Khamis, 30 Mei 2013

Tengku Razaleigh bertanding Presiden ?

SEMUA perhatian sekarang ke arah Perhimpunan Umno tahun ini yang buat pertama kalinya dalam sejarah; semua jawatan tertinggi dalam parti akan ditentukan oleh 146,500 ahli seluruh bahagian dan bukan lagi pada 2,500 perwakilan.

Perubahan peraturan ini dipinda pada 2009 bagi mencerminkan proses pemilihan dalam parti lebih demokratik dan menghapus gejala politik wang.
Tengku Razaleigh

Sebelum itu semua calon yang ingin bertanding dari jawatan Presiden, Timbalan, Naib dan lain-lain perlu mendapat sokongan seluruh bahagian dengan jumlah atau kuota yang telah ditetapkan. Misalnya, bagi jawatan Presiden; bakal calon perlu mendapat 30 peratus sokongan dari semua bahagian. Kurang dari itu seseorang calon tidak layak bertanding.

Dalam sejarah Umno mangsa pertama hasil dari sistem kuota ini adalah Allahyarham Tun Ghafar Baba. Ketika itu Tun Ghafar adalah penyandang Timbalan Presiden parti yang dicabar oleh Naib Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan sistem kuota itu Anwar telah mendapat jumlah sokongan yang begitu besar jika dibandingkan dengan jumlah peratus diperolehi Tun Ghafar yang tidak memungkinkan Tun mampu mempertahankan jawatannya. Kerana ikut peraturan ketika itu jumlah sokongan atau pencalonan sudah dikira dalam bentuk undi.

Dalam situasi itu Tun Ghafar tidak mempunyai pilihan melainkan menarik diri dari bertanding dan mempertahankan jawatannya. Dengan itu Anwar terpilih menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding. Banyaklah cerita selepas itu mendakwa bahawa Anwar telah menggunakan politik wang dalam memastikan beliau mendapat sokongan dalam jumlah kuota yang tinggi berbanding Tun Ghafar. Namun semuanya telah menjadi sejarah.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden sistem kuota itu masih kekal. Dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden dan tewas dengan 40 undi telah menawarkan diri sekali lagi bertanding jawatan Presiden menentang Tun Abdullah.

Namun percubaan Ku Li itu gagal kerana tidak mendapat jumlah kuota yang mencukupi bagi membolehkannya bertanding. Ertinya, Ku Li yang memang menyimpan hasrat untuk menjadi Presiden Umno merangkap Perdana Menteri gagal buat kali keduanya.

Persoalannya sekarang dengan sistem kuota itu sudah tidak ada lagi apakah Ku Li akan mencuba buat kali ketiga ? Semua orang tahu sejarah Ku Li sebelum ini. Beliau kalah dua kali pada Tun Musa Hitam dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden. Dan kalah pada Dr Mahathir dalam jawatan Presiden. Beliau juga membuat percubaan semasa Pak Lah. Semuanya gagal.

Berdasarkan sejarah itu dan kekalnya sehingga hari ini sebagai ahli Parlimen Gua Musang serta cita-citanya yang tidak pernah padam sejak zaman Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri; Ku Li mungkin mencuba lagi buat kali keempatnya. Kemungkinan itu ada.

Apakah beliau mempunyai peluang menang ke atas Datuk Seri Najib Razak adalah satu hal lain. Pokoknya dengan suasana baru kini memberi peluang padanya mencuba lagi.

Walau apa pun keputusan Ku Li nanti pada hakikatnya dalam Umno kini pengaruh dan pengikut beliau tidak seperti era 80an dulu semasa beliau masih Menteri Kewangan. Beliau seperti sudah kehilangan taring. Kekuatan dan pengaruhnya hanyalah di bahagiannya iaitu Gua Musang.

Tetapi yang pasti jika Ku Li bertanding beliau akan menghadapi jentera politik Najib secara besar-besaran termasuk dari seteru lamanya Dr Mahathir. Dr Mahathir akan turut berkempen dan memastikan tidak ada laluan mudah buatnya ke kerusi Presiden.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan