Selasa, 31 Januari 2012

Misi Rajagopal dan Harimau Malaya

HARIMAU MALAYA berkumpul dan menjalani latihan bulanan di Wisma FAM
minggu ini di bawah kelolaan jurulatih Datuk K. Rajagobal. Ini adalah latihan pertama
sejak Liga Malaysia bermula.

Beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sedang diatur FAM bagi mengekal
dan meningkatkan prestasi pasukan dalam menghadapi Piala Asia dan misi mempertahankan
kejuaraan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini.

Coach Rajagopal pasti menyedari cabaran dan tanggungjawabnya memastikan pasukan
Harimau memperolehi kejayaan dalam dua kejohanan tersebut.

Kita mempunyai ramai pemain-pemain yang berbakat dan berpotensi. Dalam kerancakan
Liga M sekarang sudah tentu Rajagopal mempunyai peluang memilih beberapa lagi pemain
baru yang difikir perlu diisi dalam menguatkan barisan yang sedia ada.

Sebenarnya Rajagopal tidak mempunyai banyak masalah tentang para pemain. Cabarannya
hanya bagaimana beliau memilih pemain yang tepat, mengadun dan mencorakkannya menjadi
satu unit pasukan yang berkesan.

Dia juga tidak boleh terlepas pandang satu atau dua pemain kuda tua yang tentunya boleh
membantu pasukan dengan pengalaman mereka. Membariskan hanya para pemain muda
sahaja dalam kejohanan seperti Piala Asia dan AFF bukanlah satu pilihan yang bijak.

Kadang-kadang pemain bertaraf kuda tua boleh banyak membantu dan melengkapkan
lagi sesebuah pasukan. Rajagopal tentu lebih arif tentang senarai pemain-pemain kategori
ini.

Lagipun, tugas Rajagopal kali ini bukan mudah dan akan menjadi perhatian semua pihak
termasuk majikannya, FAM dan seluruh penyokong Harimau Malaya.

Kegagalan dan kekecewaan pasukan dalam mengharungi kejohanan tersebut tentu akan
memberi kesan besar tentang kedudukannya sebagai jurulatih kebangsaan. Hanya kejayaan
dan kemenangan sahaja menjadi taruhan.

Raja sendiri tahu sekiranya pasukan Harimau gagal, jawatannya sebagai jurulatih akan
menjadi persoalan dan beliau perlu melepaskan jawatan itu. Namun semua orang percaya
Rajagopal adalah seorang jurulatih yang bagus dan berwibawa.

Beliau mempunyai kemampuan untuk membawa kejayaan buat Harimau sebagaimana
beliau buktikan semasa Piala AFF di Jakarta lalu.

Seronok dengar lagu - Selamanya Harimau Malaya!

Ahad, 29 Januari 2012

Antara Van der Sar dan De Gea

MANCHESTER UNITED tewas pada Liverpool 2-1 di Anfield semalam dan
menamatkan cabarannya untuk merebut Piala FA musim ini.

Dalam perlawanan itu jelas sekali lagi mempamerkan kelemahan benteng
pertahanan United, terutamanya penjaga gol David De Gea yang gagal membaca
dengan tepat pergerakkan bola.

Ini bukanlah kali pertama kelemahan prestasi De Gea menjaga gawang pintu
golnya. Sebelum ini pun dalam banyak perlawanan Liga prestasinya agak turun
naik dan tidak menentu.

David De Gea kelahiran Sepanyol dan berasal dari kelab Atletico Madrid dibeli
United bagi menggantikan Edwin van der Sar yang telah bersara. Tidak ragu lagi
Van der Sar adalah satu-satunya penjaga gol paling berjaya dan cemerlang sepanjang
berada di Old Trafford.

Dengan persembahan De Gea setakat ini memang payah baginya untuk menyaingi
ketangkasan Van der Sar menjaga pintu golnya.

Tidak pasti apa yang ada dalam fikiran Sir Alex Fergurson tentang penjaga golnya
ini. Apakah beliau sedang mencari penjaga gol baru bagi menggantikan De Gea ?
Tapi Fergurson pernah menyatakan sebelum ini bahawa De Gea masih memerlukan
masa membuktikan kualitinya yang sebenar.

Apa pun keputusan Fergurson, United bakal menghadapi risiko besar jika
prestasi yo-yo De Gea berulang dan berterusan. The Red Devils kini dicabar
hebat kelab jirannya, Manchester City dalam menduduki takhta Liga EPL.

Kelemahan di pintu gol sendiri boleh membawa padah pada United musim
ini setelah ia telah pun terkeluar dari saingan Piala FA dan Piala Juara-Juara.

Sabtu, 28 Januari 2012

Abdul Hadi sedia undur

HASRAT Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersedia untuk tidak bertanding dalam PRU13 ini sebagaimana laporan Sinar Harian, di muka depan hari ini boleh memberi berbagai tafsiran.

Abdul Hadi, dalam laporan tersebut menyatakan beliau sudah 30 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat dan ingin memberi peluang kepada para pemimpin pelapis menerajui parti pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, segalanya terserah pada parti menentukan adakah beliau patut terus bertanding dalam PRU13 ini. Apa pun keputusan, beliau hanya akan bertanding untuk satu kerusi sahaja;
sama ada DUN atau Parlimen. Kini Abdul Hadi adalah Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang.

Kenyataan Presiden Pas ini adalah sesuatu yang luar biasa dan bukan biasa-biasa. Dengan suasana PRU13 semakin hampir dan dianggap semua pihak sebagai "ibu" segala pilihanraya yang akan menentukan survival UMNO dan Pas sebagai parti orang melayu dan Islam di negara ini.

Apatah lagi matlamat Pakatan Rakyat kali ini ialah menawan dan menuju ke Putrajaya. Tiba-tiba pemimpin utama Pas menyatakan bahawa beliau sedia berundur. Agak pelik. Sedangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatan lebih uzur bertekad tidak mahu bersara lagi dan ingin terus bertanding dalam pilihanraya.

Walaupun ada pemimpin tertinggi Pas menganggap kenyataan Abdul Hadi ini adalah biasa dan tidak membayangkan ada sesuatu yang tersirat berlaku, namun sebagai ahli politik ia tidak lepas dari berbagai tafsiran dan sudut pandangan dari berbagai pihak, terutama di luar Pakatan Rakyat.

Dengan isu Dr. Hasan Ali, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden yang dikelilingi Timbalan serta tiga Naib Presiden yang bukan terdiri dari golongan ulamak tentunya sedikit sebanyak mempengaruhi suasana.

Calon-calon ulamak yang mendapat sokongan Abdul Hadi seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad telah tewas dalam pertandingan mereka sertai pada muktamar lalu. Dalam heiraki parti pula kekuasaan Abdul Hadi sebagai Presiden semakin mengecil sedangkan Mursyidul Am kelihatan lebih mencengkam dan berpengaruh.

Malah dalam keadaan tertentu kelihatan Tok Guru Nik Aziz adalah Presiden parti, manakala Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am. Sebagai Presiden, Abdul Hadi jelas tidak berpengaruh dan berkesan sepenuhnya dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih ahli parti.

Barangkali, demi menjaga nama parti dan perpaduan ahlinya - Abdul Hadi memilih berundur dan memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk meneruskan perjuangan parti. Hanya dengan jalan ini parti selamat dan beliau berundur secara terhormat.

Orang tidak akan lupa bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah orang yang merestui usaha untuk bekerjasama dengan UMNO dan menubuhkan kerajaan perpaduan. Kecaman Nik Aziz terhadap orang yang mengusahakannya seperti Dr.Hasan, Nasharudin dan Mustafa Ali sebenarnya tempiasnya juga terkena pada Abdul Hadi.

Iraq selepas Saddam


SEJAK pengunduran sebahagian besar tentera Amerika dari Iraq
beberapa bulan dulu, kota Baghdad terus dihujani letupan bom.
Letupan yang berlaku saling mengorbankan mangsa dari dua mazhab
yang bermusuhan - Sunni dan Syiah.

Keluarnya askar Amerika dari bumi Iraq rupanya menajamkan lagi
pertelingkahan dua mazhab tersebut. Syiah yang merupakan golongan
majoriti diwakili Nuri Al Maliki sebagai Perdana Menteri. Sementara
Tareq Hashemi, pemimpin Sunni kini diburu kerana dituduh terlibat
cubaan membunuh Al Maliki.

Nasib rakyat Iraq semakin buruk selepas era Saddam Hussein. Kota
Baghdad boleh dianggap hancur sama sekali. Segala kemudahan dan
infrastruktur musnah menjadi debu berterbangan.

Semuanya bermula dengan pencerobohan tentera Amerika dan sekutunya
menakluki Iraq dan menjatuhkan Saddam Hussein di atas alasan Saddam
mempunyai dan menyembunyikan senjata berbahaya.

Hingga kini apa yang dikatakan senjata berbahaya itu tidak ditemui.
IAEA yang diketuai Mohamed El Baradei pada masa itu mengesahkan
bahawa Saddam tidak memiliki senjata merbahaya seperti yang dituduh
Amerika dan sekutunya.

Namun itu semua tidak menghalang tentera bersekutu dari menceroboh
dan menakluki Iraq. George W.Bush dan Tony Blair yang merupakan dua
arkitek penting melaksanakan misi tersebut kini bagaikan "cuci tangan"
di atas apa yang berlaku yang telah mengorbankan banyak nyawa orang
awam.

Setelah semuanya tercapai Amerika berhasrat memulihkan sistem demokrasi
yang dianggap mati sepanjang era Saddam yang dikira kejam dan berkuku besi.
Namun terbukti bila demokrasi diamalkan dan pilihanraya diadakan dalam
pengawasan kuasa besar itu - Iraq terus bergolak dan perpecahan semakin
meruncing antara puak. Jauh sekali untuk mencapai keamanan dan kestabilan.

Iraq bertambah hancur, ketinggalan dan sukar dipulihkan.

Jumaat, 27 Januari 2012

Alahai...bas bertingkat..

BAS bertingkat semakin bertambah
di negara kita sekarang bagaikan cendawan.

Kebanyakan syarikat bas tempatan seolah berlumba mendapatkan bas baru dan bertingkat bagi memenuhi keperluan pengguna dan kepentingan perniagaan.

Sebahagian besar bas-bas ini digunakan untuk perjalanan jarak jauh; umpamanya dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan sebagainya.

Apakah pernah kita membuat kajian tentang bas bertingkat ini membuat perjalanan jauh dengan jalan yang ada bengkang-bengkok dan melalui kawasan yang tinggi ?

Kalau di atas jalan yang lurus seperti lebuhraya; pemandunya pula memecut seperti kilat. Kenderaan di sebelah bas yang dipintas, kadang-kadang boleh bergoyang.

Sudah berlaku beberapa kali kemalangan melibatkan bas jenis ini dan telah mengorbankan banyak nyawa. Sama ada kemalangan berlaku di lebuhraya atau di jalan yang berbukit-bukau, bas bertingkat ini
memang berbahaya.

Baru-baru ini bila berlaku kemalangan, pihak berkuasa ada menyatakan akan mengkaji semula penggunaan bas sedemikian. Namun sehingga hari ini belum ada lagi apa-apa tindakan yang konkrit.

Di London bas bertingkat memang digunakan. Tetapi ia hanya dalam kawasan sekitar bandar sahaja.
Mereka menggunakan dalam perkhidmatan jarak dekat dan dalam kelajuan amat rendah. Bukan seperti
di sini dengan kelajuan memecut seperti bas-bas biasa.

Kerajaan perlu menilai dan mengkaji semula penggunaan bas bertingkat ini dari segi kesesuaian dan
keperluan pengguna. Ia boleh terus digunakan, tetapi kena ada penyesuaian jarak perjalanan dan sebagainya. Jangan tunggu insiden-insiden yang lebih serius berlaku baru kita mahu ambil tindakan.

Barangkali, ada baiknya bas-bas bertingkat ini digunakan untuk laluan bas henti-henti dan dalam perjalanan singkat di sekitar bandar sahaja.

Khamis, 26 Januari 2012

Debat Najib - Anwar

IDEA dari Merdeka Center agar diadakan debat umum antara Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
telah mendapat berbagai reaksi.

Bagi Anwar dan Pakatan pembangkang cadangan debat ini adalah sesuatu yang
dinantikan, malah peluang sebegini tidak mahu dilepaskan begitu sahaja. Kalau
benar ia dapat diadakan ia bagaikan kena nombor ekor bagi pembangkang, lebih-
lebih lagi pada Anwar Ibrahim.

Di sebelah kerajaan pula cadangan debat ini adalah sesuatu yang tidak relevan
buat masa sekarang. Apa yang hendak didebatkan? Apakah dengan berdebat mampu
menyelesaikan segala isu dan masalah yang berbangkit?

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri telah berlaku dua
perdebatan yang dianjurkan kerajaan sendiri iaitu antara Anwar Ibrahim dan Ahmad
Shabery Cheek dalam isu harga minyak. Keduanya ialah antara Koh Tsoo Koon dengan
Lim Guan Eng.

Hasil dari kedua debat tersebut jelas tidak banyak memberi kesan positif pada
masyarakat seluruhnya. Malah isu dan fakta di dalam debat bertambah meleret
dan tidak memberi jalan keluar penyelesaian terhadap isu-isu tertentu.

Yang menjadi perhatian ramai ialah siapa yang lebih hebat berpidato. Sudah
tentu tokoh yang bijak beretorik dan petah berbicara sahaja mampu memanipulasi
suasana perdebatan.

Segala permasalahan rakyat tidak akan selesai di dewan debat. Debat hanyalah
bagi orang yang mencari publisiti dan populariti secara percuma, lebih-lebih
lagi dekat dengan pilihanraya.

Dalam konteks debat Najib - Anwar tentunya tidak memberi apa-apa pada
Najib dan kerajaan. Namun bagi Anwar peluang berdebat adalah sesuatu yang
berharga dan tidak boleh disia-siakan peluang itu begitu sahaja.

Rabu, 25 Januari 2012

Drama tebusan dan UTK

EPISOD cemas seorang kanak-kanak menjadi tebusan dalam sebuah rumah di Kampung Baru
kelmarin telah mengemparkan seluruh penduduk disekitarnya. Kanak-kanak perempuan
itu ditawan penculik yang merupakan seorang penagih dadah selama enam jam.

Dalam jarak waktu itu berbagai perasaan cemas dan mendebarkan setelah pelbagai
usaha memujuk penculiknya yang bersenjatakan pisau, termasuklah menggunakan pakar
psikiatri menemui jalan buntu.

Namun akhirnya dengan bantuan pasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK) penculik
tersebut dapat ditewaskan dan kanak-kanak yang menjadi tebusan dapat diselamatkan.
Penculik mati di hospital akibat terkena tembakan di rusuk kiri.

Ini bukanlah kali pertama kelibat UTK yang telah berjaya menyelesaikan drama tebusan
dengan begitu berkesan dan berjaya. Unit pasukan ini telah membuktikan bahawa ia
adalah sebuah pasukan yang cekap dan berdisiplin. Sesuai dengan rekodnya sebagai
antara 10 terbaik di dunia.

Apa yang lebih menarik perhatian setelah insiden ini selesai seluruh penduduk dan
orang ramai sekitarnya bersorak kegembiraan kerana tebusan dapat diselamatkan.
Dan kredit tentunya untuk pasukan polis, khususnya pada pasukan dan anggota UTK.

Selasa, 24 Januari 2012

EU sekat minyak Iran

NEGARA Kesatuan Eropah (EU) telah bersepakat melaksanakan sekatan import
minyak dari Iran. Langkah ini diambil untuk memaksa Iran kembali ke meja rundingan
bagi membincangkan isu bahan nuklear yang sedang diusahakannya.

Israel - negara yang paling mencurigai potensi Iran menjadi kuasa nuklear telah
mendesak dan memberi tekanan pada Amerika dan Eropah agar bertindak terhadap
Iran sebelum terlambat dan menjadi ancaman pada dunia.

Namun Iran telah berkali-kali menyatakan bahawa projek nuklearnya adalah tujuan
aman dan sebagai bahan tenaga. Malah ia menganggap adalah menjadi haknya untuk
memiliki bahan nuklear sebagaimana negara kuasa besar lain, khususnya Israel.

Dengan sekatan baru ini apakah Iran akan menjadi lemah dan tergugat? Walhal berbagai
sekatan dikenakan pada negara itu sepanjang tiga dekad lalu. Tetapi Iran terus
membangun dan menjadi "duri dalam daging" dalam konteks politik Timur Tengah.

Para pemimpin Iran terus menerus mencabar Amerika dan sekutunya dan tidak
menunjukkan bahawa mereka gentar, malah kelihatan bersedia untuk melancarkan
perang.

Ini termasuklah ancaman Iran bahawa mereka akan menyekat laluan Selat Hormuz
yang menjadi laluan strategik kapal-kapal membawa minyak ke Eropah. Dan Amerika
telah pun mengeluarkan amaran bahawa ia tidak akan berkompromi dan tunduk
jika Iran menutup laluan selat tersebut. Ertinya, sekiranya kedua belah pihak terus
berdegil, maka akan berlakulah perang!

Bagaimanapun, banyak penganalisa meramalkan dengan langkah sekatan baru ini
mampu memberi kesan pada Iran. Pertamanya; nilai mata wang Iran semakin susut
berbanding dollar. Ini mengakibatkan segala harga barangan keperluan rakyat Iran
akan meningkat naik secara mendadak. Tambahan pula Bank Pusat Iran terus mendapat
tekanan dari EU.

Dengan tekanan dan akibat tersebut mereka mengharapkan rakyat Iran akan bangkit
memprotes dijalan-jalanraya hasil tekanan kos hidup yang terpaksa mereka tanggung -
sebagaimana yang berlaku di negara-negara Arab.

Semuanya akan terletak pada rakyat Iran; apakah mereka akan terus bersatu bersama
pemimpin mereka mempertahankan negara mereka atau keperitan kos hidup akan
mendorong mereka bangkit menjatuhkan kerajaan sedia ada?




Khamis, 19 Januari 2012

Russia beri amaran

MENTERI Luar Russia, Sergey Victorovich Lavrov memberi amaran keras
pada Barat dan sekutunya agar tidak mengambil tindakan ketenteraan terhadap
Syria dan Iran.

Kenyataan ini adalah antara yang paling keras dan tegas dari pemimpin Russia
sebagai tanda sokongan pada dua negara sekutunya di Timur Tengah.

Iran dan Syria mempunyai hubungan militer, perdagangan dan strategik bagi
Russia dan ia tidak mampu melihat kedua negara itu menerima nasib yang sama
seperti Libya.

Campurtangan pakatan NATO bagi menumbang rejim Muammar Gaddafi yang
lalu telah mendapat bantahan keras dari Russia dan rakan sekutunya, China.
Akibat campurtangan tersebut Russia dan China telah kehilangan berbillion dollar
pelaburan dan nilai perdagangan dengan Libya.

Justeru mereka kehilangan rakan dan sekutu perdagangan di rantau tersebut.
Apa yang berlaku di Libya - bagi Russia tidak mungkin berulang di Iran dan Syria.
Faktor sumber minyak terutama dari Iran akan memastikan Russia akan terus
melindungi dan mempertahankan kepentingannya dari tergugat dan terancam.

Dengan penegasan dari Kremlin itu sekurang-kurangnya melegakan Ahmadenejad
dan Bashar Al Assad untuk sementara waktu.

Mohamed Ghaddar kurang berbisa

Mohamed Ghaddar, penyerang import Kelantan yang berasal dari Lubnan setakat
ini dari tiga perlawanan belum lagi mempamerkan prestasi sebenar yang diharapkan
dari para peminat The Red Warriors.

Dari tiga perlawanan lalu Ghaddar hanya menjaringkan satu gol ketika menentang
Lions XII - itupun dari sepakan penalti(gambar di atas). Dalam perlawanan itu Kelantan
menang 2-1 yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sebagai pemain penyerang, Ghaddar setakat ini masih gagal menyempurnakan tugasnya
menjaringkan gol; kerana itu tugasnya sebagai pemain import dalam pasukan Kelantan.
Sebaliknya, striker kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha lebih menyengat dan berbisa.

Esok Kelantan akan berkunjung ke Stadium Darul Aman bertemu Kedah. Pihak KAFA
sudah tentu akan melihat dan menilai prestasi Ghaddar dalam perlawanan tersebut. Sekiranya
persembahan pemain dari Beirut itu masih ditahap sama, kemungkinan kedudukannya dalam
pasukan Kelantan dan Liga M perlu dinilai semula.

Dengan keputusan FAM memberi kelonggaran pada setiap pasukan sehingga April ini
bagi mendaftar pemain import baru - memberi peluang setiap pasukan menghantar pulang
para pemain import yang berstatus "cap ayam".

Para pemain import yang diambil bermain seharusnya mempunyai kualiti mengatasi para
pemain tempatan. Mereka mesti dikalangan yang berstatus "cap harimau". Barulah kehadiran
mereka dalam Liga M memberi nilai dan makna pada perkembangan bola sepak negara.

Khabarnya, Selangor dan T-Team akan menghantar pulang pemain import mereka lantaran
tidak mencapai tahap prestasi yang diperlukan. Dan kesemua pasukan mempunyai tempoh
sehingga April ini bagi memenuhi kekosongan.

Dalam pasukan Kelantan selain Ghaddar, seorang lagi pemain import, Danny Antwi juga
agak mengecewakan. Nasib mereka akan diketahui sebelum April.

Rabu, 18 Januari 2012

BR1M dan nilai RM500

ORANG ramai sudah mulai menerima baucer bernilai RM500 melalui skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M sehari dua ini. Mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 layak menerima bantuan tersebut.

Kelihatan di mana sahaja semua orang kelihatan ceria dan gembira bila menerima wang tunai dan baucer. Ini dapatlah difahami kerana dengan RM500 banyak perkara yang boleh meringankan bebanan kebanyakan keluarga yang berpendapatan rendah.

Memang apalah sangat nilai RM500 pada masa sekarang dengan segala-galanya kos hidup melambung dan harga barang keperluan terus meningkat naik. Langkah kerajaan melalui BR1M ini seharusnya dinilai dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

Namun disebalik itu ada juga pihak yang seolah memperkecilkan nilai RM500 itu seolah ianya cuma lekat dicelah gigi. Malah berbagai telahan dan pandangan negatif dilemparkan terhadap pemberian kerajaan ini.

Barangkali, bagi mereka yang sudah sedia mewah memandang remeh bantuan BR1M itu. Tetapi bagi golongan yang bekerja "kais pagi makan pagi" tentunya nilai bantuan tersebut amat bernilai dan berharga. Dan keceriaan di wajah mereka semasa menerima bantuan tersebut menggambarkan betapa mereka memerlukan sedikit bantuan - walaupun jumlahnya tidaklah sampai empat angka.

Bagi pihak kerajaan pula harapannya ini bukanlah skim pertama dan terakhir. Moga-moga akan ada lagi bantuan seumpamanya pada masa akan datang, lebih-lebih lagi sesudah PRU13 ini. Jangan pula setelah berjaya dalam pilihanraya, maka skim bantuan seperti ini akan muncul hanya setelah hampir pilihanraya umum lima tahun lagi.

Rakyat yang sedar dan tahu menghargai pemberian ini tentunya merasa syukur dan dapat menilai dengan sewajarnya.

Selasa, 17 Januari 2012

Antara akademik dan politik

TIDAK ramai yang tahu Dr. Ting Chew Peh sebelum beliau bergiat aktif dalam politik MCA adalah seorang ahli akademik dan penulis dalam bahasa melayu yang aktif.

Bertugas sebagai seorang pensyarah dalam bidang Antropologi dan Sosiologi di salah sebuah universiti tempatan - sebelum aktif politik.

Dr. Ting banyak menulis perihal subjek asmilisasi dan polarisasi kaum dalam tulisan-tulisannya. Kebanyakan rencananya itu tersiar dalam majalah Widya dan Dewan Masyarakat pada awal 80an.

Beliau pernah dipilih sebagai antara penulis terbaik oleh majalah Dewan Masyarakat di atas sumbangan tulisannya semasa majalah tersebut di bawah kelolaan pengarang Noor Azam. Penulis lain yang menerima penghargaan bersamanya ialah Mansor Ahmad Saman atau nama penanya T.S.Lanang. Keduanya merupakan kolumnis tetap di majalah tersebut.

Tetapi sejak beliau menjadi seorang politikus dan menjadi wakil rakyat Gopeng, tulisan-tulisan beliau sudah tidak muncul lagi. Bermula dengan jawatan sebagai Setiausaha Agung MCA dan seterusnya menjawat Menteri Perumahan, dunia penulisan dan akademik semakin jauh ditinggalkannya.

Kemuncaknya, Dr. Ting telah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MCA menentang Chan Kong Choy. Namun beliau tewas dalam pertandingan itu.

Dr. Ting adalah antara ahli akademik yang menerjunkan diri dalam politik dan ditelan arus serta peredaran masa.

Isnin, 16 Januari 2012

Nasharudin Mat Isa belum kena tindakan

BEKAS Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara orang yang menyokong kuat
Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat dari parti baru-baru ini. Kehadiran beliau di rumah Dr. Hasan semasa sidang akhbar diadakan selepas beliau dipecat menceritakan segalanya.

Beliau bukan sahaja hadir, malah telah memberi ucapan sebagai tanda sokongannya terhadap Dr. Hasan. Dalam ucapannya, Nasharudin antara lain mengatakan tidak ada pemimpin mempunyai pendirian kuat dan teguh seperti Dr. Hasan; walaupun menerima tekanan dari kiri dan kanan dalam memperjuangkan prinsip perjuangannya.

Nasha dan Hasan adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang dikecam hebat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat satu masa dulu kerana terlibat dalam mengadakan kerjasama dengan UMNO. Mereka berdua diberi kata dua agar keluar parti sekiranya meneruskan niat tersebut yang tidak mendapat restu majoriti pemimpin parti.

Kini Dr. Hasan telah dipecat dan Nasha masih ahli parti. Dengan kehadirannya di rumah Dr. Hasan dan sokongannya secara terbuka pada rakannya itu boleh dikira telah melanggar disiplin parti. Parti boleh bertindak di atas kehadiran dan sokongannya itu. Tetapi hingga kini tidak ada apa-apa reaksi dari parti terhadap sikap dan pendirian Ustaz Nasha itu.

Apa yang lebih menarik perhatian dalam sidang akhbar di rumah Dr. Hasan itu ialah kehadiran Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang turut memberi sokongan dan memberi ucapan. Kelihatan Ibrahim Ali duduk bersebelahan Ustaz Nasha sambil berbual mesra.

Setakat ini PAS tidak mengambil tindakan apa-apa terhadap Ustaz Nasha. Isu Hasan Ali ini pun bagi PAS boleh menjejaskan sedikit sebanyak populariti parti terutama di Selangor. Kalau parti mengambil tindakan yang sama terhadap Nasharudin, tentunya ia akan menambah masalah parti.

Justeru itu adalah lebih selamat sikap Nasha itu dipendamkan dahulu. Adalah satu perkara yang tidak menguntungkan parti sekiranya tindakan diambil terhadap keduanya yang merupakan bekas pemimpin tertinggi parti.

Sebarang langkah yang hendak diambil terhadap Nasha perlu diambil kira suasana politik semasa yang kini diambang PRU 13. Kecuali Ustaz Nasharudin mengambil sikap sama seperti Dr. Hasan dengan menyerang secara terbuka segala dasar parti.



Sabtu, 14 Januari 2012

Ahmad Boestamam seorang pejuang

AHMAD BOESTAMAM adalah antara tokoh politik dan pejuang kemerdekaan yang masuk dan keluar penjara menentang penjajahan Inggeris.

Beliau bersama Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM yang merupakan parti Melayu pertama memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Nama sebenarnya ialah Abdullah Sani bin Raja Kecil. Boestamam adalah nama samarannya dalam bidang penulisan. Beliau juga seorang wartawan dan pernah memimpin akhbarnya sendiri - Suara Rakyat.

Selain dari menulis beliau juga seorang penyair dengan menggunakan nama penanya, Ruhil Hayat. Adakalanya beliau memakai nama samaran Sani Bain.

Beliau mempunyai banyak nama samaran sehingga namanya yang sebenar tidak begitu dikenali. Namun beliau lebih terkenal sebagai Ahmad Boestamam.

Selepas negara merdeka beliau menyertai Parti Rakyat Malaysia dan menjadi ahlinya sehingga beliau meninggal dunia pada 1983. Diakhir usianya beliau banyak menulis dan pernah menjadi kolumnis di akhbar Utusan Malaysia dalam waktu yang tidak lama. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa masih menjadi kolumnis tetap di akhbar Watan yang dimiliki oleh Tan Sri Khir Johari.

Ahmad Boestamam telah banyak menghasilkan buku. Antara buku yang paling saya suka dan miliki ialah
"Bagaimana Menjadi Seorang Penulis". Buku nipis setebal 100 muka surat itu memberi bimbingan dan panduan untuk menjadi seorang penulis khususnya kepada anak-anak muda yang berminat menceburi bidang tersebut.

Dalam buku tersebut Boestamam mencerita bagaimana beliau pergi ke London bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang. Tetapi oleh kerana beliau tidak kuat mengingat, beliau telah gagal dalam cita-citanya untuk menjadi seorang peguam.

Namun katanya beliau tidak pulang tangan kosong dari London, sebaliknya beliau berjaya memperolehi
Diploma in Journalism dari School Of Journalism di Fleet Street, London. Justeru itu segala ilmu penulisan yang diperolehinya dipersembahkan dalam buku tersebut.

Ahmad Boestamam adalah satu nama yang tidak boleh diketepikan dalam lipatan sejarah negara mencapai kemerdekaan.



Rabu, 11 Januari 2012

Anak Apak

ANAK APAK Memoir Politik Kewartawanan karya Subky Abdul Latif telah dilancarkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said pada awal Disember lalu di sebuah gedung membeli belah di ibukota. Buku setebal 437 muka surat itu berharga RM 25. Ianya diterbitkan oleh Kemilau Publika.

Menurut pengarangnya, Subky Abdul Latif,  ANAK APAK merupakan Jilid pertama dan akan dikuti dengan Jilid kedua dan ketiga. Jilid kedua bertajuk "Propagandis Zaman" dan ketiga "Manis-Manis Politik".

Anak Apak lebih berkisar tentang masa kecilnya, keluarga dan bapanya yang dipanggil Apak. Seterusnya cerita bagaimana beliau menjadi wartawan di Utusan Melayu bermula di Pulau Pinang.

Jilid kedua dan ketiga bakal terbit yang lebih berkisar tentang dunia penulisan dan kewartawanan yang dilaluinya serta pengalamannya sebagai seorang aktivis politik.

Anak Apak ialah sebuah memoir yang menarik dan seronok dibaca, apatah lagi Subky menulisnya dalam gaya yang mudah dan santai. Tidak berat membacanya sekalipun setebal lebih 400 muka surat.

Oleh kerana saya mendapat diskaun istimewa dari seorang kawan yang kebetulan seorang penjual buku; saya telah mendapatkan dua nashkah sekaligus. Satu untuk disimpan dalam beg galas untuk ke sana ke mari dan satu lagi diletakkan dirak buku di rumah.

Kalau dalam perjalanan atau saat menunggu sesuatu yang kekadang membosankan, boleh saya menatap dan membacanya dari helai ke helai muka suratnya. Dan bila malam selepas waktu Isyak sekiranya tidak ada apa nak dibuat boleh capai saja buku itu yang tertidur di rak buku.

Membaca karya memoir memang seronok, mengasyikkan !



Isnin, 9 Januari 2012

Dr. Hasan Ali akan terus berjuang

DR. HASAN ALI yang dipecat dari parti PAS berikrar akan terus berjuang mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja. Beliau menolak kemungkinan menyertai UMNO atau Perkasa.

Dalam sidang akhbarnya Dr. Hasan menerangkan salah satu puncanya beliau dipecat ialah kerana beliau tidak menyokong Anwar Ibrahim. Tegasnya beliau sudah lama tidak bersama Anwar di atas pentas atau ceramah di seluruh negara. Dan ini telah menimbulkan rasa tidak senang dikalangan para pemimpin yang pro-Anwar dalam parti.

Ironinya, penglibatan Dr. Hasan dalam politik secara aktif bermula sejak Anwar dipecat dari kabinet dan era reformasi. Sebelum itu Dr. Hasan hanya aktif sebagai seorang penceramah motivasi dan pendakwah. Beliau telah memilih PAS sebagai platformnya untuk memperjuangkan keadilan yang baginya masa itu Anwar telah dianiaya.

Tetapi takdirnya hari ini beliau disingkirkan dari parti yang dipilihnya kerana faktor Anwar Ibrahim. Beliau masuk politik kerana Anwar dan dipecat juga kerana Anwar.

Dengan kemungkinan beliau juga akan kehilangan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Hasan tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan melainkan sebagai ADUN Gombak Setia.

Justeru itu inilah ujian sebenar beliau sebagai seorang pejuang yang beliau sering lafazkan ingin terus mempertahankan Islam, Melayu dan Raja-Raja. Apakah dengan tidak berjawatan Dr. Hasan Ali akan terus sepi dan lenyap dari arus masyarakat ?

Dr. Hasan perlu buktikan bahawa beliau mampu bersuara dan berjuang walaupun sudah tidak berparti dan berjawatan. Perjuangan sebenar dan ikhlas tidak memerlukan sebarang jawatan. Orang yang berkepentingan dan mencari kedudukan akan lenyap ditelan masa.

Sudah banyak para pemimpin yang lantang bersuara dikala mempunyai kedudukan. Setelah tidak mempunyai sebarang jawatan maka iapun lenyap.

Dr. Hasan mesti buktikan bahawa beliau bukan jenis spesis itu !



Anwar Ibrahim bebas

HAKIM Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas tuduhan meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan empat tahun dahulu.

Keputusan mahkamah ini telah mengejutkan semua pihak, bukan sahaja pihak penyokong kerajaan bahkan Datuk Seri Anwar dan para penyokongnya.

Ada yang mengatakannya sebagai ajaib dan menganggap mahkamah sebagai "baik". Pihak kerajaan pula memberi reaksi sebagai mahkamah di negara ini adalah bebas dan tidak dipengaruhi unsur politik.

Antara hujah Hakim membebaskan Anwar ialah; bukti DNA tidak kukuh dan tidak boleh diterima mahkamah dan pendakwa hanya bergantung keterangan Saiful Bukhari sebagai bukti.

Apa pun, keputusan mahkamah perlu dihormati oleh semua pihak.

Namun seperti kata Anwar setakat ini beliau bersyukur, tetapi pihak pendakwa boleh membuat rayuan seterusnya. Masih ada lagi ruang dari segi undang-undang iaitu di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
Ertinya setakat ini ia belum muktamad.

Tetapi sehingga saat ini keputusan membebaskan Anwar telah memberi sedikit kemenangan moral pada diri beliau dan Pakatan Rakyat. Apakah keputusan ini memberi kelebihan pada pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 nanti ?

Dan adakah sokongan pada kerajaan akan terjejas, lebih-lebih lagi pada pengundi-pengundi di atas pagar ? Semuanya ini tidak mudah dijawab kerana berbagai kemungkinan boleh berlaku dari sekarang hingga tarikh pembubaran Parlimen.

Menurut ulasan sebuah stesen TV negara jiran sehari sebelum keputusan mahkamah; pengulasnya mengatakan sekiranya Anwar Ibrahim didapati bersalah dan dipenjarakan, pihak pemerintah akan hilang banyak undi dalam pilihanraya umum nanti. Katanya, ramai pengundi Cina, terutamanya Melayu akan memberi undi simpati pada Anwar dan pakatan pembangkang.

Sekiranya pandangan pengulas itu benar, apakah dengan pembebasan Anwar itu memastikan para penyokong kerajaan selama ini tidak akan terjejas ?

Ahad, 8 Januari 2012

Kelantan kecundang lagi...

THE RED WARRIORS gagal mempertahankan Piala Sumbangsih bila tewas pada Negeri Sembilan 1-2 semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beberapa minggu lalu mereka juga gagal memenangi Piala Perpaduan atau Unity setelah tewas pada pasukan Persebaya Indonesia dengan agreget 4-3 secara perlawanan timbal balik.

Sebelum ini Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa telah menyatakan bahawa musim 2012 ini Kelantan berazam menyapu bersih semua piala yang dipertandingkan.

Ini berdasarkan persiapan awal yang dilakukan dibawah jurulatih Peter Butler dan kehadiran dua pemain import Muhamad Ghaddar dan Dennis Antwi.

Namun berdasarkan perlawanan semalam dengan Negeri Sembilan, kedua pemain import Kelantan itu tidak berkesan dan memberi impak besar pada pasukan. Sebaliknya pemain import Negeri Sembilan, Effa Owona dari Cameroon lebih menyerlah dan berperanan menentukan kemenangan pasukannya.
Owona telah menjaringkan kedua gol dan terpilih sebagai "Man of The Match".

Kekalahan Kelantan semalam telah memberi tamparan pada seluruh penyokongnya kerana sebelum ini pasukan Kelantan adalah pasukan favourite dan pilihan ramai memenangi piala tersebut.

Berdasarkan persembahan semalam dan semasa menentang Persebaya, tugas Peter Butler masih jauh dari apa yang diharapkan. Dan paling jelas dua pemain import; Ghaddar dan Antwi agak mengecewakan. Prestasi mereka lebih kurang sama dengan pemain tempatan.

Kelantan akan berkunjung ke Singapura minggu depan bagi pertemuan dengan pasukan Lions X11. Peter Butler memikul tugas berat bagi memulihkan imej pasukan The Red Warriors yang sedikit tercalar. Sekiranya prestasi mereka sama seperti pertemuan dengan Persebaya dan Negeri Sembilan semalam pasukan Kelantan akan menerima padah bila berkunjung ke Stadium Jalan Besar, Singapura. Apatah lagi bermain di sana di atas padang tiruan.

Khamis, 5 Januari 2012

Libya tanpa angkatan tentera

SETELAH regim Gaddafi tumbang Libya kini menghadapi masalah puak-puak milita yang berjuang di medan perang enggan menyerahkan senjata yang dimiliki pada pihak berkuasa. Pihak NTC atau Majlis Peralihan Kebangsaan telah berulangkali meminta agar mereka yang bersenjata dan terlibat secara langsung dalam peperangan lalu menyerahdiri dan diserapkan menjadi anggota tentera negara itu.

Libya kini menjadi sebuah negara tanpa anggota tentera. NTC mempunyai tugas berat dalam menyusun semula anggota keselamatannya. Masalah menjadi lebih rumit dengan berlakunya persengketaan antara kumpulan yang berjuang dalam beberapa puak. Mereka saling berbunuhan sesama mereka terutamanya di Tripoli dan Misrata.

Oleh kerana tiadanya anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang sempurna, kumpulan pejuang ini telah melakukan sendiri kawalan keselamatan dijalan-jalanraya dan seluruh bandar. Mereka berpakaian biasa dan lengkap bersenjata.

Kelmarin pihak NTC telah mengambil langkah dengan melantik bekas general bersara Youseff Manggoush sebagai Panglima Tentera bagi menyusun semula angkatan tentera Libya. Youseff adalah antara pegawai tentera yang berperang menentang Gaddafi.

Tugas Youseff dan NTC bukan mudah dan akan mengambil masa bagi membina semula angkatan tentera dan seluruh institusi keselamatannya yang lumpuh akibat perang. Ia akan menjadi bertambah rumit dengan sikap para pejuang yang terdiri beberapa puak terus berdegil enggan menyerahkan senjata mereka.

Pilihanraya masih jauh lagi kerana deraf perlembagaan masih dalam perbincangan. Kini NTC sedang merangka undang-undang bagi melantik wakil-wakil bagi mewakili kepentingan rakyat. Proses membangun Libya masih penuh dengan ranjau dan berduri.

Apa yang membimbangkan ialah meletusnya perang saudara sekiranya pihak berkuasa gagal menangani masalah puak-puak yang masih bersengketa dan bersenjata.


Selasa, 3 Januari 2012

" Killing two birds with one stone "

TUN MUSA HITAM semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah memberi kata dua kepada Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan masa itu agar membuat pilihan sama ada mahu jadi ahli politik atau ahli perniagaan.

Selepas Tun Musa menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah(Ku Li) dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO buat kali kedua, Dr. Mahathir telah mengekalkan terus Tengku Razaleigh dalam kabinet dengan melantiknya sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Sebaliknya Menteri Kewangan; jawatan yang dipegang Ku Li diserahkan pada Tun Daim. Kebetulan Ku Li dan Daim adalah rakan rapat.

Keputusan Dr. Mahathir membawa Tun Daim dalam kabinet tidak menyenangkan Tun Musa. Apatah lagi Ku Li kekal berada di dalam kabinet.

Menurut perkiraan Tun Musa setelah dia berjaya menewaskan Ku Li sebanyak dua kali bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1981 dan 1983, Dr. Mahathir akan menggugurkan Ku Li dari kabinet.

Tun Musa sebenarnya mempunyai calonnya sendiri bagi jawatan Menteri Kewangan. Beliau ialah Dr. Nawawi Mat Awin, bekas Pengerusi Bank Bumiputera pada tahun 80an.

Bagi Tun Musa, kemasukkan Daim dalam kabinet mengancam kedudukannya dari segi politik UMNO dan menguatkan Dr. Mahathir serta menyelamatkan hayat politik Ku Li.

Suasana politik ini bertambah keruh dengan kehadiran Anwar Ibrahim yang pada ketika itu sedang meningkat naik dan popular di kalangan ahli parti. Hubungan Anwar dengan Musa pula pada masa itu agak masam-masam manis.

Dengan faktor Ku Li, Daim dan Anwarlah, Tun Musa merasakan dirinya tersisih - walaupun dia adalah Timbalan Presiden parti.

Disinilah punca bibit-bibit keretakan hubungan Mahathir-Musa yang masa itu lebih dikenali sebagai kerajaan 2M.

Kemuncak ketidakpuas hati Tun Musa ini telah diluahkan dalam satu ucapannya semasa merasmikan persidangan Pemuda dan Wanita UMNO.

Dalam ucapan tersebut Tun Musa dengan tidak menyebut nama orang tertentu telah memberi amaran pada pemimpin tertinggi UMNO agar memilih sama ada mahu menjadi ahli politik atau ahli korporat. Kerana menurut Musa, politik dan perniagaan tidak boleh dicampuradukkan.

Tun Musa Hitam melihat Tun Daim bukan sebagai ahli politik tetapi lebih sebagai tokoh korporat.

Kehadiran Daim, Ku Li dan Anwar dalam kabinet Mahathir terus menghantui Musa sehinggalah dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun perletakkan jawatannya itu bukanlah satu titik noktah. Dia cuba ' come back ' dengan berpakat dengan Ku Li menentang kepimpinan Dr. Mahathir.

Strategi Musa semasa itu ialah seperti kata pepatah Inggeris ' killing two birds with one stone '.

Seterusnya apa yang berlaku telah menjadi sejarah hitam dalam politik negara dan UMNO khususnya.

Yang dimaksudkan pepatah Inggeris ' two birds ' itu - bukanlah terjadi pada Mahathir, sebaliknya menimpa Musa dan Ku Li. Khalas.

Antara Mahathir dan Anwar

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM semasa berada dalam kerajaan sering menganggap Dr. Mahathir Mohamad sebagai bapa dan mentornya dalam politik.

Kemasukannya dalam parti UMNO adalah ekoran dari tertariknya dengan gaya pimpinan Dr. Mahathir sejak dari awal mentornya itu menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn.

Dr. Mahathir pula memperlihatkan sikapnya yang seolah mempersiapkan Anwar sebagai bakal penggantinya.

Ini dapat dilihat pada awal Anwar masuk UMNO, Dr. Mahathir melalui Setiausaha politiknya, Megat Junid Megat Ayob telah memberi sokongan secara terbuka pada Anwar semasa menentang penyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO, Hj. Suhaimi Kamaruddin.

Dalam pertandingan itu Anwar berjaya menewaskan Hj. Suhaimi dengan kelebihan 10 undi. Sejak itu bintang Anwar terus bersinar dalam heiraki pimpinan UMNO.

Dari jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan sehinggalah menjawat Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Semuanya adalah hasil sokongan dan dukungan Dr. Mahathir sepanjang masa. Tanpa sokongan Dr. Mahathir, Anwar tidak akan berada di kedudukan yang telah dilaluinya sebelum ini.

Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri(TPM) telah memperlihatkan betapa kuat dan pengaruh kekuasaannya dalam landskap politik negara.

Semua media; baik cetak atau letronik termasuk Utusan, New Straits Times, RTM dan TV3 dikuasai oleh kroni-kroninya. Kedudukannya terlalu kebal hingga sukar digugat oleh sesiapa.

Tetapi takdirnya Anwar Ibrahim tumbang juga dari seorang wanita bernama Ummi Hafilda Ali yang telah menulis surat pada Dr. Mahathir tentang 'salah laku moral' TPM itu.

Isi surat tersebut telah menghantui kerjaya politik Anwar dan 27 juta rakyat Malaysia hingga kini.

Keputusan mahkamah dalam kes liwat kedua pada 9 Januari ini belum tentu dapat merungkai segalanya.