Selasa, 24 Mei 2016

Mahathir Terus Tekan Najib

SEJARAH membuktikan salah satu faktor Tunku Abdul Rahman Petra Al Haj meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah kerana kritikan-kritikan Dr Mahathir Mohamad melalui surat terbuka dan penulisan-penulisannya yang diterbitkan.

Dr Mahathir telah mendedahkan kelemahan pentadbiran Tunku terutamanya dalam bukunya, "The Malay Dilemma". Tunku kemudian mengharamkan buku tersebut. Pengharaman buku itu ditarik balik setelah Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) pada 1981.

Kemudian sejarah berulang bila Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi PM ke 5 pada 2003. Pada peringkat awal pemerintahan Badawi semuanya berjalan licin tanpa masalah.

Tetapi selang beberapa tahun mulai timbul berbagai isu. Dr Mahathir yang bersikap terus terang mula mengkritik beberapa dasar dan keputusan Badawi berkaitan pentadbiran negara. Seperti biasa tokoh negarawan itu melepaskan segala ketidakpuasan hatinya melalui penulisan.

Apalah agaknya yang dikatakan Dr Mahathir pada Najib...masa ni depa ok lagi

Sekiranya pada zaman Tunku, beliau menulis kritikannya itu melalui media cetakan tetapi pada era internet beliau menulis menerusi blognya, Chedet yang dapat dibaca berjuta pembaca hanya dalam beberapa saat dan minit setelah dicatatkan.

Dan semua tahu pada PRU 2008, salah satu faktor kekalahan kerajaan BN dibawah Badawi adalah kerana kritikan dan kecaman Dr Mahathir terhadap Badawi atau lebih popular dengan panggilan Pak Lah.

Seterusnya kerana desakan dan tekanan daripada Dr Mahathir yang berterusan telah berjaya mempengaruhi parti mendesak agar Pak Lah berundur.

Kini giliran Najib Razak pula menerima nasib yang sama. Pada peringkat awal semuanya berjalan lancar. Tetapi setelah pencapaian Najib dalam PRU 13 lebih teruk jika dibandingkan dengan Pak Lah maka Dr Mahathir mula rasa kecewa dan tidak lagi merahsiakan pendiriannya terhadap Najib.

Kemuncak kemarahan Dr Mahathir terhadap Najib adalah mula timbulnya isu atau skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sehingga kini kemarahan Dr Mahathir telah sampai ke peringkat paling puncak dengan tidak lagi menjadi ahli Umno. Bahkan beliau telah mengarahkan semua parti pembangkang dan rakyat menolak dan menjatuhkan Najib dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Tidak seperti di era Tunku dan Pak Lah, dimana Dr Mahathir berjaya memainkan peranannya dengan berkesan sehingga perletakkan jawatan kedua bekas PM tersebut.

Nampaknya, di era Najib kelihatan lebih kebal berbanding Tunku dan Pak Lah. Setakat ini segala gerakan Dr Mahathir belum lagi berkesan mencapai sasarannya iaitu menjatuhkan Najib.

Walau apapun adalah jelas kedudukan Najib kini semakin tertekan. Semua ini adalah dari langkah dan pengaruh Dr Mahathir termasuk lah dalam gerakan Deklarasi Rakyat.

Najib belum nampak akan jatuh dalam masa terdekat ini. Namun adalah jelas antara Najib dan Mahathir - Najib lebih merasa panas dek tekanan yang berterusan.

Politik Mahathir adalah mudah dan simple. Beliau mahu teruskan momentum itu sehingga Najib berundur atau sekurang-kurangnya dapat mengekalkan tekanan itu sehingga PRU 14, 2018 !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan