Khamis, 28 April 2011

Anwar Ibrahim.......bersumpahlah

KES liwat dan video seks yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim , cukup keliru dan membingungkan ramai orang. Apakah ianya suatu kes politik atau memang sah kebenarannya?

Saya sebenarnya tidak begitu cenderung untuk memperkatakan tentang kes ini. Dari segi hukum ia amat berat, lebih-lebih lagi bagi pihak yang membuat tuduhan. Saya bersetuju dan sokong kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz, bahawa beliau tetap akan mempertahankan Datuk Seri Anwar, selagi tidak ada bukti.

Cuma apa yang meresahkan saya ialah sikap Datuk Seri Anwar, tidak begitu bersungguh-sungguh membersihkan namanya yang sudah tercemar. Fokus beliau lebih tertumpu pada soal-soal politik dan bukan masalah peribadinya.

Sedikit masa lalu, bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, telah mengesa agar Anwar mengundurkan diri supaya barisan pembangkang diberi nafas baru dan perubahan. Menurutnya lagi, rakyat sudah jemu dan bosan dengan isu-isu "selak kain".

Dr. Mohd Asri juga telah menggesa agar Anwar bersumpah bagi membersih peribadinya. Sekurang-kurangnya dengan langkahnya bersumpah dapat membuktikan yang beliau tidak bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, juga menyambut baik sekiranya Datuk Seri Anwar, ingin bersumpah mubahalah iaitu sumpah laknat. Katanya, beliau gembira sekiranya ini terjadi kemungkinan ia dapat menyelesaikan satu perkara besar yang sekarang membebani fikiran umat Islam.

Berita terkini pula melaporkan salah seorang dari Datuk T yang membuat tuduhan tentang video seks itu akan bersumpah laknat pada hari Jumaat, 29 April ini selepas solat Jumaat di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan. Mereka juga telah mencabar Datuk Seri Anwar agar bersumpah bersama mereka.

Salah seorang dari Datuk T, iaitu Datuk Eskay Abdullah, telah menyatakan bahawa beliau amat faham kesan dan balasan yang akan diterimanya di akhirat nanti atas sumpahnya itu.

Bak kata pepatah, berani kerana benar. Justeru itu Datuk Seri Anwar haruslah menyambut cabaran itu tanpa berdolak-dalik. Kesanggupan beliau untuk bersumpah, sekurang-kurangnya dapat merungkai segala yang tersimpul dan berbelit-belit.

Barangkali, dengan bersumpah tidak dapat menyelesaikan masalah. Tetapi sekurang-kurangnya ada keberanian daripada beliau bagi membuktikan tuduhan beliau bahawa semua ini adalah fitnah dan konspirasi politik.

Datuk Seri Anwar mesti bersumpah sekiranya beliau ingin memulihkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin , apatah lagi sebagai calon "The Prime Minister in Waiting".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan