Isnin, 25 April 2011

Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris

Keratan akhbar Watan
Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali dengan Dollah Kok Lanas ialah bekas setiausaha politik Tun Abdul Razak, telah menulis dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, 24 April, 2011 bertajuk 'Bahasa Melayu, Inggeris wajib dikuasai".

Dalam tulisan tersebut beliau antara lain menekankan betapa penguasaan bahasa Inggeris adalah penting sebagai lingua franca, bahasa perantaraan dunia dan bahasa ilmu. Orang-orang melayu khususnya, akan rugi dan ketinggalan sekiranya mereka tidak ambil peduli perihal kepentingan bahasa tersebut.

Beliau menyokong pendirian Dr. Mahathir bahawa belajar dan menguasai bahasa Inggeris di kalangan orang melayu tidak akan mengurangkan semangat nasionalis, malah ia akan meningkatkan lagi kualiti dan martabat kaum peribumi di negara ini.

Dengan menguasai bahasa Inggeris seseorang itu akan memperolehi banyak ilmu kerana sebahagian besar ilmu-ilmu yang belum diterokai semuanya terdapat di dalam bahasa tersebut. Katanya lagi, kita tidak perlu menjadi seorang pejuang bahasa melayu yang ekstrem.

Bahasa Inggeris tetap akan menjadi bahasa kedua di negara ini. Dan sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi. Orang-orang melayu mesti menguasai bahasa ini sekiranya mereka ingin maju dan kompetitif dalam semua bidang. Jika tidak mereka akan ketinggalan.

Menyentuh tentang isu ini, saya teringat akan dua rencana saya yang telah disiarkan di dalam akhbar tempatan iaitu Berita Harian dan Watan sedikit masa dulu. Dalam akhbar Watan, Selasa 9 Ogos 1983, di bawah tajuk " Bahasa Inggeris: Tahu baca tapi tak faham...".  Saya telah menulis peri pentingnya bahasa Inggeris seperti mana disebut oleh Tan Sri Abdullah tadi. Cuma rencana itu ditulis oleh orang "lay man", bukan seorang yang ada "title" .

Untuk pengetahuan rencana tersebut terdapat dalam carian internet ; rujukan arkib perpustakaan Universiti Malaya sebagai bahan rujukan dan dokumen. Bila saya terlihat arkib tersebut dan tercatat nama saya di dalamnya, naik syeh juga dibuatnya.

Manakala satu rencana lagi bertajuk " Bahasa asing tidak harus diabaikan", Berita Harian, Khamis 7 Julai 1988. Rencana ini ditulis agak panjang sedikit dan disiarkan di halaman tengah dibawah ruangan rencana pengarang  akhbar tersebut

Cuma setelah tersiar kedua rencana tersebut, saya tidak pernah menerima apa-apa honorarium. Tetapi saya tidak kisah, kerana masa itu saya menulis bukan untuk duit. Dengan tersiarnya tulisan tersebut bagi saya ianya sudah satu pengiktirafan dan penghargaan.

Terima kasih Berita Harian.
Terima kasih Watan. .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan