Sabtu, 18 Mei 2013

Zahid Hamidi naik setangga lagi ?

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan secara haram dan bukan melalui proses undang-undang dan demokrasi.

Zahid sedar amanah dan tanggungjawabnya besar menanti dihadapan. Beliau perlu mengikis persepsi rakyat tentang imej yang diberikan pada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai seorang yang lembik dan tidak tegas.
Zahid

Hisham gagal menyerlah selama menjadi menteri di kementerian itu. Orang menggelarnya sebagai "menteri amaran" dan kurang bertindak. Zahid sudah nyatakan beliau tidak akan beri banyak amaran, tetapi akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang menggugat kententeraman awam.

Perlantikannya sebagai Menteri Dalam Negeri menggantikan Hisham boleh diibaratkan seperti kenaikan pangkat sekaligus memberi peluang padanya membuktikan beliau seorang yang kompeten. Zahid tidak boleh sia-siakan peluang yang diberikan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam parti beliau sekarang berada di barisan ketiga kepimpinan Umno selepas Najib dan Muhyiddin. Beliau tidak boleh gagal sebagaimana menimpa Hisham. Sekiranya beliau berjaya memperlihatkan kualitinya sebagai pemimpin yang tegas dan berani dalam mengambil sebarang keputusan dan tindakan; masa depannya lebih cerah.

Beliau perlu mengulangi kehebatan bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang digelar sebagai "King Ghaz". Tun Ghazali adalah Menteri Dalam Negeri di era Tun Hussein Onn. Beliau adalah antara menteri yang disegani dan berpengaruh. Sikapnya yang bengis dan tegas yang lebih pada pendekatan "no nonsense" dalam menjalankan tugasnya.

Semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ke 3 menggantikan Tun Razak, Allahyarham Ghazali adalah antara calon tersenarai untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu Hussein Onn lebih cenderung memilih Ghazali sebagai Timbalannya.
Allahyarham Ghazali

Namun atas faktor Ghazali bukannya salah seorang dari tiga Naib Presiden Umno, maka Tun Hussein tidak dapat menunaikan hasratnya. Ketiga Naib Presiden ketika itu ialah Tun Ghafar Baba, Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru itu Tun Hussein terpaksa memilih antara ketiganya dan Dr. Mahathir menjadi pilihannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini Zahid adalah Naib Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri; dua jawatan paling kanan dalam parti dan kabinet. Sudah pasti kedudukan ini memberi laluan padanya untuk menaiki tangga setapak lagi bagi mengisi slot nombor dua dan satu parti dan kerajaan.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti pada akhir tahun ini. Zahid mempunyai peluang cerah bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden. Tetapi entahlah, apakah beliau ada menyimpan hasrat dan bercita-cita untuk naik setangga lagi dalam parti ?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan