Jumaat, 22 April 2011

Rustam A. Sani dalam kenangan

Rustam A. Sani ialah seorang ahli akademik, kolumnis, penyair dan seorang intelektual yang disegani tanahair. Beliau telah pulang kerahmatullah beberapa tahun lalu dalam usia 60an.

Rustam pernah menjadi pensyarah di UKM, UM dan pernah berkhidmat di ISIS Malaysia. Antologi puisinya, Riak-riak Kecil (1977)  telah diterbitkan oleh DBP. Pada tahun 1988/89 beliau telah memenangi Hadiah Sastera Negara dalam kategori essei dan kritikan sastera.

Beliau juga adalah bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia , yang telah dibubarkan dan digabungkan dengan Parti Keadilan Nasional - lantas terbentuklah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau mendapat ijazah di Universiti Malaya, Universiti of Reading, Universiti of Kent dan Yale Universiti.

Rustam sebenarnya ialah seorang kolumnis yang cukup tajam pengamatanya tentang isu-isu semasa melalui tulisan-tulisannya dalam akhbar-akhbar tempatan dan luar negara. Pernah suatu ketika sebuah rencananya terbit dalam akhbar Straits Times (Singapura) pada 18 Julai 1998 dengan judul 'Why Singapore-KL ties will stay volatile'.

Menurut Rustam, tulisan tersebut telah mengundang reaksi dan ulasan dari para pemimpin Singapura. Dan yang lebih besar pada itu ialah Perdana Menteri Singapura waktu itu,  Goh Chok Tong, telah menggunakan sebahagian besar ucapan rasmi Hari Kebangsaan Singapura tahun 1998  mengulas artikel beliau tersebut.

Banyak orang tidak tahu yang Rustam juga adalah salah seorang ahli panel merangka deraf  pelan Wawasan 2020 ilham Tun Dr. Mahathir.

Tetapi pada tahun 1998 telah merubah segala-galanya. Dari seorang ahli akademik dan pakar sosiologi beliau telah menerjunkan dirinya sebagai aktivis politik. Semuanya kerana soal prinsip dan pendirian politiknya.

Namun, tindakannya itu tidak menghairankan kerana beliau mengikuti jejak bapanya, seorang pejuang dan nasionalis yang terkenal, Ahmad Boestamam. Mungkin pada awalnya beliau tidak memperlihatkan pendirian politiknya dan lebih menumpukan pada bidang akademik dan penulisan.

Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah menghasilkan dua buah buku sebagai karyanya yang terakhir. Buku tersebut bertajuk;  Failed Nation? Concerns of A Malaysian Nationalist dan Ketemu di Alur Zaman.

Saya suka untuk mengutip salah satu tulisannya. Antara lain beliau menulis;
                                          
                                         Seorang sarjana yang berpendidikan tinggi belum tentu berhak dianggap seorang intelektual. Seorang intelektual secara jitu dan mendalam memikirkan persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakatnya. Dia harus turut terlibat dalam persoalan-persoalan itu dengan menyalurkan hasil pemikirannya melalui tulisan atau kegiatan untuk manfaat masyarakatnya. Peringkat pendidikan formal yang dicapai tidaklah ada kena mengenanya dengan keintelektualan. Seorang yang berpendidikan tinggi tetapi hanya menggunakan pendidikannya itu untuk kepentingan peribadi atau kerjayanya bukanlah seorang intelektual.

Renung-renungkanlah.

Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan