Rabu, 8 Mei 2013

Husam janji terus khidmat di Putrajaya

NAIB Presiden Pas, Datuk Husam Musa boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Beliau kalah di Putrajaya, tetapi terus kekal di DUN Salor. Namun begitu sebagai pemimpin berambisi besar dan egois namanya telah tercicir dalam senarai kepimpinan dan barisan exco negeri Kelantan adalah suatu diluar jangkaannya sendiri.

Selama ini beliau adalah anak emas bekas Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang begitu berkuasa dalam pentadbiran negeri. Sebagai exco kanan dan memegang porfolio Kewangan dan Perancang Ekonomi telah menutupi bayang-bayang Timbalan Menteri Besar, Hj.Ahmad Yakob.

Dengan Nik Aziz berundur dan diganti Timbalannya, Hj. Ahmad Yakob sebagai MB, pada adatnya Husam lah orang paling layak menduduki kerusi TMB. Tetapi beliau bukan sahaja tidak terpilih, malah tidak tersenarai dalam barisan exco.

Ini adalah satu tamparan hebat buat Husam sepanjang kariernya dalam politik. Dari seorang yang begitu berkuasa dan berpengaruh kini tanpa apa-apa jawatan dalam pentadbiran negeri.

Seperti laporan yang tersebar luas nama Husam tidak diperkenankan Sultan Kelantan.

Sepanjang kempen PRU13 khasnya di Putrajaya, nama Husam melonjak naik ibarat harga saham yang tinggi. Bila dia mula melangkah masuk ke Putrajaya sebagai calon, Husam mentamsil dirinya seperti Sultan Al Fateh dan para anbia yang ingin menawan kota strategik Putrajaya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menganggap Husam sebagai pemegang kunci kota Putrajaya yang akan ditawan Pakatan Rakyat dalam PRU13 lalu. Namun segalanya sudah menjadi masuk angin keluar asap. Pakatan Rakyat dan Husam bukan sahaja gagal menawan Putrajaya, malah Husam sendiri hilang jawatan di negerinya sendiri. Inilah yang dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Apa pun Husam jangan lupa sepanjang dia berkempen di Putrajaya, dia telah berjanji jika kalah dia akan terus membuka pusat khidmatnya selama enam bulan bagi meneruskan khidmatnya pada penduduk Putrajaya.

Apakah Husam akan tunai janjinya itu ? Dia sekarang mungkin masih berada di Salor dan sedang pening-pening lalat memikir nasib politik yang menimpanya.

Tidaklah pasti dengan perkembangan kedudukannya kini akan berjangkit pula pada jawatannya dalam parti sebagai Naib Presiden dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri. Ada dalang dalam Pas yang membabitkan pimpinan tinggi negeri yang tidak menyukai Husam.

Husam perlu mengatur langkah jika ingin terus menyambung hayat politiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan