Ahad, 19 Mei 2013

Kaedah evolusi dan tertib

DATUK Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat menerima hakikat peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri sudah tertutup sekurang-kurangnya sehingga PRU14 empat atau lima tahun lagi. Tempoh ini agak panjang dan lama bagi seorang yang tidak sabar dan gelojoh mahu berkuasa.

Justeru itu gerakan beliau mengadakan siri perhimpunan bantah keputusan PRU13 ke seluruh negeri adalah bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Semasa zaman mahasiswa Anwar berdemonstrasi melawan kerajaan. Apabila dia dipecat dari Umno dan kerajaan dia juga memilih cara berdemonstrasi dijalanan. Kini selepas pembangkang kalah dalam PRU13 dan impiannya mahu jadi Perdana Menteri musnah dia sekali lagi mengheret rakyat unjuk rasa di jalanan.

Anwar telah memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin bertaraf jalanan dan tidak layak menduduki kerusi Perdana Menteri. Usahanya bagi menumbangkan kerajaan secara tidak sah dan di luar undang-undang adalah sia-sia. Dia tidak akan berjaya.

Malah tindakannya akhir-akhir ini yang mencabar pihak berkuasa dan seolah dia sengaja mahu kerajaan bertindak terhadapnya agar ia boleh dijadikan isu besar dan mengkambing hitamkan pihak polis dan kerajaan.

Dengan itu dia akan dapat isu lagi untuk di manipulasi memburukkan kerajaan dan dalam masa yang sama menjadikannya modal demi kelangsungan hayat politiknya. Anwar memang licik dalam menyentuh emosi para pengikutnya lebih-lebih lagi golongan muda yang mudah diapikan.

Golongan muda yang merupakan majoriti terlibat dalam siri perhimpunan haram itu lebih banyak dikuasai emosi dari akal yang rasional. Kebanyakan mereka walaupun terdiri dari yang terpelajar namun asas pengetahuan mereka tentang sejarah merdeka dan pembinaan negara bangsa ini adalah nil.

Mereka hanya seronok dan khayal dengan apa yang berlaku di Timur Tengah; kebangkitan Arab Spring. Andaian mereka ianya juga boleh berlaku di sini dengan kejatuhan rejim-rejim di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen.

Hakikatnya suasana politik di negara-negara tersebut jauh berbeza dengan apa yang dinikmati rakyat negara ini. Begitu pun negara-negara Timur Tengah itu sehingga hari ini masih terumbang-ambing tidak menentu walaupun rejim diktaktor tumbang dan hancur.

Budaya kita lebih bersifat evolusi dan tertib. Kaedah revolusi dan keganasan bukan satu pilihan majoriti rakyat. Mereka dengan berbagai fahaman dan agama lebih mencintai keamanan dan kedamaian - sesuatu yang tiada nilainya untuk diperjudikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan