Selasa, 19 April 2011

Pertemuan dengan Prof: Ismail Hussein

Semasa saya berada di Medan, Sumatera Utara pada tahun 1981 ketika mengikuti kursus kewartawanan saya telah terserempak dengan Profesor Ismail Hussein yang sedang mundar mandir dalam kota tersebut.

Beliau berjalan keseorangan. Saya pula memerhatikannya dari jauh. Pada masa itu saya sedang mencari kedai makan yang sesuai untuk menjamu selera.

Mulanya saya agak keberatan untuk menegurnya. Maklumlah masa itu saya hanya seorang budak yang masih mentah- baru menjangkau usia 20 tahun. Dia pula kelihatan berpusing-pusing melihat dan memerhatikan gerai-gerai surat khabar yang jumlahnya seperti cendawan.

Saya terus memerhatikannya. Rupa-rupanya dia sedang memilih dan membeli akhbar yang berbagai jenis. Di Medan saja akhbar harian berbelas-belas. Banyak juga akhbar yang dibelinya.

Saya merapatinya dan terus menegurnya,"Profesor"? saya memberanikan diri. Dia agak terpingga mulanya. Saya terus memperkenalkan diri. Kami berbual sambil berdiri dalam kesibukan orang yang lalu lalang di situ. Dia beritahu saya yang beliau dalam perjalanan  ke Acheh untuk menghadiri satu pertemuan para cendikiawan Melayu seluruh ASEAN.

Banyaklah perkara yang kami bualkan. Dalam perbualan itu saya masih ingat dia memberi dorongan pada saya agar menulis dengan menghantar berita ke akhbar tempatan tanahair. Kerana sebelum itu saya memberitahunya yang saya berada di Medan mengikuti kursus kewartawanan .

Kalaulah Prof. Ismail Husseein membaca catatan ini mungkin beliau lupa kerana pertemuan itu berlaku lebih kurang 25 tahun dahulu. Tetapi pada saya pula ianya masih segar dalam ingatan.







































Tiada ulasan:

Catat Ulasan