Rabu, 31 Ogos 2011

Gaddafi masih bersembunyi



LIBYA sekarang sudah jatuh sepenuhnya di tangan
tentera pemberontak. Nasib pemimpin Muammar Gaddafi
tidak diketahui.

Ada laporan mengatakan Gaddafi dan keluarganya telah
melarikan diri ke Algeria. Tetapi berita ini tidak dapat
disahkan.

Jurucakap NATO, bagaimanapun berkeyakinan bekas pemimpin
itu masih bersembunyi dan berada di Libya.

Kini tentera pemberontak dan dibantu oleh komando SAS British
dan Perancis telah meningkatkan operasi memburu bekas pemimpin
itu dibeberapa wilayah, terutamanya di tempat kelahirannya Sirte.

Anak ketiga Gaddafi, Saadi, sebagaimana laporan Al Jazeera, telah
menghubungi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk menyerah
diri.

Pengerusi NTC Mustafa Abdul Jalil, telah mengeluarkan amaran
agar Gaddafi dan pengikutnya menyerah diri dalam waktu terdekat ini.
Kerana mereka (NTC) tidak akan menunggu dalam tempoh yang panjang.

Sekiranya Gaddafi tidak menyerah diri mereka akan memburunya sehingga
tertangkap. Pihak tentera pemberontak berkeyakinan mereka dapat menawan
Gaddafi dalam masa terekat ini.

Jika benar Gaddafi masih berada di Libya, peluangnya untuk meloloskan
diri adalah tipis. Apatah lagi dengan bantuan NATO serta teknologi satelit
peluang bekas pemimpin itu untuk terus bersembunyi adalah terbatas.

Justeru itu nasib Gaddafi dan anaknya Saif  bakal menerima nasib
yang sama seperti bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein. Saddam
telah digantung mati setelah ia dibicarakan di mahkamah di atas
segala perbuatannya semasa ia berkuasa.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga telah mengeluarkan
waran tangkap terhadapnya di atas tindakannya membunuh orang awam
dalam usahanya menangkis kebangkitan rakyat menentangnya.

Gaddafi telah berikrar akan mempertahankan dirinya hingga ke titisan
darah terakhir. Apakah beliau akan mengotakan ikrarnya itu ? Atau
beliau akhirnya akan menyerah diri atau ditawan ?

Sebenarnya, Muammar Gaddafi tidak banyak pilihan dan
harapannya untuk hidup semakin nipis. Dia perlu buat pilihan
sama ada mati secara terhormat atau bersedia menghadapi
perbicaraan oleh rakyatnya sendiri.
















Selasa, 30 Ogos 2011

Sambutan Aidil Fitri : Dulu dan sekarang



SUASANA menyambut Aidil Fitri sekarang dengan suasana
dahulu amat jauh berbeza sekali.

Kalau dahulu selepas sahaja selesai solat di masjid kebanyakannya
akan bergegas menziarah kubur, membaca doa dan sebagainya.
Sesudah itu bermulalah program mengunjungi rumah ke rumah
sekitar kampung terdekat.

Biasanya ia dilakukan secara kumpulan sehingga 20 orang mengunjung
dari satu rumah ke satu rumah berdekatan. Mereka akan berjalan beramai-
ramai penuh dengan riuh-rendahnya.

Dan kalau tempatnya agak jauh mereka akan berkenderaan secara
konvoi. Dalam kunjungan ini tidak ada rumah yang ketinggalan. Semuanya
dipastikan akan dikunjungi oleh rombongan ini.

Acara ini akan terus berlanjutan sehingga ke petang. Kalau ahli
rombongan ini berjumlah 20 orang, maka dipastikan kesemuanya
dikunjungi. Begitulah sekiranya ahli rombongan mencecah 30 orang
ia akan berlanjutan ke lewat petang. Yang pentingnya semua rumah
ahli rombongan dilawati.

Tradisi ini adalah satu amalan yang baik dan menyeronokkan. Ia
menimbulkan suasana ukhwah dan kemesraan di dalam kehidupan
masyarakat setempat dan sekitarnya.

Barangkali, amalan seperti ini kurang mendapat perhatian masyarakat
sekarang. Zaman sudah berubah. Masyarakat semakin moden dan amalan
berkunjung ini tidak lagi menjadi satu budaya, terutama generasi muda -
generasi Facebook, Twitter dan laman sosial lain.

Masing-masing sekarang berperap di rumah "menunggu" dan menghadap
ke kaca televisyen yang penuh dengan sajian pelbagai hiburan yang
mengasyikkan.

Sebagai ahli masyarakat kita perlu memainkan peranan menghidupkan
kembali tradisi dan budaya murni ini agar ianya menjadi satu amalan
di hari mulia ini.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.











Isnin, 29 Ogos 2011

Sathia bakal berhijrah ?

B.Sathianathan


BEKAS jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, telah pun selesai
mengakhiri tempoh pergantungannya oleh FAM selama enam
bulan.

Tempoh itu tamat Julai lalu. Sathia digantung gara-gara mengkritik
badan induk itu. Selepas  digantung dia dilantik sebagai Ketua
Pegawai Eksekutif Akademi Bolasepak Al Hambra Red Warrior
atau ARMY di Kelantan.

Kini Sathia telah menerima banyak tawaran dari dalam dan luar
negeri sebagai jurulatih. Antaranya dari Indonesia dan Myanmar.

Keputusan sama ada beliau menerima atau tidak bergantung pada
perbincangannya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa,
sebagai orang yang bertanggungjawab membawanya ke Kelantan.

Menurut Sathia, beliau masih sayangkan pasukan Kelantan dan para
penyokong The Red Warriors kerana dengan pasukan inilah dia
telah mencipta sejarah sebagai jurulatih yang berjaya merampas
Piala Malaysia ke Kelantan dalam masa 89 tahun.

Tetapi tidak siapa dapat menghalang Sathia sekiranya dia
mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain.

Jika ini berlaku Kelantan akan kehilangan seorang jurulatih
yang berkualiti dan mempunyai masa depan cerah.

Apakah tidak mungkin Tan Sri Anuar Musa akan berusaha
mengabungkan jurulatih sekarang Datuk M.Karathu dengan
Sathia sebagai satu unit demi masa depan kelansungan kejayaan
pasukan Kelantan, lebih-lebih lagi bagi menghadapi kempen
Piala Malaysia selepas raya ini.

Tentunya Karathu dan Sathia boleh duduk semeja, apatah lagi
kehadiran Karathu di Kelantan adalah dari usaha dan cadangan
dari Sathia sendiri.

Kalau ini berlaku The Red Warriors tentu beruntung kerana
mempunyai dua pakar dalam keahlian masing-masing dalam usaha
mempertahankan Piala Malaysia buat kali kedua.

Namun keputusan berada di tangan Sathia kerana beliau
berhak menentukan masa depan kariernya sebagai jurulatih
profesional.

Tetapi sekiranya mereka boleh bekerjasama dalam membimbing
Kelantan ianya sudah tentu memberi perkhabaran gembira buat para
penyokong setia negeri itu. Ia bagaikan satu mimpi indah.










Jumaat, 26 Ogos 2011

Subky Latiff : Kolumnis yang prolifik



SUBKY LATIFF dalam tulisannya yang terbaru dalam Harakah Daily,
ada menyebut tentang usahanya menyiapkan memoirnya berbentuk jilid.

Jilid pertama sudah lama siap, tapi belum diterbitkan lagi. Jilid kedua,
menurutnya, baru sahaja siap. Dan kini jilid ketiga baru bermula. Sekiranya
tidak ada keuzuran beliau akan menyiapkan jilid ketiga ini.

Subky seorang kolumnis yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam
dunia kewartawanan dan persuratkhabaran tanahair. Bermula sebagai
pemberita Utusan Melayu di Pulau Pinang sehinggalah menjadi salah
seorang pengarang kanan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Beliau pernah bekerja di bawah Melan Abdullah dan Osman Abadi.
Subky juga pernah bertugas bersama dengan Ishak Haji Muhammad atau
Pak Sako ketika di Utusan.

Beliau juga adalah bekas pengarang majalah Mastika dan diberi
tugas mengisi atau menulis dalam ruangan pojok Awang Selamat; yang
dahulunya dikenali dengan Awang Sulung.

Ketika di Utusan Melayu jugalah beliau dihantar ke Jerman untuk
mengikuti kursus kewartawanan selama setahun di Institiut Of Berlin.
Subky juga salah seorang wartawan yang mengikut rombongan Allahyarham
Tun Razak ke Beijing bagi mengadakan era diplomatik dengan China.

Setelah berada di Utusan selama 12 tahun beliau mengambil
keputusan meninggalkannya atas soal prinsip. Selepas keluar
dari Utusan beliau menerbitkan akhbarnya sendiri iaitu Suara Rakyat
dan Suara Merdeka.

Namun usia kedua akhbar tersebut tidak panjang dan hanya
sempat setakat 12 keluaran dan ia diharamkan KDN.

Justeru itu bermulalah beliau sebagai seorang wartawan tanpa
akhbar. Subky adalah orang pertama menerokai buku-buku
politik. Buku politiknya, Siapa selepas Tun Razak dan Suka
duka politik Tun Razak mendapat ramai perhatian, terutama
orang-orang melayu.

Pada era Tun Hussein Onn, Subky bersama Allahyarham Tan Sri
Khir Johari mengasaskan akhbar Watan dengan beliau menjadi
pengarangnya yang pertama.

Semenjak itu Subky tidak pernah kering dengan tulisan-tulisannya
yang bercorak kritikal dan sinis tentang pergolakan politik
tanahair. Sehingga kini beliau terus menulis tanpa henti dalam
kolum-kolum tetapnya seperti dalam Harakah, Siasah dan Buletin
Rakyat.

Tidak siapa dapat menafikan Subky adalah satu-satunya kolumnis
yang paling konsisten dalam penulisannya. Beliau bukan sahaja
konsisten dalam menulis bahkan paling banyak menghasilkan bahan
penulisan.

Ramai penulis kolum lain di negara ini (tidak perlu sebut nama)
sekejap timbul dan sekejap tenggelam. Ada sesetengah itu terus
tenggelam dan tidak muncul-muncul.

Tetapi Subky sejak tahun 1963, tahun pertama ia berjinak dengan
dunia kewartawanan hingga hari ini, tulisan-tulisannya terus terbit
dan tidak pernah kering dengan ideanya.

Oleh itu bila Subky mendedahkan bahawa beliau kini sedang
menyiapkan memoirnya sehingga tiga jilid, ianya bukanlah sesuatu
yang mengejutkan. Bahkan begitulah sepatutnya, dengan banyaknya
penulisannya dan luasnya pengalaman dalam bidang kewartawanan,
memoir beliau itu akan menjadi satu bahan yang amat berharga
buat peminatnya, lebih-lebih lagi pada para penuntut dalam bidang
yang berkaitan.

Seperti kata Subky, dalam dunia ini hanya satu kerja sahaja yang
beliau tahu iaitu menulis. Lain-lain kerja dia tidak tahu dan tidak
pernah buat.

Subky mengimbau kembali peristiwa lalu, di mana dia sering tewas
dalam pilihanraya semasa menjadi calon PAS. Beliau pernah kalah
dalam pilihanraya di Perak, Selangor dan Trengganu.

Katanya, itu semua adalah takdir Allah mahu dia kalah. Kalau dia
menang dan menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau tidak akan menulis
dan mempunyai masa.

Jadi takdir Allah mahukan dia terus menulis kerana hanya menulis
sahaja kerja yang beliau tahu.


























Khamis, 25 Ogos 2011

Syria : NATO tidak guna tentera



AMERIKA dan NATO telah mengambil keputusan tidak
akan menggunakan kekuatan ketenteraan menghadapi kemelut
di Syria.

Ternyata keadaan pergolakan di Damsyik berbeza dengan apa
yang berlaku di Tripoli, di mana pihak NATO banyak memainkan
peranan dan membantu puak pemberontak.

Di awal pertempuran antara tentera pro Gaddafi dan pihak pemberontak
telah menunjukkan tentera pemberontak telah berjaya disekat,
sehinggalah NATO membantu dengan melakukan serangan-serangan
udara ke kubu kuat tentera Gaddafi.

Faktor ini banyak membantu memperkukuhkan kedudukan pemberontak
dan melemahkan tentera kerajaan. Lebih-lebih lagi NATO juga mendapat
bantuan dan kerjasama  tentera elit dari Qatar dan Jordan.

Penglibatan dua negara ini bersama NATO telah berjaya menyelaraskan
dan menyatukan kedudukan tentera pemberontak sehingga kini berjaya
menawan kubu dan kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli.

Tetapi di Syria pihak Amerika dan NATO telah mengambil pendekatan
berbeza dengan mengambil langkah sekatan antarabangsa terhadap rejim
Bashar Al Assad. Mereka menolak menggunakan taktik serangan udara.

Ini kerana kekuatan tentera Syria lebih "superior" berbanding tentera Libya.
Tentera Libya tidak mempunyai pengalaman berperang jika dibandingkan
dengan tentera Syria yang terlibat dalam kancah peperangan dengan Israel
dalam Perang 1967 yang mengakibatkannya kehilangan Bukit Golan.

Dan faktor penting ialah pihak pemberontak di Syria tidak tersusun dan
"organise" seperti di Libya.

Amerika dan NATO juga telah banyak belajar dengan apa yang berlaku
di Iraq dan Afghanistan, di mana tentera bersekutu telah terlibat secara
langsung baik darat dan udara - namun terus mendapat tentangan sengit
hingga kini yang turut mengorbankan ramai tenteranya.

Inilah yang cuba dielakkan NATO dalam menangani situasi di Syria itu.
Mereka akan tunggu dan lihat perkembangannya, di samping sentiasa bersedia
masuk campur bila keadaan mengizinkan dan selepas itu "cuci tangan" seperti
apa yang berlaku di Libya kini.

Seperti kata Perdana Menteri Britain, David Cameron, beliau berbangga
kerana dapat memainkan peranan sama dalam memulihkan demokrasi dan
menumbangkan rejim Gaddafi di Libya dengan restu PBB.























Selasa, 23 Ogos 2011

Antara Arsenal dan Arsene Wenger

Arsene Wenger


ARSENAL atau The Gunners sudah enam tahun tidak
memenangi sebarang trofi. Kekalahannya ditangan Liverpool
2-0 baru-baru ini telah menambah tekanan terhadap pengurusnya,
Arsene Wenger.

Penghijrahan penyerang sensasi Cesc Fabregas ke Barcelona telah
melemahkan sedikit pasukan tersebut. Menurut Fabregas, keputusannya
meninggalkan Arsenal disebabkan pasukan itu tidak punya potensi
memenangi apa-apa trofi pada masa mendatang.

Dia dan beberapa pemain lain pernah menyuarakan agar Wenger
dapat membeli beberapa pemain bintang bagi melengkapkan
pasukan The Gunners itu.

Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, banyak pemain handalan
berhijrah ke kelab lain. Contohnya, penyerang Adebayor yang
telah berpindah ke Manchester City dan kemudian dipinjamkan
ke Real Madrid.

Kini yang terbaru, penyerang lincah Samir Nasri pula meluahkan
hasratnya untuk meninggalkan pasukan Arsenal. Spekulasi bertiup
kencang bahawa Nasri akan ke Manchester City. Ada juga mengatakan
dia berminat untuk ke Old Trafford. Sehingga kini tiada pengesahan.

Tetapi apa yang menghairankan semua pihak ialah sikap
Arsene Wenger yang tidak mahu berbelanja untuk mendapatkan
pemain-pemain handalan bagi menggantikan pemain yang telah
berhijrah.

Pengurus England, Fabio Capello, baru-baru telah melahirkan rasa
peliknya sikap Wenger yang tidak ghairah mendapatkan para pemain
baru bagi mengisi kekosongan itu. Capello juga mengingatkan Wenger,
jika dia tidak melakukan sesuatu, Arsenal bakal menghadapi musim
ini dengan prestasi terburuk.

Namun kejayaan Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal selama ini
ialah beliau berjaya membarisi rata-rata pemain muda dalam kesebelasan
The Gunners dan dalam masa yang sama berjaya menerapkan permainan
cantik di antara pasukan elit di EPL.

Tetapi dalam bolasepak permainan cantik sahaja tidak memadai jika
tidak dapat memenangi sebarang kejuaraan atau trofi. Enam tahun tanpa
sebarang kejayaan adalah satu tempoh yang lama bagi para penyokong
The Gunners.

Mereka dahagakan kejayaan dan kemenangan. Apakah mereka boleh
bersabar dengan Wenger ? Bagi Arsene Wenger, dia tidak merasa tekanan
buat masa ini dan masih berkeyakinan Arsenal mampu melakukan kejutan.

Ataupun apakah sudah sampai masa Arsenal mempunyai seorang pengurus
baru ?












Anwar bela diri



KES liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah mengambil
masa lebih tiga tahun. Kes ini juga telah tertangguh sebanyak
lebih 60 kali di atas permohonan pihak pembela.

Pada 22 Ogos kes ini bersambung dan sebelum ini hakim telah
memberi amaran bahawa beliau tidak membenarkan sebarang
penangguhan lagi, serta meminta keterangan pembelaan diteruskan.

Tetapi pada hari tersebut, DSAI telah mengejutkan semua pihak
bila beliau mengambil keputusan membela diri dengan tidak
bersumpah dan tidak boleh di soal balas oleh pendakwa.

Dalam pembelaannya DSAI mempunyai tiga pilihan; pertama :
memberi keterangan secara bersumpah dan pihak pendakwa boleh
menyoal balas. Kedua : memberi keterangan tidak bersumpah dan
tidak boleh di soal balas pendakwa. Ketiga : tertuduh hanya perlu
berdiam diri.

Di sudut mahkamah pilihan kedua dan ketiga merupakan pilihan
yang lemah dan hakim akan mengambil kira pilihan tersebut di akhir
perbicaraan.

Dan pilihan pertama adalah pilihan pembelaan yang kuat dan lebih
"credible". DSAI telah memilih pilihan kedua.

Dalam ucapannya selama hampir dua jam setebal 30 muka surat,
DSAI telah memberi hujah dan alasannya tentang pilihan pembelaannya itu.
Antaranya, beliau menganggap mahkamah tidak akan memberi
keadilan padanya setelah banyak permohonannya untuk mendapatkan
dokumen penting ditolak. Juga tentang saksi-saksi yang gagal
ditemubual peguamnya.

Secara keseluruhannya beliau mendakwa pertuduhan ini adalah satu
konspirasi politik yang mahu membunuh karekter dan kariernya sebagai
ahli politik.

Menurut pendakwa, ucapan DSAI itu tidak lebih dari satu ceramah atau
ulasan. Ianya tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap perbicaraan kelak.

Sayugia, DSAI sepatutnya berhujah dan memberi segala keterangan setelah
bersumpah dan di soal balas pihak pendakwa kerana langkah sedemikian
lebih telus dan jelas.

Namun beliau telah membuat pilihan dalam pembelaannya. Dan pilihannya
adalah satu pilihan yang lemah dan meragukan.











Ahad, 21 Ogos 2011

Gaddafi dipenghujung jalan



BERITA Al-Jazeera melaporkan kini tentera pemberontak
sudah memasuki ibu kota Tripoli. Bandar-bandar lain telah
pun dikuasai para penentang Muammar Gaddafi beberapa hari lalu.

Gaddafi yang tidak memberi sebarang kenyataan selama tiga minggu
lalu, telah berucap menerusi radio hari ini menyeru rakyat Libya
bangkit menentang pengkhianat negara dan kuasa barat yang telah
merosakkan negaranya ke arah kehancuran.

Dalam ucapannya ke seluruh negara itu beliau kedengaran agak
tertekan dengan situasi yang berlaku sekarang. Lebih-lebih lagi
bekas orang kanannya, Abbdessalam Jalloud, telah menyeru rakyat
Libya agar menyokong para pemberontak.

Jalloud ialah bekas orang nombor dua selepas Gaddafi suatu masa
dahulu. Beliau juga pernah memainkan peranan penting mematahkan
percubaan membunuh Gaddafi dalam tahun 80an dan 90an.

Dengan tindakan bekas orang kepercayaannya ini kedudukan
Gaddafi semakin goyah. Menurut kenyataan rasmi kerajaan di Tripoli,
kejayaan puak pemberontak kini adalah kerana didalangi pihak NATO.

NATO telah banyak membantu dari semua aspek termasuk pembiayaan
dan peralatan logistik pada pihak pemberontak. Tanpa bantuan, menurut
jurucakap kerajaan, pihak penentang tidak akan berjaya ke tahap ini.

Menurut jurucakap Gaddafi lagi, mereka tetap akan mempertahankan
ibukota Tripoli dari jatuh ke tangan tentera pemberontak. Kerana kini
terdapat lebih 1,000 orang tentera profesional yang akan melindungi
Muammar Gaddafi dan setiap inci kubu mereka di ibukota tersebut.

Apakah Gaddafi akan selamat ? Atau beliau akan menerima nasib
yang sama menimpa Saddam Hussein dan Hosni Mubarak ? Apakah
Gaddafi juga akan dibicarakan dan dihukum oleh rakyatnya sendiri ?

Berdasarkan perkembangan terkini, kejayaan para pemberontak memasuki
Tripoli, harapan Gaddafi mempertahankan kedudukannya hampir tiada.

Beliau hanya ada satu pilihan; melarikan diri dan mendapat perlindungan
politik di negara yang selamat buatnya.

Jika tidak nyawanya terancam dan beliau bakal diadili oleh rakyatnya
sendiri.
















PRU 13: Najib berteka-teki ?



KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa
Pilihan Raya Umum (PRU) 13 boleh diadakan bila-bila masa dari
sekarang telah menaikkan kembali suhu politik mengenai tarikh
keramat itu.

Selepas peristiwa Bersih pada 9 Julai lalu yang telah menimbulkan
sedikit ketegangan ramai pemerhati meramalkan tarikh PRU 13 akan
sedikit tertunda.

Tetapi selepas mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru
ini Datuk Seri Najib telah memberi "hint" bahawa tarikh PRU itu
tidaklah terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat.

Inilah keistimewaan yang ada pada Perdana Menteri negara ini, beliau
seorang sahaja yang tahu bila masa yang sesuai pilihanraya dapat
diadakan.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013. Kalau hendak
dikira masa masih panjang dan berbagai perkara boleh berlaku.

Di sinilah peranan Perdana Menteri yang akan bermain teka-teki dengan
tarikh itu dan dalam masa yang sama ia merupakan satu strategi
parti pemerintah dalam menghadapi parti pembangkang.

Parti pembangkang memang dari dahulu lagi tidak berpuas hati dengan
"hak" penentuan tarikh yang ada pada Perdana Menteri itu. Mereka menggesa
ianya diubah dengan menentukan lebih awal terlebih dahulu.

Bagaimanapun, perkara ini telah menjadi satu tradisi sejak dulu lagi
dan ia tidak pula menyalahi undang-undang.

Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya bermain
teka-teki ini sehingga membuat pihak pembangkang tidak dapat meneka
dengan tepat bila Parlimen akan dibubarkan.

Dalam konteks ini, Tun memang pintar dalam menimbulkan suasana
suspen dan thrill; membuat semua pihak menunggu-nunggu tarikh keramat
itu. Ada suatu masa bendera parti PAS sampai lusuh dan koyak; dek menunggu
parlimen dibubarkan - namun pilihanraya tidak juga berlaku.

Tidak seperti zaman Pak Lah Badawi, sebulan sebelum parlimen dibubarkan
semua pihak termasuk parti pembangkang sudah dapat menghidu hari
bersejarah itu. Malah rakyat kebanyakan pun dapat menelah dan meneka
dengan tepat bila pilihanraya akan diadakan.

Ini kerana memang sifat Pak Lah yang tidak ada unsur suspen dan thrill;
semua langkahnya dapat dibaca. Di tambah pula Pak Lah adalah seorang
Perdana Menteri yang lurus bendul.

Kini giliran Najib pula sebagai orang yang akan menentukan hari bersejarah
itu. Dia perlu mengambil iktibar dari Dr. Mahathir dan Pak Lah.

Apakah Najib akan terus berteka-teki atau lurus bendul ?














Jumaat, 19 Ogos 2011

Negara Islam terus bergolak


DALAM bulan ramadan ini negara dan umat Islam terus dirundung
malang. Sebahagian besar negara terus bergolak dan bermandi darah.

Di Pakistan dalam wilayah Khyber, satu letupan bom di sebuah masjid
semasa solat Jumaat mengakibatkan 40 kematian.

Keadaan di Somalia tidak perlu diceritakan lagi; hampir 20,000 kanak-kanak
mati kebuluran akibat kekurangan zat makanan dan kemarau yang panjang.
Hingga kini dilaporkan hampir 2 juta penduduk Somalia diancam kebuluran,
sekiranya bantuan tidak disalurkan segera.

Terbaru di Gaza, Palestin, ramai termasuk kanak-kanak cedera akibat serangan
balas rejim Israel di wilayah itu kerana membalas dendam di atas kematian
tujuh tentera Yahudi di sebuah kawasan bernama Eilat.

Dalam serangan itu selain askarnya terbunuh, 10 orang cedera dalam serangan
ke atas sebuah bas. Hamas menafikan ia bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Serangan balas Israel ini ibarat tindakan "tit for tat" terhadap para pejuang Hamas.

Manakala di Syria keadaan semakin meruncing bila tentera kerajaan menembak
ke arah para perusuh. Setakat ini kematian orang awam telah meningkat ke angka
2,000 orang setelah empat bulan kebangkitan rakyat menentang pemimpin
Bashar Al Assad.

Kelmarin Presiden Amerika, Barack Obama, telah menggesa Assad berundur
dan memberi laluan pada proses demokrasi mengikut tuntutan majoriti rakyat.
Obama juga telah mengistiharkan tindakan sekatan antarabangsa terhadap Syria.

Tindakan sekatan ini ditentang oleh Rusia, Turki dan Iran. Mereka menganggap
"sanction" ini tidak akan berkesan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Iran
dahulu. Malah jika sekatan ini berkuatkuasa, rejim di Syria tidak akan tergugat.
Sebaliknya, rakyat terbanyak akan menerima kesannya.

Iran, Turki dan Rusia lebih cenderung memberi ruang dan masa pada Assad
bagi melakukan perubahan dan reform.

PBB pula kini bersiap menghantar satu pasukan ke Damsyik bagi menyiasat
tentang hak-hak perlanggaran kemanusiaan yang dilakukan rejim Assad terhadap
rakyatnya.

Begitu juga nasib Afghanistan yang terus dihujani letupan bom oleh puak
Taliban yang telah mengorbankan ramai pemimpin dan sekutu Hamid Karzai.

Dan semuanya semakin jauh dari penyelesaian dan umat Islam terus menjadi
korban.












Khamis, 18 Ogos 2011

Jose Mourinho kecewa lagi


BARCELONA telah memenangi Piala Liga Super Sepanyol dengan
menewaskan Real Madrid 5-4 secara agreget.

Perlawanan pertama di San Barnebu kedua pasukan terikat 2-2.
Dan perlawanan kedua semalam Barca berjaya menundukkan
Real dengan 3-2 dan membuktikan sekali lagi mereka adalah
terbaik berbanding anak buah Jose Mourinho.

Gol kemenangan Barca dijaringkan oleh Lionel Messi setelah
kedudukan 2-2.

Bagi Mourinho, walaupun pasukannya kalah, dia menganggap
pasukan Real Madrid musim ini adalah lebih kuat jika dibandingkan
dengan musim lepas.

Jelas ternyata dari rauk wajahnya beliau tetap berazam untuk
mengatasi Barcelona; sebuah pasukan yang menjadi seteru kuat
Real Madrid.

Sejak dia tiba di Sepanyol pada musim lepas, tugasnya untuk
menewaskan Barca belum lagi tercapai. Dari beberapa pertemuan
antara dua kelab tersebut, banyak keputusan lebih memihak pada
Barcelona.

Yang paling memalukan ialah mereka pernah dibelasah 5-0 pada
awal musim lepas.

Mourinho ialah seorang pengurus "super perfect" yang sering
memburu kejayaan tidak kira di mana dia mengurus sesebuah kelab
itu. Rekod membuktikan kejayaan yang telah diciptanya bermula
di Porto, Chelsea dan Inter Millan.

Di ketiga kelab tersebut Mourinho telah melakar sejarah dengan
memenangi Piala Juara-Juara untuk Porto dan Inter. Manakala di Chelsea
beliau telah meletakkan pasukan Stamford Bridge itu dipersada Liga EPL
beberapa kali mengatasi Manchester United.

Kini di La Liga beliau berhadapan dengan sebuah pasukan paling
hebat di dunia dan paling sempurna dibawah kendalian Pep Guardiola.

Dalam kariernya sebagai jurulatih, Mourinho telah berjaya mengatasi banyak
pengurus dan jurulatih terbaik di dunia seperti Alex Ferguson, Arsene Wenger
dan lain-lain.

Tapi kali ini beliau berdepan dengan Pep Guardiola; seorang yang
mempunyai rekod dan reputasi yang tersendiri. Bak kata, Mourinho kini
bertemu buku dengan ruas.

Pada musim lepas dia gagal mengatasi Guardiola. Apakah musim kedua
beliau berada di San Barnebu ini akan memberi tuah padanya ?

Namun apa pun, Pep Guardiola dan Jose Mourinho adalah terbaik dan
menjadi ikon peminat bolasepak seluruh dunia.













Rabu, 17 Ogos 2011

Cara pemimpin berkomunikasi

Datuk Seri Rais...bahasanya tersusun dan jelas

MESIN TAIP BURUK (MTB) dalam entrinya pada 16 0gos
telah memberi komen tentang bahasa yang digunakan Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, semasa
menjawab soalan pihak akhbar adalah tidak jelas dan lintang pukang.

Hisham memberi jawaban dalam bahasa Malaysia dalam sidang
akhbar tersebut, tetapi perkara yang hendak disampaikan tidak jelas
dan kabur.

Kadang-kadang Pak-pak menteri ini perlu berkursus bagaimana
menggunakan perkataan mudah, tepat dan jelas. Ada yang bercakap
berjela-jela dan panjang, namun tidak ada isi.

MTB memberi contoh semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri; beliau
ketika membuat ucapan, seringkali ucapannya tidak ada point dan kosong,
malah boleh berjela-jela.

Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula semasa dalam kabinet bila dia
bercakap dalam bahasa Inggeris pada pihak media, dia kerap menggunakan
bahasa Inggeris yang bombastik sehingga wartawan Inggeris pun sukar memahaminya.

Saya kira stail Tun Dr. Mahathir adalah menarik dan terbaik. Sama ada Tun
menggunakan bahasa Malaysia atau Inggeris beliau seringkali bercakap
secara mudah dan jelas. Ibarat kata "straight to the point" dan bukan
bermain "behind the bush".

Bahasanya bukan sahaja mudah difahami, tetapi penuh dengan fakta
yang menyegarkan minda pendengarnya. Orang pun tidak cepat jemu
setiap kali beliau berucap atau mengadakan sidang akhbar.

Menteri Penerangan sekarang, Datuk Seri Rais Yatim pun bagus juga.
Beliau lebih teliti dan kemas dalam menggunakan perkataan. Bila beliau
bercakap seolah beliau sedang membaca teks.

Para pemimpin dan menteri perlu berkomunikasi dengan audiennya
dengan cara yang lebih berkesan agar apa sahaja mesej yang hendak
disampaikan berkesan.













Selasa, 16 Ogos 2011

Muammar Gaddafi semakin terancam


PERANG saudara di Libya sudah sampai kemuncak sejak enam bulan lalu
bila rakyat bangkit memberontak terhadap pimpinan Muammar Gaddafi.

Khabarnya, tentera penentang Gaddafi kini berada hanya 50km dari ibu kota Tripoli,
kubu kuat pemimpin Libya itu.

Sebelum ini beberapa buah bandar telah jatuh ke tangan pemberontak.
Ini akan terus mengancam kedudukan Gaddafi yang telah berkuasa
di Libya lebih 40 tahun.

Keadaan bertambah rumit bila semua bekalan dan alat senjata ke Tripoli
telah disekat para pemberontak yang telah berjaya menawan bandar-bandar
penting dan strategik yang sebelum ini dikuasai tentera kerajaan.

Tentera pemberontak yang berada dibarisan depan pertempuran telah
dibantu oleh kaum wanitanya yang bergotong royong memasak dan menyediakan
makanan untuk dihantar ke kawasan pertempuran.

Sebahagian besar rakyat begitu nekad untuk menjatuhkan Gaddafi yang
dianggap tidak membawa sebarang perubahan pada Libya dan rakyatnya.
Malah mereka menuduh pemimpin itu telah menghimpun segala kekayaan
milik negara untuk kepentingan diri dan keluarganya.

Muammar Gaddafi berulangkali berikrar tidak akan mengundurkan diri
dan akan mempertahankan kedudukannya hingga titisan darah terakhir
Beliau tidak akan meninggalkan Libya, walaupun nyawanya terancam.

Gaddafi telah menuduh puak radikal al Qaeda bertanggungjawab di atas
apa yang berlaku di negaranya kini. Beliau telah menyeru rakyatnya agar
bersatu mempertahankan Libya dan menentang habis-habisan puak al Qaeda
yang dianggapnya sebagai pengganas.

Apakah Gaddafi akan menerima nasib yang sama menimpa bekas Presiden Mesir,
Hosni Mubarak yang telah dibicarakan di mahkamah oleh rakyatnya sendiri ?

Mubarak sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat telah juga berikrar tidak akan
meninggalkan Mesir dan mahu mati di tanahairnya sendiri. Walaupun
beliau dan keluarganya berpeluang lari ke luar negara, namun beliau tidak
melakukannya, sebaliknya telah ke pusat peranginan, Sham El Sheikh.

Sekiranya Gaddafi tidak mahu menerima nasib yang sama beliau dan keluarganya
tidak punya banyak pilihan melainkan meninggalkan Tripoli ke destinasi
yang boleh menyelamatkan nyawa dan keluarganya.

Jika dia berdegil sudah pasti beliau akan menerima nasib yang sama
dan akan diadili rakyatnya sepanjang beliau berkuasa selama lebih
empat dekad.

Dan situsai terkini membayangkan beliau tidak mungkin dapat
mempertahankan kedudukannya lagi. Puak pemberontak semakin
hari semakin kuat dan menghampiri ibu kota Tripoli.
















Ahad, 14 Ogos 2011

Dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Masjid India


DALAM bulan puasa dan menjelang Hari Raya tempat
paling sibuk dan popular di Kuala Lumpur ialah Jalan Tuanku
Abdul Rahman (TAR).

Semua jenis barang terdapat di sini lebih-lebih lagi jenis kain dan
pakaian, berselerak gerai-gerai di kaki lima menawarkan berbagai
tawaran dan harga runtuh.

Sekarang orang ramai berpusu-pusu di TAR membeli segala keperluan
bagi menyambut Syawal. Kerana bila dekat raya keadaan akan menjadi
lebih sesak dan melemaskan.

Ketika saya baru lepas tamat sekolah menengah, Jalan TAR adalah tempat
paling saya suka mundar-mandir bila pertama kali menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

Pada masa itu usia saya 19 tahun dan tempat yang kerap saya kunjung ialah Pustaka Antara;
sebuah gedung buku yang dipunyai Datuk Aziz. Kalau tidak silap, tinggi bangunan
Pustaka Antara ini ialah lima tingkat.

Dari tingkat satu hingga tingkat teratas ia dipenuhi dengan buku-buku, terutamanya buku dari
Indonesia. Pustaka Antara ialah sebuah syarikat buku yang tersohor satu masa dulu.
Tetapi kini Pustaka Antara dan taukenya, Datuk Aziz sudah tiada lagi.

Bangunannya sekarang pun mungkin dihuni orang lain. Dan kalau tidak silap
ingatan saya, bangunan ini pernah menjadi ibu pejabat parti UMNO sebelum ia
mempunyai bangunannya sendiri di PWTC.

Di bangunan ini juga pernah menjadi tempat ibu pejabat akhbar Mingguan Watan yang
diasaskan oleh Tan Sri Khir Johari.

Semasa saya berada di Kuala Lumpur, sepanjang jalan TAR menjadi tempat harian saya
menghabiskan masa seharian. Kadang-kadang saya akan membelek dan membaca buku
berjam-jam lamanya di Pustaka Antara; dari satu tingkat ke satu tingkat.

Selain Jalan TAR, tempat yang kerap saya ulang alik ialah antara Chow Kit dan
Kampung Baru serta Jalan Masjid India. Di Masjid Indialah tempat saya bersolat dan
menunaikan fardu Jumaat pada setiap minggu.

Kini sudah lama saya tidak berkunjung ke Kuala Lumpur. Tetapi semua jalan antara
Jalan TAR, Chow Kit dan Jalan Masjid India masih segar dalam ingatan saya.
Kerana di semua jalan inilah tempat saya berjalan kaki hampir setiap hari.

Kalau saya ke KL lagi dan berada antara jalan-jalan ini, sudah tentu saya tidak
akan sesatlah !

















Antara bedah lutut dan bedah jantung


MOHD Sayuti Omar atau MSO dalam entrinya pada 13 Ogos telah menyentuh tentang pembedahan lutut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dilakukan oleh seorang doktor dari Amerika Syarikat dan bukannya doktor melayu tempatan.

Menurut MSO, isu ini bukan masalah besar, tetapi sekadar ingin menunjukkan betapa Najib lebih mengutamakan doktor asing dari doktor melayu di negara sendiri. Dan ini katanya, bertentangan dengan slogan Najib sendiri iaitu rakyat didahulukan.

Pandangan MSO ini ada benarnya. Adalah molek sekiranya Perdana Menteri menggunakan khidmat doktor tempatan bagi menjalani pembedahan lututnya itu.

Tetapi seperti kata MSO ini bukan isu besar kerana ia cuma satu pembedahan lutut dan bukannya satu pembedahan yang serius seperti pintasan jantung dan sebagainya.

Cuma saya teringat semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, beliau diserang sakit jantung dan stroke. Semasa Dr. Mahathir dirawat dan berehat panjang, jawatannya itu dipangku oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.

Masa itu Dr. Mahathir telah dirawat sepenuhnya di Hospital Kuala Lumpur sehingga sembuh seperti sediakala. Dan untuk rekod, Dr. Mahathir telah menjalani pembedahan saluran jantung atau coronary by past di Kuala Lumpur oleh seorang dokter melayu bernama Dr. Zainal dengan jayanya.

Selepas pembedahan itu berjaya, Dr Mahathir telah menyatakan keyakinannya terhadap Dr. Zainal dan kakitangan hospital di sini boleh melakukannnya dengan baik, menyebabkan beliau mengambil keputusan tidak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan.

Pembedahan ke atas Dr. Mahathir adalah serius kerana ia melibatkan jantung. Dan ia perkara besar. Tetapi bila Datuk Najib bedah lutut, ia cuma masalah kecil dan bukan isu besar, seperti kata MSO.

Namun, saya teringat juga selepas Dr. Mahathir berjaya dibedah, giliran Datuk Dr. Haron Din, seorang ulamak terkenal diserang sakit jantung. Dr. Haron Din, kini Timbalan Mursyidul Am PAS dan juga seorang bomoh perubatan yang terkenal itu telah pergi ke Australia untuk mendapatkan rawatan. Di sana Dr. Haron telah menjalani pembedahan jantungnya.

Ini cerita 20 tahun dahulu semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Masalah Dr. Mahathir dan lutut Najib bukan isu besar. Tetapi pemergian Dr. Haron Din ke Australia menjalani pembedahan jantung, bukan isu kecil.












Sabtu, 13 Ogos 2011

Akhbar The Star perlu dikena tindakan


SELURUH masyarakat Islam di negara ini tidak berpuas hati dengan akhbar The Star yang menyiarkan iklan beserta gambar hidangan daging babi dan artikel mengenai restoran yang menyediakannya dalam sisipan Ramadan Delights; ruangan khas bagi mempromosikan tempat berbuka puasa kepada umat Islam yang tersiar kelmarin.

Sikap akhbar itu menunjukkan ia tidak sensitif dan menghormati perasaan umat Islam yang merupakan majoriti di negara ini. Ia bukan sahaja menguris perasaan masyarakat Islam bahkan telah menghina kesucian bulan Ramadan yang mulia.

Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, telah diarah bertemu secara peribadi dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagi menjelaskan pendirian dan penjelasan penuh pihak pengurusan akhbar itu berhubung isu sensitif ini.

Setakat ini The Star hanya memohon maaf dalam bentuk surat dalam dua perenggan atau enam baris sahaja. Dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana isu ini besar dan telah membangkitkan sensitiviti agama.

Akhbar tersebut sepatutnya memohon maaf dalam bentuk yang lebih serius dan bersungguh-sungguh di atas kesilapan itu dan tidak memandang remeh apa yang telah berlaku. Dalam permohonan maafnya itu ia dibuat dalam bentuk saiz yang kecil, seolah-olah isu ini kecil dan tidak memberi apa -apa makna pada masyarakat Islam.

Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menerima alasan The Star dengan begitu mudah dan dalam cara yang acuh tidak acuh bersabit isu sensitif ini. Ia perlu dikenakan tindakan tertentu sebagai amaran dan ingatan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang pada masa hadapan.

Penarikan balik permit akhbar tersebut sebagaimana yang dituntut setengah pihak, mungkin agak keterlaluan. Tetapi tindakan berupa hukuman perlu diambil sebagai teladan semua pihak agar sensitiviti dan kesucian agama Islam dihormati.

Barangkali, tindakan yang wajar ialah dengan menggantung sementara penerbitan akhbar itu dalam tempoh pendek sebulan atau dua bulan sebagai hukuman di atas kesilapannya itu.



















Jumaat, 12 Ogos 2011

Kes Anwar akan tangguh lagi ?


DATUK Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, telah hadir di mahkamah hari ini di atas arahan hakim untuk ditemubual oleh para peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Kesanggupan keduanya hadir di mahkamah seharusnya dipuji. Sekiranya mereka tidak hadir, maka akan timbul berbagai cerita dan tohmahan terutamanya dari pihak pembangkang.

Kes liwat ini telah berada di mahkamah sudah lebih tiga tahun. Sepanjang tempoh itu kes ini telah tertangguh lebih dari 60 kali. Kesemuanya adalah dari tindakan pihak pembela membuat pelbagai permohonan.

Tarikh akhir perbicaraan ialah pada 8 Ogos lalu dan akan bersambung semula pada 15 Ogos ini. Apakah selepas ini akan ada lagi penangguhan ?

Di sebelah pihak pendakwaan kelihatan lebih bersedia dan ingin meneruskan secepat mungkin kes liwat ini. Manakala pihak peguam bela dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak cuba melengah-lengahkan kes ini dari berjalan lancar.

Lebih mendukacitakan segala yang berkaitan dengan kes ini telah cuba dimanipulasi dan dipolitikkan demi kepentingan tertentu. Seolah ada sesuatu yang tidak kena dengan pihak pembelaan. Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai bukti kukuh dan alibi semasa kejadian liwat berlaku, beliau tidak perlu melengah-lengah kes ini kerana ianya telah menjejaskan dengan teruk reputasinya sebagai pemimpin.

Lagi cepat beliau membersihkan namanya lagi baik untuk masa depannya yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku sebaliknya dengan kesanggupan ramai sekali bekas rakan-rakannya yang mahu tampil sebagai saksi dalam kes liwat ini.

Sebagai rakyat negara ini khasnya, semakin cepat kes ini selesai adalah lebih baik, kerana ianya telah memecahbelahkan rakyat berbagai kaum, lebih-lebih lagi orang-orang melayu. Ia mesti diselesaikan dengan segera kerana iklim politik negara memerlukan satu suasana dan nafas baru dan tidak lagi berkisar hanya soal-soal "selak dalam kain" bertahun lamanya.

Kita perlu membuka lembaran baru dan bermula di landasan yang lebih segar dan bersih. Rakyat sudah tentu bosan dengan segala cerita tidak benar dan fitnah yang menyerabutkan fikiran mereka.

Kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri Zainal Abidin, satu masa dulu agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundurkan diri dan memberi laluan pada muka baru adalah tepat dan kena pada masanya. Sehingga kini kenyataan Dr Mohd Asri itu tidak pernah mendapat respons dari Datuk Seri Anwar.

Berita akhir-akhir ini pula timbul bahawa pihak pembangkang telah merancang untuk memilih Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengganti Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Sehingga hari ini berita ini tidak pernah dinafikan Tengku Razaleigh.

Justeru perkembangan ini telah menguatkan lagi hujah bahawa masa depan Datuk Seri Anwar dalam senario politik tanahair boleh dikira dengan jari.

Beliau tidak banyak pilihan melainkan bersungguh-sungguh mempertahankan dan membersihkan namanya di mahkamah bahawa semua tuduhan ini adalah fitnah dan konspirasi politik untuk menjatuhkannya.

Dan tindakan ini adalah wajar kerana jika beliau berjaya membuktikan beliau tidak bersalah, maka kerajaan Barisan Nasional dan UMNO khasnya akan tumbang dan akan ditolak rakyat. Beliau juga boleh mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Tidakkah jalan ini logik dan menasabah ? Namun, apakah perbicaraan pada 15 0gos ini akan tertangguh lagi ?






















Khamis, 11 Ogos 2011

Gua Musang : Kubu kuat Ku Li


BILA Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan beberapa bekas menteri menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah; sebuah NGO yang bertujuan menegur dan memperbaiki kelemahan kerajaan, masa depan beliau dalam Pilihanraya Umum ke 13 menjadi tanda tanya.

Ini ditambah lagi dengan spekulasi mengatakan pihak pembangkang telah menawarkan beliau untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang. Sehingga kini Ku Li membisu dan tidak memberi sebarang respon.

Apakah Ku Li akan bertanding dan mempertahankan kerusinya di Gua Musang atas tiket Barisan Nasional (BN) ?

Satu hakikat yang harus diterima ialah Gua Musang merupakan kubu kuat Ku Li hampir tiga dekad. Tidak ada calon yang boleh mengalahkan beliau di situ. Bila Ku Li berada dalam parti Semangat 46 dan bergabung dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), beliau menang di Gua Musang dengan majoriti yang besar.

Dan bila Ku Li kembali pada UMNO dan bertanding atas tiket BN, sekali lagi beliau berjaya memenanginya dengan selesa. Begitu juga dalam pilihanraya kecil di Galas beberapa bulan dahulu beliau menjadi Pengarah Pilihanraya BN menewaskan calon PAS dengan majoriti selesa.

Jelas Ku Li begitu berpengaruh di kawasan Gua Musang; di mana Galas berada di dalam kawasan parlimen tersebut.

Jadi, Ku Li tidak bimbang penglibatannya dalam Amanah dan desas-desus dia akan menjadi Ketua Pembangkang tajaan Pakatan Rakyat. Kerana beliau tahu kedudukkan beliau sebagai wakil di Gua Musang tidak akan tergugat.

Status Ku Li sebagai ahli parlimen tidak sama dengan status Datuk Ibrahim Ali sebagai wakil rakyat di Pasir Mas. Ibrahim Ali menang di kawasan itu di atas ehsan PAS. Pada PRU 13 nanti PAS tidak akan memberi laluan mudah pada Presiden Perkasa itu.

Ibrahim Ali tidak dapat menandingi pengaruh dan kekuatan Ku Li di Gua Musang dengan pengaruhnya di Pasir Mas. Ku Li tetap akan menang di kubu kuatnya itu, hatta dia bertanding di atas tiket Bebas.  Manakala nasib Ibrahim Ali dalam PRU 13 nanti masih menjadi tanda tanya. Apa yang jelas beliau tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi Pasir Mas itu lagi.

Pada PRU 13 UMNO pusat dan negeri tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa memilih Ku Li mempertahankan kerusi di Gua Musang. Bagi Ku Li, barangkali beliau tidak peduli; apakah UMNO akan memilihnya atau tidak, beliau tetap bertanding di kubu kuatnya, Gua Musang. Kerana hingga kini tidak ada calon yang mampu menumbangkannya di situ.











Rabu, 10 Ogos 2011

Iktibar rusuhan di London


SIAPA menyangka rusuhan terbesar boleh berlaku di kota London mengakibatkan banyak kerosakkan dan musnahnya harta benda. Kecurian dan kehilangan barang-barang di gedung dan kedai berlaku dengan berleluasa tanpa kawalan.

Semuanya bermula dengan demonstrasi secara kecilan akibat kematian seorang pemuda kulit hitam yang ditembak polis. Demonstrasi secara aman telah bertukar menjadi ganas dan merebak ke seluruh bandar-bandar besar.

Seorang pelajar Malaysia tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan itu dengan patah tulang rahangnya akibat dipukul serta barangnya dirampas.

Polis Britain memang terkenal di dunia sebagai sebuah pasukan keselamatan paling cekap di dunia. Tetapi dalam kes ini jelas mereka lambat mengawal dan bertindak sehingga ia merebak dengan cepat. Dan hingga hari ini rusuhan dan keganasan ini telah masuk hari yang ke lima.

Apa yang mengejutkan para perusuh terdiri dari anak-anak muda belasan tahun dari kaum kulit hitam dan putih. Mereka mencuri dan mengeledah barang-barang di pasar raya dan kedai. Tindakan ini telah mengejutkan seluruh dunia memandangkan ini bukanlah sifat sebenar penghuni kota London yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, dalam sidang akhbarnya begitu kecewa dengan apa yang berlaku. Beliau yang terpaksa memendekkan percutiannya di luar negara terpaksa kembali ke London bagi menyelesaikan kemelut ini dengan segera.

Bagi Cameron, rusuhan yang berlaku ini adalah akibat masalah akhlak dan disiplin yang dihadapi generasi muda Britain. Menurutnya, kejadian ini memalukan masyarakat Britain seluruhnya dan menyeru agar seluruh institusi keluarga negara itu menilai kembali tahap disiplin anak-anak muda mereka.

Manakala bagi kita apa yang berlaku di London itu seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran agar suasana itu tidak akan berlaku di negara kita. Apatah lagi kita terdiri dari pelbagai kaum, etnik dan agama. Sekali tercetus amatlah buruk padahnya.

Justeru itu kecekapan dan kepantasan pihak polis dan keselamatan dalam mengawal dan mencegah demonstrasi jalanan pada 9 Julai lalu harus dipuji. Jika pihak polis tidak mengambil tindakan tegas banyak lagi perkara buruk boleh berlaku dan boleh memberi kesan negatif terhadap keselamatan negara keseluruhannya.

Bukan mustahil peristiwa 9 Julai lalu boleh berlaku dan merebak dengan pantas seperti apa yang berlaku di London itu. Tetapi, alhamdullilah, hasil kepantasan dan kecekapan anggota keselamatan demonstrasi itu dapat dipatahkan.

Soal keselamatan bukanlah barang mainan yang boleh dipandang remeh. Ibarat api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. 

















Jalur Gemilang lambang kemegahan



BULAN ini negara akan menyambut hari kemerdekaan ke 54. Seperti biasa kerajaan terpaksa melakukan berbagai kempen mengibar bendera Jalur Gemilang di berbagai peringkat termasuk pihak swasta dan dikalangan rakyat sendiri.

Kempen dijalankan sehingga tahap memberi bendera secara percuma pada para peniaga agar mereka mengibarkannya di bangunan atau premis mereka sempena menyambut 31 Ogos itu.

Tanpa kempen dan pemberian bendera secara percuma seolah semua lapisan masyarakat tidak begitu prihatin dan mengambil berat untuk mengibar Jalur Gemilang sebagai lambang kesetiaan dan kemegahan menjadi warganegara.

Inilah sikap sebilangan rakyat yang tidak sepatutnya berlaku setelah kita menikmati segalanya sepanjang 54 tahun. Rakyat sentiasa menuntut kemudahan itu dan ini; bantuan dari kerajaan, kemudahan pengangkutan, keselesaan penggunaan lebuhraya dan berbagai lagi kemudahan "kelas pertama".

Kerajaan telah menyediakan berbagai kemudahan tersebut dan sebagai rakyat yang menikmatinya, sekurang-kurangnya sebagai ucapan syukur dan berterima kasih haruslah menterjemahkan sikap itu dengan mengibar bendera negara tercinta.

Hanya di negara inilah tempat kita berlindung dan tidak ada lagi tempat untuk kita bernaung selain di bumi Malaysia ini. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Pada setiap acara sukan kita akan berdiri tegak dan khusyuk mendendangkan lagu Negaraku dan berkibarnya Jalur Gemilang dengan penuh hormat dan setia. Tetapi mengapakah bila menjelangnya bulan kemerdekaan sikap kita begitu dingin dan tidak bersemangat terhadap peri pentingnya Jalur Gemilang sebagai satu kemegahan.

Bila Jalur Gemilang dipijak dan dibakar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kita melenting dan marah. Seolah kita merasakan maruah kita dicabar dan perasaan kita disakiti. Namun ia tidak seharusnya setakat itu sahaja. Kita perlu menterjemahkan lebih hebat lagi kecintaan dan kesetiaan kita pada Jalur Gemilang dengan mengibar dan menjaganya sentiasa, lebih-lebih lagi di bulan ini.

Kalau kita pernah membaca apa sahaja sejarah peperangan dahulu kala, setiap pembawa bendera yang berkuda tetap akan mengibar bendera mereka dengan gagah dan megah. Ada satu kisah di mana seorang tentera yang ditugaskan memegang bendera, tetap tidak melepaskannya sekalipun sebelah tangannya telah terputus. Dan bila tangannya yang sebelah lagi terputus, ia mengepit bendera itu diketiaknya.

Begitulah besar dan pentingnya bendera bagi sesebuah bangsa dan negara. Kita sekarang berada dalam negara yang penuh nikmat dan selesa. Apakah begitu sukar untuk mengibar bendera kita walau hanya untuk setahun sekali ?
















Selasa, 9 Ogos 2011

Motivasi dan mutiara kata


"How can we hope to arrive if we don't know where we are going ?"
                                                                                            THE AUTHOR

"Careful attention to one thing often proves superior to genius and art."
                                                                                             CICERO

"In this world it is not what we take up but what we give up that makes us rich."
                                                                                       HENRY WARD BEECHER

"To be bangkrupt of character is the worst form of poverty in the world today."
                                                                                             THE AUTHOR

"Our greatest good for humanity is in helping others help themselves."
                                                                                             THE AUTHOR

"The sun shines after every storm, there is a solution for every problem, and
the soul's highest duty is to be of good cheer."
                                                                                      RALPH WALDO EMERSON

"The decided man is a power in the world."
                                                                                      THE AUTHOR

"To be free one must have command over himself."
                                                                                       THE AUTHOR

"Penny-less is better than honor-less."
                                                                                     ICELANDIC PROVERBS

"Justice is truth in action."
                                                      BENJAMIN DISRAELI

"When you're good to others, you are best to yourself."
                                                       BENJAMIN FRANKLIN

"Life is the flower of which love is the honey."
                                                                      VICTOR HUGO

"He that can have patience can have what he will."
                                                                        BENJAMIN FRANKLIN

"He who merely knows right principles is not equal to him who loves them."
                                                                                 CONFUCIUS

"Better late than never" is not half so good a maxim as "Better never late."
                                                                                  THE AUTHOR


RUJUKAN : 366 SELF-MOTIVATING ESSAYS FOR STUDENTS
                     & ADULTS BY SIDNEY NEWTON BREMER PH.D


















Isnin, 8 Ogos 2011

Tabiat aneh penulis terkenal


BERNARD Shaw - penulis terkenal dunia - akan
menaiki bas apabila dia kekeringan idea.

Edgar Wallace, seorang penulis cerita seram akan
minum beberapa cawan teh sehingga dia tertidur. Sementara
Mark Twain, penulis cerita kanak-kanak akan mengambil
beberapa biji telor bersama lada hitam untuk mendapatkan
imaginasinya yang hilang.

Emile Zola, hanya akan menulis ketika berada dalam bilik yang
kelam cahayanya. Rousseau pula dapat mengalirkan ilhamnya jika
meja tulisnya diletakkan di tengah panas terik.

Alexander Dumas, memiliki tabiat yang lebih pelik jika dibandingkan
dengan penulis lain. Dia hanya akan menulis menggunakan kertas biru
dan menggunakan dakwat hijau. Warna lain katanya, hanya akan membunuh
inspirasinya.

Antara hujan dan panas


SEJAK lapan hari berpuasa cuaca begitu panas terik hingga ke petang. Keletihan dan tekak yang kering menguji kesabaran dalam menjalani ibadah puasa.

Sebagai sifatnya manusia bila cuaca panas teringin pula agar hujan turun dari langit membasahi bumi yang kering itu. Nah, kelmarin hari ketujuh berpuasa hujan turun dengan begitu lebat di sebelah petangnya.

Apa jadi ? Habis hiruk pikuk dibuatnya. Dengan angin dan ribut yang kencang serta hujan yang lebat membasahi setiap lorong dan jalan, orang ramai yang keluar untuk membeli juadah berbuka puasa berlari bertempiaran mencari tempat berteduh.

Gerai-gerai jualan yang berpayung habis berterbangan dipukul angin kencang. Air hujan yang turun tidak sampai sepuluh minit dah mula bertakung membataskan pergerakkan orang ramai yang berhajat mencari bahan juadah berbuka.

Kelmarin bukan sahaja menghalang orang ramai dari membeli secara bebas dan santai, malah para peniaga bazar ramadan pun tidak ada rezeki.

Khemah dan payung di gerai mereka habis bergoyang dek tiupan angin dan air hujan yang lebat. Semua bahan jualan makanan, minuman dan sebagainya basah ditimpa hujan. Semua barang jualan sudah tidak boleh dijual lagi. Barangkali, semua makanan itu disedekahkan atau dibuang begitu sahaja.

Saya sendiri terperangkap tidak dapat bergerak dan hajat untuk membeli sesuatu yang dihajati terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Jadi pengajarannya ? Bila cuaca panas tidak perlu merungut dan merenget. Manusia memang suka mengeluh. Nah, kelmarin takdir hujan dan angin kencang melanda; para peniaga tidak boleh berniaga dan orang ramai pun tidak boleh membeli apa yang dihajati.

Oleh itu sebagai manusia kita perlu bersyukur dalam apa keadaan sekalipun. Kalau cuaca panas kita bersyukur. Dan kalau hujan turun pun kita bersyukur. Panas dan hujan ibarat siang dan malam, silih berganti ianya mempunyai hikmahnya tersendiri.

Hari ini hari kelapan berpuasa dan cuaca nampak terang tidak seperti semalam. Semoga cuaca baik dan tidak hujan agar suasana di bazar ramadan berjalan seperti biasa. Tetapi, entahlah, kalau nanti petang cuaca kembali mendung dan hujan turun lagi seperti semalam kita terimalah seadanya.
















Ahad, 7 Ogos 2011

Rakyat Israel protes kos kehidupan tinggi


AL JAZEERA melaporkan di Tel Aviv, Israel, hampir 10,000 penunjuk perasaan berarak memprotes rasa tidak puas hati terhadap kerajaan tentang kenaikan kos kehidupan di negara Yahudi itu.

Kebanyakan rakyat Israel sudah tidak tahan dan mampu menanggung segala kos yang naik begitu mendadak. Ada yang tidak lagi mampu membayar sewa appartment, perbelanjaan harian dan sebagainya yang melambung tinggi.

Masalah ini belum pernah berlaku di Israel dan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu sedang serius menanganinya sebelum ia merebak tidak terkawal.

Tunjuk perasaan di Israel berlaku secara aman dan tidak berlaku sebarang kekecohan seperti mana di negara-negara Arab yang mengorbankan banyak nyawa.

Tetapi adakah situasi di negara Yahudi itu akan merebak dan bertukar menjadi liar serta seterusnya mengancam kedudukan kerajaan Netanyahu ?

Menurut penunjuk perasaan, mereka menuntut agar kerajaan menyelesaikan masalah mereka dengan segera kerana sudah tidak dapat menanggung kos kehidupan tinggi yang terus mencengkam kehidupan mereka.

Siapa menyangka kalau sebelum ini tunjuk perasaan dan demonstrasi hanya berlaku di negara-negara Arab kerana rakyatnya menuntut demokrasi yang lebih luas dan melakukan perubahan terhadap kerajaan. Kini negara Yahudi itu juga mengalami evolusi kebangkitan rakyat, namun dalam suasana yang lebih lunak.

Seperti apa yang telah berlaku di Tunisia; di mana bermulanya revolusi rakyat di negara Arab dan kemudian ia merebak dan menular ke seluruh Timur Tengah. Mesir merupakan mangsa yang pertama setelah Tunisia. Itupun sebahagian besar pemimpin Arab memandang sepi apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir kerana menganggapnya tidak akan berlaku perkara yang sama di negara mereka.

Ternyata telahan itu silap dan kini kebangkitan rakyat yang bermula di Tunisia telah menular ke Mesir, Libya, Yemen dan Syria. Ketiga negara yang sedang bergolak sekarang tanpa penyelesaian ialah Libya , Yemen dan Syria. Dan nasib ketiga pemimpin negara tersebut kini ibarat telor di hujung tanduk.

Berjayakah Netanyahu merungkai permasalahan ekonomi yang mencengkam rakyatnya ? Tetapi yang pasti beliau akan memastikan Israel tidak akan mengalami nasib yang sama seperti negara-negara Arab itu.


















Andaian dan harapan PRU 13


TAN SRI ABDULLAH AHMAD atau Dollah Kok Lanas dalam kolumnya, Sinar Harian, 7 Ogos 2011, telah membuat satu analisa dan rumusan yang menarik tentang politik negara dan prospek keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 13 yang bakal tiba.

Tan Sri Abdullah Ahmad
Antara lain beliau menyatakan bahawa UMNO akan menjadi sebuah parti yang besar selepas PRU 13. DAP akan terus mendapat dan memenangi kerusi-kerusi majoriti Cina. Manakala parti MCA, Gerakan dan PKR akan "hanyut".

PAS pula berjaya memenangi beberapa kerusi melayu, tetapi tidak mencukupi untuknya menubuhkan kerajaan pusat dan menawan Putrajaya.

Analisis beliau itu mempunyai asas dan kebenarannya. Dalam konteks ini, alasan paling kukuh ialah tentang jumlah keseluruhan kerusi di parlimen ialah 222 kerusi. UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di semua kerusi.

Apakala PAS paling banyak ia mampu meletakkan calon hanyalah dalam 80 kerusi. Pada PRU 12 PAS bertanding sebanyak 60 kerusi parlimen. Kalau dalam PRU 13 ini PAS hanya mampu bertanding 80 kerusi, ini bermakna ia tidak sampai separuh dari jumlah keseluruhan di parlimen.

Dengan itu bagaimana PAS dapat menawan Putrajaya ? Impian PAS hanya dapat dicapai sekiranya ia mendapat bantuan dari DAP. Itupun tidak pasti berapakah kerusi yang boleh dimenangi PAS dari 80 kerusi yang dipertandingkan.

Apakah PAS akan memenangi kesemua 80 kerusi itu ? Jawabannya, kemampuan PAS untuk memenangi kesemuanya adalah mustahil dan tidak mungkin. Justeru itu sekiranya ia menang kurang dari jumlah tersebut, maka PAS akan dikuasai dan tunduk pada DAP; yang sudah tentu akan menang kerusi lebih banyak atau sama dengan jumlah kerusi yang dimenangi PAS.

Jadi, tanggapan umum bahawa PAS akan menjadi tunggangan DAP adalah benar. Apa yang jelas MCA dan Gerakan memikul tugas yang berat dalam menarik pengundi Cina menyokong BN. Apakah MCA dan Gerakan akan berjaya ?

Menurut Tan Sri Abdullah dengan melontarkan persoalan, sekiranya MCA dan Gerakan gagal kali ini, apakah DAP akan menyertai BN dan seterusnya melakukan berbagai tuntutan dari dalam ?

Rumusan yang boleh dibuat kali ini ialah pengundi melayu akan cenderung pada UMNO dan pengundi Cina tetap akan berpihak pada DAP. Trend dan pola pengundian akan lebih bersifat kaum.

UMNO dan BN akan mencapai kejayaan pada PRU 13 nanti, soalnya mampukah BN mengurangkan dominasi DAP terhadap kerusi-kerusi majoriti Cina.

Manakala PAS, prestasinya semasa pilihanraya Sarawak yang lalu boleh dijadikan ukuran. Ia bertanding lima kerusi dan tewas semuanya. Itupun PAS berbangga kerana dapat bertanding hanya lima kerusi di Sarawak dan apakah ini parti yang bercita-cita mahu ke Putrajaya ?

Peranan PAS dalam PRU 13 nanti hanya ada dua: Pertama, memecah undi melayu dan menafikan peluang UMNO. Dan kedua, bantu DAP mencapai cita-cita menguasai negara !


















Sabtu, 6 Ogos 2011

Keselamatan para penumpang


KES bunuh dan ragut yang disiarkan dalam akhbar harian tempatan sehari dua ini mengingatkan pengalaman saya menaiki keretapi "Senandung Wau" dari Pasir Mas ke Tampin sebulan lalu.

Keretapi bertolak dari stesen Pasir Mas pukul 7.30 malam dan sampai di stesen Tampin kira-kira hampir masuk azan subuh. Waktu turun dari gerabak keretapi itu suasana masih gelap gulita dan sunyi; tidak ramai orang yang lalu lalang. Kedai makan atau gerai masih belum dibuka.

Terdapat beberapa orang yang boleh dikira dengan jari; ada yang masih berselimut di atas bangku dan duduk tidak berbuat apa-apa, seolah sedang menunggu sesuatu.

Ini adalah kali pertama saya sampai di stesen Tampin. Stesennya kecil dan agak ke dalam dari jalan besar dan dikelilingi hutan. Kalau kita berada di stesen tersebut kita tidak dapat melihat kenderaan yang lalulalang di atas jalan besar di seberang jalan kerana ditutupi pokok-pokok yang besar dan berhutan.

Oleh kerana keadaan masih gelap, saya mengambil keputusan menunggu sehingga cerah sedikit sebelum mengambil teksi ke Melaka yang mengambil masa satu jam untuk sampai.

Jadi, kalau ikut pengamatan saya, bagi penumpang terdiri dari anak gadis dan wanita memang berisiko dan kurang selamat sekiranya mereka tiba pada waktu tersebut. Lainlah kalau ada ahli keluarga atau kenalan yang sedia menunggu sebelum keretapi tiba.

Sekarang kes jenayah ragut dan sebagainya boleh berlaku di siang hari, malah di hadapan orang ramai. Dan kalau tempat itu sunyi dan gelap, apatah lagi.

Satu lagi pilihan yang selamat ialah para penumpang harus mengambil masa perjalanan yang memastikan ia tiba pada waktu agak siang sedikit; umpamanya, keretapi tiba pada jam 7.00 atau 8.00 pagi, di mana pada masa itu ramai yang lalulalang dan sudah keluar dari rumah untuk bekerja dan sebagainya.

Tetapi yang menghairankan waktu saya tiba tidak ada seorang pun anggota polis di situ. Pihak berkenaan di stesen Tampin patut mengambil langkah pro aktif dalam menjaga keselamatan para penumpang, lebih-lebih lagi kaum wanita.

Apakah kita perlu menunggu untuk bertindak setelah berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini ?


















Politik : Berita angin dan spekulasi


ADA berita melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedang giat berusaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir-akhir ini. Kononnya TPM itu tidak menyokong konsep satu Malaysia yang diilhamkan Najib.

Tan Sri Muhyiddin pula sering memberi kenyataan bahawa beliau "orang melayu dahulu, baru orang Malaysia." Pendirian ini pernah disanggah secara terus terang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz yang tidak bersetuju dengan kenyataan TPM itu.

Apa pun ini bukanlah satu isu besar kerana ia lebih pada masalah persepsi yang berbeza antara Muhyiddin dan jemaah menteri yang lain.

Namun yang terbaru pula bertiup kencang mengatakan usaha ini berjalan terus bagi menggulingkan Najib sebagai Presiden UMNO. Hujahnya ialah kini Najib gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri dengan sempurna lantaran banyak masalah yang timbul, lebih-lebih lagi masalah perkauman yang semakin tajam.

Ada juga di kalangan UMNO menganggap Najib kini sudah menjadi satu liabiliti pada parti dan kerajaan. Maka itu timbul satu NGO yang baru - Amanah- yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan di sertai beberapa pemimpin dan bekas menteri yang telah bersara.

Kewujudan Amanah adalah sebagai wadah menyedarkan kerajaan tentang kelemahan dan kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran sekarang. Apakah peranan Amanah akan berkesan dan relevan dengan suasana kini tidak dapat dipastikan, hanya masa dapat menentukan.

Berita angin yang lebih nakal bertiup kencang hujung minggu ini ialah tentang usaha Muhyiddin ini disokong oleh Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Zahid Hamidi. Manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang juga sepupu pada Najib, berdiri teguh dibelakang Presiden UMNO itu.

Sebenarnya berita-berita ini tidak mempunyai asas dan fakta yang betul. Lebih-lebih lagi Datuk Zahid Hamidi merupakan bekas Setiausaha Politik Datuk Najib dan orang yang rapat dan mendapat kepercayaannya selama ini.

Tetapi itulah iklim politik di Malaysia seolah jika tiada berita angin dan spekulasi ianya tidak menarik dan lengkap. Dan tidak kurang penting juga ianya adalah satu perang saraf atau psikologi dari pihak lawan untuk melemahkan pihak satu lagi.

Sebagai orang awam kita perlu berhati-hati dan menapis dahulu sebelum menerima berita-berita seumpamanya. Kadang-kadang ia boleh membawa fitnah.

















Jumaat, 5 Ogos 2011

Prof. Dr.Syed Naquib tokoh melayu terbilang

UMNO sempena menyambut ulang tahunnya ke 65 telah menganugerahkan Tokoh Melayu Terbilang kepada Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.



Prof.Naquib, 80tahun, seorang ilmuan dan intelektual yang tidak perlu diperkenalkan lagi . Beliau banyak menghasilkan buku tentang sejarah, kebudayaan, kesusasteraan, ilmu sufi, pemikiran, falsafah Islam dan metafizik.



Beliau juga adalah pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan adik kepada Allahyarham Prof. Dr.Syed Hussein Al Attas, seorang intelektual yang banyak menghasilkan kajian tentang rasuah.



UMNO telah memilih beliau sebagai Tokoh Terbilang Melayu di atas sumbangan dan pemikiran beliau dalam bidang yang diceburinya. Ianya adalah satu pengiktirafan kerajaan di atas segala kerjanya dalam bidang ilmu dan akademik.



Beliau bukanlah calang-calang orang serta dihormati oleh semua golongan masyarakat di negara ini, baik dari pemimpin hinggalah para cendekiawan. Ilmunya banyak dan luas pengetahuannya.



Sudah tentulah kesudian Prof. Naquib menerima anugerah ini sebagai tanda yang beliau juga mengiktiraf UMNO sebagai satu wadah memperjuangkan nasib orang melayu dan Islam. Sebagai seorang ilmuan beliau tidak mungkin akan menerimanya jika entiti itu bercanggah dan bertentangan dengan falsafah dan disiplin ilmu yang diterapkan dalam semua hasil karya dan kajian yang dijalankannya.



Semua orang perlu menghormati beliau sebagai seorang ilmuan dan bukan ahli politik. Beliau tidak perlu campur masalah kepartian kerana kedudukan beliau terlalu tinggi dan dihormati.



Tetapi kesanggupannya menerima anugerah ini dan kehadirannya bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi satu perlambangan kepada seluruh bangsa melayu dan Islam di negara ini agar merenung akan masa depan mereka yang mula terancam.



Prof. Naquib adalah seorang yang berpendirian dan berprinsip. Tidak mungkin beliau akan menerima anugerah UMNO ini, tetapi dalam masa lain mencemuh UMNO. Barangkali, banyak perkara yang beliau tidak bersetuju dengannya, namun secara umumnya beliau menerima UMNO sebagai wasilah orang melayu dan Islam di negara ini.



UMNO tidak akan mempolitikkan Prof. Naquib. Kerana beliau bukan seorang yang lemah dan bertaraf politikus jalanan.

