Ahad, 12 Mei 2013

Anwar jangan heret rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim tahu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dan keputusan PRU13 lalu tidak akan berubah. Beliau juga tahu kemungkinan pilihan raya diadakan semula adalah 0.00 peratus.

Justeru bahang keputusan PRU13 masih panas, politik Anwar sekarang ialah memastikan suhu politik terus panas dan tidak sekali membiarkan momentum itu menurun ke tahap sejuk beku.
Anwar berucap di stadium Kelana Jaya

Perhimpunan anjuran pembangkang sebagai membantah keputusan PRU13 yang bermula di stadium Kelana Jaya, di Pulau Pinang dan seterusnya ke negeri-negeri lain telah mendapat sambutan ramai terutama anak-anak muda.

SPR mengecam tindakan Anwar yang mengheret rakyat dengan berbagai tuduhan dan fitnah berlakunya penipuan dalam keputusan pilihan raya sebaliknya mencabar beliau kemukakan petisyen dan bukti di mahkamah.

Anwar pasti tidak akan menggunakan saluran undang-undang dan peraturan bagi membuktikan SPR dan kerajaan telah melakukan penipuan dalam pilihan raya. Kerana segala tuduhan kepincangan semasa proses pengundian adalah fitnah dan tanpa sebarang bukti kukuh.

Apakah Anwar tidak yakin dengan sistem kehakiman di negara ini ? Kenapa beliau bersikap selektif dalam isu yang beliau kira tidak akan menyebelahinya ? Sedangkan beliaulah orang yang paling banyak menyaman mereka yang tidak disenanginya di mahkamah. Malah bukan sedikit kes-kes yang dimenanginya dengan jumlah kos yang tinggi.

Mengapa beliau mesti mengheret orang ramai dan cuba mencetus ketegangan di kalangan rakyat. Kempen politik di negara telah bermula sejak 2008 hingga 2013. Rakyat telah membuat pilihan dalam PRU13 lalu secara demokrasi dengan Umno dan Barisan Nasional terus kekal berkuasa dengan majoriti yang merosot serta mendapat undi kurang popular 46 peratus berbanding Pakatan Rakyat 54 peratus.

Jumlah undi popular yang diperolehi pembangkang adalah satu bukti proses pilihan raya telah dijalankan dengan adil dan telus. Namun dalam sistem amalan demokrasi di negara ini penentuan kemenangan sebuah parti bagi membentuk kerajaan tidak bergantung pada undi popular tetapi jumlah besar kerusi dimenangi sesebuah parti. Dalam PRU13, BN menang 133 dan PR 89.

Adalah jelas BN mempunyai majoriti 44 kerusi di parlimen seterusnya membolehkannya membentuk kerajaan. Soal undi popular dan sebagainya hanya boleh dijadikan bahan teori dan akademik.

Sekiranya Anwar jujur beliau harus mula mengorak langkah dengan mengikut lunas undang-undang mengusulkan di parlimen agar dipinda undang-undang pilihan raya menentukan jumlah undi popular menggantikan jumlah kerusi sebagai pemenang bagi menubuhkan kerajaan.

Berhentilah mempolitikkan segala isu untuk kepentingan peribadi. Tidak usah heret rakyat dengan tujuan menimbulkan suasana tegang dan tidak tenteram sedangkan pilihan raya baru saja berakhir.

Seluruh dunia termasuk Amerika, Kesatuan Eropah dan negara-negara jiran telah pun mengiktiraf dan mengucap tahniah di atas kejayaan Datuk Seri Najib Tun Razak terus mentadbir negara ini.

Jika Anwar menolak keputusan PRU13 dan SPR, beliau juga perlu menolak kerajaan yang tertubuh di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Anwar juga perlu menggesa kesemua 89 ahli parlimen pembangkang yang menang jangan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan