Khamis, 12 Mei 2016

Parti & Negara Lebih Utama Atau Najib ?

KINI dunia sedang memberi tumpuan pada persidangan " Anti - Corruption Summit 2016" di London. Hampir 40 pemimpin dunia menghadiri persidangan bagi membincangkan bagaimana memerangi gejala rasuah yang menjadi masalah global.

Negara mundur dan miskin seperti Nigeria dan Afghanistan turut hadir. Kedua negara tersebut diwakili Presiden mereka masing-masing.

Namun Malaysia tidak menyertai persidangan tersebut. Perdana Menteri Najib Razak tidak hadir atau tidak dijemput ? Malah Timbalan Perdana Menteri juga tidak kelihatan.

Ini adalah satu persoalan yang memerlukan penjelasan. Apakah PM Najib tidak berminat untuk menyertainya ?


Dengan skandal 1MDB yang melanda negara bahkan telah menjadi isu seluruh dunia ia telah menambah buruk imej Najib dan Malaysia.

Najib jelas tidak berupaya menyelesaikan isu 1MDB dan memberikan semua jawaban yang belum terjawab sehingga kini.

Semakin dia cuba memberi penjelasan dengan menyalahkan pihak lain dan bukan dirinya sendiri semakin kelihatan dia cuba untuk melepaskan diri daripada isu 1MDB yang sedang membelitnya.

Isu hutang RM50 billion 1MDB bukan isu perniagaan untung rugi tetapi adalah isu jenayah penyelewengan dan salah guna kuasa mereka yang diberikan amanah.

Ironinya, 1MDB adalah milik kementerian kewangan dan menterinya adalah Najib merangkap PM sekaligus.

Dan kini 1MDB tidak mampu membayar hutang malah tidak mampu membayar kadar faedah pinjaman bank. Setakat ini sudah dua pembayaran gagal dibuat selepas tamat tempoh.

Tetapi tidak mengapa kerana segala hutang yang dibuat 1MDB akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebagai penjamin.

Soalnya ke mana wang 1MDB ? Kenapa sehingga sekarang tidak seorang pun mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan ? Apakah dengan menyeret mereka akan membuka lebih banyak rahsia yang tersembunyi selama ini ?

Najib sebagai PM dan Menteri Kewangan sudah terang lagi bersuluh tidak lagi relevan dengan segala perkembangan yang berlaku dalam negara. Bahkan Najib tidak juga relevan di persada antarabangsa terutama persidangan yang berlangsung di London itu.

Mengapa dia terus mahu mengekalkan jawatannya sebagai PM ? Sedarkah dia telah menjadi satu liabiliti pada Umno dan negara !

Kepada para pemimpin Umno mereka perlu bertanya apakah parti dan negara lebih utama atau hanya individu tertentu ?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan