Sabtu, 30 April 2011

Fatah dan Hamas berdamai

DALAM akhbar Utusan Malaysia, 29 April lalu melaporkan, kumpulan pejuang Palestin , Fatah dan Hamas telah pun berdamai setelah sekian lama bermusuhan sesama sendiri. Rundingan itu diadakan di Mesir.

Berita ini tentulah disambut penuh gembira oleh seluruh dunia Arab dan umat Islam seluruhnya. Sebelum ini mereka telah bermusuhan sehingga membunuh sesama sendiri. Ini sungguh mengecewakan umat Islam kerana perjuangan membebaskan Palestin dari cengkaman Yahudi telah menemui jalan buntu.
Abbas dan Ismail Haniyeh

Fatah lebih pro barat. Sedangkan Hamas tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Dengan perkembangan ini sudah tentu ianya tidak disenangi rejim Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu. Netanyahu begitu dendam dengan Hamas, lebih-lebih lagi, Ismail Haniyeh.

Pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas, sebelum ini begitu rapat dengan Israel termasuk mengadakan beberapa perjanjian dengan rejim tersebut. Seperti yang diketahui, semua perjanjian yang dicapai sering dicabuli oleh pihak Israel. Kelihatan kumpulan Fatah sering dipermainkan dalam setiap rundingan yang telah dipersetujui.

Dengan langkah Fatah bersatu kembali dengan Hamas , sudah tentu ianya memberi pukulan yang hebat pada Israel. Mahmoud Abbas tentu sudah bosan dan jemu dengan sikap Israel yang di sokong kuat oleh Amerika, membuli rakyat Palestin sekian lama.

Sebenarnya, Fatah dan Hamas telah berdamai beberapa tahun dahulu di Arab Saudi. Tetapi perdamaian itu tidak kekal lama , sehingga mereka melakukan serangan sesama sendiri.

Apakah kali ini mereka akan bersatu untuk jangka masa yang lama? Atau mereka akan berperang sesama sendiri sekali lagi?

Apa yang jelas, Benjamin Netanyahu, telah memberi amaran pada Abbas agar tidak meneruskan niatnya berdamai dengan Hamas. Kerana baginya, Hamas adalah sebuah pertubuhan pengganas. Justeru itu kemerdekaan sebuah negara Palestin tidak akan berjaya dicapai.

Bagi Abbas pula, Netanyahu telah mempersiakan segala rundingan dan tolak ansur yang telah dicapai dengannya. Bertahun-tahun segala proses rundingan menjadi sia-sia gara-gara sikap Israel yang sering mungkir janji dan mencabulinya.

Kini dengan langkah Abbas berganding semula dengan Ismail Haniyeh, harap-harap perjuangan rakyat Palestin akan kembali kuat dan padu. Gandingan ini sepatutnya telah lama berlaku. Tetapi sayang perjuangan rakyat Palestin telah menghabiskan masa begitu lama dengan sia-sia kerana bercakaran sesama sendiri.

Ibarat dalam perjalanan, Israel telah melangkah seratus langkah. Palestin pula baru melangkah setapak. Jauh sekali jaraknya untuk dikejar. Tetapi bak kata pepatah, dalam setiap perjalanan sebelum sampai ke tempat yang dituju, dimulakan dengan langkah pertama.

Semoga Abbas dan Haniyeh tidak akan berpatah balik.. .

Khamis, 28 April 2011

Anwar Ibrahim.......bersumpahlah

KES liwat dan video seks yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim , cukup keliru dan membingungkan ramai orang. Apakah ianya suatu kes politik atau memang sah kebenarannya?

Saya sebenarnya tidak begitu cenderung untuk memperkatakan tentang kes ini. Dari segi hukum ia amat berat, lebih-lebih lagi bagi pihak yang membuat tuduhan. Saya bersetuju dan sokong kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz, bahawa beliau tetap akan mempertahankan Datuk Seri Anwar, selagi tidak ada bukti.

Cuma apa yang meresahkan saya ialah sikap Datuk Seri Anwar, tidak begitu bersungguh-sungguh membersihkan namanya yang sudah tercemar. Fokus beliau lebih tertumpu pada soal-soal politik dan bukan masalah peribadinya.

Sedikit masa lalu, bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, telah mengesa agar Anwar mengundurkan diri supaya barisan pembangkang diberi nafas baru dan perubahan. Menurutnya lagi, rakyat sudah jemu dan bosan dengan isu-isu "selak kain".

Dr. Mohd Asri juga telah menggesa agar Anwar bersumpah bagi membersih peribadinya. Sekurang-kurangnya dengan langkahnya bersumpah dapat membuktikan yang beliau tidak bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, juga menyambut baik sekiranya Datuk Seri Anwar, ingin bersumpah mubahalah iaitu sumpah laknat. Katanya, beliau gembira sekiranya ini terjadi kemungkinan ia dapat menyelesaikan satu perkara besar yang sekarang membebani fikiran umat Islam.

Berita terkini pula melaporkan salah seorang dari Datuk T yang membuat tuduhan tentang video seks itu akan bersumpah laknat pada hari Jumaat, 29 April ini selepas solat Jumaat di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan. Mereka juga telah mencabar Datuk Seri Anwar agar bersumpah bersama mereka.

Salah seorang dari Datuk T, iaitu Datuk Eskay Abdullah, telah menyatakan bahawa beliau amat faham kesan dan balasan yang akan diterimanya di akhirat nanti atas sumpahnya itu.

Bak kata pepatah, berani kerana benar. Justeru itu Datuk Seri Anwar haruslah menyambut cabaran itu tanpa berdolak-dalik. Kesanggupan beliau untuk bersumpah, sekurang-kurangnya dapat merungkai segala yang tersimpul dan berbelit-belit.

Barangkali, dengan bersumpah tidak dapat menyelesaikan masalah. Tetapi sekurang-kurangnya ada keberanian daripada beliau bagi membuktikan tuduhan beliau bahawa semua ini adalah fitnah dan konspirasi politik.

Datuk Seri Anwar mesti bersumpah sekiranya beliau ingin memulihkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin , apatah lagi sebagai calon "The Prime Minister in Waiting".

Pemain import beraksi kembali

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membenarkan kemasukan pemain import beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Keputusan ini memang ditunggu-tunggu semua peminat bolasepak tanahair.

Dengan kembalinya para pemain import Liga M akan kembali meriah dan suasana pertandingan akan semakin kompetitif. Di samping itu ianya akan menarik lebih ramai para penonton membanjiri semua stadium yang kini masih banyak ruang kosong,

Dalam rantau ASEAN hanya negara kita sahaja yang tidak menggunakan pemain import dalam Liga tempatan. Masa dahulu kita pernah membenarkan pemain import, tetapi setelah prestasi pasukan kebangsaan kita merosot begitu teruk, maka banyak pandangan mengatakan puncanya ialah dari kebanjiran para pemain import.

Kehadiran pemain import seolah-olah telah menutup peluang pemain tempatan. Berbagailah pro dan kontranya. Polemik isu ini terus berpanjangan tanpa kesudahan.

Siapa tidak lupa nama-nama seperti Karel Stromsik, bekas penjaga gol dunia pasukan Cechz, Tony Cotee, bekas penyerang West Ham, Ervin Boban, Abbas Saad, Juan Manuel Aristegui dan lain-lain. Kehadiran mereka telah memeriahkan lagi suasana pertandingan.

Kalau dikira pemain tempatan boleh banyak mempelajari dan menambah lagi ilmu dari para pemain berkenaan.

Cuma FAM dan persatuan negeri mesti berhati-hati dalam mengambil dan memilih pemain import. Jangan berulang peristiwa lalu di mana kebanyakannya ditipu oleh ejen-ejen yang membekalkan para pemain yang tidak berkualiti dan mempunyai masalah kecederaan.  Akhirnya, persatuan negeri terpaksa menanggung segala risikonya.

Lebih teruk lagi ada persatuan negeri yang diperdaya oleh ejen dengan hanya menilai dan memilih pemain import berdasarkan rakaman video yang ditunjukkan para ejen. Kes ini berlaku dulu di negeri sebelah utara.

Kali ini semua persatuan negeri mestilah berhati-hati agar kes sedemikian tidak berulang. Dan tidak kurang penting, masalah gaji para pemain tidak tertunggak, sebagaimana pernah timbul masalah gaji pemain yang tidak dibayar akibat masalah kewangan persatuan negeri - menyebabkan FAM terpaksa masuk campur.

Pendek kata, semua persatuan negeri mestilah mencongak dulu kantong kewangan mereka sebelum mengambil mana-mana pemain import. Tidak ada gunanya membeli pemain import dan kemudiannya tidak dapat melunaskan elaun mereka dan sebagainya.  Ini sudah tentu akan menjejaskan nama baik  FAM dan negara khasnya

Semoga dengan kembalinya pemain import musim depan, Liga M akan semakin meriah, tajaan semakin bertambah dan para penonton pun semakin berlipatganda. Dan yang paling penting, mutu dan kualiti pasukan negara juga semakin baik dan cemerlang.

Ayuh...  Harimau Malaya!

Rabu, 27 April 2011

Hosni Mubarak: Hari penuh suram

SELAMA 30 tahun memerintah penuh dengan kebanggaan dan akhirnya tidak sampai sebulan krisis melanda, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tersungkur menyembah bumi.

Tidak terlintas di fikirannya dipenghujung tempoh pemerintahannya bala menimpa. Cita-citanya untuk melihat anak lelakinya, Gamal, sebagai pewaris pemerintahannya hancur luluh.

Sungguh malang dalam usia 80an, suatu peringkat penghujung saki baki usianya, beliau terpaksa menerima hakikat segala-galanya hancur musnah. Keluarga, harga diri dan maruah tidak lagi dapat dipertahankan.

Semuanya angkara lalai dan selesa selama 30 tahun sehingga rakyat lebih 80 juta itu diabaikan. Tidak ada perancangan ekonomi  dan peluang pekerjaan disediakan. Rakyat terbanyak terus dicengkam kemiskinan dan pengangguran.

Sungguh tragis, Mesir adalah sebuah negara yang sumber kekayaan begitu banyak. Selain minyak dan gas, kutipan hasil dari kapal-kapal yang merentasi Terusan Suez dianggar berbillion dollar setahun. Semua hasilnya dibolot oleh sang pemerintah dan kroni-kroninya. Tidak cukup dengan itu, mereka mengumpul dan menimbun segala harta dalam dan luar negara.

Anehnya,  setiap kali pilihanraya Presiden, Hosni, telah mencapai kejayaan hampir 98 peratus undi popular. Ada tuduhan setiap kali pemilihan berlaku penipuan.

Lebih mengecewakan rejim Mesir sentiasa tunduk dengan zionis Israel sehingga segala bantuan luar yang dihulurkan kepada Palestin disekat menghampiri sempadan Mesir. Terbongkar rahsia, Mesir mempunyai perjanjian dengan Israel menghantar gas melalui saluran paip ke negara zionis itu.

Kini Hosni tenat diserang sakit jantung dan berada di penjara . Anak lelakinya, Aala dan Gamal ditahan dipenjara tentera sementara menunggu perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Isterinya, Suzanne, terus derita dan sengsara melihat apa yang menimpa mereka yang suatu masa dulu begitu kebal dan terhormat.

Apa yang menarik tentang Hosni ialah beliau tidak melarikan diri ke luar negara seperti yang dilakukan oleh Zen Abiden Bin Ali di Tunisia. "Saya akan mati di bumi Mesir", katanya. Sedangkan beliau mampu berbuat demikian.

Hosni Mubarak, barangkali, begitu mencintai tanahairnya Mesir sehingga dia tidak sanggup meninggalkan tanahairnya, walaupun dia tahu nyawa terancam bila dia sudah tidak berkuasa lagi.

Episod ini harus menjadi teladan pada semua bahawa kehidupan ini kita tidak boleh terlalu berada di zon selesa senantiasa. Semua yang berkuasa dan berkedudukan mesti keluar dari zon selesa sebelum bala menjelma.

Hosni telah pergi. Kini yang menunggu penuh debaran ialah Ali Abdullah Salleh di Yemen, Gaddafi di Libya, Assad di Syria  dan sekitar rantau Timur Tengah.

Masih adakah lagi rejim yang masih tidur?

Pemilihan dalam parti PAS

MUKTAMAR PAS akan berlangsung pada bulan Jun ini dengan menyaksikan kemungkinan  berlakunya pertandingan dalam semua jawatan tertinggi. Setakat ini belum ada pengesahan, cuma ura-ura dan pencalonan dari bahagian-bahagian tertentu.

PAS Bukit Bintang telah mencalonkan Datuk Husam Musa bagi jawatan Presiden. Tetapi pencalonan ini telah ditolak Husam atas alasan kepimpinan Ustaz Hj.Hadi Awang masih diperlukan. Bagi jawatan no.2 pula ada yang mencalonkan Mohamad Sabu bertanding menentang Nasharuddin Mat Isa. Mat Sabu telah menyatakan yang beliau akan buat keputusan sebelum 16 Mei.

Naib Presiden sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man, telah menolak cadangan agar beliau bertanding jawatan no.2.

Sebenarnya, Husam dan Mat Sabu adalah calon yang kalah dalam pertandingan jawatan no.2 semasa muktamar yang lalu. Mereka berdua tewas kepada Nasharuddin Mat Isa dalam pertandingan tiga penjuru . Tetapi kali ini nama mereka muncul lagi.

Kadang-kadang terfikir juga tidak ada calon lainkah dalam PAS sekarang? Mereka berdua tidak keterlaluan sekiranya di cap sebagai calon "recycle". Ahli-ahli PAS sepatutnya mencalonkan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa dan mempunyai imej yang sesuai dengan PAS sebagai parti harakah.

Tidak keterlaluan sekirannya saya katakan bahawa , Husam dan Mat Sabu tidak layak untuk duduk di kerusi no.2 parti. Mereka berdua hanya paling sesuai dan cocok untuk berada ditahap Naib Presiden sahaja.

Ramai lagi tokoh dalam PAS yang lebih layak. Sebagai contoh nama-nama seperti, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin, Ustaz Harun Taib , umpamanya, mereka lebih layak. Malah Dr. Harun Din pun lebih sesuai untuk jawatan no.2 parti. Jawatan Dr. Harun Din sekarang sebagai Timbalan Mursyidul tidak begitu terserlah kerana banyak dibayangi oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dr. Harun Din sepatutnya diberi peranan yang lebih menonjol agar PAS dapat diberi nafas baru dan dinamik. Tidak tahu pula apa yang ada dalam fikiran ahli-ahli PAS. Kalau hendak dibuat perbandingan antara tokoh-tokoh yang disebut tadi dengan Husam dan Mat Sabu, ibarat jauh panggang dari api.

Maaf cakap, saya bukan ingin merendah-rendahkan kebolehan kedua calon tersebut. Realitinya, mereka belum lagi sampai ke peringkat Timbalan Presiden. Kalau dibuat ukuran secara kasar, Datuk Mustapha Ali, lebih layak berbanding Husam dan Mat Sabu.

Sekurang-kurangnya sebagai rekod, semasa PAS dalam Barisan Nasional, Datuk Mustapha Ali telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri. Sedangkan pada masa itu Datuk Husam Musa masih berada di bangku sekolah.

Semoga para ahli PAS dapat memilih calon yang lebih sesuai dan berwibawa- sesuai dengan imej parti.

Selasa, 26 April 2011

Masalah perkauman masih tebal

Kita sudah lebih 53 tahun merdeka, tetapi masalah perkauman masih menjadi "duri dalam daging" dalam proses kita membina satu bangsa. Tidak perlu menuding jari atau mencari "kambing hitam" dalam mencari punca dan sebabnya. Semua kaum mesti mengkaji dan merenung kembali masa silam.

Tun Dr. Mahathir pernah merungut bahawa beliau tidak boleh lagi bercakap tentang melayu kerana bimbang akan di tuduh rasis. Sedangkan kaum Cina boleh bercakap dan membuat berbagai tuntutan atas nama "hak".

Suasana bertambah buruk bila akhbar-akhbar berbahasa Cina terus memainkan sentimen perkauman tanpa rasa takut. Ada yang merungut seolah-olah KDN memekakkan telinga, tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Perkasa, Hindraf dan lain-lain tidak banyak membantu. Malah kehadiran mereka telah menaikkan lagi "suhu" yang sudahpun panas dan tinggi.

Terkini muncul pula slogan 1Melayu 1Bumi dari pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan. Semuanya bertambah kacau dan keliru.

Cuma saya sebagai "layman" ingin mengajak kita merenung kembali suatu episod.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam setiap pilihanraya umum. Dan yang paling penting sebagai rekod, UMNO telah berjaya mencapai 100 peratus bersih kemenangan di semua kawasan parlimen. UMNO hanya kalah kerusi DUN khususnya di Kelantan.

Kalau hendak dikira jumlah kerusi parlimen yang dimenangi UMNO pada masa itu, UMNO mampu dan boleh menubuhkan kerajaan persekutuan secara sendirian dengan majoriti mudah tanpa sokongan dari mana-mana parti komponen yang lain.

Tetapi apakah pilihan UMNO yang merupakan tunjang dalam Barisan Nasional saat itu? UMNO dibawah Dr. Mahathir telah memilih untuk berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain membentuk kerajaan. Kalau ia mahu, ia boleh membentuk kerajaan sendirian hatta PAS enggan menyertainya.

UMNO telah membuktikan bahawa ia bukan sebuah parti yang tamak dan gila kuasa. Walaupun UMNO mewakili orang-orang melayu, tetapi ia juga mewakili dan memperjuangkan kepentingan kaum-kaum lain dalam Barisan Nasional.

Tetapi ini cerita dulu. Kini UMNO tidak kuat seperti dulu lagi. Barisan Nasional bukan sahaja hilang dua pertiga, UMNO juga hampir hilang semua kerusi yang pernah dipegangnya.

Dan kini bila UMNO yang mewakili orang melayu berada dalam keadaan lemah dan bila mantan Presidennya sudah dituduh rasis- di mana harus mereka berdiri? Masa berbulan madu dengan parti-parti komponen dulu tinggal hampas begitu saja.

UMNO sebenarnya dalam persimpangan. Ia bukan saja menghadapi MCA, MIC, GERAKAN, DAP, PKR dan lain-lain tetapi juga PAS

UMNO- perjalananmu penuh duri..

Isnin, 25 April 2011

Kerajaan tidak halang blogger dan Internet

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmiannya di Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama  baru-baru ini telah memberi jaminan yang kerajaan tidak akan sekat atau menapis kandungan Internet.
Ini katanya selaras dengan janji Dr. Mahathir kepada dunia ketika beliau membangunkan Koridor Raya Multimedia.

Persidangan dua hari itu bertema "Blogging Mindfully and Responsibly" anjuran Blog House Malaysia. Dr. Mahathir ialah penaung Blog House itu.

Menurut Datuk Najib lagi, kerajaan tidak takut kehadiran penulis blog, malah ingin menjadi sebahagian daripada mereka dan mengetahui pandangan mereka termasuk yang bersifat positif.

"Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat serupa sepanjang masa, tetapi kita tidak boleh bermusuhan", tambahnya.

Manakala Dr. Mahathir pula sebagai seorang blogger berpendapat media arus perdana harus sesekali menjadi pengkritik kerajaan. Kerana katanya ramai yang tidak bersedia untuk mengkritik kerajaan lantaran mereka beranggapan perlu menyokong kerajaan sentiasa.

"Jadi kerajaan kadang-kadang mendapat pandangan berat sebelah tentang apa yang dimahukan oleh rakyat", katanya.

Dengan kenyataan positif dari dua tokoh negara ini  sudah tentu akan melegakan para blogger dalam menjalankan tugas mereka. Bagaimanapun, mereka seharusnya melakukannya dengan penuh tanggungjawab dan meletakkan kepentingan bangsa, negara dan agama di atas lain-lain kepentingan.

Keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara tanggungjawab bersama.

Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris

Keratan akhbar Watan
Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali dengan Dollah Kok Lanas ialah bekas setiausaha politik Tun Abdul Razak, telah menulis dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, 24 April, 2011 bertajuk 'Bahasa Melayu, Inggeris wajib dikuasai".

Dalam tulisan tersebut beliau antara lain menekankan betapa penguasaan bahasa Inggeris adalah penting sebagai lingua franca, bahasa perantaraan dunia dan bahasa ilmu. Orang-orang melayu khususnya, akan rugi dan ketinggalan sekiranya mereka tidak ambil peduli perihal kepentingan bahasa tersebut.

Beliau menyokong pendirian Dr. Mahathir bahawa belajar dan menguasai bahasa Inggeris di kalangan orang melayu tidak akan mengurangkan semangat nasionalis, malah ia akan meningkatkan lagi kualiti dan martabat kaum peribumi di negara ini.

Dengan menguasai bahasa Inggeris seseorang itu akan memperolehi banyak ilmu kerana sebahagian besar ilmu-ilmu yang belum diterokai semuanya terdapat di dalam bahasa tersebut. Katanya lagi, kita tidak perlu menjadi seorang pejuang bahasa melayu yang ekstrem.

Bahasa Inggeris tetap akan menjadi bahasa kedua di negara ini. Dan sebagai bahasa yang mempunyai nilai ekonomi. Orang-orang melayu mesti menguasai bahasa ini sekiranya mereka ingin maju dan kompetitif dalam semua bidang. Jika tidak mereka akan ketinggalan.

Menyentuh tentang isu ini, saya teringat akan dua rencana saya yang telah disiarkan di dalam akhbar tempatan iaitu Berita Harian dan Watan sedikit masa dulu. Dalam akhbar Watan, Selasa 9 Ogos 1983, di bawah tajuk " Bahasa Inggeris: Tahu baca tapi tak faham...".  Saya telah menulis peri pentingnya bahasa Inggeris seperti mana disebut oleh Tan Sri Abdullah tadi. Cuma rencana itu ditulis oleh orang "lay man", bukan seorang yang ada "title" .

Untuk pengetahuan rencana tersebut terdapat dalam carian internet ; rujukan arkib perpustakaan Universiti Malaya sebagai bahan rujukan dan dokumen. Bila saya terlihat arkib tersebut dan tercatat nama saya di dalamnya, naik syeh juga dibuatnya.

Manakala satu rencana lagi bertajuk " Bahasa asing tidak harus diabaikan", Berita Harian, Khamis 7 Julai 1988. Rencana ini ditulis agak panjang sedikit dan disiarkan di halaman tengah dibawah ruangan rencana pengarang  akhbar tersebut

Cuma setelah tersiar kedua rencana tersebut, saya tidak pernah menerima apa-apa honorarium. Tetapi saya tidak kisah, kerana masa itu saya menulis bukan untuk duit. Dengan tersiarnya tulisan tersebut bagi saya ianya sudah satu pengiktirafan dan penghargaan.

Terima kasih Berita Harian.
Terima kasih Watan. .

Ahad, 24 April 2011

Tan Sri Sheikh Abdullah penulis pojok

Semasa saya masih di sekolah menengah, bapa saya melanggan akhbar Berita Harian setiap hari. Pada masa itu akhbar akan sampai lebih kurang pukul satu atau dua petang. Bukan macam sekarang, awal pagi kita sudah boleh menatapnya. Setiap hari penghantar suratkhabar itu akan melemparkan saja akhbar tersebut di depan pintu rumah sambil membonceng motorsikal Honda Cupnya.

Bila saya balik dari sekolah, saya terus mengambilnya. Pertama yang saya baca ialah berita sukan. Lain-lain berita , saya tidak begitu beri perhatian. Saya cuma lihat kepala tajuknya sahaja.

Cuma ada satu ruangan yang telah mencuri perhatian saya. Ruangan tersebut terletak di bawah rencana pengarang yang ditulis pengarang akhbar tersebut  setiap hari.

Apa yang menarik perhatian saya ialah ruangan ini akan muncul setiap hari kecuali hari Ahad. Ertinya, ruangan tersebut tidak terbit dalam nashkah Berita Minggu. Hari lain ia akan muncul setiap hari tanpa henti. Kira-kiranya ruangan ini sama hebatnya dengan rencana pengarang yang mesti terbit setiap hari.

Ruangan ini ditulis oleh seorang yang bernama Tan Sri Sheikh Abdullah. Saya tidak pasti dan tidak tahu lebih lanjut tentang beliau. Cuma apa yang saya tahu pada masa itu beliau adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Kumpulan The New Straits Times Press.

Lebih jelas lagi, ia disebut sebagai penulis pojok. Setiap akhbar mesti ada penulis pojoknya. Misalnya, di Utusan Malaysia penulis pojoknya ialah Awang Selamat. Begitu juga dalam akhbar-akhbar lain sama ada harian atau mingguan , halaman pojoknya mesti ada. Cuma yang pasti, nama Tan Sri Sheikh Abdullah bukanlah nama samaran.

Menariknya kolum ini ia ditulis dengan gaya yang santai dan humor. Dalam setiap tulisannya dia sering dan suka sangat memetik berita-berita dari akhbar-akhbar luar negara seperti The New York Times, The Daily Mirror, Herald Tribune, South China Morning Post, Daily Telegraph, Bangkok Post dll . Setiap berita yang beliau ulas ia sentiasa akan tulis di bawah nya sumber atau petikan yang diambilnya. Memang seronok membacanya. Stail penulisan dan olahannya agak ringan, santai bercampur unsur humor.

Kolum pojok ini bertajuk RENUNGAN.

Pada tahun 1981, bila parti UMNO mengadakan pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang melibatkan pertandingan satu lawan satu antara  Tun Musa Hitam dan Tengku Razalegh Hamzah, akhbar kumpulan The New Straits Times telah mengambil langkah menyokong calon Tengku Razaleigh. Manakala akhbar Utusan berpihak pada Tun Musa Hitam.

Bila Ku Li kalah dalam perebutan jawatan teersebut, kolum Renungan Tan Sri Sheikh Abdullah terus tidak muncul-muncul lagi. Ia hilang begitu saja. Maka dapatlah disimpulkan bahawa sokongan akhbarnya terhadap Ku Li telah membawa padah.

Ini adalah satu fenomena biasa di mana saja. Bila seseorang tokoh politik itu menang, ia akan melakukan perubahan atau pembersihan.

Begitulah nasib penulis pojok Tan Sri Sheikh Abdullah. Kekosongan halamannya itu tidak terisi hingga ke hari ini. Terasa kehilangannya.

Oleh kerana saya meminati kolum dan penulisnya, maka saya namakan blog saya sempena nama kolumnya sebagai ingatan . Kerana "Renunganlah" yang telah menyemai dan membajai tabiat membaca saya.

Sabtu, 23 April 2011

Kebebasan dalam menulis blog

Tidak ada suatu yang paling bernilai bagi seorang penulis selain dapat melontarkan segala isi hati dan fikiran secara bebas dan terus terang dalam bentuk tulisan. Tidak ada sekatan atau halangan dalam prosesnya menghasilkan sesuatu karya , baik rencana, cerpen, novel dan sebagainya.

Tetapi ini tidaklah bermakna bebas semahunya. Kebebasan dalam ertikata ia harus mengambil kira sensitiviti di sekelilingnya, budaya, agama dan sebagainya . Kebebasan tanpa had bukanlah kebebasan sebenarnya. Sekiranya di salahguna ia boleh memakan diri dan menghancurkan sesuatu bangsa.

Sebelum munculnya teknologi IT semua penulis bergantung pada media tradisi seperti akhbar dan majalah bagi menampung hasil tulisan atau karya  mereka. Dan media di negara kita terbahagi pada dua iaitu; media arus perdana dan media alternatif.

Bagi media arus perdana, kebiasaannya dikuasai kerajaan . Maka segala bahan-bahan maklumat yang akan disiarkan mestilah mengambil kira dasar-dasar kerajaan. Sekiranya ada para penulis menulis sesuatu yang bertentangan, ianya tidak akan di siarkan.

Begitu juga dengan media alternatif. Sebahagiannya dimiliki oleh parti tertentu dan pemodal yang mempunyai kepentingan tertentu. Mereka semua mempunyai kepentingan. Segala bahan dan maklumat yang akan di terbitkan mestilah tidak bertentangan dengan kepentingan parti atau perniagaan. 

Di sinilah masalah dan kekangan yang dihadapi oleh para karyawan. Seorang penulis atau karyawan tidak mungkin menulis dan berkarya mengikut selera pemodal. Kebebasan amatlah penting . Kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan idea dalam menangani segala permasalahan masyarakat , negara dan agama.

Terima kasih pada teknologi IT. Maka lahirlah para blogger dan laman blog. Seorang penulis blog ialah seorang pengarang, penyunting, penerbit dan pencetak sekaligus.
 Dia bebas melontarkan apa saja yang difikirkannya dengan syarat ia bukan bahan fitnah, mencerca dan mengaibkan seseorang .

Penulis blog masih lagi tertakluk dengan undang-undang. Ertinya, penulis blog seorang yang bebas, tetapi ia mestilah menggunakan kebebasan itu dengan penuh tanggungjawab.

Tetapi tidak ada perkara yang paling bernilai bagi seorang penulis blog melainkan kepuasan dan kebebasan.

Jumaat, 22 April 2011

Rustam A. Sani dalam kenangan

Rustam A. Sani ialah seorang ahli akademik, kolumnis, penyair dan seorang intelektual yang disegani tanahair. Beliau telah pulang kerahmatullah beberapa tahun lalu dalam usia 60an.

Rustam pernah menjadi pensyarah di UKM, UM dan pernah berkhidmat di ISIS Malaysia. Antologi puisinya, Riak-riak Kecil (1977)  telah diterbitkan oleh DBP. Pada tahun 1988/89 beliau telah memenangi Hadiah Sastera Negara dalam kategori essei dan kritikan sastera.

Beliau juga adalah bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia , yang telah dibubarkan dan digabungkan dengan Parti Keadilan Nasional - lantas terbentuklah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau mendapat ijazah di Universiti Malaya, Universiti of Reading, Universiti of Kent dan Yale Universiti.

Rustam sebenarnya ialah seorang kolumnis yang cukup tajam pengamatanya tentang isu-isu semasa melalui tulisan-tulisannya dalam akhbar-akhbar tempatan dan luar negara. Pernah suatu ketika sebuah rencananya terbit dalam akhbar Straits Times (Singapura) pada 18 Julai 1998 dengan judul 'Why Singapore-KL ties will stay volatile'.

Menurut Rustam, tulisan tersebut telah mengundang reaksi dan ulasan dari para pemimpin Singapura. Dan yang lebih besar pada itu ialah Perdana Menteri Singapura waktu itu,  Goh Chok Tong, telah menggunakan sebahagian besar ucapan rasmi Hari Kebangsaan Singapura tahun 1998  mengulas artikel beliau tersebut.

Banyak orang tidak tahu yang Rustam juga adalah salah seorang ahli panel merangka deraf  pelan Wawasan 2020 ilham Tun Dr. Mahathir.

Tetapi pada tahun 1998 telah merubah segala-galanya. Dari seorang ahli akademik dan pakar sosiologi beliau telah menerjunkan dirinya sebagai aktivis politik. Semuanya kerana soal prinsip dan pendirian politiknya.

Namun, tindakannya itu tidak menghairankan kerana beliau mengikuti jejak bapanya, seorang pejuang dan nasionalis yang terkenal, Ahmad Boestamam. Mungkin pada awalnya beliau tidak memperlihatkan pendirian politiknya dan lebih menumpukan pada bidang akademik dan penulisan.

Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah menghasilkan dua buah buku sebagai karyanya yang terakhir. Buku tersebut bertajuk;  Failed Nation? Concerns of A Malaysian Nationalist dan Ketemu di Alur Zaman.

Saya suka untuk mengutip salah satu tulisannya. Antara lain beliau menulis;
                                          
                                         Seorang sarjana yang berpendidikan tinggi belum tentu berhak dianggap seorang intelektual. Seorang intelektual secara jitu dan mendalam memikirkan persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakatnya. Dia harus turut terlibat dalam persoalan-persoalan itu dengan menyalurkan hasil pemikirannya melalui tulisan atau kegiatan untuk manfaat masyarakatnya. Peringkat pendidikan formal yang dicapai tidaklah ada kena mengenanya dengan keintelektualan. Seorang yang berpendidikan tinggi tetapi hanya menggunakan pendidikannya itu untuk kepentingan peribadi atau kerjayanya bukanlah seorang intelektual.

Renung-renungkanlah.

Al Fatihah.

Khamis, 21 April 2011

Kumpulan puisi Mansor Ahmad Saman

DALAM Utusan Malaysia keluaran Selasa, 18 Mac, 1986 telah tersiar satu tulisan saya bertajuk ''Balada Orang-Orang Yang Ditinggalkan kumpulan puisi pertama dihasilkan Mansor Ahmad Saman" di ruangan Ulasan Buku.

Buku tersebut mengandungi lebih dari 50 buah puisi hasil karya Mansor yang telah dan belum diterbitkan dalam akhbar dan majalah tempatan.

Mansor adalah antara penyair muda yang muncul di sekitar awal tahun 1970an. Sebuah puisinya, "Balada Latiff Kepada Tuhan" telah memenangi Hadiah Karya Sastera tahun 1976.

Kumpulan puisi ini menyentuh kehidupan manusia dan alam sekitarnya, sama ada manusia sebagai individu ataupun sebagai kumpulan. Ia juga menyentuh tentang masalah diri, kesepian, kerinduan, moral dan penderitaan.

Biar saya petik satu atau dua puisinya untuk tatapan bersama;


                                                    
                                          dalam diri

                                      
                                          apalah ertinya malam    
                                          kiranya rindu yang kukirimkan
                                          tidak kau sambut di sudut jendela  
                                          apalah ertinya siang
                                          kalau sinar yang kuutuskan
                                          tidak kau tangguk di wajah ria
                                          dan apalah ertinya kata
                                          kiranya rahsia yang kuserahkan                
                                          kau lipat di pinggir hati
                                          apalah ertinya kita
                                          sedang engkau masih engkau
                                          dan aku masih aku jua
                                          jadi apalah ertinya hidup
                                          kalau antara serpihan mimpi                        
                                          engkau tidak berani
                                          menyerahkan rasamu
                                          pada mereka yang mencari
                                          sepanjang pengembaraan
                                          dalam diri sendiri

                                                                                        Mingguan Timur, 20 Nov. 1978

Okeylah , rasanya setakat itulah dulu . Lain kali kita akan berpuisi lagi.

Antara Mourinho dan Guardiola

Inilah dua figur yang cukup menarik dalam dunia bolasepak antarabangsa. Dua personaliti yang menjadi buruan para peminat sukan, para wartawan dan kelab-kelab dunia.

Jose Mourinho dan Pep Guardiola kini bersaing untuk bertahkta di La Liga dan akan bertembung dalam perlawanan separuh akhir Piala Juara-Juara beberapa hari lagi.


Barcelona yang di pimpin Guardiola telah menjadi juara La Liga selama tiga tahun berturut-turut. Tapi tewas pada Inter Millan yang diterajui Mourinho dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara tahun lepas.

Kini Mourinho menerajui Real Madrid. Mampukah Mourinho mengatasi Guardiola sekali lagi ? Dua pertemuan terdahulu lebih memihak pada Guardiola. Barca menewaskan Real 5-0 dan seri 1-1 baru-baru ini.

Barcelona lebih gemar bermain secara pantas dan suka menyerang ibarat seekor singa mahu menerkam mangsanya. Bila mereka menyerang, ianya bertali arus tanpa henti. Real di bawah Mourinho lebih banyak bertahan dan bertindak "counter attack' sekali sekala.

Tapi sayang kali ini mereka akan buat perhitungan di separuh akhir Piala Juara-Juara. Salah satu akan tersingkir.

Biar apapun keputusannya , tidak ada pengurus yang mampu menyamai rekod yang di capai oleh Mourinho. Bayangkan semasa di Porto FC beliau telah berjaya membawa kelab itu menjadi juara di Eropah. Bila dia berpindah ke Inter Milan dia berjaya mengulangi kejayaan tersebut dalam dua pasukan yang berbeza.

Semasa di Stamfford Bridge walaupun beliau tidak berjaya membawa Chelsea menjadi juara Piala Eropah, beliau telah memenangi beberapa kali kejuaraan Liga EPL  di sana.

Kini beliau ingin mencatat sejarah dengan membawa Real Madrid menjuarai Piala Juara-Juara atau Eropah pula. Dapatkah sejarah baru diciptakan? Hanya Pep Guardiola mampu menghalangnya.

Walau apapun Jose Mourinho telah membuktikan bahawa beliau memang "The Special One' gelaran yang diberikannya sendiri dengan berjaya menjadi jurulatih terbaik FIFA baru-baru ini.

Rabu, 20 April 2011

Surat dari Kassim Ahmad

Pada Khamis, 23 Mei 1985 ada satu tulisan saya tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya di bawah tajuk ' Menjadi penulis tidak semudah menjadi pegawai tadbir' dan di tepi tulisan tersebut diletakkanya foto Pak Sako atau Dr. Ishak Haji Muhammad  seorang tokoh pejuang kemerdekaan dan penulis yang terkenal.

Dalam tulisan tersebut saya menyentuh tentang kegiatan dan peranan para penulis muda. Bahan dalam tulisan tersebut agak ringan dan santai. Maklumlah pada masa itu saya baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan.

Cuma saya ada menyebut nama Kassim Ahmad, seorang penulis tersohor dan kontroversi  secara sepintas lalu saja dan tidak serius. Tetapi reaksi dan kesan tulisan tersebut cukup mengejutkan.

Selang beberapa minggu iaitu pada Khamis, 13 Jun 1985 , saya terkejut bercampur kegembiraan bila Kassim Ahmad  membalas tulisan saya itu di bawah tajuk 'Bilakah saya pandang rendah penulis muda?'.

Di sini biarlah saya petik antara kandungan reaksinya itu sebagai satu penghormatan saya terhadap beliau sebagai seorang penulis berpengalaman.

                        "" Sebuah rencananya dalam Berita Harian keluaran 23 Mei 1985, Sdr Taufiq Mubarak, ketika mengulas sebuah ucapan Dr.Ishak Haji Muhammad kepada bakal-bakal penulis Pahang di Raub baru-baru ini, telah menulis demikian:  Bagi penulis-penulis yang 'established' seperti Kassim Ahmad atau Nahmar Jamil, umpamanya, tidak seharusnya mereka  memandang rendah kepada penulis-penulis muda sekiranya tulisan mereka mempunyai kelemahan tertentu. Malah sebaliknya mereka hendaklah mengkritiknya secara positif tanpa merendah-rendahkan kebolehan penulis muda..."

                            Saya akan terhutang budi kepada Sdr Taufiq sekiranya beliau boleh membuktikan kata-kata beliau mengenai saya. Sepanjang ingatan saya, saya tidak pernah merendah-rendahkan penulis-penulis muda kita. Malah saya pernah mengatakan saya ingin melihat mereka berkembang dengan baik serta memberi sumbangan mereka kepada  kesusasteraan moden kita.

                             Memang saya pernah mengkritik kelemahan--kelemahan setengah penulis kita, malah mengecam sifat buruk sangka mereka terhadap penulis-penulis lain dan keangkuhan mereka. Saya juga pernah mengkritik kekurangan komitmen moral dan sosial di kalangan penulis-penulis muda. Tetapi ini  harus dibedakan dengan perbuatan merendah-rendahkan. Kelemahan-kelemahan dalam penulisan perlu dikritik dan dibetulkan,  sama ada penulisan oleh penulis-penulis muda atau tua"".

Moral ceritanya ialah saya tabik dan kagum sikap beliau terhadap penulis ikan bilis seperti saya berbanding beliau seorang pengarang, kolumnis, penyair, politikus, bekas pensyarah di London School of Oriental and African Studies, Universiti London(1962-1966)  dan bla... bla...bla...untuk membuat teguran dan nasihat kepada orang-orang muda seperti saya.

Jarang malah tidak ada pengarang yang tersohor 'mencemar duli' turun ke bawah melibatkan diri dengan golongan ikan bilis yang tidak mempunyai apa-apa.

Walaupun peristiwa ini berlaku pada tahun 1985 saya tidak pernah buat reaksi atau respon. Tetapi hari ini saya ingin ucapkan terima kasih pada Sdr Kassim Ahmad atas perhatian dan komitmen beliau.

Terima kasih. Tabik!!!

Selasa, 19 April 2011

Timbalan Perdana Menteri yang tidak akan jadi Perdana Menteri

Tun Musa Hitam semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) pernah  mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menjadi TPM yang pertama tidak akan jadi Perdana Menteri (PM). Kenyataannya itu telah mengembarkan seluruh negara.

Desas-desus masa itu bahawa perhubungan beliau dengan bosnya Dr.Mahathir retak bertiup kencang. Pada mulanya mereka berdua menafikannya. Akhirnya kerajaan yang dikenal sebagai 2M itu bercerai.
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Rupa-rupanya Tun Musa Hitam sudah dapat menghidu cara politik Dr.Mahathir membuatnya merasakan masa depan politiknya agak malap sekiranya Dr. Mahathir masih menjadi PM. Beliau meletakkan jawatan TPM.

Betullah seperti yang beliau kata beliau tidak akan jadi PM. Selepas beliau Tun Ghaffar Baba menjadi TPM yang baru pula. Dan semasa Tun Ghaffar jadi TPM seolah-olah badi yang menimpa Tun Musa berjangkit pula  pada Tun Ghaffar.

Ternyata Tun Ghaffar mengikut jejak langkah Tun Musa menjadi TPM yang tidak akan jadi PM.

Maka datang pula Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seluruh pengkaji ilmu sains politik meramalkan yang Anwar Ibrahim adalah pengganti Dr. Mahathir.

Entah apa silapnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pun terpelanting macam kena tiupan angin  puting beliung. Tidak sangka Anwar juga mengikut jejak langkah Tun Musa dan Tun Ghaffar menjadi TPM yang tidak mungkin jadi PM.

Sampai pula giliran Pak Lah. Nasib dan rezekinya baik beliau tidak terkena badi yang menimpa tiga TPM yang terdahulu. Jadilah dia PM sementara waktu.

Namun sejarah akan tercatat bahawa beliau adalah satu-satunya PM paling lemah dan lembut. Lambat buat sesuatu keputusasn dan "undecided". Usianya sebagai PM tidak sampai dua penggal - beliau dipaksa letak jawatan.

Maka giliran Datuk Seri Najib pula memikul segala yang ditinggalkan oleh Pak Lah.

Tumpuan sekarang lebih kepada TPM yang baru Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apakah Muhyiddin akan ikut jejak Pak Lah dan Najib menjadi PM atau beliau akan menerima nasib seperti Musa, Ghaffar dan Anwar?

Menurut pengkaji sains politik dan segala profesornya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi TPM yang tidak akan jadi PM.!!!



.

Pilihanraya Umum ke 13 Tahun Ini ?

BN terus mengekalkan kuasa di Sarawak dengan majoriti dua pertiga. Tidak ada parti di dunia yang tidak perlu pada kemenangan dua pertiga tersebut. Kemenangan dengan majoriti mudah atau slim majoriti sudah tentu menyukarkan parti memerintah dalam mentadbirkan kerajaannya.

Sekiranya sesebuah kerajaan itu hanya mempunyai kelebihan beberapa kerusi, maka kerajaan tersebut tidak boleh buat kerja lain kerana terpaksa menjaga takut ada ahli-ahlinya yang melompat ke parti lawan. Kerajaan yang ada pun mudah tumbang.

BN di Sarawak sudah pun keluar dari zon bahaya tersebut. Perdana Menteri tentu gembira. Apakah dengan kemenangan ini akan memberi petunjuk yang pilihanraya umum ke 13 akan diadakan secepat mungkin.

Kalau dikira dari segi momentumnya ia harus dipercepatkan. Sekiranya ditangguhkan lagi ianya boleh memberi kesan pada BN. Masa berjalan dan banyak isu-isu baru yang timbul yang mungkin tidak memberi keuntungan pada parti dan negara.

Cuma masalah BN sekarang ialah pengundi Cina. Keputusan pilihanraya Sarawak menunjukkan BN gagal memikat sebahagian besar undi kaum tersebut. Jika diteliti pada 16 pilihanraya kecil yang lalu, pengundi Cina tidak memihak pada BN.

Pembangkang terutama DAP telah berjaya menarik undi kaum tersebut. Pilihanraya umum ke 13 jika ditangguh boleh menyulitkan keadaan. Tetapi sekiranya dipercepatkan BN tidak sempat untuk memperbaiki atau menarik undi kaum Cina yang kelihatan begitu cenderung ke arah pembangkang.

Apakah pilihan Datuk Seri Najib ? Barangkali kita perlu menunggu "ilham"nya datang.

Hari paling bahagia

Sebelum saya ke Indonesia untuk sambung belajar, saya telah banyak menghantar tulisan saya ke akhbar-akhbar tempatan. Tapi tidak ada satupun yang tersiar. Saya begitu bersemangat dan bercita-cita agar suatu hari tulisan saya akan tersiar dengan byline nama saya.

Kadangkala ada juga perasaan putus asa kerana banyak tulisan saya telah dibakulsampahkan . Namun saya ingat pesanan para penulis yang terkenal agar tidak patah semangat  dan terus menulis.

Minat mengikuti perkembangan politik tanahair memberi kelebihan pada  masa itu. Oleh kerana pada fikiran saya sudah tentu akhbar-akhbar di sana sentiasa mengalu-alukan berita atau analisis poltik di  Malaysia.

Kebetulan masa itu politik di Malaysia  sedang hangat dengan perebutan kerusi Timbalan Presiden UMNO antara Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah. Saya pun apa lagi ambil kesempatan mengulas perkembangan itu dengan gaya tersendiri.

Saya tulis rencana politik itu dalam 20 paragraf dengan  mesintaip buruk  dan menyerahkan tulisan tersebut byhand kepada editor akhbar WASPADA yang merupakan harian utama di  Medan.

Tidak sampai tiga hari tulisan itu tersiar . Saya terkejut dan gembira.Tidak  dapat nak bayangkan kegembiraan saat itu. Semua para pelajar di sana mengucapkan tahniah  pada  saya. Dan lain menjadi sejarah.

Pertemuan dengan Prof: Ismail Hussein

Semasa saya berada di Medan, Sumatera Utara pada tahun 1981 ketika mengikuti kursus kewartawanan saya telah terserempak dengan Profesor Ismail Hussein yang sedang mundar mandir dalam kota tersebut.

Beliau berjalan keseorangan. Saya pula memerhatikannya dari jauh. Pada masa itu saya sedang mencari kedai makan yang sesuai untuk menjamu selera.

Mulanya saya agak keberatan untuk menegurnya. Maklumlah masa itu saya hanya seorang budak yang masih mentah- baru menjangkau usia 20 tahun. Dia pula kelihatan berpusing-pusing melihat dan memerhatikan gerai-gerai surat khabar yang jumlahnya seperti cendawan.

Saya terus memerhatikannya. Rupa-rupanya dia sedang memilih dan membeli akhbar yang berbagai jenis. Di Medan saja akhbar harian berbelas-belas. Banyak juga akhbar yang dibelinya.

Saya merapatinya dan terus menegurnya,"Profesor"? saya memberanikan diri. Dia agak terpingga mulanya. Saya terus memperkenalkan diri. Kami berbual sambil berdiri dalam kesibukan orang yang lalu lalang di situ. Dia beritahu saya yang beliau dalam perjalanan  ke Acheh untuk menghadiri satu pertemuan para cendikiawan Melayu seluruh ASEAN.

Banyaklah perkara yang kami bualkan. Dalam perbualan itu saya masih ingat dia memberi dorongan pada saya agar menulis dengan menghantar berita ke akhbar tempatan tanahair. Kerana sebelum itu saya memberitahunya yang saya berada di Medan mengikuti kursus kewartawanan .

Kalaulah Prof. Ismail Husseein membaca catatan ini mungkin beliau lupa kerana pertemuan itu berlaku lebih kurang 25 tahun dahulu. Tetapi pada saya pula ianya masih segar dalam ingatan.







































Ahad, 17 April 2011

BERSAMBUNG: Mansor Ahmad Saman

Kelebihan  Mansor ialah beliau boleh menulis kolum dalam bahasa Inggeris seperti yang pernah tersiar dalam akhbar The Malay Mail  iaitu ruangan TS Lanang Corner. 

Kejayaan seorang penulis banyak bergantung pada sumbangannya dalam bidang penulisan. Penulisan Mansor begitu banyak dan meluas termasuk hasil karya cerpen dan puisi.

Bagi bakal-bakal penulis muda bukunya bertajuk " Penulisan dan Media" terbitan DBP  boleh banyak membantu kerana ia sarat dengan panduan dan teknik penulisan yang berkesan.

  • Bukunya yang terawal yang paling saya tidak puas membacanya ialah "So You Want To Be A Journalist". Sebenarnya buku ini saya beli dengan harga RM 4.50 dalam bentuk stensilan dan kulit buku itu dari kertas 'manilakat' . Saya beli buku ini di kedai buku koperasi USM semasa singgah dalam perjalanan  ke airport untuk ke Indonesia  lebih kurang 20tahun dulu.                                                                                                                                            

Sabtu, 16 April 2011

DI MANA KOLUMNIS MANSOR AHMAD SAMAN?

Siapa tidak kenal dengan kolumnis terkenal suatu masa dulu Mansor Ahmad Saman atau lebih dikenali dengan nama penanya TS Lanang. Beliau adalah seorang pensyarah dalam bidang Komunikasi Massa di USM Pulau Pinang.

Beliau boleh dikatakan antara penulis kolum yang prolifik lewat 70an dan 80an . Kolum tetapnya sering tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat, Widya serta akhbar harian tanahair dengan menggunakan nama penanya TS Lanang.

Beliau juga menghasilkan banyak buku. Antara bukunya yang menarik ialah ' Surat TS Lanang kepada Baha Zain" terbitan Media Intelek. Dan banyak lagi buku lain yang berkaitan dengan penulisan dan komunikasi.

Mansor juga pernah dipilih sebagai penulis kolum terbaik oleh majalah Dewan Masyarakat pada tahun 80an semasa majalah tersebut dipimpin oleh Noor Azam.

Kini nama Mansor atau T.S.Lanang tidak muncul lagi dihalaman akhbar dan majalah tempatan.