Khamis, 4 Ogos 2011

Antara bulan puasa dan aktiviti sukan


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini ada menyatakan bahawa para atlet  yang akan mewakili negara di Sukan Olimpik, London, 2012, haruslah membiasakan diri dari sekarang berlatih di dalam bulan puasa kerana temasya sukan itu akan dilangsungkan dalam bulan puasa pada tahun hadapan.

Datuk Zolkples
Menurutnya, acara sukan juga adalah satu perjuangan. Jadi katanya lagi, puasa boleh diganti di hari yang lain. Pandangan Datuk Zolkples itu di harap mendapat ulasan dan nasihat dari mereka yang pakar dalam isu tersebut.

Beliau memberi pandangan sebagai sifatnya Ketua MSN. Tetapi itulah dilema yang dihadapi oleh para ahli sukan yang beragama Islam berbanding dengan bukan Islam; antara tuntutan agama dan sebagai atlet.

Namun keadaan ini telah memberi kelebihan pada yang bukan Islam dalam menjalankan sebarang aktiviti, termasuk menjalani latihan dan sebagainya. Bagi yang berpuasa tentulah mustahil menjalani apa-apa aktiviti yang memerlukan tenaga yang lebih.

Orang yang menjalani ibadat puasa sahaja tanpa bersukan pun kelihatan letih dan tidak bertenaga. Apatah lagi berpuasa dan dalam masa yang sama mahu bersukan pula.

Apakan daya sistem kehidupan kita sekarang tidak menghalang aktiviti sukan berhenti buat sementara di dalam bulan puasa.  Aktiviti sukan terus berjalan tanpa henti seperti di bulan-bulan yang lain.

Kalau kita sendiri tidak dapat menghalang aktiviti sukan dari terus berjalan di negara kita, apalah yang hendak diharapkan sangat pada penganjur seperti Sukan Olimpik, London itu yang tidak peka dengan kewajiban berpuasa.

Justeru itulah prestasi para atlet bukan Islam lebih baik dan menonjol berbanding para atlet beragama Islam. Kerana bagi atlet Islam mereka ada larangan-larangan dan kewajiban yang perlu ditunaikan.

Lainlah jika para atlet beragama Islam merasakan tuntutan agama itu boleh dikemudiankan dan memberi keutamaan pada sukan sebagai salah satu perjuangan sebagaimana yang dikatakan Datuk Zolkples tadi.














Jenayah simbah asid semakin serius

TIDAK berapa lama dulu heboh di sekitar Kuala Lumpur kejadian beberapa orang wanita disimbah asid oleh orang yang tidak dikenali. Penjenayah yang melakukan perbuatan zalim ini biasanya menaiki motorsikal semasa menyimbah mangsanya.

Keratan akhbar
Ramai juga yang telah menjadi mangsa, terutama wanita. Sebenarnya, mengikut kes, perbuatan ini dilakukan bukan kerana dendam atau motif tertentu; tetapi lebih didorong ciri-ciri sakit mental oleh penjenayah tersebut.

Apa yang menyedihkan kebanyakan mangsa tidak mengetahui mengapa mereka dijadikan mangsa simbah asid tersebut. Agak memilukan bila keadaan mangsa menjadi cacat kekal dan rupa wajah mereka menjadi buruk tanpa sebab.

Yang terbaru menjadi mangsa simbah asid ialah dua kanak-kanak adik beradik. Dan hari ini, menurut laporan akhbar, di Kota Bharu, seorang jurujual disimbah asid disebabkan perasaan irihati.

Dengan apa yang telah berlaku, sudah sampai masa pihak kerajaan mengambil langkah-langkah tegas dalam mengawal penjualan atau pembelian bahan cecair ini dari berleluasa dan boleh didapati secara mudah.

Tidak dinafikan bahan asid banyak kegunaan dan faedahnya pada orang awam, namun ia perlu dikawal lebih ketat agar bahan ini tidak disalahgunakan dan membahayakan orang ramai.

Pihak polis pula seharusnya meningkatkan lagi kawalan di tempat-tempat awam agar orang ramai berasa selamat bila mereka menjalankan tugas atau aktiviti luaran tanpa rasa takut.

Kita berharap kejadian simbah asid ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.




















Negara Islam terus lemah dan kucar kacir


DALAM bulan Ramadan negara-negara Islam terus dilanda masalah dan krisis yang tidak menentu. Dari Mesir hingga ke Somalia umat Islam terus dicengkam berbagai rintangan dari soal politik, kebuluran dan sebagainya.

Semuanya telah sedikit sebanyak memberikan imej negatif pada agama dan umat Islam. Sudah tentu segala yang menimpa umat Islam itu bukanlah gambaran ajaran sebenar agama Islam, tetapi sikap dan pegangan mereka telah menyimpang dari ajaran Nabi s.a.w.

Pihak barat pula, terutama media telah memainkan peranan dengan memburukkan lagi keadaan dengan mengekploitasi berita-berita negatif itu saban hari dengan visualnya sekali. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain lagi yang boleh dipaparkan.

Di Somalia, akibat konflik politik ramai rakyatnya menjadi pelarian dan banyak yang kebuluran kerana tidak cukup makanan. Suasana bertambah buruk dengan musim kemarau yang panjang mengakibatkan kematian.

Di Mesir pula kelmarin telah berlangsung perbicaraan terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak dan dua anaknya Aala dan Gamal serta beberapa orang bekas menteri kabinet di atas tuduhan rasuah dan kematian 800 orang penunjuk perasaan.

Walaupun setelah enam bulan berlalu kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim Mubarak, politik Mesir belum pulih sepenuhnya. Masih berlaku beberapa pertempuran pihak keselamatan dan orang awam. Yang terbaru kelmarin di luar mahkamah antara penyokong bekas Presiden itu dengan para penyokong keluarga mangsa yang terbunuh.

Bagi penyokong bekas Presiden itu perbicaraan kelmarin adalah satu penghinaan terhadap Mesir dan Mubarak yang dianggap sebahagiannya sebagai pemimpin yang telah menyelamatkan Mesir dari kancah peperangan. Manakala bagi pihak keluarga mangsa menuntut keadilan di atas kehilangan keluarga mereka.

Di Libya, Syria, Yemen, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Palestin dan lain-lain darah umat Islam terus mengalir tanpa kelihatan jalan penyelesaian. Lebih memburukkan lagi keadaan berlakunya pengeboman berani mati terhadap sesama agama di beberapa tempat.

Ini semua telah memberi gambaran negatif dan melemahkan negara dan umat Islam sehingga mereka tidak lagi dapat membela dan membantu saudara mereka yang memerlukan bantuan. Pihak musuh Islam pula terus dengan percaturan politik mereka dengan mengaut segala hasil bumi seperti minyak dan gas bagi kepentingan kuncu-kuncu mereka.

Sampai bilakah negara dan umat Islam akan bersengketa sesama sendiri ?

Kadang-kadang terfikir adakah sikap berpecah dan bersengketa umat Islam adalah sesuatu yang telah "digazetkan" ?  Tetapi sekiranya kita mengamati sejarah umat Islam, terutamanya zaman di antara Khalifah Uthman Affan dan Sayidina Ali Abu Talib banyak berlaku fitnah dan perselisihan dari segi fahaman politik yang menyebabkan berlaku pertumpahan darah.

Bukan sedikit para sahabat yang gugur dalam pertempuran sesama sendiri, terutamanya peperangan antara Ali dan Muawiyah. Namun mereka berperang bukan berselisih tentang akidah, tetapi lebih pada persoalan pemerintahan dan politik.



Selasa, 2 Ogos 2011

Jaafar Rahim kumpul 15,000 judul buku


DALAM banyak keratan akhbar yang saya simpan terdapat satu tajuk seperti di atas ditulis oleh Tajudin Saman yang tersiar dalam Berita Minggu, Ahad, 22 Jun 1997 mengisahkan Jaafar Rahim (sekarang Datuk) mengumpul lebih kurang 15,000 judul buku di dalam sebuah bilik rumahnya.

Datuk Jaafar Rahim
Jaafar Rahim ialah bekas pegawai perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Oleh kerana minatnya terhadap buku begitu kuat beliau terpaksa menempatkan khas sebuah bilik di rumahnya bagi menampung 15,000 judul buku yang dikumpul sejak 26 tahun yang lalu.

Beliau yang mula kerja sebagai seorang kerani pada tahun 70an sentiasa berusaha memperbaiki diri dan bercita-cita menjadi seorang ilmuan.

"Saya sedar cita-cita itu tidak mungkin  dicapai tanpa ilmu dan wadah terbaik untuk menimba ilmu ialah daripada buku. Inilah pendorong utama saya berdamping rapat dengan buku," katanya.

Dalam perpustakaan peribadinya, Jaafar membahagikan pelbagai buku kepada dua peringkat. Pertama ialah  buku rujukan utama (bermakna sering digunakan) dan kedua, yang jarang dirujuk. Menurutnya lagi, semua bilik dalam rumahnya dipenuhi dengan buku.

Satu tabiatnya yang tidak elok ialah beliau suka melonggokkan buku di atas katil.  "Buku itu tidak saya baca pun," katanya.

"Tapi kegemaran melonggokkan buku di atas katil saya lakukan sehingga hari ini. Cuma sesekali apabila ada masa, saya ambil satu daripadanya untuk dibaca. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya gemar berbuat begitu tapi ini mungkin kerana saya terlalu suka membaca. Jika tak ada masa, tengok buku pun jadilah," katanya.

Bila ditanya bagaimana dia mencari buku yang dikehendakinya pada satu-satu masa. Jaafar memberitahu, "Cara saya menyusun buku dalam perpustakaan ini mungkin tidak mengikut sistem yang betul tapi biasanya saya ingat di mana saya letak sesuatu buku. Apabila saya memerlukan buku itu, saya tahu di mana tempatnya.

"Sebab itu saya tidak mahu orang lain, sekalipun isteri saya, mengubah tempat letak buku dalam bilik ini. Kalau orang lain ubah, memang susah saya mahu mencarinya," katanya.

Jaafar Rahim yang bermula dari bawah berjaya menjadi anggota kerabat DBP dan terkenal sebagai penceramah motivasi dan pemikiran kreatif di pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Kejayaan ini semua dapat dicapai lantaran minat dan kegilaannya terhadap buku; sesuatu hobi yang diminatinya.

"Saya bercita-cita menjadi pemikir dan ilmuan. Tapi biarlah yang beriman. Ada ilmu tanpa iman, pun tak jadi juga. Seorang pengarang Islam, Al Jais mati di tengah himpunan buku. Saya tidaklah minta begitu, tapi biarlah saya juga boleh habiskan sisa usia dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri, keluarga, agama dan negara", katanya.