Ahad, 24 April 2011

Tan Sri Sheikh Abdullah penulis pojok

Semasa saya masih di sekolah menengah, bapa saya melanggan akhbar Berita Harian setiap hari. Pada masa itu akhbar akan sampai lebih kurang pukul satu atau dua petang. Bukan macam sekarang, awal pagi kita sudah boleh menatapnya. Setiap hari penghantar suratkhabar itu akan melemparkan saja akhbar tersebut di depan pintu rumah sambil membonceng motorsikal Honda Cupnya.

Bila saya balik dari sekolah, saya terus mengambilnya. Pertama yang saya baca ialah berita sukan. Lain-lain berita , saya tidak begitu beri perhatian. Saya cuma lihat kepala tajuknya sahaja.

Cuma ada satu ruangan yang telah mencuri perhatian saya. Ruangan tersebut terletak di bawah rencana pengarang yang ditulis pengarang akhbar tersebut  setiap hari.

Apa yang menarik perhatian saya ialah ruangan ini akan muncul setiap hari kecuali hari Ahad. Ertinya, ruangan tersebut tidak terbit dalam nashkah Berita Minggu. Hari lain ia akan muncul setiap hari tanpa henti. Kira-kiranya ruangan ini sama hebatnya dengan rencana pengarang yang mesti terbit setiap hari.

Ruangan ini ditulis oleh seorang yang bernama Tan Sri Sheikh Abdullah. Saya tidak pasti dan tidak tahu lebih lanjut tentang beliau. Cuma apa yang saya tahu pada masa itu beliau adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Kumpulan The New Straits Times Press.

Lebih jelas lagi, ia disebut sebagai penulis pojok. Setiap akhbar mesti ada penulis pojoknya. Misalnya, di Utusan Malaysia penulis pojoknya ialah Awang Selamat. Begitu juga dalam akhbar-akhbar lain sama ada harian atau mingguan , halaman pojoknya mesti ada. Cuma yang pasti, nama Tan Sri Sheikh Abdullah bukanlah nama samaran.

Menariknya kolum ini ia ditulis dengan gaya yang santai dan humor. Dalam setiap tulisannya dia sering dan suka sangat memetik berita-berita dari akhbar-akhbar luar negara seperti The New York Times, The Daily Mirror, Herald Tribune, South China Morning Post, Daily Telegraph, Bangkok Post dll . Setiap berita yang beliau ulas ia sentiasa akan tulis di bawah nya sumber atau petikan yang diambilnya. Memang seronok membacanya. Stail penulisan dan olahannya agak ringan, santai bercampur unsur humor.

Kolum pojok ini bertajuk RENUNGAN.

Pada tahun 1981, bila parti UMNO mengadakan pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang melibatkan pertandingan satu lawan satu antara  Tun Musa Hitam dan Tengku Razalegh Hamzah, akhbar kumpulan The New Straits Times telah mengambil langkah menyokong calon Tengku Razaleigh. Manakala akhbar Utusan berpihak pada Tun Musa Hitam.

Bila Ku Li kalah dalam perebutan jawatan teersebut, kolum Renungan Tan Sri Sheikh Abdullah terus tidak muncul-muncul lagi. Ia hilang begitu saja. Maka dapatlah disimpulkan bahawa sokongan akhbarnya terhadap Ku Li telah membawa padah.

Ini adalah satu fenomena biasa di mana saja. Bila seseorang tokoh politik itu menang, ia akan melakukan perubahan atau pembersihan.

Begitulah nasib penulis pojok Tan Sri Sheikh Abdullah. Kekosongan halamannya itu tidak terisi hingga ke hari ini. Terasa kehilangannya.

Oleh kerana saya meminati kolum dan penulisnya, maka saya namakan blog saya sempena nama kolumnya sebagai ingatan . Kerana "Renunganlah" yang telah menyemai dan membajai tabiat membaca saya.

2 ulasan:

  1. untuk pengetahuan anda, Arwah Tan Sri merupakan datuk saudara saya. Beliau telah meninggal dunia lebih kurang 10 tahun yang lalu.

    BalasPadam
  2. Terima kasih di atas komen dan perhatian sdr. Sdr. perlu bercerita lebih tentang kisah Allahyarham.

    BalasPadam