Isnin, 16 Mei 2016

Dr Mahathir Pemimpin Berpengaruh

Dr Mahathir sebagai Ketua

DR MAHATHIR sebagai pemimpin utama Deklarasi Rakyat bersama para pemimpin pembangkang dan NGO berjaya mengumpul tandatangan rakyat mencecah 1.27 juta orang untuk diserahkan pada Yang Di Pertuan Agong menggesa agar Perdana Menteri Najib Razak berundur.

Walaupun langkah ini tidak memberi jaminan hasrat itu tercapai namun ia berjaya menghantar mesej yang jelas isyarat sebahagian rakyat terhadap pimpinan Najib.

Bagi pemimpin dan penyokong Umno, pengunduran Najib sebagai PM hanya dapat dilakukan melalui pilihan raya. Mereka menolak tuntutan Deklarasi Rakyat itu.

Tetapi sejarah Umno lalu membuktikan bekas pemimpin parti meletakkan jawatan dan berundur bukan melalui pilihan raya. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Abdullah Ahmad Badawi malah Dr Mahathir melepaskan jawatan ketika masih berkuasa.

Mereka berundur di atas faktor-faktor semasa kecuali Tun Hussein Onn disebabkan masalah kesihatan. Tunku dan Abdullah meletakkan jawatan kerana sudah tidak popular. Dr Mahathir bersara kerana mengira ia sudah terlalu lama berkuasa.

Manakala kes Najib, sudah ada tanda-tanda ia tidak disenangi dan menghadapi skandal terbesar dalam sejarah - 1MDB yang melibatkan berbillion ringgit. Masalahnya Najib tidak berupaya menangani isu 1MDB secara berkesan bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memperbaiki imejnya yang tercalar.

Semakin hari semakin banyak terdedah kepincangan dan penyelewengan dalam pengurusan 1MDB. Di mahkamah Singapura, ada pendakwaan dan hukuman terhadap individu berkaitan 1MDB. Begitu juga dengan siasatan dan dakwaan yang berlaku di Swiss, Scotland, Luvembourg, UAE dan Amerika.

Anehnya, di Malaysia, Peguam Negara bertindak tiada kes ! Tiada apa-apa kesalahan berlaku. Mereka yang terlibat seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil, Suboh Yasin dan lain-lain berstatus sebagai pelarian di luar negeri.

Mereka bertiga dikhendaki oleh SPRM bagi membantu siasatan. Namun sehingga sekarang tiada langsung apa-apa kemajuan dalam menjejaki dan membawa balik mereka kembali ke tanahair.

Semuanya kelabu asap. Tiada ketelusan dalam mendakwa mereka yang mengkhianati 1MDB sehingga berhutang berbillion dan kini kerajaan sebagai penjamin perlu membayar segala hutangnya.

Dan kerana 1MDB juga telah berjaya menghimpun semua pemimpin dari pelbagai latarbelakang bersatu menuntut agar Najib berundur. Dengan ketokohan Dr Mahathir sebagai Ketua Deklarasi Rakyat, semua pemimpin pembangkang secara tidak rasminya menerima pimpinan negarawan itu.

Siapa menyangka para pemimpin seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar, Husam Musa, Lim Kit Siang, Ambiga, Sam PKR dan blogger Isham Rais aka tukar tiub dapat bersama satu pentas, satu barisan bersama Dr Mahathir dalam misi mengundurkan Najib.

Apakah Dr Mahathir telah diperalatkan ? Tidak mungkin kerana negarawan itu bukan orang bodoh. Dia mempunyai misi - Najib mesti letak jawatan.

Kehebatan Dr Mahathir ialah di mana dan dalam kalangan siapa, dia tetap akan menguasai keadaan. Dia di depan bukan dibelakang !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan