwibawa.

Khamis, 30 Mei 2013

Tengku Razaleigh bertanding Presiden ?

SEMUA perhatian sekarang ke arah Perhimpunan Umno tahun ini yang buat pertama kalinya dalam sejarah; semua jawatan tertinggi dalam parti akan ditentukan oleh 146,500 ahli seluruh bahagian dan bukan lagi pada 2,500 perwakilan.

Perubahan peraturan ini dipinda pada 2009 bagi mencerminkan proses pemilihan dalam parti lebih demokratik dan menghapus gejala politik wang.
Tengku Razaleigh

Sebelum itu semua calon yang ingin bertanding dari jawatan Presiden, Timbalan, Naib dan lain-lain perlu mendapat sokongan seluruh bahagian dengan jumlah atau kuota yang telah ditetapkan. Misalnya, bagi jawatan Presiden; bakal calon perlu mendapat 30 peratus sokongan dari semua bahagian. Kurang dari itu seseorang calon tidak layak bertanding.

Dalam sejarah Umno mangsa pertama hasil dari sistem kuota ini adalah Allahyarham Tun Ghafar Baba. Ketika itu Tun Ghafar adalah penyandang Timbalan Presiden parti yang dicabar oleh Naib Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan sistem kuota itu Anwar telah mendapat jumlah sokongan yang begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah peratus diperolehi Tun Ghafar yang tidak memungkinkan Tun mampu mempertahankan jawatannya. Kerana ikut peraturan ketika itu jumlah sokongan atau pencalonan sudah dikira dalam bentuk undi.

Dalam situasi itu Tun Ghafar tidak mempunyai pilihan melainkan menarik diri dari bertanding dan mempertahankan jawatannya. Dengan itu Anwar terpilih menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding. Banyaklah cerita selepas itu mendakwa bahawa Anwar telah menggunakan politik wang dalam memastikan beliau mendapat sokongan dalam jumlah kuota yang tinggi berbanding Tun Ghafar. Namun semuanya telah menjadi sejarah.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden sistem kuota itu masih kekal. Dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden dan tewas dengan 40 undi telah menawarkan diri sekali lagi bertanding jawatan Presiden menentang Tun Abdullah.

Namun percubaan Ku Li itu gagal kerana tidak mendapat jumlah kuota yang mencukupi bagi membolehkannya bertanding. Ertinya, Ku Li yang memang menyimpan hasrat untuk menjadi Presiden Umno merangkap Perdana Menteri gagal buat kali keduanya.

Persoalannya sekarang dengan sistem kuota itu sudah tidak ada lagi apakah Ku Li akan mencuba buat kali ketiga ? Semua orang tahu sejarah Ku Li sebelum ini. Beliau kalah dua kali pada Tun Musa Hitam dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Dan kalah pada Dr Mahathir dalam jawatan Presiden. Beliau juga membuat percubaan semasa Pak Lah. Semuanya gagal.

Berdasarkan sejarah itu dan kekalnya sehingga hari ini sebagai ahli Parlimen Gua Musang serta cita-citanya yang tidak pernah padam sejak zaman Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri; Ku Li mungkin mencuba lagi buat kali keempatnya. Kemungkinan itu ada.

Apakah beliau mempunyai peluang menang ke atas Datuk Seri Najib Razak adalah satu hal lain. Pokoknya dengan suasana baru kini memberi peluang padanya mencuba lagi.

Walau apa pun keputusan Ku Li nanti pada hakikatnya dalam Umno kini pengaruh dan pengikut beliau tidak seperti era 80an dulu semasa beliau masih Menteri Kewangan. Beliau seperti sudah kehilangan taring. Kekuatan dan pengaruhnya hanyalah di bahagiannya iaitu Gua Musang.

Tetapi yang pasti jika Ku Li bertanding beliau akan menghadapi jentera politik Najib secara besar-besaran termasuk dari seteru lamanya Dr Mahathir. Dr Mahathir akan turut berkempen dan memastikan tidak ada laluan mudah buatnya ke kerusi Presiden.




Rabu, 29 Mei 2013

Mazlan gesa Pas terima hakikat

MURSYIDUL AM Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan sehingga hayatnya beliau akan menentang sebarang usaha penyatuan antara Umno dan Pas. Beliau memberi amaran jangan ada usaha secara senyap-senyap ke arah itu kerana isu besar seperti ini hanya boleh diputuskan dalam muktamar parti.

Hujah Nik Aziz seperti biasa Umno menolak perjuangan Islam. Dengan itu Umno kena ikut Pas dan bukan sebaliknya. Apakah Umno menolak Islam atau tidak terserah pada para mufti, cendekiawan Islam dan ulama dalam Umno memberi hujah masing-masing. Biarkanlah Nik Aziz dengan pendirian dan pandangannya yang pastinya tidak bertaraf mutlak dan muktamad.
Mazlan Aliman

Tetapi jelas Nik Aziz seorang yang beremosi dan ada rasa dendam bila ada orang menyebut perkataan Umno. Baru-baru ini beliau ada berkata akan meludah di muka sesiapa yang menemuinya bertujuan mengadakan kerjasama Umno-Pas.

Nik Aziz tentulah masih kecewa dengan kegagalan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional untuk memerintah negara ini. Bayangkan sejak 2009 hingga 2013 beliau dan para pemimpin PR begitu agresif berceramah dan berkempen dengan hanya satu tekad menjatuhkan BN serta mentalkinkan Umno.

Slogan "Pas ganti Umno" dijaja begitu meluas ke seluruh pelusuk negara. Seolah Pas sudah mampu dan bersedia mengambil alih peranan Umno selama ini sebagai wadah umat melayu dan Islam. Acara dan program sembahyang hajat anjuran Pas memohon kejayaan dan kehancuran Umno tidak pernah lekang.

Kehadiran dan kebanjiran setiap program terutama sembahyang hajat boleh mencecah puluhan ribu dalam stadium dan kawasan lapang. Nik Aziz sendiri menjadi imamnya. Suasananya begitu hebat seolah kemenangan sudah berada dalam genggaman. Kali ini Umno pasti tersungkur.

Lidah rasmi Pas, Harakah terus meniupkan semangat para penyokong dengan slogan Ini kalilah ! Secara psikologinya mesej yang hendak disampaikan kemenangan dalam PRU13 adalah hampir pasti. Bayangan Putrajaya sudah berada di depan mata. PRU13 ini adalah masa dan ketikanya untuk meraih kejayaan dan bukan menanti PRU14 yang masih jauh.

Namun semuanya hancur luluh dan berkecai. Impian Pas bersama PKR dan DAP untuk ke Putrajaya gagal lagi. Bukan sahaja pembangkang gagal memerintah kerajaan pusat, malah Pas mengalami kemerosotan secara keseluruhan kecuali prestasinya di Selangor.

Mengikut road map Pas ke Putrajaya, sasarannya ialah memenangi 52 kerusi Parlimen. Tetapi Pas hanya menang 21 kerusi - satu jumlah amat kecil dan paling sedikit antara parti yang bertanding. Di Kelantan, walaupun Pas dapat mengekalkan kuasa namun kerusinya menurun. Sebaliknya Umno menambahkan kerusinya dari tujuh menjadi 12 kerusi DUN. Paling pahit Kedah jatuh ke tangan BN.

Pas sering memperlekeh dan merendah-rendahkan Umno tetapi Umno menang 88 kerusi parlimen - jumlah paling banyak dari parti-parti yang bertanding. Dan fakta paling jelas Umno mendapat sokongan terbesar di kalangan orang melayu jika dibandingkan dengan Pas. Justeru slogan "Pas ganti Umno" tertolak dan tidak terpakai lagi.

Selepas keputusan PRU13 belum ada lagi satu analisa atau kesimpulan secara rasional dari pihak parti Pas mengenai kegagalan mereka secara keseluruhannya. Yang ada hanyalah berkisar soal kredibiliti SPR dan soal undi popular - yang saya kira sudah tidak popular dan memberi sebarang makna.

Cuma apa yang menarik perhatian adalah satu artikel dalam Harakah Daily, 28 Mei lalu yang ditulis oleh Mazlan Aliman, AJK Pas Pusat. Mazlan menulis dengan memberi hujah dan penjelasan secara rasional dan matang mengenai sikap yang perlu diambil Pas dalam menghadapi dan menerima keputusan PRU13 serta melangkah ke hadapan.

Beliau menulis Pas perlu muhasabah dan mengakui kelemahan diri dan menolak tindakan setengah pihak yang mengadakan perhimpunan bantah. Kerana tindakan itu tidak dapat mengubah apa-apa dan menggesa agar menerima hakikat bahawa BN adalah pihak yang menang.

Mazlan juga begitu kecewa Pas hanya mampu menang 21 kerusi Parlimen jauh dari target sebenar 52. Beliau terus menggesa agar parti memperbaiki segala kelemahan bagi menghadapi PRU14.

Mazlan adalah seorang pemimpin Pas yang lantang bersuara, terutama berkaitan dengan Felda, namun beliau tidak emosional menerima hakikat keputusan PRU13 lalu.




Selasa, 28 Mei 2013

Umno kekurangan pemimpin berkaliber

SIFIR matematik dengan sifir politik tidak akan sama dan tidak akan ada titik temu. Jika 5x2= 10 - dalam politik kiraan itu tidak akan memberi jawaban yang sama.

Begitulah dengan sifir politik yang sedang dan akan dihadapi Umno selepas PRU13. Semua orang menjangka lebih-lebih lagi seteru Umno bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu berundur dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran kegagalannya memperolehi majoriti dua pertiga.
Najib Razak

Najib bukan sahaja gagal dapat dua pertiga malahan prestasinya lebih buruk dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU12, 2008. Tun Dollah ketika itu dikira teruk tetapi nampaknya Najib lebih teruk.

Sekiranya Tun Dollah atau Pak Lah dipaksa letak jawatan kerana prestasi teruk, maka apakah Najib yang lebih teruk tidak meletakkan jawatan ? Bagi seteru Umno itulah yang ditunggu dan diharapkan menjadi kenyataan. Mereka seronok jika Najib menimpa nasib sama seperti Pak Lah.

Maka sekarang ada yang mula cucuk Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bertanding menentang Najib di kerusi Presiden Umno dalam Perhimpunan parti itu tahun ini. Kononnya jika Muhyiddin tidak bertanding menentang Najib, karier politiknya akan dipancung.

Muhyiddin adalah pemimpin utama dalam parti yang mendesak secara terbuka agar Pak Lah melepaskan jawatannya pada 2008. Beliau disokong dan dibantu Dr Mahathir Mohamad yang bergerak di luar parti.

Banyak orang mengira senario itu akan berulang lagi kali ini apatah lagi Najib dianggap mengecewakan seperti Pak Lah. Namun sehingga kini tidak nampak peristiwa menimpa Pak Lah bakal berulang pada Najib.

Pertamanya seperti kata Dr Mahathir, Umno tidak ada pilihan dan alternatif. Memang hingga kini belum lagi ada pemimpin dalam parti yang dikira layak menggantikan Najib. Bukanlah bererti Najib adalah yang terbaik tetapi beliau sahajalah calon pilihan yang ada.

Pemimpin seperti Muhyiddin, Zahid Hamidi malah Hisham Tok Mudin masih dianggap sebagai belum lagi bersedia untuk mengambil alih. Inilah realiti yang dihadapi Umno sekarang sebagai sebuah parti yang tidak sekuat dulu lagi seperti di era Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam (2M).

Dalam konteks kepimpinan politik parti dan negara adalah jelas selepas pengunduran Dr Mahathir setelah 22 tahun menjadi arkitek politik negara ia telah meninggalkan jurang yang begitu besar yang tidak mampu di isi barisan pelapis parti. Tahap dan standard yang telah diletakkannya adalah tinggi.

Sikap dan dasarnya yang tegas serta berwawasan diakui kawan dan lawan. Sepanjang 22 tahun berkuasa semua krisis, cabaran dan halangan berjaya di atasi dengan berkesan seperti perpecahan Umno, krisis mata wang 1998 dan pemecatan Anwar. Semuanya dapat diurus dengan baik.

Apabila Dr Mahathir menyerahkan kerusinya pada Pak Lah pada 2003 segalanya berada dalam keadaan tersusun dan teratur baik dalam parti dan negara. Dan Pak Lah telah mendapat mandatnya yang pertama dengan begitu cemerlang pada PRU11 2004 dengan kemenangan terbesar lebih dari dua pertiga.

Tetapi semua pihak memberikan kredit pada Pak Lah di atas kejayaan besar itu. Dan Pak Lah sendiri mengakui kejayaan itu adalah faktor imejnya yang digelar sebagai Mr Clean. Faktor dan sumbangan Dr Mahathir sebelum itu seolah dilupakan.

Dan ini terbukti selepas dua tahun Pak Lah berkuasa beliau cuba mengubah dan melencong sedikit dari apa yang telah diasaskan Dr Mahathir. Ini termasuklah percubaan Pak Lah mengamalkan dasar yang lebih "terbuka" dari dasar Dr Mahathir yang dikira "tertutup".

Akhirnya Pak Lah menerima habuannya. Dari kejayaan yang dikecapinya pada 2004 hingga awal penggal keduanya kerajaan dan parti pimpinannya mulai tunggang langang seperti tidak ada arah. Banyak keputusan bersifat flip-flop dan tidak ada ketegasan.

Semua pihak memperlekeh dan mentertawakannya sebagai pemimpin nombor satu negara dengan berbagai panggilan seperti Dollah Bodohwi, PM tidur dan sebagainya. Justeru kerosakkan dan kemusnahan parti sudah tidak terkawal dan sukar dibendung.

Yang akhirnya tsunami politik melanda pada PRU12 2008 yang mengejutkan semua pihak. Namun kerosakkan telah berlaku dan bukan mudah untuk dipulihkan seperti sediakala. Dan pada hakikatnya kesan kerosakkan itu diwarisi oleh Najib sehinggalah ke PRU13 lalu.

Najib berusaha membetul dan memulihkan keadaan dengan berbagai dasar yang dikemukakan pada rakyat. Tetapi ia tidak semudah itu. Hakikatnya Pak Lah dan Najib bukan Dr Mahathir. Keduanya jika disatukan sekalipun tidak dapat menyamai ketokohan negarawan itu.

Umno perlu menerima kenyataan bahawa ia kekurangan pemimpin yang berwibawa dan berkaliber. Apakah Najib merupakan pemimpin melayu Umno terakhir ? Sejak 2003 berubah segalanya.


Ahad, 26 Mei 2013

Anwar politikkan isu

PILIHAN RAYA UMUM (PRU) telah selesai. Kerajaan pusat dan negeri telah ditubuhkan dengan Perdana Menteri ke 6 sudah pun mengangkat sumpah jawatan. Namun begitu suhu politik dalam negara terus panas seolah kita akan menghadapi satu lagi pilihan raya.

Pemimpin "anugerah Tuhan" Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mencetus kehangatan iklim politik dan mencorakkannya mengikut rentak yang digemarinya; berhimpun dan berdemonstrasi.

Isunya apa ? 1- SPR tipu
                    2- Undi popular

Anwar menuduh PRU13 penuh dengan penipuan dan BN menang dengan secara rompak hasil kerjasama SPR. Begitu juga dia menganggap pembangkang lebih berhak berada di Putrajaya berdasarkan peratus undi popular yang tinggi berbanding yang diperolehi BN.
Anwar sedang berpidato

Atas dua faktor inilah mendorong Anwar tidak akan undur dari politik dan mahu meneruskan impiannya menjadi Perdana Menteri. Dalam bahasa politiknya mahu memastikan Pakatan Rakyat yang dikira lebih popular berjaya membentuk kerajaan.

Pada hal kedua faktor itu tidak relevan dan memberi kesan langsung pada undang-undang dan perlembagaan negara. Sekiranya ada bukti dan saksi berlakunya penipuan dalam pilihan raya ia mesti dibawa ke mahkamah untuk diadili. Inilah sahaja cara yang bertamadun.

Masalah undi popular pula berdasarkan undang-undang dan peraturan pilihan raya ianya bukan penentu kemenangan sesebuah parti untuk menubuhkan kerajaan. PRU terdahulu telah diadakan sebanyak 12 kali dan parti yang menang menubuhkan kerajaan dikira berdasarkan jumlah kerusi dimenangi keseluruhannya. Undi popular hanya berbangkit pada PRU13 lalu.

Apa yang dicetuskan Anwar sebenarnya bukan isu. Isunya hanya politik. Kedua isu itu hanya boleh diselesaikan dengan kaedah undang-undang dan mahkamah. Cara provokasi dan menanamkan rasa benci terhadap kerajaan melalui perhimpunan adalah bertujuan mengalih isu sebenar yang dihadapinya.

Perhimpunan yang telah diadakan itu sendiri telah melanggar undang-undang. Mengikut Akta Perhimpunan 2012 pihak polis mesti diberi notis 10 hari sebelum ia diadakan. Setakat ini tidak satu pun perhimpunan yang mematuhi undang-undang.

Nampak jelas Anwar tidak pedulikan undang-undang bila ia ada kaitan dengan kepentingan dirinya. Tetapi sebaliknya cepat menuding jari dan menyalahkan kerajaan bila tidak berpihak padanya.


Isu yang dimainkan Anwar sekarang dalam setiap perhimpunan adalah isu politik. Ia tidak akan selesai melalui politik. Isu yang dijajanya hanya dapat dirungkai melalui proses mahkamah dan pindaan undang-undang.

Hanya orang yang kurang cerdik tertipu dan terpedaya dengan rentak politiknya. Ramai tidak sedar Anwar yang meringkuk dalam penjara Sungai Buloh selama enam tahun dulu adalah akibat perbuatannya yang melanggar undang-undang.

Ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia telah menggunakan polis untuk kepentingan dirinya dengan menahan dan mengugut Umi Hafilda agar menarik balik surat tuduhan salah lakunya. Justeru itu apa yang hendak dihairankan sekarang jika ia terus melanggar undang-undang.

Anwar lebih berminat mempolitikkan semua isu demi muslihat dirinya. Kerana dia tahu melalui cara undang-undang dan peraturan hasratnya tidak akan berjaya.

Seperti cadangan pembangkang yang mahu berdebat dengan SPR berkaitan dengan proses pilihan raya. SPR bukan badan politik untuk dijadikan bahan isu dan publisiti. SPR tidak boleh membersihkan imejnya melalui debat. Cabaran itu tidak munasabah. Hanya mahkamah dan perundangan mampu memberi penyelesaian segala berkaitan dengan SPR.

Cadangan berdebat dengan SPR samalah seperti mengharapkan adanya debat antara Anwar Ibrahim dengan Umi Hafilda. Anwar tidak sanggup kerana ia anggap Umi hanyalah nyamuk dan tidak memberi faedah politik padanya.

Jumaat, 24 Mei 2013

Salah guna demokrasi

DI Mesir sudah dua tahun rejim Hosni Mubarak tumbang hasil dari kebangkitan rakyat yang dahagakan udara demokrasi. Sebelum itu bukan tidak ada pilihan raya dan demokrasi tetapi setiap kali pilihan raya memilih perwakilan dan calon Presiden - rejim dan sekutunya menang hampir 100 peratus !

Hampir 30 tahun rejim Hosni memerintah dan pihak pembangkang terutama Ikhwanul Muslimin tidak pernah berjaya melalui demokrasi pilihan raya, malah tidak ada peluang langsung menjatuhkan rejim menerusi peti undi.
Ucapan pertama Mursi sebagai Presiden

Majoriti rakyat Mesir percaya rejim Hosni terus berkuasa kerana adanya penipuan dan ketidaktelusan dalam  proses pilihan raya di negara itu. Ditambah dengan keperitan dan tekanan ekonomi serta amalan korupsi di kalangan pemerintah rejim, rakyat hilang kesabaran dan turun ke jalan raya menuntut perubahan.

Gerakkan massa rakyat yang berkumpul dan menakluki Dataran Tahrir ternyata berkesan memberi tekanan pada Hosni supaya berundur dan meninggalkan Istana Presiden. Maka tumbanglah diktaktor yang berkuasa selama 30 tahun menerusi sistem undi yang diragui seluruh rakyat.

Yang naik dan berkuasa sekarang adalah Ikhwanul Muslimin; musuh nombor wahid rejim Hosni Mubarak yang tumbang. Kini parti Ikhwan adalah parti yang berkuasa di Mesir melalui pilihan raya bebas sebagaimana yang dituntut majoriti rakyat.

Presiden Mohamad Mursi dari parti Ikhwan adalah presiden pertama yang dipilih dari orang awam menerusi proses pengundian. Mursi kini telah hampir setahun menjadi Presiden yang dipilih secara demokrasi. Ertinya, segala perkembangan dan perubahan yang berlaku adalah hasil kemahuan rakyat bertitik tolak di Dataran Tahrir yang mahukan kebebasan dan demokrasi yang telah dirampas selama tiga dekad.

Namun apakah yang berlaku kini ? Rakyat Mesir masih berada di jalan raya dan berdemonstrasi di depan Istana Presiden menuntut Mursi meletakkan jawatan. Senarionya hampir sama dua tahun lalu di mana rakyat terus menunjuk perasaan agar tuntutan mereka dipenuhi.

Mesir kini menghadapi krisis ekonomi dan kewangan yang teruk. Selepas rejim dulu jatuh tidak berlaku banyak perubahan besar. Masalah pengangguran, peluang ekonomi dan sebagainya belum dapat di atasi sepenuhnya. Presiden Mursi dianggap gagal mentadbir negara dengan baik.

Mesir kini memerlukan bantuan dari negara Eropah dan tabung wang IMF bagi memulihkan ekonomi negara itu kesan dari suasana politik tidak stabil dua tahun lalu.

Masalahnya, apakah Mursi mampu bertahan dan kerajaan dapat meneruskan program ekonominya ? Kini pun sudah ada pungutan tanda tangan 2 juta orang menuntut Mursi melepaskan jawatannya sebagai Presiden.

Inikah yang dikatakan semangat demokrasi dan kebebasan yang sering diperjuangan rakyat seluruh dunia ? Pemimpin naik dan turun sesuka hati dan silih berganti ? Atas nama demokrasi ?

Demokrasi adalah satu sistem yang bagus. Tetapi demokrasi juga boleh memberi kesan buruk jika ia disalahgunakan. Contoh di Mesir, selepas rejim diktaktor pergi dan kerajaan awam berkuasa ia juga tidak memberi apa-apa makna. Rakyat dan negara terus sengsara dan bergolak. Sampai bila sesebuah negara itu akan bergerak ke depan jika rakyat terus unjuk rasa atas nama demokrasi ?

Di Malaysia, pilihan raya telah selesai setelah bertahun-tahun berkempen. Namun selepas kerajaan baru dibentuk kempen politik, perhimpunan dan unjuk rasa terus berlanjutan atas nama demokrasi dan kebebasan.

Katakanlah usaha pembangkang berjaya melalui perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada. Apakah ada jaminan tidak akan ada lagi perhimpuan atau demonstrasi setelah pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan ?

Secara logiknya para penyokong kerajaan sekarang yang didokong sebahagian besar orang melayu serta badan NGO akan melakukan perkara yang sama sebagai tindak balas. Malah mungkin lebih luas dan menyeluruh kendati melayu adalah kaum majoriti. Sentimen dan sensitiviti akan lebih menipis.

Tindakan "Tit for tat" atau tindak balas atas nama demokrasi tidak akan membawa penyelesaian muktamad. Kepada parti pembangkang yang kalah dalam PRU13 lalu masih ada PRU14 di next change atau coming soon. Gunalah demokrasi dengan betul. Demonstrasi jalanan bukan penyelesaian.

Rabu, 22 Mei 2013

Kalimullah Hassan muncul kembali

KALIMULLAH HASSAN pernah menjadi Setiausaha Akhbar, bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba. Sebelum itu Kalimullah adalah wartawan akhbar Echo dan The Star.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada 2003 beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang  New Straits Times (NSTP) menggantikan Tan Sri Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas.

Sejak itu beliau menjadi orang media yang berpengaruh dan mendapat kepercayaan Perdana Menteri.  Kalimullah telah memainkan peranan besar dalam menaikkan imej dan mempertahankan kerajaan pimpinan Pak Lah.
Kalimullah Hassan

Dikatakan juga beliau mempunyai hubungan rapat dengan Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah ketika itu dan memberi peluang padanya membina tapak menjadi seorang korporat dan jutawan hingga kini. Sedangkan pada mulanya beliau hanya seorang wartawan biasa.

Kemuncak sepanjang beliau menjadi orang media yang berpengaruh dan sentiasa dibelakang kepimpinan Pak Lah ialah semasa menghadapi kecaman dan kritikan dari mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir telah mengecam secara terbuka kelemahan Pak Lah dan menantunya Khairy yang dikatakan banyak mempengaruhi bapa mertuanya dalam urusan parti dan kerajaan. Oleh kerana akhbar utama seperti NST dan Berita Harian dibawah penguasaan Kalimullah, maka segala berita tentang Dr Mahathir telah dihalang dan tidak mendapat liputan sewajarnya.

Hanya Utusan Melayu yang memberi ruang dan liputan kenyataan dari Dr Mahathir. Inilah buat kali pertama seorang mantan Perdana Menteri diberi layanan media sebegitu rupa. Ini juga telah membangkitkan kemarahan Dr Mahathir yang telah berusaha menyingkirkan Kalimullah dari jawatannya itu.

Secara kebetulan satu ketika akhbar NST telah menyiarkan lukisan kartun yang dikira menghina umat Islam dan telah mendapat kecaman dari berbagai pihak. Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz adalah antara pihak yang mengecam keras penyiaran kartun itu dan mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap Kalimullah sebagai orang yang bertanggungjawab menyiarkannya.

Nasib Kalimullah ketika itu adalah kritikal yang memungkinkan dia kehilangan jawatannya setelah mendapat tekanan dan kecaman dari banyak pihak. Namun Pak Lah sebagai Perdana Menteri menyelamatkannya dengan tidak mengambil sebarang tindakan dan hanya diberi amaran lisan.

Sudah tentulah keputusan Pak Lah itu mengecewakan Dr Mahathir yang secara terangan memusuhi Kalimullah. Dr Mahathir pernah menyindir nama Kalimullah sebagai gabungan dari dua perkataan Kali dan Mullah.

Tetapi bila Pak Lah terpaksa mengundur diri dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib Tun Razak, Kalimullah juga turut pergi dan menyepi. Dia meneruskan kehidupannya sebagai ahli korporat. Sehingga akhir ini namanya muncul kembali dengan berbagai tohmahan dan kontroversi seolah rentetan dari episod di era Pak Lah.




Selasa, 21 Mei 2013

Mari minum kopi dulu

Ah Huat White Coffee memang best !


Pilihan kaum Cina

SELEPAS PRU13 kaum Cina adalah paling malang kerana tidak ada lagi wakil dalam kabinet. Sebelum ini melalui MCA mereka menerajui empat kementerian; Pengangkutan, Kesihatan, Perumahan dan Pelancongan.

MCA juga pernah diberi portfolio Menteri Kewangan dengan perlantikkan Presidennya, mendiang Tun Tan Siew Sin dalam kabinet Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak Hussein dari tahun 1959 hingga 1970.

Kaum Cina menerusi MCA pernah menuntut dan memperjuangkan agar diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk kaum itu. Namun tuntutan tersebut tidak berjaya setelah mendapat bantahan sebahagian besar ahli Umno dan masyarakat melayu.

Isu Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk kaum Cina timbul lagi setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Rakyat (PR). Dikatakan jika PR berjaya berkuasa di Putrajaya, Anwar sebagai Perdana Menteri akan melantik Datuk Seri Hadi Awang (Pas), Timbalan Perdana Menteri (TPM) Pertama dan Lim Kit Siang (DAP), TPM Kedua.

Dan isu TPM Kedua dari pemimpin kaum Cina yang dijanjikan PR telah banyak menarik dan mempengaruhi  trend pengundi kaum itu dalam PRU13 lalu yang majoritinya mengundi pembangkang. Mereka percaya dengan mengundi PR impian untuk melihat orang Cina menduduki salah satu kerusi TPM akan berjaya.

Masyarakat Cina sudah tidak yakin dengan MCA yang gagal memenuhi impian mereka. Justeru itulah MCA ditolak sepenuhnya dalam PRU13 lalu dan menerima tamparan paling hebat dalam sejarah parti itu. Kerana ia kalah teruk MCA menolak wakilnya menerima jawatan kabinet dan peringkat exco negeri.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak masih mengosongkan Menteri Pengangkutan untuk MCA dalam susunan kabinet barunya. Ertinya, dari empat menteri penuh sekarang hanya tinggal satu sahaja. Itu pun kalau MCA masih ada air muka untuk menerima hanya satu jawatan menteri sedangkan pada prinsipnya ia bertentangan dengan pendirian dan keputusan mereka sebelum ini.

Dalam konteks politik Cina di negara ini mereka bukan sahaja kehilangan wakil dalam kabinet yang menjadi tradisi sejak merdeka, malah impian untuk melihat kaumnya dilantik menjadi TPM Kedua tidak tercapai. Pepatah melayu ada berkata, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran".

Sebaliknya apa yang berlaku kaum India yang merupakan kaum paling minoriti mendapat habuan besar sesudah PRU13. MIC mendapat dua menteri penuh dan dua Timbalan Menteri. Dua lagi dari parti PPP dan Hindraf, Timbalan Menteri setiap satu. Kesemuanya kaum India mendapat enam wakil dalam kabinet.

Apa pun wajah dan bentuk kabinet yang baru dibentuk ia adalah mesej dan terjemahan dari keputusan PRU13 lalu yang dianggap sebagai paling sengit sejak 57 tahun lalu. Kaum Cina telah membuat pilihannya.

Ahad, 19 Mei 2013

BETUL KE BOHONG ???

BETUL ke bohong, seorang pemimpin tertinggi DAP telah menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam
Parlimen sebagai seorang homoseksual ?

Betul ke bohong, seorang pemimpin tertinggi PAS telah memberi gelaran pada Anwar Ibrahim sebagai Al Juburi ?

Dan betul ke bohong, kedua kenyataan pemimpin itu masih belum ditarik balik sehingga hari ini ?


Kaedah evolusi dan tertib

DATUK Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat menerima hakikat peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri sudah tertutup sekurang-kurangnya sehingga PRU14 empat atau lima tahun lagi. Tempoh ini agak panjang dan lama bagi seorang yang tidak sabar dan gelojoh mahu berkuasa.

Justeru itu gerakan beliau mengadakan siri perhimpunan bantah keputusan PRU13 ke seluruh negeri adalah bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Semasa zaman mahasiswa Anwar berdemonstrasi melawan kerajaan. Apabila dia dipecat dari Umno dan kerajaan dia juga memilih cara berdemonstrasi dijalanan. Kini selepas pembangkang kalah dalam PRU13 dan impiannya mahu jadi Perdana Menteri musnah dia sekali lagi mengheret rakyat unjuk rasa di jalanan.

Anwar telah memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin bertaraf jalanan dan tidak layak menduduki kerusi Perdana Menteri. Usahanya bagi menumbangkan kerajaan secara tidak sah dan di luar undang-undang adalah sia-sia. Dia tidak akan berjaya.

Malah tindakannya akhir-akhir ini yang mencabar pihak berkuasa dan seolah dia sengaja mahu kerajaan bertindak terhadapnya agar ia boleh dijadikan isu besar dan mengkambing hitamkan pihak polis dan kerajaan.

Dengan itu dia akan dapat isu lagi untuk di manipulasi memburukkan kerajaan dan dalam masa yang sama menjadikannya modal demi kelangsungan hayat politiknya. Anwar memang licik dalam menyentuh emosi para pengikutnya lebih-lebih lagi golongan muda yang mudah diapikan.

Golongan muda yang merupakan majoriti terlibat dalam siri perhimpunan haram itu lebih banyak dikuasai emosi dari akal yang rasional. Kebanyakan mereka walaupun terdiri dari yang terpelajar namun asas pengetahuan mereka tentang sejarah merdeka dan pembinaan negara bangsa ini adalah nil.

Mereka hanya seronok dan khayal dengan apa yang berlaku di Timur Tengah; kebangkitan Arab Spring. Andaian mereka ianya juga boleh berlaku di sini dengan kejatuhan rejim-rejim di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen.

Hakikatnya suasana politik di negara-negara tersebut jauh berbeza dengan apa yang dinikmati rakyat negara ini. Begitu pun negara-negara Timur Tengah itu sehingga hari ini masih terumbang-ambing tidak menentu walaupun rejim diktaktor tumbang dan hancur.

Budaya kita lebih bersifat evolusi dan tertib. Kaedah revolusi dan keganasan bukan satu pilihan majoriti rakyat. Mereka dengan berbagai fahaman dan agama lebih mencintai keamanan dan kedamaian - sesuatu yang tiada nilainya untuk diperjudikan.


Sabtu, 18 Mei 2013

Zahid Hamidi naik setangga lagi ?

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan secara haram dan bukan melalui proses undang-undang dan demokrasi.

Zahid sedar amanah dan tanggungjawabnya besar menanti dihadapan. Beliau perlu mengikis persepsi rakyat tentang imej yang diberikan pada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai seorang yang lembik dan tidak tegas.
Zahid

Hisham gagal menyerlah selama menjadi menteri di kementerian itu. Orang menggelarnya sebagai "menteri amaran" dan kurang bertindak. Zahid sudah nyatakan beliau tidak akan beri banyak amaran, tetapi akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang menggugat kententeraman awam.

Perlantikannya sebagai Menteri Dalam Negeri menggantikan Hisham boleh diibaratkan seperti kenaikan pangkat sekaligus memberi peluang padanya membuktikan beliau seorang yang kompeten. Zahid tidak boleh sia-siakan peluang yang diberikan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam parti beliau sekarang berada di barisan ketiga kepimpinan Umno selepas Najib dan Muhyiddin. Beliau tidak boleh gagal sebagaimana menimpa Hisham. Sekiranya beliau berjaya memperlihatkan kualitinya sebagai pemimpin yang tegas dan berani dalam mengambil sebarang keputusan dan tindakan; masa depannya lebih cerah.

Beliau perlu mengulangi kehebatan bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang digelar sebagai "King Ghaz". Tun Ghazali adalah Menteri Dalam Negeri di era Tun Hussein Onn. Beliau adalah antara menteri yang disegani dan berpengaruh. Sikapnya yang bengis dan tegas yang lebih pada pendekatan "no nonsense" dalam menjalankan tugasnya.

Semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ke 3 menggantikan Tun Razak, Allahyarham Ghazali adalah antara calon tersenarai untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu Hussein Onn lebih cenderung memilih Ghazali sebagai Timbalannya.
Allahyarham Ghazali

Namun atas faktor Ghazali bukannya salah seorang dari tiga Naib Presiden Umno, maka Tun Hussein tidak dapat menunaikan hasratnya. Ketiga Naib Presiden ketika itu ialah Tun Ghafar Baba, Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru itu Tun Hussein terpaksa memilih antara ketiganya dan Dr. Mahathir menjadi pilihannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini Zahid adalah Naib Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri; dua jawatan paling kanan dalam parti dan kabinet. Sudah pasti kedudukan ini memberi laluan padanya untuk menaiki tangga setapak lagi bagi mengisi slot nombor dua dan satu parti dan kerajaan.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti pada akhir tahun ini. Zahid mempunyai peluang cerah bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden. Tetapi entahlah, apakah beliau ada menyimpan hasrat dan bercita-cita untuk naik setangga lagi dalam parti ?


Jumaat, 17 Mei 2013

Isu perkauman tidak akan reda

NAIB Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi telah melepaskan pelurunya yang pertama dengan kenyataannya menggesa mereka yang tidak berpuashati dengan keputusan dan sistem pilihan raya di negara ini agar berhijrah ke negara lain.

Zahid membidas parti pembangkang dan para penyokongnya ekoran sikap mereka yang tidak dapat menerima kekalahan dalam PRU13 lalu. Pembangkang terus mengadakan perhimpunan ke setiap negeri bagi membantah kemenangan Barisan Nasional yang dikira tidak sah dan tidak telus atas faktor BN hanya mendapat 46 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat 54 peratus.
Datuk Zahid Hamidi

Pada hal undang-undang pilihan raya di negara ini menetapkan parti yang memenangi majoriti kerusi terbanyak adalah pemenang dan berhak menubuhkan kerajaan - BN 133 PR 89.

Kenyataan Zahid itu mendapat reaksi keras dan dianggap sebagai sombong dan angkuh dari para pemimpin pembangkang dan penyokongnya. Dan mereka yang lebih terasa dan sensitif dari kenyataan Zahid itu tentunya kaum Cina yang dianggap sebagai tidak berterima kasih pada kerajaan kerana mengundi pembangkang dan merupakan kaum terbanyak menyertai perhimpunan bantah itu.

Justeru itu isu perkauman nampaknya akan terus panas menyala dan tidak mudah padam sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini. Apa lagi Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti di perhimpunannya akhir tahun ini.

Seperti lazimnya bila hampir pemilihan Umno, para pemimpin yang mempertahankan jawatan dan yang baru ingin mencuba merebut jawatan dalam pucuk pimpinan dan ahli majlis tertinggi akan menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin/pejuang melayu tulen. Sesuai dengan Umno sebagai parti nasionalis melayu. Maka segala cita-cita perjuangan adalah demi kekuatan dan kepentingan bangsa melayu.

Sekiranya ada antara pemimpin Umno itu kurang semangat kemelayuannya sudah pasti pemimpin itu tidak mampu pergi jauh atau peringkat lebih tinggi dalam parti.

Sejarah membuktikan Tunku Abdul Rahman Al Haj yang disenangi kaum Cina tidak sepopular Tun Abdul Razak Hussein yang dianggap lebih nasionalis melayu jika dibanding Tunku. Begitu juga Dr. Mahathir Mohamad yang pernah digelar "ultra" melayu sehingga beliau begitu popular di kalangan Umno sehingga berjaya mendaki tangga parti dan menjadi Perdana Menteri.

Dan seorang lagi Tun Musa Hitam yang sudah terkenal dengan semangat nasionalisnya. Beliau juga digelar "ultra" melayu bersama Dr. Mahathir dan keduanya pernah dipecat dari Umno oleh Tunku pada 1960an dulu.

Tun Musa berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1981 setelah berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. Jelas kejayaan Musa itu berdasarkan faktor beliau lebih nasionalis berbanding Tengku Razaleigh yang mempunyai imej sama dengan Tunku.

Dan hakikat kegagalan Tengku Razaleigh dalam politik Umno dan cita-citanya menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri adalah kerana beliau gagal menonjolkan dirinya sebagai "ultra" melayu seperti mana Dr. Mahathir dan Tun Musa.

Samalah juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dalam Umno dulu. Anwar membawa imej nasionalis dan Islamis sekaligus dalam meniti hieraki parti dari Ketua Pemuda, Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden.

Ertinya, dalam Umno setiap pemimpin yang tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang nasionalis tidak akan mendapat sokongan besar dari para ahli. Itulah sebab pernah berlakunya, Hishammuddin Tun Hussein selaku Ketua Pemuda Umno satu ketika telah mencium keris dalam perhimpunan parti yang mendapat reaksi kurang senang dikalangan bukan melayu. Tetapi yang buruknya, Hisham telah memohon maaf selepas itu. Dan ini juga membuat beliau menjadi kurang popular.

Dalam konteks politik kini yang masih diliputi isu perkauman sesudah PRU13, adalah jelas isu-isu perkauman akan terus dibangkitkan di sebelah sini dan sana. Pakatan Rakyat akan terus menghentam Umno kerana dianggap parti perkauman.

Dalam masa yang sama para pemimpin Umno yang akan berdepan dengan pemilihan parti dan merebut jawatan sudah pasti masing-masing akan menonjolkan siapa yang lebih melayu dan nasionalis dalam meneruskan agenda parti. Dari itu isu-isu kepentingan melayu akan terus berkumandang dan dimainkan.

Cuma harapan agar segala isu tidak menjadi seperti ibarat api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan.

Khamis, 16 Mei 2013

Parti menguasai kerajaan

KABINET Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru dibentuk bukanlah muktamad sekurang-kurangnya sehingga Disember ini. Selepas Disember ini pasti akan ada perubahan sana sini sempena Perhimpunan Agung Umno yang menyaksikan pertandingan jawatan tertinggi parti.

Perhimpunan ini yang melibatkan pertandingan jawatan dalam parti telah tertangguh beberapa kali bagi menumpukan persiapan menghadapi PRU13 yang baru selesai.

Dengan berbagai analisa keputusan pencapaian Umno dalam PRU13 lalu ahli-ahli Umno sekali lagi akan menentukan corak dan hala tuju parti dengan memilih para pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab menghadapi cabaran agar Umno terus kuat dan relevan.

Apakah akan berlaku pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden ? Yang pasti persaingan sengit berlaku pada tiga jawatan Naib Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan semua kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Sehingga kini walaupun ada suara-suara kecil mahu Najib berundur kerana pencapaiannya yang dikira lebih buruk dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 tidak nampak jelas ada calon yang mampu menggugat kedudukannya sebagai Presiden.

Kalau pun ada pertandingan jawatan Presiden, Najib kelihatan sukar untuk ditumbangkan. Walaupun beliau gagal mendapat majoriti dua pertiga namun kejayaan kerusi Umno keseluruhan, mampu mempertahankan Perak dan berjaya merampas Kedah dari Pas adalah satu kejayaan buat dirinya.

Tetapi kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden agak terbuka dan tidak muktamad. Beliau telah menjalankan tugasnya dalam parti dan kerajaan dengan baik. Tidak siapa boleh mempertikaikannya.

Namun kerusi nombor duanya itu senantiasa diintai dan dicemburui oleh para pemimpin tinggi parti yang lain. Cuma kalau ada calon yang dikira agak "heavyweight" yang mampu menggugat Muhyiddin adalah Naib Presiden paling kanan merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Semua ini banyak bergantung pada gerakan di akar umbi. Zahid mempunyai hubungan baik dengan Najib.

Jawatan tiga Naib Presiden pula adalah jawatan yang paling popular dan menjadi medan "testing ground" bagi menguji sokongan para ahli untuk menaiki tangga pimpinan tertinggi parti.

Kali ini kita akan lihat adakah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dikritik hebat prestasinya akan terus dipilih kekal sebagai salah seorang Naib Presiden. Hisham perlu pastikan beliau terus terpilih dan menolak segala kritikan terhadap kebolehannya yang sering diperkecilkan.

Perebutan untuk tiga jawatan Naib Presiden ini kebiasaannya akan ditandingi ramai calon muda dan lama yang berpotensi. Seorang lagi penyandang Naib Presiden ialah Datuk Shafie Afdal sebagai mewakili Umno Sabah.

Bagi jawatan Ketua Wanita pula agak terbuka pada semua calon. Dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang tidak bertanding dalam PRU13 dan bekas Naibnya, Datuk Kamilia Ibrahim dipecat dari Umno ia memberi peluang terbuka pada tokoh-tokoh wanita yang baru dalam parti bagi mengisi kekosongan.

Dalam pada itu Datuk Seri Shahrizat tidak wajar bertanding dan cuba mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Wanita Umno. Beliau harus mengundurkan diri dan memberi peluang kepada pemimpin wanita lain bagi meneruskan kepimpinan wanita sebagai sayap penting Umno.

Untuk jawatan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang baru dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan sudah pasti kedudukannya sukar digugat walaupun ditakdirkan ada pertandingan. Khairy akan kekal di situ.

Justeru pertandingan jawatan dalam perhimpunan Umno kali ini tidak dapat dielakkan. Ada yang menang dan kalah. Dan ada muka-muka baru yang terpilih dalam MKT. Dengan itu kabinet akan terus ada perubahan dan penambahan di sana sini.

Akhirnya, bukan kerajaan menguasai parti. Tetapi partilah yang menguasai kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin terus kekal setia

DATUK Seri Hishamuddin Hussein terus kekal dalam kabinet tetapi turun pangkat sedikit bila dilantik menjadi Menteri Pertahanan. Ramai pro kerajaan sendiri tidak senang dengan prestasinya sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum ini. Kemampuannya sering dipersoalkan.

Kekalnya Hisham dalam kabinet mungkin berdasarkan dua faktor; pertama beliau adalah Naib Presiden Umno dan kedua beliau adalah sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menteri Dalam Negeri adalah satu jawatan berpengaruh dan paling kanan dalam kabinet. Menteri Pertahanan juga adalah jawatan penting dalam kabinet, namun dari segi heiraki ia bawah sedikit pada Kementerian Dalam Negeri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kini Menteri Dalam Negeri diberikan pada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga salah seorang Naib Presiden Umno.

Betapa penting dan seniornya jawatan Menteri Dalam Negeri (MDN) boleh dilihat sebelum ini. Semasa era Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Timbalannya, Tun Musa Hitam adalah MDN. Begitu juga bila Tun Abdullah Badawi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) beliau adalah MDN.

Ertinya, jawatan MDN bukan sebarang jawatan; ia hanya diberikan pada tokoh penting dalam Umno yang menguasai kerajaan. Sebelum era Najib jawatan tersebut hanya dipangku oleh PM atau TPM.

Kini jawatan itu bertukar pula pada Datuk Zahid setelah menjadi perbahasan terbuka ketidakpuasan hati rakyat tentang prestasi Hisham sebagai menterinya. Ini bukan kali pertama kredibiliti Hisham dipersoalkan. Sebelum ini ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran pun banyak pihak yang tidak puas hati sikapnya yang tidak tegas dalam membuat sesuatu keputusan.

Apa yang sedikit timbul tanda tanya ialah kenapa TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya diletakkan sebagai Menteri Pelajaran ? Mengapa beliau sebagai TPM merangkap orang nombor dua parti tidak dilantik menjadi MDN atau Pertahanan ?

Pada tradisi dan amalan dalam Umno sebelum ini jawatan Menteri Pelajaran diberikan pada Naib Presiden Umno atau Ketua Pemuda. Ia itu pemimpin parti di barisan ketiga. Tetapi Muhyiddin adalah Timbalan Presiden parti.

Dari sudut kepentingan dan kedudukan senarai kabinet, kementerian Pelajaran berada di bawah kementerian Dalam Negeri, Pertahanan dan Kewangan.

Dalam konteks politik Umno, Tan Sri Muhyiddin harus bersabar dan setia pada Najib sebagai pemimpin nombor satu parti dan kerajaan. Beliau perlu mengambil ikhtibar sejarah Umno yang lalu di mana Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak jadi Perdana Menteri.

Apa pun kedudukan Tan Sri Muhyiddin adalah hak mutlak Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Ia tidak boleh dipertikaikan sesiapa. Lagi pun jawatan TPM bukan satu jaminan ia adalah calon pengganti PM.

Isnin, 13 Mei 2013

Anwar Ibrahim pemanipulator kelas tinggi

ANWAR IBRAHIM terus mainkan emosi rakyat terutama anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa dalam siri himpunan jelajahnya ke seluruh negeri dalam membantah keputusan PRU13 lalu. Dalam setiap perhimpunan majoriti yang hadir terdiri dari golongan muda yang beremosi.

Mereka rasa seronok dan merasakan seperti suasana Arab spring seperti di Mesir, Tunisia dan lain-lain. Anwar pula seorang manipulator yang licik dalam menangguk di air yang keruh.
Anwar Ibrahim

Memang dia kecewa kerana gagal jadi Perdana Menteri. Dia tahu masa depan politiknya untuk ke Putrajaya semakin jauh menjadi realiti. Perhimpunan haram yang dianjurkan ini kononnya ada berlaku penipuan dalam pilihan raya hanyalah satu gimik politik bagi meneruskan momentum pembangkang selepas PRU13 berakhir.

Usaha Anwar ini tidak akan berjaya kerana di sini tidak sama seperti di negara-negara Arab. Tetapi kenapa Anwar terus menghangatkan suasana dan cuba mencabar pihak berkuasa ?

Sebenarnya Anwar demi kepentingan dirinya dia tidak ingin lihat suasana di negara ini berada dalam keadaan tenang dan aman. Sebolehnya dia mahu suasana panas dan tegang dalam masyarakat terus berlaku. Hanya dengan cara ini sahajalah hayat politiknya boleh terus bernyawa.

Justeru itu dari siri himpunan yang berlangsung, Anwar seolah mahu pihak polis bertindak terhadapnya. Dan yang paling dikehendakinya ialah berlakunya pertempuran antara pasukan polis dan para peserta himpunan. Dengan itu dia boleh salahkan pihak polis sebagai zalim dan sebagainya.

Setakat ini pihak polis tidak terperangkap dengan mainan politik desperate Anwar. Begitu pun ini tidak bermakna polis akan membiarkan dia melakukan apa sahaja yang boleh mengancam kenteraman awam.

Yang pasti pihak berkuasa kini sedang mengumpul bukti bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap perhimpunan yang disahkan haram itu.

Anwar cuba mengalihkan isu sebenar disebalik kekalahan Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya dan kekecewaannya gagal menjadi Perdana Menteri.

Dia sudah nampak masa depan politiknya semakin gelap. Pada bulan Jun ini kes rayuan liwat II akan bersambung. Kes ini cukup merisaukannya. Apakah keputusan muktamad kes ini masih menjadi tanda tanya.

Apakah akan berlaku lagi satu pilihan raya kecil di Permatang Pauh sedikit masa lagi ?

Dari tindak tanduk politiknya yang agresif sesudah PRU13 berakhir menunjukkan Anwar sudah dapat membaca apa yang akan menimpa dirinya. Justeru itu dia terus bermain dan memanipulasi emosi para penyokongnya, terutama anak-anak muda yang cetek pemikiran demi kelangsungan survival politiknya.

Anwar seorang yang licik. Dia adalah pemanipulator kelas tinggi.

Ahad, 12 Mei 2013

Anwar jangan heret rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim tahu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dan keputusan PRU13 lalu tidak akan berubah. Beliau juga tahu kemungkinan pilihan raya diadakan semula adalah 0.00 peratus.

Justeru bahang keputusan PRU13 masih panas, politik Anwar sekarang ialah memastikan suhu politik terus panas dan tidak sekali membiarkan momentum itu menurun ke tahap sejuk beku.
Anwar berucap di stadium Kelana Jaya

Perhimpunan anjuran pembangkang sebagai membantah keputusan PRU13 yang bermula di stadium Kelana Jaya, di Pulau Pinang dan seterusnya ke negeri-negeri lain telah mendapat sambutan ramai terutama anak-anak muda.

SPR mengecam tindakan Anwar yang mengheret rakyat dengan berbagai tuduhan dan fitnah berlakunya penipuan dalam keputusan pilihan raya sebaliknya mencabar beliau kemukakan petisyen dan bukti di mahkamah.

Anwar pasti tidak akan menggunakan saluran undang-undang dan peraturan bagi membuktikan SPR dan kerajaan telah melakukan penipuan dalam pilihan raya. Kerana segala tuduhan kepincangan semasa proses pengundian adalah fitnah dan tanpa sebarang bukti kukuh.

Apakah Anwar tidak yakin dengan sistem kehakiman di negara ini ? Kenapa beliau bersikap selektif dalam isu yang beliau kira tidak akan menyebelahinya ? Sedangkan beliaulah orang yang paling banyak menyaman mereka yang tidak disenanginya di mahkamah. Malah bukan sedikit kes-kes yang dimenanginya dengan jumlah kos yang tinggi.

Mengapa beliau mesti mengheret orang ramai dan cuba mencetus ketegangan di kalangan rakyat. Kempen politik di negara telah bermula sejak 2008 hingga 2013. Rakyat telah membuat pilihan dalam PRU13 lalu secara demokrasi dengan Umno dan Barisan Nasional terus kekal berkuasa dengan majoriti yang merosot serta mendapat undi kurang popular 46 peratus berbanding Pakatan Rakyat 54 peratus.

Jumlah undi popular yang diperolehi pembangkang adalah satu bukti proses pilihan raya telah dijalankan dengan adil dan telus. Namun dalam sistem amalan demokrasi di negara ini penentuan kemenangan sebuah parti bagi membentuk kerajaan tidak bergantung pada undi popular tetapi jumlah besar kerusi dimenangi sesebuah parti. Dalam PRU13, BN menang 133 dan PR 89.

Adalah jelas BN mempunyai majoriti 44 kerusi di parlimen seterusnya membolehkannya membentuk kerajaan. Soal undi popular dan sebagainya hanya boleh dijadikan bahan teori dan akademik.

Sekiranya Anwar jujur beliau harus mula mengorak langkah dengan mengikut lunas undang-undang mengusulkan di parlimen agar dipinda undang-undang pilihan raya menentukan jumlah undi popular menggantikan jumlah kerusi sebagai pemenang bagi menubuhkan kerajaan.

Berhentilah mempolitikkan segala isu untuk kepentingan peribadi. Tidak usah heret rakyat dengan tujuan menimbulkan suasana tegang dan tidak tenteram sedangkan pilihan raya baru saja berakhir.

Seluruh dunia termasuk Amerika, Kesatuan Eropah dan negara-negara jiran telah pun mengiktiraf dan mengucap tahniah di atas kejayaan Datuk Seri Najib Tun Razak terus mentadbir negara ini.

Jika Anwar menolak keputusan PRU13 dan SPR, beliau juga perlu menolak kerajaan yang tertubuh di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Anwar juga perlu menggesa kesemua 89 ahli parlimen pembangkang yang menang jangan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.

Khamis, 9 Mei 2013

10 fakta dalam kenangan parti Pas

ADA 10 fakta PRU13 yang Pas payah nak telan.

1) Umno/BN terus kekal berkuasa di Putrajaya.
2) Anwar Ibrahim gagal jadi Perdana Menteri.
3) Kedah dapat dirampas semula BN dari Pas.
4) Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir jadi MB Kedah.
5) Pas hanya menang 21 kerusi parlimen berbanding
    Umno 88 kerusi.
6) Pemimpin besar Pas seperti Haron Din, Mat Sabu,
    Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man - TEWAS.
7) Husam Musa (Sultan Al Fateh) yang juga pemegang kunci
    kota Putrajaya tersungkur dan hilang jawatan di Kelantan.
8) Selepas PRU12, 2008 sepanjang kempen politik Pas telah
    memberi hasil lumayan pada DAP. Pas hanya dapat telor.
9) Pas tidak mendapat sokongan kuat majoriti orang-orang melayu
    berbanding Umno.
10) Hasrat untuk melihat Tun Dr. Mahathir Mohamad ke penjara tidak
    termakbul.

Semua ini adalah berkat dari doa dan sembahyang hajat para pemimpin dan penyokong Pas.

Takbir !

Rabu, 8 Mei 2013

Husam janji terus khidmat di Putrajaya

NAIB Presiden Pas, Datuk Husam Musa boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Beliau kalah di Putrajaya, tetapi terus kekal di DUN Salor. Namun begitu sebagai pemimpin berambisi besar dan egois namanya telah tercicir dalam senarai kepimpinan dan barisan exco negeri Kelantan adalah suatu diluar jangkaannya sendiri.

Selama ini beliau adalah anak emas bekas Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang begitu berkuasa dalam pentadbiran negeri. Sebagai exco kanan dan memegang porfolio Kewangan dan Perancang Ekonomi telah menutupi bayang-bayang Timbalan Menteri Besar, Hj.Ahmad Yakob.

Dengan Nik Aziz berundur dan diganti Timbalannya, Hj. Ahmad Yakob sebagai MB, pada adatnya Husam lah orang paling layak menduduki kerusi TMB. Tetapi beliau bukan sahaja tidak terpilih, malah tidak tersenarai dalam barisan exco.

Ini adalah satu tamparan hebat buat Husam sepanjang kariernya dalam politik. Dari seorang yang begitu berkuasa dan berpengaruh kini tanpa apa-apa jawatan dalam pentadbiran negeri.

Seperti laporan yang tersebar luas nama Husam tidak diperkenankan Sultan Kelantan.

Sepanjang kempen PRU13 khasnya di Putrajaya, nama Husam melonjak naik ibarat harga saham yang tinggi. Bila dia mula melangkah masuk ke Putrajaya sebagai calon, Husam mentamsil dirinya seperti Sultan Al Fateh dan para anbia yang ingin menawan kota strategik Putrajaya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menganggap Husam sebagai pemegang kunci kota Putrajaya yang akan ditawan Pakatan Rakyat dalam PRU13 lalu. Namun segalanya sudah menjadi masuk angin keluar asap. Pakatan Rakyat dan Husam bukan sahaja gagal menawan Putrajaya, malah Husam sendiri hilang jawatan di negerinya sendiri. Inilah yang dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Apa pun Husam jangan lupa sepanjang dia berkempen di Putrajaya, dia telah berjanji jika kalah dia akan terus membuka pusat khidmatnya selama enam bulan bagi meneruskan khidmatnya pada penduduk Putrajaya.

Apakah Husam akan tunai janjinya itu ? Dia sekarang mungkin masih berada di Salor dan sedang pening-pening lalat memikir nasib politik yang menimpanya.

Tidaklah pasti dengan perkembangan kedudukannya kini akan berjangkit pula pada jawatannya dalam parti sebagai Naib Presiden dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri. Ada dalang dalam Pas yang membabitkan pimpinan tinggi negeri yang tidak menyukai Husam.

Husam perlu mengatur langkah jika ingin terus menyambung hayat politiknya.

Selasa, 7 Mei 2013

Anwar hadapi laluan sukar

SIKAP Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menerima kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU13, 5 Mei lalu memperlihatkan wajah buruknya yang sebenar. Apa lagi yang tidak kena ?

Tidak ada pihak yang berpuas hati dengan keputusan PRU13 termasuk BN yang telah berjaya mengekalkan kuasa untuk kesekian kalinya dengan majoriti yang merosot. Yang peliknya Anwar terus mempertikai SPR dan proses pilihan raya tetapi Kelantan dan Pulau Pinang yang kekal dikuasai pembangkang telah berlangsung upacara angkat sumpah perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. Selangor belum umum calon MB yang dikatakan akan dibuat minggu ini.
Anwar Ibrahim

Lebih bimbang lagi Anwar akan terus manipulasi isu pilihan raya ini dengan mengheret rakyat dalam demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram yang boleh mengancam keselamatan negara. SPR telah menegaskan segala tuduhan kepincangan dalam proses pilihan raya mesti dibuat menerusi undang-undang serta dengan bukti yang kukuh.

Setakat ini Anwar hanya membuat berbagai tuduhan dan mempolitik isu ini untuk meraih simpati rakyat. Beliau begitu kecewa kerana gagal mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Impian dan harapannya hancur lebur dan terpaksa menunggu PRU14 pada 2018.

Ianya adalah satu tempoh yang panjang dan tidak mungkin boleh diterima Anwar bagi memenuhi hasrat dan impiannya yang tersangkut setelah dipecat dari Umno oleh Dr. Mahathir.

Justeru rancangan seperti 16 September, perhimpunan dan demonstrasi haram adalah antara pilihan singkat untuknya menimbulkan suasana tidak tenteram bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Seperti kata mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir, Anwar berjuang hanya untuk menjadi Perdana Menteri. Lain-lain hal tidak menjadi penting dan keutamaan.

Tetapi Anwar mulai menyedari laluan sukar menantinya untuk ke Putrajaya semula walaupun BN mendapat undi kurang popular kali ini. Hakikatnya BN terus kekal berkuasa dan telah mendapat pengiktirafan dari seluruh pemimpin dunia yang mengucap tahniah pada pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sama ada BN mendapat undi kurang popular jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat ianya sudah tidak relevan. Dalam amalan demokrasi di negara ini setiap parti yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak adalah layak dan berhak menubuhkan kerajaan.

Kabinet : Umno isi kekosongan MCA

DENGAN ikrar Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek yang parti itu tidak akan menyertai kabinet memberi peluang pada Umno bagi mengisi kekosongan. MCA tidak akan menerima sebarang jawatan kabinet ekoran  prestasi buruk parti itu dalam PRU 13.

Empat portfolio tradisi yang diberikan pada MCA adalah Menteri Pengangkutan, Menteri Kesihatan, Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan. Selain itu beberapa jawatan Timbalan Menteri.

Oleh kerana para pengundi Cina menolak MCA dan menikam Barisan Nasional (BN) dari belakang, maka mulai hari ini mereka kenalah mengadu pada DAP segala permasalahan mereka. Mereka telah memilih DAP sebagai mewakili suara mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menterjemahkan segala mesej yang diberikan para pengundi Cina dalam PRU 13 lalu tanpa melakukan sebarang penindasan dan kezaliman pada kaum Cina. Kaum Cina perlu mengakui hakikat mereka tidak akan ada wakil atau suara dalam kerajaan lagi.

Sebaliknya PM Najib sendiri akan memikul amanah dan tanggungjawab membela nasib mereka. Lagi pula Umno dan BN telah mendapat sokongan kuat dari kaum melayu berbanding kaum Cina. Kaum Cina sudah tidak perlukan BN lagi.

Justeru itu kementerian kosong yang ditinggalkan MCA perlu di isi oleh Umno atau parti komponen BN di Sabah dan Sarawak yang telah memberi sumbangan kerusi pada BN. Semuanya ini terserah pada budi bicara PM Najib mempertimbangkannya.

Datuk Seri Najib tidak perlu merayu atau bersikap apologetik terhadap pengundi Cina yang telah menolak kepimpinannya dan menerima DAP.

Para pengundi Cina telah melakukan satu langkah besar dengan niat menumbangkan kerajaan BN yang ditunjangi Umno.

Pas belum mampu ganti Umno

PARTI Pas perlu mengkaji semula perjuangan politik parti itu selepas prestasi buruk dalam pilihan raya 5 Mei lalu. Menang hanya 21 kerusi dari 73 kerusi parlimen yang ditandingi tidak menggambarkan kedudukannya yang mahu menggantikan Umno sebagai parti pilihan orang melayu dan Islam di negara ini.

Sebelum dan semasa PRU 13, Pas telah berkempen begitu hebat bersama parti PKR dan DAP bagi menumbangkan Umno dan Barisan Nasional seterusnya mengambil alih Putrajaya. Tetapi kini semuanya tinggal impian dan khayalan.

Pas bukan sahaja tidak mendapat sokongan majoriti melayu, malah tidak mampu menjadi parti alternatif pada Umno. Bahkan kerusi parlimen yang dimenanginya adalah paling sedikit berbanding PKR - 30 dan DAP - 38.

Sumbangan Pas terbesar dalam PRU 13 lalu adalah memecah belahkan undi melayu dan melemahkan Umno. Dalam masa sama kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah melonjakkan sokongan pada DAP dan PKR.

Di Kelantan, kubu kuat Pas masih dapat bertahan dengan sedikit kemerosotan. Di Kedah, Pas gagal mempertahankan kerajaan yang baru sepenggal. Di Selangor, Pas menang 15 kerusi DUN sama jumlah dengan DAP dan PKR 14 kerusi.

Namun harapan Pas untuk melantik calonnya sebagai Menteri Besar Selangor amat tipis sekali. Calon MB Selangor sudah pasti akan dipilih dikalangan calon PKR dan DAP. Kedua parti inilah yang mempunyai pengaruh menentukan kedudukannya. Pas hanyalah penumpang.

Begitulah lemahnya kuasa tawar menawar Pas dalam Pakatan Rakyat. Dalam apa keadaan pun Pas tetap berada di belakang DAP dan PKR. Sekiranya ditakdirkan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, beginilah situasinya di mana Pas bukan parti dominan dan berpengaruh.

Berbeza dengan Umno yang jelas mendapat sokongan majoriti orang melayu sehingga dapat mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan pembangkang. Umno menang 88 kerusi parlimen dari 120 kerusi ditandingi. Dan kerusi Umno adalah penyumbang terbesar jumlah 133 kerusi BN dan menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.

Pas perlu menerima hakikat kekalahannya dan mengkoreksi diri dalam konteks politik terkini. Pas tidak boleh mengambil sikap menutup pintu pada Umno dalam usaha mengembalikan kekuatan dan perpaduan di kalangan orang melayu dan Islam yang jelas telah berpecah.

Umno juga tidak terkecuali dari mengakui segala kelemahan dan kekurangannya dan perlu mempelajari kesan keputusan PRU 13 bukan sahaja pada orang melayu, malah negara keseluruhannya.

Tetapi satu hakikat yang perlu Pas akur ialah ia belum mampu menggantikan Umno.

Kekalahan tokoh-tokoh Pas seperti Dr. Haron Din, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Husam Musa dan Tuan Ibrahim Tuan Man dalam PRU 13 di kerusi masing-masing adalah bukti para pengundi melayu menolak mereka.

Isnin, 6 Mei 2013

Kaum Cina lebih berani tumbangkan BN

SYUKUR dan tahniah pada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menerajui Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa di negara ini dengan kemenangan majoriti mudah. BN menang 133 kerusi dan Pakatan Rakyat, 89 kerusi.

Walau apapun ulasan dan sudut pandangan hasil keputusan PRU 13 ini yang pentingnya BN, melalui Umno sebagai tunjangnya dapat mengekalkan kuasa di Putrajaya. Soal majoriti dua pertiga tidak penting lagi. Yang pentingnya kerajaan dapat terus berjalan seperti biasa.

Begitu juga kedudukan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau perlu meneruskan peranan dan tanggungjawabnya tanpa menghiraukan sebarang desakan dari dalam atau luar parti agar mengundurkan diri sebagaimana dialami Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Kejayaan Umno memenangi 109 kerusi dari 120 kerusi yang dipertandingkan membuktikan ianya adalah parti yang paling dominan. Umno menyumbang 109 kerusi dari 133 kerusi dimenangi BN. Ertinya, dengan hanya tambahan tiga kerusi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Umno sudah mampu menubuhkan kerajaan pusat dengan majoriti mudah (112 kerusi) tanpa sokongan dari parti komponen lain.

Berbeza dengan parti Pas dan PKR yang diwakili orang melayu yang cuba menggantikan Umno. Pas sebagai parti paling senior dalam PR hanya menang 21 kerusi dan PKR 30 kerusi. Penglibatan Pas dan PKR hanya memberi kejayaan politik pada DAP yang berjaya meraih banyak kerusi (38) secara keseluruhan.

Jelaslah kejayaan Umno adalah hasil dari sokongan majoriti orang-orang melayu. Manakala DAP berjaya mendapat sokongan majoriti kaum Cina. MCA dan Gerakan sebagai parti komponen BN lumpuh sama sekali dan tidak mendapat sokongan kaum Cina.

Justeru kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, MCA tidak akan menerima apa-apa jawatan dalam kabinet kerajaan akan menjadi kenyataan ?

Sekiranya dilihat pada trend sokongan pengundi Cina pada DAP, apakah Datuk Seri Najib akan menyenaraikan kabinetnya berdasarkan petunjuk yang diberikan kaum Cina sebagai menolak kerajaan ?

Namun jelas dalam PRU 13 ini kaum Cina lebih berani dan komited dari bangsa melayu dalam menumbangkan kerajaan BN.