Sabtu, 10 Oktober 2015

Isu 1MDB Tidak Akan Padam

DATUK Seri Najib Razak telah beberapa kali menegaskan masalah 1MDB akan diselesaikan dalam masa tempoh enam bulan. Apa yang dapat difahami dari kenyataan PM itu adalah 1MDB akan berusaha menstrukturkan semula syarikat tersebut kembali positif dalam urus niaganya serta menurunkan jumlah hutangnya yang mencecah RM42 billion.

Menurut kenyataan Ketua CEO, Arul Kandasamy, 1MDB kini sedang berusaha menjual beberapa asetnya bagi mengurangkan jumlah hutangnya. Sekiranya proses penjualan aset berjaya dilakukan ia boleh mengurangkan jumlah hutang syarikat itu sebanyak RM16 billion. Ertinya hutang dapat dikurangkan dan berbaki lagi sebanyak RM26 billion.


Inilah matlamat utama PM Najib dan pihak pengurusan 1MDB bagi membuktikan pada rakyat syarikat itu mampu menyusun semula urus niaganya setelah dikritik hebat kerana berhutang begitu banyak dan cara-cara ia menjalankan urusniaganya.

Penyusunan dan penstrukturan semula syarikat ini bukan mustahil boleh dicapai dalam tempoh enam bulan seperti yang dinyatakan PM Najib. Namun persoalan besar yang masih dan tetap menjadi pertanyaan semua pihak adalah laporan-laporan dalam dan luar negeri tentang salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat tersebut. Semua persoalan yang timbul masih lagi belum ditemui jawabannya.

Sekiranya pihak pengurusan 1MDB berjaya memulihkan syarikat itu dalam masa tempoh enam bulan yang dijanjikan sehingga membawanya ke landasan yang betul ia masih mempunyai tanggungjawab bagi membersihkan segala tuduhan yang dilemparkan.

Dan ini hanya dapat dilakukan dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membawa mereka yang bertanggungjawab melakukan pecah amanah dan penyelewengan ke muka pengadilan. Proses ini mesti berjalan tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Tidak perlu untuk menyebut beberapa individu tertentu yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan ini. Tambah menguatkan lagi tuduhan-tuduhan itu berasas adalah mereka semua telah pun melarikan diri ke luar negara bagi mengelak di soal siasat.

Pihak Bank Negara, SPRM, PDRM dan Peguam Negara mestilah secara serius bekerjasama membawa balik kesemua individu itu ke muka pengadilan untuk diadili. Selagi proses itu tidak berjalan selagi itu lah persoalan 1MDB tidak akan padam. Ia tetap akan muncul dari masa ke semasa.

Usaha 1MDB menyusun semula segala hutangnya amatlah disambut baik. Namun segala salah laku dan salah guna kuasa pihak tertentu mestilah dikenakan hukuman bagi menyempurnakan proses penyusunan semula syarikat itu agar ia lengkap dan sempurna.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan