Sabtu, 28 Mei 2016

Shahrir Samad Cadang Mahathir Tubuh Parti Baru

TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD, ahli Parlimen Johor Bahru dan veteran Umno telah menggesa Dr Mahathir Mohamad agar menubuhkan parti baru dan bertanding dalam pilihan raya bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap beliau.

Shahrir mencadangkan agar Dr Mahathir menjadikan Deklarasi Rakyat sebagai parti baru itu yang dikatakan dapat mengumpul 1.2 juta tandatangan bagi menggesa Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM).

Apakah Shahrir cuba menyindir Mahathir atau memang dia serius mahu negarawan itu menubuhkan parti baru untuk melawan Umno dan BN ?

Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Apa pun tujuan Shahrir, bagi saya cadangannya itu tidak perlu dilayan dan ia bukan satu perkara utama dan penting. Ertinya, ia satu isu remeh dan tidak perlu diberi perhatian pun.

Dr Mahathir telah menjelaskan berkali-kali bahawa agenda utama beliau adalah menjatuhkan Najib. Dalam konteks ini parti-parti politik yang telah ada sudah pun memadai dan tidak perlu lagi pada parti yang baru.

Walau pun Dr Mahathir kini bukan lagi ahli Umno, tidak bermakna beliau akan berada di luar Umno selama-lamanya. Buktinya ketika era Abdullah Ahmad Badawi, beliau keluar Umno sebentar sebagai tanda protes terhadap pimpinan Pak Lah.

Tetapi setelah agendanya selesai berjaya mempengaruhi keadaan dengan pengunduran Pak Lah sebagai PM, beliau kembali semula pada Umno.

Begitu juga dalam suasana kini, beliau keluar sekali lagi dari Umno dengan tujuan agar Najib berundur. Apakah beliau akan berjaya atau tidak hanya masa yang akan menentukan.

Dengan itu soal beliau perlu tubuh parti baru seperti yang diluahkan Shahrir tadi adalah tidak berbangkit. Kerana Mahathir masih mampu bergerak tanpa parti dengan bergabung dengan parti-parti dan badan NGO yang ada bagi mengumpul mereka dalam satu barisan bagi mencapai matlamat utama iaitu pengunduran Najib dari jawatan PM.

Semua orang tahu Dr Mahathir masih lagi berjiwa Umno. Perjuangan beliau sekarang bukan melawan parti yang pernah dipimpinnya tetapi adalah untuk melawan Najib.

Sebab itu bagi Dr Mahathir, gerakan Deklarasi Rakyat adalah satu gerakan mewakili suara rakyat bukan parti-parti politik.

Ada pun gesaan Dr Mahathir agar rakyat tidak mengundi calon BN dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini adalah satu tanda protes dan mesej pada Najib agar cepat berundur bagi memulihkan imej parti dan kerajaan yang tercemar dengan skandal 1MDB.

Dalam usia 90 tahun, Dr Mahathir tidak perlu dan tidak relevan dengan penubuhan parti baru. Oleh itu cadangan Shahrir itu boleh dibakul sampahkan sahaja.


Selasa, 24 Mei 2016

Mahathir Terus Tekan Najib

SEJARAH membuktikan salah satu faktor Tunku Abdul Rahman Petra Al Haj meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah kerana kritikan-kritikan Dr Mahathir Mohamad melalui surat terbuka dan penulisan-penulisannya yang diterbitkan.

Dr Mahathir telah mendedahkan kelemahan pentadbiran Tunku terutamanya dalam bukunya, "The Malay Dilemma". Tunku kemudian mengharamkan buku tersebut. Pengharaman buku itu ditarik balik setelah Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) pada 1981.

Kemudian sejarah berulang bila Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi PM ke 5 pada 2003. Pada peringkat awal pemerintahan Badawi semuanya berjalan licin tanpa masalah.

Tetapi selang beberapa tahun mulai timbul berbagai isu. Dr Mahathir yang bersikap terus terang mula mengkritik beberapa dasar dan keputusan Badawi berkaitan pentadbiran negara. Seperti biasa tokoh negarawan itu melepaskan segala ketidakpuasan hatinya melalui penulisan.

Apalah agaknya yang dikatakan Dr Mahathir pada Najib...masa ni depa ok lagi

Sekiranya pada zaman Tunku, beliau menulis kritikannya itu melalui media cetakan tetapi pada era internet beliau menulis menerusi blognya, Chedet yang dapat dibaca berjuta pembaca hanya dalam beberapa saat dan minit setelah dicatatkan.

Dan semua tahu pada PRU 2008, salah satu faktor kekalahan kerajaan BN dibawah Badawi adalah kerana kritikan dan kecaman Dr Mahathir terhadap Badawi atau lebih popular dengan panggilan Pak Lah.

Seterusnya kerana desakan dan tekanan daripada Dr Mahathir yang berterusan telah berjaya mempengaruhi parti mendesak agar Pak Lah berundur.

Kini giliran Najib Razak pula menerima nasib yang sama. Pada peringkat awal semuanya berjalan lancar. Tetapi setelah pencapaian Najib dalam PRU 13 lebih teruk jika dibandingkan dengan Pak Lah maka Dr Mahathir mula rasa kecewa dan tidak lagi merahsiakan pendiriannya terhadap Najib.

Kemuncak kemarahan Dr Mahathir terhadap Najib adalah mula timbulnya isu atau skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sehingga kini kemarahan Dr Mahathir telah sampai ke peringkat paling puncak dengan tidak lagi menjadi ahli Umno. Bahkan beliau telah mengarahkan semua parti pembangkang dan rakyat menolak dan menjatuhkan Najib dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Tidak seperti di era Tunku dan Pak Lah, dimana Dr Mahathir berjaya memainkan peranannya dengan berkesan sehingga perletakkan jawatan kedua bekas PM tersebut.

Nampaknya, di era Najib kelihatan lebih kebal berbanding Tunku dan Pak Lah. Setakat ini segala gerakan Dr Mahathir belum lagi berkesan mencapai sasarannya iaitu menjatuhkan Najib.

Walau apapun adalah jelas kedudukan Najib kini semakin tertekan. Semua ini adalah dari langkah dan pengaruh Dr Mahathir termasuk lah dalam gerakan Deklarasi Rakyat.

Najib belum nampak akan jatuh dalam masa terdekat ini. Namun adalah jelas antara Najib dan Mahathir - Najib lebih merasa panas dek tekanan yang berterusan.

Politik Mahathir adalah mudah dan simple. Beliau mahu teruskan momentum itu sehingga Najib berundur atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan tekanan itu sehingga PRU 14, 2018 !

Jumaat, 20 Mei 2016

Lim Guan Eng Berasa Malu Kerana Jho Low Anak Pulau Pinang

KETUA MENTERI Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah melahirkan rasa malunya bila menyebut nama Low Taek Jho atau Jho Low yang berasal dari negeri Pulau Pinang. Sebagai Ketua Menteri negeri itu ia merasa kecewa dengan anak muda berusia 35 tahun bertaraf billionair itu yang sering dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Jho Low yang kini berada di luar negeri sebagai pelarian pada awalnya memang terlibat dengan Trengganu Investment Authority (TIA) yang kemudiannya ditukar menjadi 1MDB.

Ada laporan mengatakan beliau berada di Taiwan. Ada juga mengesahkan beliau menghabiskan masanya berada di atas kapal layarnya antara Taiwan dan Filipina. Dia dikatakan tidak berani berada di darat bimbang akan ditahan pihak berkuasa ekoran siasatan antarabangsa di tujuh buah negara mengenai pengubahan wang haram yang dikatakan melibatkan 1MDB.


Hingga sekarang beberapa proksinya ditahan dan didakwa di Singapura berkaitan 1MDB. Pihak FBI juga sedang meningkatkan usaha siasatan secara menyeluruh termasuklah kenalan Jho Low - anak tiri Perdana Menteri Najib Razak iaitu Riza Aziz.

Jho Low adalah watak penting dalam isu 1MDB yang telah mencemarkan imej Najib, Umno dan Malaysia. Tetapi setakat ini tiada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa negara untuk mengesan Jho Low.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi di Parlimen bahawa kerajaan akan hanya memanggil Jho Low untuk disiasat sekiranya perlu amat mengecewakan ramai pihak.

Tuduhan Jho Low telah banyak menggunakan dana 1MDB bagi kepentingan diri dan syarikat miliknya perlu disiasat hingga ke lubang cacing.

Berbeza dengan Lim Guan Eng yang mencemuh Jho Low, para pemimpin tertinggi Umno kelihatan membisu walaupun ahli perniagaan Cina itu telah merosakkan nama Perdana Menteri, Umno dan negara kerana 1MDB.

Masalahnya apakah dengan mengheret Jho Low ke mahkamah akan merungkai lebih banyak rahsia disebalik skandal 1MDB dengan melibatkan lebih ramai pemimpin tertinggi dan para pegawai kerajaan yang telah bersubahat dan cuba menutup skandal yang terbesar dalam sejarah ini.

Penafian kerajaan terhadap laporan-laporan terhadap 1MDB sebagai fitnah tidak begitu menyakinkan. Sekiranya semua laporan itu berunsur fitnah kerajaan perlu mengambil tindakan tegas. Sehingga kini tiada tindakan tegas terhadap sumber laporan-laporan itu. Malah laporan-laporan terus terbit secara konsisten dan terkini.

Tiada tindak balas berkesan dari kerajaan telah menambah keyakinan sebahagian besar rakyat terhadap laporan-laporan tersebut sebagai benar.

Rabu, 18 Mei 2016

Dr Mahathir Lebih Berpengaruh Drp Anwar

SURAT Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh telah mendedahkan hakikat sebenar masalah dalaman parti PKR. Anwar menulis surat mengingatkan para pemimpin parti itu agar berwaspada dengan gerakan Deklarasi Rakyat dari terjerumus dari landasan asal perjuangan PKR dengan menjadi dokumen atau muslihat politik Dr Mahathir.

Jelas dalam pimpinan PKR berpecah antara yang bersama Deklarasi Rakyat pimpinan Dr Mahathir dengan mereka yang enggan turut serta. Dan Anwar rasa tersinggung dengan beberapa pemimpin tertinggi PKR yang sanggup bersama Dr Mahathir dalam gerakan menjatuhkan Najib Razak.


Soalnya pada peringkat awal tercetusnya Deklarasi Rakyat itu Anwar dari penjara telah menyatakan sokongan secara terbuka. Baru ini Anwar menyatakan kegusarannya terhadap gerakan yang dipimpin bekas mentornya itu.

Ini tentunya berpunca dari sikap Dr Mahathir yang tetap tegas dan konsisten terhadap Anwar. Mahathir dengan tegas menolak tuntutan pembebasan Anwar dalam agenda Deklarasi Rakyat. Negarawan itu juga berpendapat Anwar tidak layak menjadi calon Perdana Menteri.

Ini tentulah satu penghinaan buat Anwar, isterinya Dr Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah.

Bagi Dr Mahathir dan mereka yang senada dengannya Anwar adalah seorang banduan. Tetapi bagi Azizah dan Nurul serta para pengikut setia, Anwar adalah tahanan politik.

Inilah punca segalanya. Sekiranya Dr Mahathir dapat mengubah pendiriannya terhadap Anwar, maka Azizah dan Nurul tentu akan bersama dipentas Deklarasi Rakyat bersama Dr Mahathir.

Dengan adanya segelintir pemimpin tertinggi PKR sanggup bersama Dr Mahathir, apakah ini bererti mereka sudah hilang keyakinan pada Anwar ?

Apa yang jelas terbukti sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS telah pun meninggalkan Anwar. Pemimpin seperti Hj Hadi Awang, Dr Haron Din, Mustafa Ali dan beberapa yang lain kelihatan tidak seperti di awal kebangkitan reformasi dulu.

Suasana ini lebih terserlah semasa mengharungi Langkah Kajang, satu langkah politik Anwar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor. Hadi Awang begitu kuat menentang langkah Anwar itu dan mempertahankan Khalid Ibrahim.

Langkah Kajang telah pun menjadi sejarah. Namun peristiwa itu antara punca hubungan Anwar dengan pemimpin tertinggi PAS terutama pemimpin ulama menjadi rengang.

Malah kini DAP pula menzahirkan pendirian yang jelas dan tegas akan bersama Dr Mahathir memperjuangkan Deklarasi Rakyat selepas isu surat Anwar itu didedahkan pada umum.

Selepas sebahagian besar pemimpin PAS menjarakkan diri dengan Anwar tidak berapa lama dulu dan isu beberapa pemimpin tertinggi PKR dalam isu Deklarasi Rakyat dan Dr Mahathir, kini DAP pula melalui Lim Guan Eng tetap tidak berganjak dan dipengaruhi dengan surat Anwar itu.

Apakah ini semua tanda mulanya Anwar kehilangan pengaruhnya dan ditinggalkan rakan-rakan seperjuangannya ? Dan adakah suasana ini membayangkan Dr Mahathir seorang yang cukup berpengaruh dan diterima sebahagian besar pemimpin pembangkang ?




Isnin, 16 Mei 2016

Dr Mahathir Pemimpin Berpengaruh

Dr Mahathir sebagai Ketua

DR MAHATHIR sebagai pemimpin utama Deklarasi Rakyat bersama para pemimpin pembangkang dan NGO berjaya mengumpul tandatangan rakyat mencecah 1.27 juta orang untuk diserahkan pada Yang Di Pertuan Agong menggesa agar Perdana Menteri Najib Razak berundur.

Walaupun langkah ini tidak memberi jaminan hasrat itu tercapai namun ia berjaya menghantar mesej yang jelas isyarat sebahagian rakyat terhadap pimpinan Najib.

Bagi pemimpin dan penyokong Umno, pengunduran Najib sebagai PM hanya dapat dilakukan melalui pilihan raya. Mereka menolak tuntutan Deklarasi Rakyat itu.

Tetapi sejarah Umno lalu membuktikan bekas pemimpin parti meletakkan jawatan dan berundur bukan melalui pilihan raya. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Abdullah Ahmad Badawi malah Dr Mahathir melepaskan jawatan ketika masih berkuasa.

Mereka berundur di atas faktor-faktor semasa kecuali Tun Hussein Onn disebabkan masalah kesihatan. Tunku dan Abdullah meletakkan jawatan kerana sudah tidak popular. Dr Mahathir bersara kerana mengira ia sudah terlalu lama berkuasa.

Manakala kes Najib, sudah ada tanda-tanda ia tidak disenangi dan menghadapi skandal terbesar dalam sejarah - 1MDB yang melibatkan berbillion ringgit. Masalahnya Najib tidak berupaya menangani isu 1MDB secara berkesan bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memperbaiki imejnya yang tercalar.

Semakin hari semakin banyak terdedah kepincangan dan penyelewengan dalam pengurusan 1MDB. Di mahkamah Singapura, ada pendakwaan dan hukuman terhadap individu berkaitan 1MDB. Begitu juga dengan siasatan dan dakwaan yang berlaku di Swiss, Scotland, Luvembourg, UAE dan Amerika.

Anehnya, di Malaysia, Peguam Negara bertindak tiada kes ! Tiada apa-apa kesalahan berlaku. Mereka yang terlibat seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil, Suboh Yasin dan lain-lain berstatus sebagai pelarian di luar negeri.

Mereka bertiga dikhendaki oleh SPRM bagi membantu siasatan. Namun sehingga sekarang tiada langsung apa-apa kemajuan dalam menjejaki dan membawa balik mereka kembali ke tanahair.

Semuanya kelabu asap. Tiada ketelusan dalam mendakwa mereka yang mengkhianati 1MDB sehingga berhutang berbillion dan kini kerajaan sebagai penjamin perlu membayar segala hutangnya.

Dan kerana 1MDB juga telah berjaya menghimpun semua pemimpin dari pelbagai latarbelakang bersatu menuntut agar Najib berundur. Dengan ketokohan Dr Mahathir sebagai Ketua Deklarasi Rakyat, semua pemimpin pembangkang secara tidak rasminya menerima pimpinan negarawan itu.

Siapa menyangka para pemimpin seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar, Husam Musa, Lim Kit Siang, Ambiga, Sam PKR dan blogger Isham Rais aka tukar tiub dapat bersama satu pentas, satu barisan bersama Dr Mahathir dalam misi mengundurkan Najib.

Apakah Dr Mahathir telah diperalatkan ? Tidak mungkin kerana negarawan itu bukan orang bodoh. Dia mempunyai misi - Najib mesti letak jawatan.

Kehebatan Dr Mahathir ialah di mana dan dalam kalangan siapa, dia tetap akan menguasai keadaan. Dia di depan bukan dibelakang !

Khamis, 12 Mei 2016

Parti & Negara Lebih Utama Atau Najib ?

KINI dunia sedang memberi tumpuan pada persidangan " Anti - Corruption Summit 2016" di London. Hampir 40 pemimpin dunia menghadiri persidangan bagi membincangkan bagaimana memerangi gejala rasuah yang menjadi masalah global.

Negara mundur dan miskin seperti Nigeria dan Afghanistan turut hadir. Kedua negara tersebut diwakili Presiden mereka masing-masing.

Namun Malaysia tidak menyertai persidangan tersebut. Perdana Menteri Najib Razak tidak hadir atau tidak dijemput ? Malah Timbalan Perdana Menteri juga tidak kelihatan.

Ini adalah satu persoalan yang memerlukan penjelasan. Apakah PM Najib tidak berminat untuk menyertainya ?


Dengan skandal 1MDB yang melanda negara bahkan telah menjadi isu seluruh dunia ia telah menambah buruk imej Najib dan Malaysia.

Najib jelas tidak berupaya menyelesaikan isu 1MDB dan memberikan semua jawaban yang belum terjawab sehingga kini.

Semakin dia cuba memberi penjelasan dengan menyalahkan pihak lain dan bukan dirinya sendiri semakin kelihatan dia cuba untuk melepaskan diri daripada isu 1MDB yang sedang membelitnya.

Isu hutang RM50 billion 1MDB bukan isu perniagaan untung rugi tetapi adalah isu jenayah penyelewengan dan salah guna kuasa mereka yang diberikan amanah.

Ironinya, 1MDB adalah milik kementerian kewangan dan menterinya adalah Najib merangkap PM sekaligus.

Dan kini 1MDB tidak mampu membayar hutang malah tidak mampu membayar kadar faedah pinjaman bank. Setakat ini sudah dua pembayaran gagal dibuat selepas tamat tempoh.

Tetapi tidak mengapa kerana segala hutang yang dibuat 1MDB akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebagai penjamin.

Soalnya ke mana wang 1MDB ? Kenapa sehingga sekarang tidak seorang pun mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan ? Apakah dengan menyeret mereka akan membuka lebih banyak rahsia yang tersembunyi selama ini ?

Najib sebagai PM dan Menteri Kewangan sudah terang lagi bersuluh tidak lagi relevan dengan segala perkembangan yang berlaku dalam negara. Bahkan Najib tidak juga relevan di persada antarabangsa terutama persidangan yang berlangsung di London itu.

Mengapa dia terus mahu mengekalkan jawatannya sebagai PM ? Sedarkah dia telah menjadi satu liabiliti pada Umno dan negara !

Kepada para pemimpin Umno mereka perlu bertanya apakah parti dan negara lebih utama atau hanya individu tertentu ?


Rabu, 11 Mei 2016

Dr Mahathir Tokoh Yang Minat Pada Ilmu

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah seorang yang suka pada ilmu. Bukti beliau seorang yang suka pada ilmu jelas terlihat pada bidang pembacaannya yang meluas. Dari pembacaannya yang meluas itu dicurahkan pula menerusi penulisan.

Dr Mahathir adalah satu-satunya bekas Perdana Menteri (PM) negara ini yang begitu aktif dan konsisten menulis memberikan berbagai ulasan dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan kepentingan bangsa dan negara.

Sejak usia muda lagi beliau sudah pun menulis memberi pandangannya dalam berbagai topik dalam akhbar-akhbar tempatan menggunakan nama penanya - Chedet.


Selain bukunya yang tersohor, "The Malay Dilema" yang pernah diharamkan semasa Tunku Abdul Rahman, Dr Mahathir telah menghasilkan banyak buku. Antaranya; Menghadapi Cabaran dan Panduan Peniaga Kecil. Bukunya yang paling baru adalah "Doctor In The House", sebuah memoir mengisahkan penglibatan awal beliau dalam politik sehingga lah beliau bersara pada 2003.

Yang menariknya tentang Dr Mahathir ialah beliau menulis dan menderafkan sendiri semua hasil penulisannya melalui tangannya sendiri. Beliau menulis dengan tangannya sendiri. Tidak seperti setengah pemimpin atau bekas pemimpin yang menulis melalui Face Book, blog atau menerbitkan buku; kebanyakan penulisan mereka ditulis oleh penulis upahan atau pembantu dan sebagainya.

Sebahagian besar mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menulis hasil penulisan mereka sendiri hatta dalam Face Book. Mungkin juga mereka tidak mempunyai ruang dan masa untuk menulis sendiri dan memerlukan bantuan daripada para pegawai dan pembantu.

Tetapi tidak pada Dr Mahathir. Beliau akan menulis sendiri apa yang ingin dituliskan dan diluahkan segala ilham dan pandangannya dalam sesuatu perkara.


Sehingga kini beliau terus konsisten menulis memberi pelbagai ulasan dan pandangan dalam blognya; Chedet. Dan blognya mempunyai jumlah berjuta pembaca yang sentiasa menunggu ulasan beliau dalam isu-isu semasa negara.

Dengan tidak bertujuan merendahkan tokoh-tokoh tertentu; memang ada bekas pemimpin negara ini yang juga cuba menulis blognya sendiri. Tetapi jelas nampak tidak mendapat sambutan daripada para pembaca.

Pertamanya; blog tersebut ditulis oleh para pembantu dan setiausaha bekas pemimpin tersebut. Bukan dia sendiri yang menghasilkannya. Tetapi yang jelas bekas pemimpin itu memang tidak berkemampuan melontarkan apa yang ada dalam fikirannya melalui penulisan.

Begitu juga apa yang berlaku pada PM Najib Razak. Najib memang sering memberi pandangannya melalui Face Book dan blognya. Namun jelas semua itu dilakukan oleh pegawai-pegawainya di Prime Minister Office (PMO).

Ya, mungkin sebagai PM, beliau tidak mempunyai masa untuk menulis sendiri di dalam FB dan blognya. Maka tugas ini diserahkan kepada para pembantunya.

Sepanjang ingatan saya, semasa Dr Mahathir masih sebagai PM, beliau sering menghantar penulisannya dalam berbagai isu untuk diterbitkan di dalam akhbar harian Utusan dan Berita Harian.

Semua ini membuktikan Dr Mahathir adalah seorang yang suka pada ilmu dan mempunyai tabiat membaca yang meluas.

Khamis, 5 Mei 2016

Adenan Satem Letak Jawatan Jika Umno Masuk Sarawak

KETUA MENTERI Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menegaskan sekiranya Umno masuk ke Sarawak beliau akan meletakkan jawatan.

Adenan memberi amaran serius dan dia pasti akan mengotakan kata-katanya itu. Ketua Menteri itu amat arif dengan parti-parti politik di Semenanjung terutama Umno yang banyak mainkan isu perkauman bagi mengekalkan sokongan dikalangan orang melayu.

Adenan bukan sahaja mengertak Umno bahkan dia telah tunjukkan taringnya bila dia menghalang sebahagian besar para pemimpin pembangkang DAP dan PKR dari memasuki Sarawak dalam kempen PRN itu 7 Mei ini.


Adenan tidak hiraukan sesiapa termasuk Presiden Umno kerana dia tahu Sarawak adalah satu-satunya fixed deposit kerajaan persekutuan pada hari ini. Tanpa sokongan kerusi-kerusi parlimen di negeri itu kerajaan BN dibawah Najib pasti goyah.

Jadi bukan sahaja para pemimpin pembangkang dihalang dari memasuki Sarawak, malah parti Umno diharamkan terus dari memijak di bumi Kenyalang itu.

Dalam kempen PRN, Adenan bertindak memisahkan dirinya dari semua isu negatif yang terpalit pada Umno pimpinan Najib. Sarawak hanya untuk orang Sarawak. Seolah semua isu nasional yang negatif tidak mempunyai kaitan dengan Sarawak dan ia tidak mahu dilibatkan.

Namun rakyat Sarawak tidak boleh lari dari cukai GST. Pada hakikatnya cukai GST adalah antara punca sumber pendapatan kerajaan pusat. Dan semua tahu 1MDB yang berhutang sehingga RM50 billion itu adalah dibawah jaminan kerajaan pusat. Sekiranya 1MDB gagal membayar hutang maka kerajaan pusat mesti dipertanggungjawabkan.

Pada hari ini 1MDB jelas tidak mampu membayar balik hutang. Bahkan tidak mampu membayar hutang faedah bank setiap tahun dari pinjamannya. Kadar faedah pinjaman bank mencecah ke paras RM 2.5 billion setahun.

Sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutang-hutangnya maka kerajaan pusat melalui salah satu caranya melalui kutipan cukai GST dapat membantu 1MDB. Ertinya, 1MDB membuat hutang rakyat pula yang membayarnya. Memang cantik !!

Sebab itu Najib dan seluruh kabinet berkampung di Sarawak dalam kempen PRN bagi memastikan kedudukan BN tidak tergugat.

Najib dan seluruh kabinet lebih memerlukan Adenan Satem dari Adenan memerlukan Najib.

Tetapi di masa hadapan sekiranya Adenan tidak diperlukan atau tidak sehaluan dengan Najib, tokoh baru sebagai pengganti Ketua Menteri bakal dicari.

Rabu, 4 Mei 2016

Siasatan 1MDB Seperti Kura-kura

RASA sakit hati dan geram bila membaca laporan tentang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Kononnya sebuah syarikat pelaburan strategik Kerajaan di bawah kementerian kewangan. Kini berhutang hampir RM50 billion ! Hutang kadar faedah mencecah RM3 billion setahun. Itu pun khabarnya gagal dibayar bila sampai masanya.

Oleh kerana 1MDB milik kerajaan maka kerajaanlah yang terpaksa menanggung segala risikonya. Lebih menyedihkan 1MDB adalah dibawah seliaan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Sehingga sekarang tiada seorang pun yang diheret ke mahkamah untuk pengadilan di atas segala kepincangan dan penyelewengan dalam urus niaga 1MDB.

1MDB isu antarabangsa...global

Namun apa yang berlaku di luar negara adalah sebaliknya. Skandal 1MDB bukan sahaja isu dalaman tetapi telah menjadi satu isu seluruh dunia. Transaksi dan pengaliran wang begitu luar biasa sekali dengan jumlah yang besar malah hala tuju pengaliran wang berakhir di destinasi yang meragukan.

Di London, Amerika, Swiss, Luxembourg, Scotland, UAE, Hong Kong dan Singapura - pihak berkuasa masing-masing telah menyiasat, menahan, membeku akaun mereka yang terlibat bersabit 1MDB.

Di Malaysia bekas CEO 1MDB yang jelas dipersoalkan  dalam laporan PAC masih bebas malah masih bertugas dengan Perdana Menteri (PM) di Putrajaya.

Bagi PM Najib dan para pembodeknya segala tuduhan tentang 1MDB adalah fitnah dan agenda pihak asing bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Apakah begitu mudah orang akan percaya alasan remeh itu ? Setidak-tidaknya belum ada sebarang bukti atau dokumen bagi menyokong kenyataan tersebut.

Yang mengelikan semua laporan skandal 1MDB adalah bersumber pada The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang dituduh memfitnah. Tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan terhadap keduanya.

PM Najib pula beberapa bulan dahulu berkata akan mengambil tindakan saman undang-undang terhadap WSJ. Peguam PM pernah berkata beliau akan menghantar saman pada hari Selasa (pada ketika itu). Tetapi sehingga hari ini sudah berapa ribu kali hari Selasa telah berlalu namun tiada apa-apa yang berlaku.

Manakala WSJ sejak itu terus menerus mendedahkan kepincangan dalam 1MDB secara konsisten. Malah mereka terus mempertahankan kredibiliti semua laporan mereka. Adoi laa...malu lah wei... Najib !!

Tiada keraguan lagi memang sah 1MDB memang telah dikong kalikong oleh pihak tertentu. Yang memalukan lagi Peguam pihak Najib mengakui PM tidak mengetahui dan sedar semasa menandatangani segala dokumen berkaitan urusan 1MDB. Maksudnya, dia main sain buta sahaja. Adoi lah...

Siasatan dalam negara nampaknya berjalan seperti kura-kura. Namun di luar negara kelihatan siasatan berjalan langkah demi langkah secara terperinci. Sekiranya siasatan selesai dan lengkap serta ada tangkapan selanjutnya maka banyak lagi mereka yang terlibat akan didedahkan.

Khabarnya, suasana dalam negara sudah ada yang tidak lelap tidur dan terpaksa menelan pil tidur ! Perlu diingat bukan sahaja mereka yang terlibat akan dibawa ke mahkamah malah mereka yang cuba melindungi dan menutupi kes ini turut akan diseret sama.

Kepada mereka yang ingin selamat perlu membuat keputusan cepat dengan mengambil langkah bersedia menjadi saksi skandal terbesar ini yang telah juga mempopularkan imej negara sebagai antara negara paling korup di dunia !

Isnin, 2 Mei 2016

Nazri Aziz Bodoh Cabar Mahathir Bertumbuk

MENTERI PELANCONGAN Datuk Seri Nazri Abdul Aziz tidak dapat mengawal emosinya bila mencabar Dr Mahathir Mohamed agar bertumbuk dengannya.

Nazri membuat kenyataan itu semasa mengulas langkah kerajaan menarik balik khidmat polis pengiring bermotorsikal pada Dr Mahathir.

Penarikkan khidmat itu dibuat kerana Dr Mahathir sejak akhir ini semakin kuat mengkritik Perdana Menteri Najib Razak. Bagi Nazri, Dr Mahathir tidak layak untuk terus diberi perkhidmatan tersebut kerana negarawan itu bergerak ke sana ke mari hanya untuk menghentam Najib dan kerajaan.

Jadi Nazri berpendapat ia sepatutnya telah ditarik lama dahulu.

Soal penarikkan balik khidmat polis itu adalah hak kerajaan di bawah Najib. Tetapi pasal apa begitu bodoh sikap menteri seperti Nazri yang mahu bertumbuk dengan Dr Mahathir yang berusia 91 tahun itu ? Tak ada akal ke ?

Memang kalau hendak diukur kualiti dan pemikiran Dr Mahathir jika dibandingkan dengan Nazri memang jauh pangang dari api. Ibarat langit dan bumi. Siapakah Nazri dalam sejarah politik Umno dan kerajaan ?

Putrajaya, KLIA, Sepang, Petronas Twin Tower etc etc itu legasi siapa ?

Tak payah lah wahai Nazri becakap macam orang bodoh. Mahathir adalah bertaraf negarawan. Dia bukan lawan kamu.

Marilah kita sama-sama bodoh bertumbuk. Jangan cabar orang tua itu bertumbuk. Saya ganti tempat Dr Mahathir.

Saya cabar Nazri bertumbuk dengan saya bila-bila masa dan di mana.

Game on !!

Ahad, 1 Mei 2016

Adenan Satem Bertindak Keterlaluan

KETUA MENTERI Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah bertindak keterlaluan menggunakan kuasanya menghalang para pemimpin pembangkang dari memasuki Sarawak untuk berkempen dalam PRN 7 Mei ini.

Lebih terlampau lagi Adenan bertindak menghadkan tempoh masa pada Lim Guan Eng dan Azmin Ali berada di negeri itu. Guan Eng dan Azmin diarahkan keluar dari Sarawak sebelum hari mengundi pada 7 Mei ini.


Malah arahan Adenan menggesa para pemimpin pembangkang yang ingin ke Sarawak berkempen perlu memohon izin terlebih dahulu bagi mendapat kelulusan adalah satu tindakan angkuh dan tidak demokratik.

Tindakan itu adalah satu penghinaan dan menyalahgunakan kuasa yang ada padanya.

Ia juga satu contoh dan teladan yang berbahaya pada masa hadapan politik Sarawak dan negara khasnya.

Macam mana sekiranya satu hari Sarawak dapat ditawan parti pembangkang dan kerajaan yang memerintah tidak sehaluan dengan Putrajaya ; mereka akan menghalang Perdana Menteri dari memasuki Sarawak ? Macam mana ?

Jangan salahkan tindakan pembangkang itu kerana Adenan Satem telah melakukan contoh yang akan diulangi pada masa hadapan.


Apakah jaminan Sarawak tidak akan jatuh ke tangan pembangkang? Kini majoriti pengundi Sarawak adalah terdiri dari kalangan bangsa Dayak dan Kristian. Melayu Islam yang berkuasa sekarang bukan kumpulan majoriti.

Adenan perlu berhati-hati. Mungkin dalam PRN ini beliau boleh menang dan terus berkuasa. Namun tidak ada jaminan ia akan terus kekal berkuasa.

Rakyat yang celik akan terus memberi perhatian dan mereka tidak mungkin mudah lupa apa yang berlaku.

Tun Ghafar Baba Tokoh Tiada Ganti

TUN GHAFAR BABA telah meninggal dunia hampir 10 tahun. Almarhum adalah bekas Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1986 hingga 1993.

Baru-baru ini Presiden Umno dan Perdana Menteri bersama bekas-bekas pemimpin tertinggi parti telah mengenang dan memperingati jasa-jasa Tun Ghafar di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Melaka negeri kelahirannya.

Allahyarham Tun Ghafar Baba

Antara ucapan PM Najib dalam majlis itu mengenang betapa Tun Ghafar adalah seorang tokoh pemimpin Umno yang perlu dicontohi dan diteladani oleh semua ahli parti. Sepanjang almarhum berkhidmat pada parti beliau telah mempamer dan membuktikan kesetiaan, ketaatan dan ketulenan kepada Umno.

Tun Ghafar ketika berada di luar kabinet kerajaan tanpa sebarang jawatan dan semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, almarhum terus bersikap konsisten dan setia pada parti. Almarhum tidak pernah menunjukkan sikap gila pada jawatan.

Itulah sifat murni almarhum yang ingin disampaikan Najib kepada para pemimpin dan ahli-ahli Umno. Keperibadian almarhum Tun memang sukar dicari ganti.

Tetapi para ahli Umno jangan lupa sejarah apa yang menimpa Tun Ghafar pada 1993. Satu sejarah yang amat memilukan berlaku menimpa Tun Ghafar. Para pemimpin dan ahli-ahli Umno lah yang bertanggungjawab dan berperanan sehingga Tun Ghafar berundur dari bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti.

Pada tahun tersebut Tun Ghafar tidak terlintas difikirannya bahawa Anwar Ibrahim menyimpan hasrat melawannya bagi jawatan nombor 2 parti. Sebelum itu Anwar sebagai Naib Presiden pernah menyatakan beliau tidak akan bertanding melawan Tun Ghafar.

Namun pada saat akhir berlaku sebaliknya. Anwar telah bergerak dan menyusun langkah secara licik ke seluruh Bahagian Umno untuk mengumpul sokongan bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden parti.

Sudah menjadi rahsia umum berlaku politik wang secara berleluasa dari pihak Anwar bagi menyingkirkan Tun Ghafar. Seluruh ahli-ahli Umno memberi sokongan secara besar-besaran berada dibelakang Anwar sehingga Anwar menerima pencalonan terbanyak mengalahkan jumlah pencalonan Tun Ghafar.

Tun Ghafar bersama Dr Mahathir

Tun Ghafar ketika itu dengan rendah diri tanpa protes serta riuh rendah mengambil keputusan menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dengan pengunduran Tun Ghafar dari bertanding secara otomatis Anwar terpilih memegang jawatan tersebut.

Apa yang menjadi misteri hingga kini Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai Presiden Umno tidak menghalang Anwar dari melawan Tun Ghafar. Malah Dr Mahathir tidak juga menyatakan sokongan secara terbuka pada Timbalannya ketika itu - Tun Ghafar. Dr Mahathir kelihatan berkecuali dalam pertandingan itu.

Namun ketika Dr Mahathir menghadapi tentangan daripada Anwar semasa era reformasi, Tun Ghafar tampil ke hadapan membantu dan menyokong Dr Mahathir melawan Anwar.

Peristiwa ini akan diingati sepanjang sejarah. Tun Ghafar diberi jalan keluar seperti kain buruk oleh para pemimpin Umno dan ahli-ahlinya. Ini termasuklah Najib Razak yang ketika itu memberi sokongan kuat pada Anwar Ibrahim.

Hari ini Najib sebagai Presiden Umno mahu para ahli parti mencontohi Tun Ghafar di atas kesetiaan, ketulenan dan ketaatannya pada parti dalam apa jua cabaran dan keadaan. Ini lantaran suasana dalam parti sekarang yang mahukan beliau berundur dari jawatannya. Ironinya gerakan ini di ketuai Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Shafie Apdal dan Mukhriz.

Kenapa baru sekarang mahu menilai dan mengenang Tun Ghafar ? Dahulu semua pemimpin dan ahli Umno melayannya seperti kain buruk. Kesian Tun Ghafar, almarhum tidak pun pernah meluahkan perasaan kecewanya secara terbuka di atas layanan parti terhadapnya.

Pada para pemimpin Umno dan ahli-ahlinya tidak payahlah bersikap hipokrit. Kamu semua boleh pi masuk longkang !!