Jumaat, 24 Mei 2013

Salah guna demokrasi

DI Mesir sudah dua tahun rejim Hosni Mubarak tumbang hasil dari kebangkitan rakyat yang dahagakan udara demokrasi. Sebelum itu bukan tidak ada pilihan raya dan demokrasi tetapi setiap kali pilihan raya memilih perwakilan dan calon Presiden - rejim dan sekutunya menang hampir 100 peratus !

Hampir 30 tahun rejim Hosni memerintah dan pihak pembangkang terutama Ikhwanul Muslimin tidak pernah berjaya melalui demokrasi pilihan raya, malah tidak ada peluang langsung menjatuhkan rejim menerusi peti undi.
Ucapan pertama Mursi sebagai Presiden

Majoriti rakyat Mesir percaya rejim Hosni terus berkuasa kerana adanya penipuan dan ketidaktelusan dalam  proses pilihan raya di negara itu. Ditambah dengan keperitan dan tekanan ekonomi serta amalan korupsi di kalangan pemerintah rejim, rakyat hilang kesabaran dan turun ke jalan raya menuntut perubahan.

Gerakkan massa rakyat yang berkumpul dan menakluki Dataran Tahrir ternyata berkesan memberi tekanan pada Hosni supaya berundur dan meninggalkan Istana Presiden. Maka tumbanglah diktaktor yang berkuasa selama 30 tahun menerusi sistem undi yang diragui seluruh rakyat.

Yang naik dan berkuasa sekarang adalah Ikhwanul Muslimin; musuh nombor wahid rejim Hosni Mubarak yang tumbang. Kini parti Ikhwan adalah parti yang berkuasa di Mesir melalui pilihan raya bebas sebagaimana yang dituntut majoriti rakyat.

Presiden Mohamad Mursi dari parti Ikhwan adalah presiden pertama yang dipilih dari orang awam menerusi proses pengundian. Mursi kini telah hampir setahun menjadi Presiden yang dipilih secara demokrasi. Ertinya, segala perkembangan dan perubahan yang berlaku adalah hasil kemahuan rakyat bertitik tolak di Dataran Tahrir yang mahukan kebebasan dan demokrasi yang telah dirampas selama tiga dekad.

Namun apakah yang berlaku kini ? Rakyat Mesir masih berada di jalan raya dan berdemonstrasi di depan Istana Presiden menuntut Mursi meletakkan jawatan. Senarionya hampir sama dua tahun lalu di mana rakyat terus menunjuk perasaan agar tuntutan mereka dipenuhi.

Mesir kini menghadapi krisis ekonomi dan kewangan yang teruk. Selepas rejim dulu jatuh tidak berlaku banyak perubahan besar. Masalah pengangguran, peluang ekonomi dan sebagainya belum dapat di atasi sepenuhnya. Presiden Mursi dianggap gagal mentadbir negara dengan baik.

Mesir kini memerlukan bantuan dari negara Eropah dan tabung wang IMF bagi memulihkan ekonomi negara itu kesan dari suasana politik tidak stabil dua tahun lalu.

Masalahnya, apakah Mursi mampu bertahan dan kerajaan dapat meneruskan program ekonominya ? Kini pun sudah ada pungutan tanda tangan 2 juta orang menuntut Mursi melepaskan jawatannya sebagai Presiden.

Inikah yang dikatakan semangat demokrasi dan kebebasan yang sering diperjuangan rakyat seluruh dunia ? Pemimpin naik dan turun sesuka hati dan silih berganti ? Atas nama demokrasi ?

Demokrasi adalah satu sistem yang bagus. Tetapi demokrasi juga boleh memberi kesan buruk jika ia disalahgunakan. Contoh di Mesir, selepas rejim diktaktor pergi dan kerajaan awam berkuasa ia juga tidak memberi apa-apa makna. Rakyat dan negara terus sengsara dan bergolak. Sampai bila sesebuah negara itu akan bergerak ke depan jika rakyat terus unjuk rasa atas nama demokrasi ?

Di Malaysia, pilihan raya telah selesai setelah bertahun-tahun berkempen. Namun selepas kerajaan baru dibentuk kempen politik, perhimpunan dan unjuk rasa terus berlanjutan atas nama demokrasi dan kebebasan.

Katakanlah usaha pembangkang berjaya melalui perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada. Apakah ada jaminan tidak akan ada lagi perhimpuan atau demonstrasi setelah pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan ?

Secara logiknya para penyokong kerajaan sekarang yang didokong sebahagian besar orang melayu serta badan NGO akan melakukan perkara yang sama sebagai tindak balas. Malah mungkin lebih luas dan menyeluruh kendati melayu adalah kaum majoriti. Sentimen dan sensitiviti akan lebih menipis.

Tindakan "Tit for tat" atau tindak balas atas nama demokrasi tidak akan membawa penyelesaian muktamad. Kepada parti pembangkang yang kalah dalam PRU13 lalu masih ada PRU14 di next change atau coming soon. Gunalah demokrasi dengan betul. Demonstrasi jalanan bukan penyelesaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan