Tan Sri Lee San Choon, 87 tahun telah pun meninggal dunia. Beliau adalah bekas Presiden MCA ke 4 selepas Tun Tan Siew Sin.
Lee telah melibatkan diri dalam politik sejak 1959. Dan beliau adalah antara Presiden MCA yang berjaya membangunkan parti.
Beliau telah berkhidmat dalam kabinet sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn sehinggalah ke zaman Dr Mahathir.
Lee telah mengundur diri dari politik pada tahun 1983 dengan meletakkan semua jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden MCA dan ahli Parlimen Seremban.
Semasa Lee meletakkan semua jawatan politiknya (1983) beliau tidak memberi sebarang alasan diatas keputusan dan tindakannya itu.
Sedangkan ketika itu MCA baru sahaja berjaya meraih kejayaan (PRU 1982) dengan memenangi banyak kerusi yang dikuasai DAP.
Umum bertanya kenapa Lee tiba-tiba meletakkan semua jawatan politik yang dipegangnya? MCA tidak berhadapan masalah atau sebarang skandal. Malah parti MCA berada dipuncak kejayaan dan dalam keadaan kukuh.
Tidak siapa pun mengetahui puncanya. Lee sendiri tidak memberi bayangan sebab musabab tindakannya itu.
Namun pada tahun 2000 dalam satu wawancara dengan majalah Asiaweek, Lee mendedahkan ada pemimpin Umno menikamnya dari belakang. Tidak pula Lee menjelaskan dengan terperinci kenyataannya tersebut.
Bagaimanapun, saya sebagai seorang yang minat mengikuti perkembangan politik sejak 1981 lagi sudah dapat mengetahui apa puncanya.
Ceritanya begini. Pada 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 4 menggantikan Tun Hussein Onn. Lee adalah menteri kabinet Tun Hussein.
Dr Mahathir membubarkan parlimen bagi memberi laluan PRU pada 1982 bagi mendapat mandat rakyat selaku PM ke 4.
Suasana ketika itu memperlihatkan Dr Mahathir dan parti Barisan Nasional begitu popular dan mendapat sokongan rakyat.
Lee pula sebagai pemimpin kaum Cina menerima cabaran hebat dari pemimpin DAP, Lim Kit Siang bagi menentukan siapa menjadi pilihan untuk mewakili kaum Cina di negara ini. Cabarannya, MCA atau DAP??
Lee San Choon menyahut cabaran DAP dengan berani dan mengorbankan dirinya dengan bertanding di kubu kuat DAP iaitu Seremban dengan bertanding melawan Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin. Seremban adalah kawasan majoriti Cina dan kubu kuat DAP.
Lee tidak bertanding di kawasan selamat. Beliau bertanding di Seremban bagi memberi peluang pada kaum Cina membuat pilihan sama ada MCA atau DAP sebagai parti utama mewakili kaum Cina di negara ini.
Keputusannya Lee San Choon menang menewaskan Chen Man Hin dengan majoriti 845 undi. Jumlah pengundi lebih kurang 46,000. Satu kemenangan tipis buat Lee. Namun ia satu kemenangan yang memberi impak besar pada MCA mahu pun DAP.
Pertama, Seremban kubu kuat DAP. Kedua Lee menentang Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin.
Ia adalah satu kejayaan dan kemenangan manis buat Lee San Choon sebagai Presiden MCA dan sebagai pemimpin mewakili kaum Cina. Sekurang kurangnya pengorbanan Lee bertanding di Seremban berbaloi. Dan ia juga satu tamparan hebat buat DAP.
Namun kejayaan itu seperti tidak dihargai Umno, terutama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Kerana selepas kejayaan MCA merampas banyak kerusi DAP dalam PRU 1982 itu, Lee San Choon telah membuat beberapa tuntutan pada Dr Mahathir sebagai PM sebagai imbalan diatas kejayaan dan pengorbanan MCA dalam menentang parti DAP dikalangan para pengundi Cina.
Antara tuntutan Lee pada Dr Mahathir adalah penambahan beberapa jawatan dalam kabinet dan beberapa tuntutan yang lain. Bagi Lee tuntutan ini adalah adil dan wajar diatas kejayaan dan sumbangan MCA dalam Barisan Nasional.
Namun Dr Mahathir selepas kejayaan BN dalam PRU 1982 itu tidak melayan sedikit pun segala tuntutan tersebut. Malah beliau terus mempertahankan status quo yang ada pada MCA.
Ia kelihatan seolah olah Dr Mahathir tidak menghargai pengorbanan dan kerja keras MCA dalam menyaingi DAP bagi menarik sokongan para pengundi kaum Cina.
Selepas PRU 1982 - tidak sampai setahun, Lee San Choon mengambil langkah politik sebagai mesej pada Dr Mahathir dengan meletakkan semua jawatannya sebagai tanda protes.
Lee meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden MCA dan ahli parlimen Seremban.
Ertinya Lee ingin sampaikan pada Dr Mahathir bahawa beliau akan pulangkan kerusi parlimen Seremban kembali pada DAP.
Dan ternyata itulah yang berlaku. Setelah Lee mengosongkan kerusi parlimen Seremban maka berlaku lah satu pilihan raya kecil.
Dalam pilihan raya kecil itu DAP berjaya merampas kembali Seremban sebagai kubu kuatnya.
Seremban hingga ke hari ini terus kekal sebagai kawasan dan kubu kuat DAP.
Itulah Lee San Choon. Seorang pemimpin dan politikus Cina yang disegani. Dan beliau akan terus diingati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan