Rabu, 20 Mac 2013

Biografi Rosmah Mansor

DATIN Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan salah seorang personaliti yang menjadi tumpuan banyak pihak. Dari penampilan dan gerak gerinya akan diikuti dan diperhati setiap inci oleh semua orang lebih-lebih lagi parti pembangkang.

Dr.Mahathir, Rosmah dan Najib semasa pelancaran buku
Rosmah seakan sudah menjadi satu 'punching beg' yang digemari pembangkang dalam mendiskreditkan kerajaan dan Barisan Nasional. Tuduhan dan tohmahan bahawa dia terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, tujuh tahun dahulu boleh menggugat kerajaan.

Kadang-kadang timbul persoalan; apakah Rosmah telah menjadi liabiliti atau beban pada parti dan kerajaan ? Apakah segala tuduhan terhadap beliau dalam kes itu adalah manipulasi pembangkang bagi menjatuhkan Najib dan BN ?

Nasib menimpa Rosmah boleh dikira sama dengan apa yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segala kes liwat dan video seks yang dikatakan hampir 'menyerupainya'. Apakah kes Anwar ini juga adalah satu manipulasi politik dari musuhnya ?

Apa pun Rosmah dan Anwar telah menjadi dua personaliti berprofil tinggi sedang menghadapi tuduhan dan fitnah yang mampu mencemar dan menjejas kredibiliti mereka di mata umum. Kedua mereka perlu mengambil langkah untuk menjelaskan dan menyakinkan orang ramai bahawa segala tuduhan itu adalah fitnah belaka.

Anwar...langkah seterusnya
Justeru itu langkah Rosmah menghasilkan biografinya yang dilancarkan baru-baru ini adalah sesuatu yang betul dan ditunggu-tunggu. Biografi Rosmah Mansor, setebal 180 muka surat dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga kini telah terjual sebanyak 500 ribu nashkah.

Antara yang bab yang menarik dalam biografi tersebut ialah bab bertajuk Menjawab Persoalan. Ia tentunya mengandungi penjelasan dan jawaban di atas semua tohmahan dan tuduhan. Penjelasan diberikan dan terpulanglah pada para pembaca membuat pertimbangan matang dan rasional.

Apa yang penting Rosmah telah melakukan apa yang perlu sifatnya sebagai orang yang dilempar fitnah. Tidak ada kaedah melainkan dengan memberi penjelasan dan gambaran yang sebenar bagi menjawab segala tuduhan.

Dalam hubungan ini kita tertanya-tanya selepas hampir 9 tahun Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh dia tidak pernah berusaha menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sekitar kes liwat dan segala macam yang dianggapnya fitnah dan satu konspirasi terhadap dirinya.

Dari sudut undang-undang dan mahkamah belum muktamad lagi - walaupun setakat ini dia dibebaskan. Kes liwatnya akan bersambung Julai ini. Masih ada dua lapis mahkamah lagi yang perlu ditempuhinya.

Anwar selama dia dibebaskan sepatutnya sudah ada sekurang-kurangnya satu biografi menjelaskan satu persatu apa yang berlaku menimpa dirinya. Dari segi undang-undang kes dia belum tamat. Anwar hanya menafikan segala fitnah terhadapnya di ceramah-ceramah politik.

Yang pasti banyak orang keliru dengan kes liwatnya. Orang ramai keliru sepertimana jawaban dan penafiannya juga mengelirukan dan tidak menyakinkan. Mengapalah tidak ada usaha dari Anwar untuk menjelaskan secara terperinci semua tuduhan dan perlakuan keji yang dikatakan konspirasi fitnah itu ?

Anwar boleh jelaskan dalam buku atau biografinya secara detail bagi membersihkan imejnya dan menyakinkan pengikutnya.

Dr. Mahathir sekurang-kurangnya telah menulis secara terperinci dalam memoirnya, Dokter Umum, perihal tingkah laku Anwar yang dikatakannya mempunyai moral yang rendah dan tidak sesuai menjadi Perdana Menteri . Sehingga kini Anwar tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang atau saman berkaitan segala tuduhan Dr. Mahathir dalam memoir tersebut.

Dalam konteks ini antara Rosmah dan Anwar - Rosmah telah melakukan yang betul dan patut bagi membela dan membersih imejnya dari semua tuduhan dan fitnah. Anwar nak tunggu bila ?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan