Jumaat, 23 Oktober 2015

Hillary Clinton Di Soal Siasat Di Capitol Hill

HILLARY CLINTON, calon Presiden Amerika dalam pemilihan November 2016 dan bekas Setiausaha Negara dari 2009-2013 kini sedang berdepan soal siasat dengan para ahli kongres Republikan di Capitol Hill berkaitan peristiwa pembunuhan Benghazi 2012 di kedutaan Amerika di Libya.

Dalam peristiwa serangan itu telah mengorbankan empat warga Amerika termasuk Dutanya, Christopher Stevens. Isu ini hangat ekoran timbul persoalan mengenai tahap keselamatan di Kedutaan Amerika ketika itu. Tambah merumitkan isu ini betapa sebelum kejadian serangan itu Duta Stevens telah memohon tahap keselamatan di kedutaan itu dipertingkatkan.

Hillary Clinton

Clinton sebagai bekas Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Presiden Obama dituduh pihak Republikan sebagai gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan pada para pegawainya di Libya dan bertanggungjawab di atas kelemahan ekoran peristiwa serangan tersebut.

Pihak parti Republikan menafikan usaha soal siasat isu Benghazi 2012 adalah satu langkah politik bagi menghalang usaha Hillary bertanding jawatan Presiden pada November 2016. Malah mereka mendakwa mahu mengenal pasti punca kelemahan di Jabatan Negara agar tidak berulang. Dan ini tentunya mempersoalkan kemampuan dan kewibawaan Hillary sebagai Setiausaha Negara.

Sessi soal siasat itu berlangsung mengambil masa berjam-jam tanpa henti dengan Hillary terpaksa berdepan dengan jumlah berbelas ahli parti Republikan yang menyoal secara bertubi-tubi tanpa henti. Sehingga pada satu ketika suara Hillary tersekat-sekat dan batuk tidak bersuara.

Namun para penganalisis politik berpendapat Hillary dianggap berjaya dalam sessi soal jawab ini kerana dia berjaya menjawab semua soalan dengan tenang dan tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar. Hillary pada kesimpulannya mengakui apa yang terjadi di Benghazi itu adalah tanggungjawabnya dan sesuatu yang boleh berlaku pada sesiapa sebagai Setiausaha Negara.

Itu apa yang berlaku di Amerika. Moral ceritanya seorang pemimpin berwibawa mampu dan berani berdepan para penyiasatnya tanpa memberi alasan-alasan remeh bagi mengelak disoal siasat.

Tetapi di Malaysia para pemimpin politik kelihatan sering mengelak dengan berbagai alasan untuk tidak disoal siasat pihak-pihak tertentu. Seolah sebarang siasatan dan soalan adalah sesuatu yang rahsia tahap sulit dan menakutkan.

Lebih mendukacitakan parlimen sebagai dewan rakyat pun tidak lagi menjadi tempat mencari jawaban atas sesuatu perkara kerana ada pihak berjaya menghalang soalan-soalan tertentu dari ditimbulkan.

Isnin, 19 Oktober 2015

Datuk Hasan Arifin Pengerusi PAC Baru

DATUK HASAN ARIFIN, wakil rakyat Rompin telah pun dilantik menjadi Pengerusi (PAC) Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara. Beliau menggantikan Nur Jazlan Mohamad yang telah dilantik menjadi Timbalan Menteri.

Datuk Hasan Arifin

Tugas utama Hasan adalah meneruskan siasatan PAC terhadap 1MDB yang telah tersangkut di tengah jalan beberapa bulan dulu ekoran perlantikkan beberapa anggota PAC ke dalam kabinet termasuk bekas pengerusinya, Nur Jazlan.

Hasan dikira seorang yang rapat dan dipercayai PM Najib. Najib sendiri berkali-kali menyatakan kerajaan akan menyelesaikan isu 1MDB secepat mungkin dan mereka yang bersalah tidak akan dilindungi.

Kita berharap kenyataan PM itu bukan hanya retorik tetapi tindakan dilaksanakan dan diperlihatkan pada umum.  Bukan sekadar hanya ucapan dibibir mulut. Semua pihak akan terus mengikuti dan memberi perhatian tindakan PAC selanjutnya.

Pertama; Semua orang sudah tidak sabar menunggu PAC memanggil Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kandasamy dan bekas CEO Shahrol Halmi untuk disoal siasat. Berapa bulan dulu Arul Kanda dipanggil namun telah memberi berbagai alasan untuk tidak menghadirinya.

Antara alasan diberikan ialah dia berada di luar negeri dan menerima notis di saat-saat akhir serta bertembung dengan lain-lain komitmen.

Diharap kali ini Arul dapat menghadiri dan mengadap PAC bagi menjawab banyak persoalan berkaitan 1MDB. Semoga dia tidak lagi memberi alasan untuk mengelak berhadapan anggota PAC dengan alasan-alasan remeh seperti sakit perut, sakit kepala dll. Shahrol Halmi juga perlu dipanggil kerana dia adalah antara bekas CEO penting bagi menjelaskan isu-isu yang berbangkit berkaitan transaksi wang kepada pihak ketiga seperti yang dilaporkan umum.

PAC juga jangan terlepas pandang memanggil dan menyiasat nama-nama seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil, Suboh Yassin, Casey Tan dan Jasmine Ooi yang kesemuanya kini berada di luar negeri dan tidak dapat di kesani.

Ada berita melaporkan sebahagian mereka berada di Taiwan, Indonesia dan New York. PAC perlu bekerjasama dengan SPRM, Polis, Bank Negara dan Peguam Negara bagi mengesan mereka semua. Sekiranya perlu berhubung dengan pihak Interpol antarabangsa bagi memudahkan urusan membawa pulang mereka semua.

Dan Datuk Hasan semua pihak menumpu perhatian peranannya sebagai Ketua PAC atau hanya menjadi rubber stamp semata-mata. Dia perlu melaksanakan tugasnya dengan berkesan. Bukan sahaja tugas dilaksanakan tetapi yang penting ia kelihatan dilaksanakan.

Harap Datuk Hasan tidak bertindak seperti Speaker Dewan Rakyat yang telah menghalang semua soalan dari wakil-wakil pembangkang berkaitan isu 1MDB.




Rabu, 14 Oktober 2015

Peristiwa Perasmian Mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang

PADA 9 Ogos lalu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak telah merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang, Johor. Sebenarnya peringkat awal Umno Bahagian itu tidak merancang menjemput Najib bagi merasmikan mesyuarat bahagian itu.

Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang dan merangkap Menteri Besar Johor, Khaled Nordin memberitahu para perwakilan bahagian itu bahawa Najib sendiri yang meminta untuk datang merasmikan bahagian tersebut. Ertinya, Najib menjemput dirinya sendiri.


Dalam ucapan Najib ketika merasmikannya antara lain ia berkata bahawa syarikat 1MDB belum lagi membuat kerugian. Dan beliau berucap lagi seperti kebudak-budakkan dengan bertanya pada para perwakilan adakah mereka mahu BR1M diteruskan. Para perwakilan dengan spontan dan kuat menjawab, "Tidak".

Najib respons juga macam budak-budak dengan berkata, " Sekiranya tidak, saya akan batalkan BR1M", katanya.

" Ada cadangan lebih baik lagi ? ", tanya Najib setelah terkejut dengan reaksi para perwakilan.

Bagi memulihkan mood para perwakilan, Najib secara provokasi menyatakan sekiranya dia membuka rahsia tertentu (parti) ia boleh membuka pekung di dada. Dan jika ia tidak memberitahunya ia akan disalahkan. Dengan spontan para perwakilan menjawab, " Teruskan, ceritalah.."

Di akhir perasmian bahagian itu Najib diserahkan satu memorandum menggesa beliau ambil cuti dan membatalkan keputusan MT menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan yang diputuskan Jun lalu.

Selepas apa yang berlaku di Pasir Gudang itu tertanya-tanya siapakah penasihat atau para penasihat Najib yang menasihatnya agar pergi merasmikan mesyuarat di bahagian tersebut.


Selasa, 13 Oktober 2015

Hukum Hudud PAS Boleh Tangguh

SETIAUSAHA AGUNG PAS, Datuk Takiyuddin Hassan membuat kenyataan bahawa parti itu tidak akan menghantar usul baru bagi membentangkan Rang Undang-Undang persendirian berhubung penguatkuasaan hukum hudud di Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membawa usul ini tetapi gagal dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas pada awal tahun ini.

Datuk Takiyuddin Hassan

PAS membawa usul ini bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang selama ini membenarkan mahkamah mengenakan denda RM3,000, lima tahun penjara dan enam sebatan.

Sekiranya usul ini berjaya dan mendapat sokongan majoriti di parlimen ia akan memberi laluan pada PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Dengan kenyataan Takiyuddin itu jelas menunjukkan PAS tidaklah begitu serius dan bersungguh-sungguh dalam usahanya melaksanakan hudud di negeri yang dikuasainya. Ia seperti tarik menarik dan mempolitikkan isu hudud untuk kepentingan politik dan parti.

Bagi PAS sesiapa yang menolak hukum hudud yang dibawanya itu akan dianggap kafir dengan berbagai tohmahan. Tetapi ia tidak menjadi kesalahan besar bagi pihak PAS mempolitikkan hukum tersebut dengan cara menangguh-nanguh serta melengah-lengahkan perlaksanaannya. Dan PAS sendiri menganggapnya sebagai hukuman daripada Tuhan. Apakah PAS sahaja pihak yang boleh melengah-lengahkan perlaksanaan hukum tersebut sesuka hatinya ? Dan mahu melaksanakannya bila-bila ia suka ? dengan alasan-alasan dan hujahnya sendiri.

Datuk Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Amar Nik Abdullah merangkap Naib Presiden PAS beberapa bulan dulu telah berkata sekiranya usul PAS dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini tidak mendapat sokongan daripada pimpinan Najib dan Umno - PAS akan isytihar perang terhadap parti itu.

Amaran TMB Kelantan itu bernada keras dan berupa ancaman. Namun kenyataan itu adalah beberapa bulan dahulu. Tetapi hari ini lain pula nada dan pendirian PAS menerusi Setiausaha Agung parti itu yang bersifat bertolak ansur dan diplomasi.

Apakah PAS sedar yang Umno di bawah Najib belum bersedia memberi sokongan dalam parlimen bila PAS membawa usul ini untuk dibentangkan. Apakah PAS juga mulai sedar betapa Umno tidak akan mengorbankan sekutu rapat dan rakan fixed deposit mereka di Sarawak di bawah Adnan Satem yang berterus terang menolak perlaksanaan hudud.

PM Najib sendiri kini sedang menghadapi berbagai tekanan politik dalam usahanya terus kekal di Putrajaya. Isu hudud PAS tidak akan membantu menguatkan kedudukan Najib apatah lagi memperjudikan sokongan kerajaan pusat di Sabah dan Sarawak.

Justeru itu isu usul RUU hudud PAS tidak akan menjadi keutamaan parti itu dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Oktober ini.

Kadar Tol Naik : Janji Di Capati !!


NOTHING 2 HIDE

1MDB HUTANG RM 42 BILLION

DANA RM 2.6 BILLION

KADAR TOL NAIK LAGI

ETC. ETC. ETC.



Isnin, 12 Oktober 2015

Adoi laa....Tol Naik Lagi !!

Toll hikes anger, puzzle lawmakers, motorists




Come December 15, toll on six major highways will be raised. – The Malaysian Insider pic by Afif Abd Halim, October 12, 2015.Come December 15, toll on six major highways will be raised. – The Malaysian Insider pic by Afif Abd Halim,
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/citynews/greater-kl/article/toll-hikes-anger-puzzle-motorists#sthash.VOLdRFNb.dpuf

Hooray !! Hooray !!
Datuk Jamal Md Yunus


Tol naik lagi !!

i love you PM ! i love you PM !

Ayam For U ! Ayam For U !

Thank you Jamal Yunus !


Bila Baju Merah nak demo lagi ??

Demi maruah melayu !

Demi ketuanan melayu !

Adoi laa.....

Tan Sri Pandikar, Tan Sri Apandi Tembok Besar Najib !!

DUA perkembangan terkini bakal terus menekan kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Pertama: Sikap konsisten Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz terhadap salah laku 1MDB dalam urusan transaksi kewangannya. Beliau tetap menggesa tindakan diambil terhadap syarikat itu bagi mengekalkan integriti sistem kewangan negara.

Kedua: Sidang akhbar buat julung kali menghimpun para bekas pemimpin negara seperti Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Tengku Razaleigh, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ong Tee Kiat yang bersetuju membantah penahanan Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang di bawah Akta Sosma. Mereka berdua ditahan kerana membuat laporan polis di luar negara terhadap 1MDB.

Tan Sri Speaker Dewan Rakyat

PM Najib kini masih berada di Indonesia melakukan lawatan rasmi dua hari. Seperti biasa Najib tidak akan respons terhadap kedua perkembangan mutakhir ini. Mereka yang akan membuat kenyataan balas bagi pihaknya tidak lain daripada Salleh Keruak, Abdul Rahman Dahlan, Nazri Aziz dan kemungkinan Hishamuddin Tun Hussein.

Inilah kelebihan yang ada pada Najib. Apa pun perkembangan ia seperti tidak memberi sebarang kesan terhadap dirinya. Segala-galanya berjalan seperti biasa dan normal.

Seperti kenyataan Tengku Razaleigh, percubaan untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Najib tidak akan berjaya kerana Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia merupakan tembok besar yang sukar ditembusi. Ini bererti sebarang perkembangan dalam masa terdekat kedudukan Najib sebagai PM tidak mudah tergugat.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali

Ini ditambah lagi dengan Peguam Negara yang baru dilantik, Apandi Ali telah menunjukkan sikap bertentangan dengan pendirian Gabenor Bank Negara dalam isu 1MDB.

Kesimpulannya, kedudukan Najib akan terus selamat selagi Tan Sri Pandikar dan Tan Sri Apandi terus kekal dengan jawatan masing-masing.

Dr Mahathir, Muhyiddin, Tengku Razaleigh dan lain-lain perlu memikirkan strategi lain pula bagi meningkatkan lagi tekanan agar Najib mengundurkan diri dari jawatannya.

Ahad, 11 Oktober 2015

Isu Sekolah Cina Tamparan Pada Baju Merah

PERDANA MENTERI Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan sekolah jenis kebangsaan Cina akan terus kekal di negara ini. Ia adalah salah satu dasar kerajaan Barisan Nasional (BN). Jaminan ini disuarakannya dalam ucapan di Perhimpunan Tahunan Parti MCA hari ini.

Ucapan dan penegasannya hari ini telah memberi tamparan pada Baju Merah dan pemimpinnya, Jamal Md Yunus yang telah berhimpun pada 16 September lalu berjuang demi maruah melayu serta menuntut dihapuskan sekolah jenis aliran Cina di negara ini. Mereka juga telah berhimpun di Petaling Street, sebagai simbolik kekuatan bangsa melayu ke atas kaum Cina.



Baju merah juga telah menzahirkan sokongan padu pada pimpinan Najib yang telah diserang dari pelbagai sudut sejak berbulan lamanya.  Najib juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak melarang ahli-ahli Umno menyertai perhimpunan Baju Merah itu.

Dan ini terbukti bila para pemimpin Umno seperti Ali Rustam, Anuar Musa, Menteri Ismail Sabri dan lain-lain turut serta dalam perhimpunan dan memberi ucapan sokongan padu pada kepimpinan Najib. Semua ini memberi gambaran bahawa Umno sendiri merestui gerakan baju merah.

Salah satu pokok gerakan baju merah adalah tekanan pada kaum cina dalam soal sekolah aliran Cina dan kesetiaan mereka pada kerajaan BN. Sekaligus memberi sokongan dan kesetiaan tidak berbelah bagi pada Najib dan parti Umno.

Tapi hari ini kenyataan Najib itu telah memberi kemenangan moral pada MCA dan seluruh kaum Cina di negara ini. Ia juga satu tamparan pada seluruh pemimpin dan pengikut baju merah yang telah menunjukkan sokongan padu pada Najib.

Inilah realiti politik di Malaysia. Seorang Perdana Menteri terpaksa mempunyai dua wajah. Satu masa perlu menunjukkan sifat-sifat ketuanan melayu. Dan satu masa lain pula terpaksa mempamerkan sikap satu Malaysia tanpa mengira kaum.

Realitinya Perdana Menteri tidak mungkin dapat bertahan semata-mata bergantung sokongan hanya pada satu kaum.

Namun persoalannya; apakah kaum Cina terutamanya di luar MCA termakan dan tertarik dengan janji-janji Najib itu ? Mandat kerajaan BN akan tamat pada awal 2018 untuk memberi laluan PRU14. Masa tidak lah begitu panjang bagi Najib bagi memulihkan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan yang kini berada dalam defisit.

Yang penting Najib tidak bersikap flip flop sebagai Perdana Menteri. Bukan di satu masa bersifat seperti wira melayu dan di satu masa lain mengharap simpati kaum Cina dengan janji-janji bulan dan bintang.

Sabtu, 10 Oktober 2015

Isu 1MDB Tidak Akan Padam

DATUK Seri Najib Razak telah beberapa kali menegaskan masalah 1MDB akan diselesaikan dalam masa tempoh enam bulan. Apa yang dapat difahami dari kenyataan PM itu adalah 1MDB akan berusaha menstrukturkan semula syarikat tersebut kembali positif dalam urus niaganya serta menurunkan jumlah hutangnya yang mencecah RM42 billion.

Menurut kenyataan Ketua CEO, Arul Kandasamy, 1MDB kini sedang berusaha menjual beberapa asetnya bagi mengurangkan jumlah hutangnya. Sekiranya proses penjualan aset berjaya dilakukan ia boleh mengurangkan jumlah hutang syarikat itu sebanyak RM16 billion. Ertinya hutang dapat dikurangkan dan berbaki lagi sebanyak RM26 billion.


Inilah matlamat utama PM Najib dan pihak pengurusan 1MDB bagi membuktikan pada rakyat syarikat itu mampu menyusun semula urus niaganya setelah dikritik hebat kerana berhutang begitu banyak dan cara-cara ia menjalankan urusniaganya.

Penyusunan dan penstrukturan semula syarikat ini bukan mustahil boleh dicapai dalam tempoh enam bulan seperti yang dinyatakan PM Najib. Namun persoalan besar yang masih dan tetap menjadi pertanyaan semua pihak adalah laporan-laporan dalam dan luar negeri tentang salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat tersebut. Semua persoalan yang timbul masih lagi belum ditemui jawabannya.

Sekiranya pihak pengurusan 1MDB berjaya memulihkan syarikat itu dalam masa tempoh enam bulan yang dijanjikan sehingga membawanya ke landasan yang betul ia masih mempunyai tanggungjawab bagi membersihkan segala tuduhan yang dilemparkan.

Dan ini hanya dapat dilakukan dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membawa mereka yang bertanggungjawab melakukan pecah amanah dan penyelewengan ke muka pengadilan. Proses ini mesti berjalan tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Tidak perlu untuk menyebut beberapa individu tertentu yang terlibat secara langsung dalam penyelewengan ini. Tambah menguatkan lagi tuduhan-tuduhan itu berasas adalah mereka semua telah pun melarikan diri ke luar negara bagi mengelak di soal siasat.

Pihak Bank Negara, SPRM, PDRM dan Peguam Negara mestilah secara serius bekerjasama membawa balik kesemua individu itu ke muka pengadilan untuk diadili. Selagi proses itu tidak berjalan selagi itu lah persoalan 1MDB tidak akan padam. Ia tetap akan muncul dari masa ke semasa.

Usaha 1MDB menyusun semula segala hutangnya amatlah disambut baik. Namun segala salah laku dan salah guna kuasa pihak tertentu mestilah dikenakan hukuman bagi menyempurnakan proses penyusunan semula syarikat itu agar ia lengkap dan sempurna.






Jumaat, 9 Oktober 2015

Penasihat PM Najib Tidak Kompeten ?

IKLIM politik di Malaysia kelihatan kelam kabut dan tidak stabil. Isu politik, perkauman, ekonomi dan agama silih berganti muncul satu demi satu. Lebih menakutkan isu perkauman semakin tajam dan dimanipulasi untuk mendapat sokongan dan perhatian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas kelihatan hilang kawalan. Nampak dia tidak mampu meredakan keadaan dan menyelesaikan isu-isu panas yang perlu diberi penyelesaian atau jawaban bagi menutup ruang-ruang ketidakpuasan hati sebilangan besar rakyat.

PM Najib Razak

Bila isu-isu penting dan utama tidak diberi jalan muktamad maka muncul pihak tertentu yang ingin menjadi jaguh atau pahlawan bertindak ikut suka dan memandai bagi menyelesaikan sesuatu isu menurut cara sempit mereka sendiri.

Ditambah pula sikap Perdana Menteri yang banyak berdiam diri dan lambat dalam memberi respons dan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit. Lebih memburukkan keadaan seolah PM mengharapkan pada dua tiga menteri memberi reaksi dan jawaban bagi pihaknya. Kadang-kadang kenyataan menteri-menteri ini telah memburukkan lagi keadaan dengan kenyataan mereka yang tidak memuaskan dan sering diperbodohkan khalayak ramai.

Apa sebenarnya punca terjadi sedemikian ? Apakah PM termasuk di dalam kelompok apa yang sering dikatakan sebagai pimpinan yang lemah ? Kita juga pernah dengar istilah "kepimpinan yang kuat". Adakah Najib seorang pemimpin yang lemah ?

Atau semua masalah ini berpunca daripada mereka yang berada disekelilingnya ? Apakah Najib dikelilingi para penasihat yang tidak kompeten dalam hal-hal urusan pentadbiran negara ?

Sebagai perbandingan semasa kepimpinan negara di bawah Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003. Tiada siapa boleh menafikan Dr Mahathir adalah termasuk dalam kategori kepimpinan yang kuat. Walaupun dibawah pimpinannya banyak isu kontroversi dan kelemahan-kelemahan berlaku semasa pentadbirannya. Tetapi semua itu bukan menjadi fokus di sini. Yang menjadi fokus ialah kepimpinan yang kuat, tegas serta berani. Dan Najib gagal mengulangi apa yang telah dilakukan Dr Mahathir.

Ironinya, Mahathir kini menjadi pengkritik nombor wahid terhadap pimpinan Najib.

Apa yang menariknya semasa pimpinan Mahathir selama 22 tahun tidak pernah kedengaran atau timbul soal para penasihat di Jabatan Perdana Menteri. Mahathir kelihatan mempunyai otonomi penuh dalam membuat sebarang dasar atau keputusan untuk kepentingan parti dan negara.

Barangkali benar Dr Mahathir juga mempunyai para penasihatnya sendiri. Tetapi para penasihatnya tidaklah kelihatan menonjol seperti yang kita lihat semasa pentadbiran Najib lebih-lebih lagi semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu popular dengan istilah "budak di tingkat 4".


Rabu, 7 Oktober 2015

Perdana Menteri dan Peguam Negara Tidak Boleh Berdiam Diri

SUDAH hampir tiga bulan Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengambil alih jawatan Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail. Dalam tempoh itu tidak kelihatan apa-apa langkah dan tindakan drastik diambilnya berkaitan isu 1MDB yang penuh dengan kontroversi penyelewengan dan salah guna kuasa pihak-pihak tertentu.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah lebih sebulan menghantar laporan bank itu kepada Peguam Negara mengenai siasatan terhadap 1MDB dan cadangan-cadangan tindakan yang perlu diambil Jabatan Peguam Negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Sehingga hari ini tiada apa-apa berita, tindakan atau respons daripada Peguam Negara terhadap laporan tersebut. Ini adalah suatu perkara yang pelik dan mengejutkan.

Tidak perlu mempunyai daya intelektual yang tinggi bagi sesiapa untuk membaca dan menganalisis segala perkembangan yang berlaku. Dan memberi pandangan dengan sikap Peguam Negara itu. Orang kampung dan orang biasa-biasa pun dapat meneka apa yang telah berlaku.

Peguam Negara perlu bersikap profesional dalam menjalankan tugasnya tanpa memilih bulu. Beliau dilantik sebagai peguam negara bukan peguam individu tertentu. Dan bukan peguam untuk kepentingan parti politik.

Isu 1MDB adalah satu isu yang serius dihadapi negara kerana ia melibatkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Ia semakin serius bila Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan rasmi menggesa isu tersebut diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan dan kesejahteraan negara.

Dalam konteks ini Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu mengambil langkah-langkah segera bagi mengatasi kemelut ini dan lebih penting memberi respons kenyataan Majlis Raja-Raja itu.

Sikap berdiam diri bererti mengheret terus negara ini ke kancah yang tidak diingini.