Ahad, 11 Oktober 2015

Isu Sekolah Cina Tamparan Pada Baju Merah

PERDANA MENTERI Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan sekolah jenis kebangsaan Cina akan terus kekal di negara ini. Ia adalah salah satu dasar kerajaan Barisan Nasional (BN). Jaminan ini disuarakannya dalam ucapan di Perhimpunan Tahunan Parti MCA hari ini.

Ucapan dan penegasannya hari ini telah memberi tamparan pada Baju Merah dan pemimpinnya, Jamal Md Yunus yang telah berhimpun pada 16 September lalu berjuang demi maruah melayu serta menuntut dihapuskan sekolah jenis aliran Cina di negara ini. Mereka juga telah berhimpun di Petaling Street, sebagai simbolik kekuatan bangsa melayu ke atas kaum Cina.



Baju merah juga telah menzahirkan sokongan padu pada pimpinan Najib yang telah diserang dari pelbagai sudut sejak berbulan lamanya.  Najib juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak melarang ahli-ahli Umno menyertai perhimpunan Baju Merah itu.

Dan ini terbukti bila para pemimpin Umno seperti Ali Rustam, Anuar Musa, Menteri Ismail Sabri dan lain-lain turut serta dalam perhimpunan dan memberi ucapan sokongan padu pada kepimpinan Najib. Semua ini memberi gambaran bahawa Umno sendiri merestui gerakan baju merah.

Salah satu pokok gerakan baju merah adalah tekanan pada kaum cina dalam soal sekolah aliran Cina dan kesetiaan mereka pada kerajaan BN. Sekaligus memberi sokongan dan kesetiaan tidak berbelah bagi pada Najib dan parti Umno.

Tapi hari ini kenyataan Najib itu telah memberi kemenangan moral pada MCA dan seluruh kaum Cina di negara ini. Ia juga satu tamparan pada seluruh pemimpin dan pengikut baju merah yang telah menunjukkan sokongan padu pada Najib.

Inilah realiti politik di Malaysia. Seorang Perdana Menteri terpaksa mempunyai dua wajah. Satu masa perlu menunjukkan sifat-sifat ketuanan melayu. Dan satu masa lain pula terpaksa mempamerkan sikap satu Malaysia tanpa mengira kaum.

Realitinya Perdana Menteri tidak mungkin dapat bertahan semata-mata bergantung sokongan hanya pada satu kaum.

Namun persoalannya; apakah kaum Cina terutamanya di luar MCA termakan dan tertarik dengan janji-janji Najib itu ? Mandat kerajaan BN akan tamat pada awal 2018 untuk memberi laluan PRU14. Masa tidak lah begitu panjang bagi Najib bagi memulihkan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan yang kini berada dalam defisit.

Yang penting Najib tidak bersikap flip flop sebagai Perdana Menteri. Bukan di satu masa bersifat seperti wira melayu dan di satu masa lain mengharap simpati kaum Cina dengan janji-janji bulan dan bintang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan