Jumaat, 9 Oktober 2015

Penasihat PM Najib Tidak Kompeten ?

IKLIM politik di Malaysia kelihatan kelam kabut dan tidak stabil. Isu politik, perkauman, ekonomi dan agama silih berganti muncul satu demi satu. Lebih menakutkan isu perkauman semakin tajam dan dimanipulasi untuk mendapat sokongan dan perhatian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas kelihatan hilang kawalan. Nampak dia tidak mampu meredakan keadaan dan menyelesaikan isu-isu panas yang perlu diberi penyelesaian atau jawaban bagi menutup ruang-ruang ketidakpuasan hati sebilangan besar rakyat.

PM Najib Razak

Bila isu-isu penting dan utama tidak diberi jalan muktamad maka muncul pihak tertentu yang ingin menjadi jaguh atau pahlawan bertindak ikut suka dan memandai bagi menyelesaikan sesuatu isu menurut cara sempit mereka sendiri.

Ditambah pula sikap Perdana Menteri yang banyak berdiam diri dan lambat dalam memberi respons dan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit. Lebih memburukkan keadaan seolah PM mengharapkan pada dua tiga menteri memberi reaksi dan jawaban bagi pihaknya. Kadang-kadang kenyataan menteri-menteri ini telah memburukkan lagi keadaan dengan kenyataan mereka yang tidak memuaskan dan sering diperbodohkan khalayak ramai.

Apa sebenarnya punca terjadi sedemikian ? Apakah PM termasuk di dalam kelompok apa yang sering dikatakan sebagai pimpinan yang lemah ? Kita juga pernah dengar istilah "kepimpinan yang kuat". Adakah Najib seorang pemimpin yang lemah ?

Atau semua masalah ini berpunca daripada mereka yang berada disekelilingnya ? Apakah Najib dikelilingi para penasihat yang tidak kompeten dalam hal-hal urusan pentadbiran negara ?

Sebagai perbandingan semasa kepimpinan negara di bawah Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003. Tiada siapa boleh menafikan Dr Mahathir adalah termasuk dalam kategori kepimpinan yang kuat. Walaupun dibawah pimpinannya banyak isu kontroversi dan kelemahan-kelemahan berlaku semasa pentadbirannya. Tetapi semua itu bukan menjadi fokus di sini. Yang menjadi fokus ialah kepimpinan yang kuat, tegas serta berani. Dan Najib gagal mengulangi apa yang telah dilakukan Dr Mahathir.

Ironinya, Mahathir kini menjadi pengkritik nombor wahid terhadap pimpinan Najib.

Apa yang menariknya semasa pimpinan Mahathir selama 22 tahun tidak pernah kedengaran atau timbul soal para penasihat di Jabatan Perdana Menteri. Mahathir kelihatan mempunyai otonomi penuh dalam membuat sebarang dasar atau keputusan untuk kepentingan parti dan negara.

Barangkali benar Dr Mahathir juga mempunyai para penasihatnya sendiri. Tetapi para penasihatnya tidaklah kelihatan menonjol seperti yang kita lihat semasa pentadbiran Najib lebih-lebih lagi semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu popular dengan istilah "budak di tingkat 4".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan