Ada satu rencana saya (di atas) yang tersiar dalam akhbar Berita Harian pada tahun 1988 mengenai isu kempen mencintai bahasa kita sebagai bahasa kebangsaan. Kempen bahasa itu dilancarkan oleh Perdana Menteri pada masa itu Dr Mahathir Mohamad.
Dalam ucapan itu Dr Mahathir menegaskan dalam kita memperjuangkan pengunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan bahasa inggeris sebagai bahasa kedua.
Saya mengulas ucapan Dr Mahathir itu dengan memberi sokongan dan hujah betapa pentingnya penguasaan bahasa inggeris di kalangan rakyat kita, terutamanya orang-orang melayu. Saya memberi hujah kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa.
Sekiranya kita gagal menguasainya kita akan gagal dalam banyak perkara terutama dalam dunia global yang semakin canggih dan mencabar. Sudah tentu orang yang menguasai dua bahasa mempunyai kelebihan dari seorang yang hanya menguasai bahasa ibundanya sahaja.
Namun ini tidak bererti bila kita berusaha menguasai bahasa Inggeris kita kurang semangat kebangsaaan atau tidak mencintai bahasa kita. Malah dengan menguasai bahasa Inggeris kita akan lebih maju ke hadapan dan sekaligus menjadi bangsa yang berjaya. Bila kita maju dan berjaya bererti bangsa kita juga akan dihormati dan disegani.
Rencana itu disiarkan di muka halaman tengah akhbar Berita Harian. Halaman ini biasanya di muka surat empat di mana terletaknya rencana pengarang akhbar tersebut yang terletak paling atas atau di sebelah kiri halaman. Kira-kira ia adalah halaman utama akhbar tersebut. Begitu juga dengan akhbar-akhbar harian yang lain seperti Utusan Malaysia. Muka surat empat terkandungnya rencana pengarang setiap hari yang menjadi nadi utama dan ruang menyatakan pendirian atau dasar akhbar tersebut dalam sesuatu isu.
Apa yang saya tidak boleh lupakan disebalik tersiarnya rencana tersebut ialah tempoh masa dari mula saya kirim rencana itu secara kiriman pos sehinggalah ianya tersiar.
Pada kebiasaannya selepas saya mengirim rencana secara pos kepada pengarang akhbar, ia mengambil masa lebih kurang seminggu atau dua minggu baru di siarkan. Ketika itu belum ada lagi email.
Sebelum itu semua tulisan saya yang tersiar dalam halaman Sastera dan Budaya, Ulasan buku dan Sukan terbit dalam jangka masa tersebut.Paling lama dua minggu dan paling cepat seminggu ianya tersiar.
Tetapi rencana seperti foto di atas telah mengambil masa lebih dari sebulan baru disiarkan. Pada mulanya saya jangka ia tidak akan disiarkan oleh pengarang kerana ia mengambil masa agak lama. Saya kira mungkin pengarang telah bakul sampahkan rencana tersebut. Saya tidak buruk sangka. Saya kira tulisan itu mungkin tidak sesuai dengan pendirian pengarang.
Namun saya tidak juga cuba menghantar pada akhbar harian yang lain. Kerana saya sentiasa simpan salinan setiap tulisan saya sebagai rekod. Saya abaikan sahaja rencana yang saya ketik di mesin taip itu. Saya kira tiada rezeki. Tidak lulus disiarkan !!
Bagaimanapun pada suatu hari agak-agak hampir dua bulan selepas rencana itu dikirimkan, sepupu saya menelefon bertanya apakah rencana saya yang tersiar dalam Berita Harian hari itu. Saya terkejut. Saya beritahu padanya saya tidak beli Berita Harian hari tersebut. Dia mengesahkan nama saya tersiar dengan memberi tajuk rencana itu sekali.
Oleh kerana waktu itu sudah pun lewat petang saya gagal mendapatkan naskhah Berita Harian itu. Gerai-gerai akhbar pun sudah tutup. Sudah lebih sehari saya belum lagi melihat tulisan saya yang disiarkan.
Pagi-pagi esoknya saya ke gerai penjual akhbar. Tetapi kecewa kerana penjual akhbar memberitahu tiada lagi baki naskhah tersebut. Kerana jumlah naskhah untuk kawasan daerah saya diami tidak banyak. Semua habis terjual.
Saya tekad untuk mendapatkannya apa cara sekali pun. Saya pergi ke pejabat cawangan Berita Harian di bandar yang terletak jaraknya kira-kira 28km.
Bila sampai sahaja di situ saya bertanyakan dengan para pekerja yang sedang sibuk menguruskan bertimbun suratkhabar yang baru sampai dari pengedar akhbar di Kuala Lumpur dan bertimbun akhbar lama yang diikat untuk dihantar balik.
Saya lega bila seorang pekerja di situ menunjukkan naskhah kelmarin yang siap diikat ketat dengan tali. Saya tidak buang masa dan menghulur duit untuk dua naskhah ! Dia tidak bertanya kenapa. Saya pun tidak menceritakan apa yang berlaku.
Itulah memori manis saya yang masih segar dalam ingatan. Selang beberapa bulan kemudian saya menerima sekeping cek honorarium di atas tersiarnya rencana tersebut.
Bagi setiap penulis tentunya merasa kepuasan yang tidak dapat digambarkan bila tulisannya berjaya disiarkan di halaman tengah sesuatu akhbar.
Namun tulisan saya di halaman tengah itu adalah yang pertama dan juga yang terakhir !

.jpeg)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan