Selasa, 23 Ogos 2011

Antara Arsenal dan Arsene Wenger

Arsene Wenger


ARSENAL atau The Gunners sudah enam tahun tidak
memenangi sebarang trofi. Kekalahannya ditangan Liverpool
2-0 baru-baru ini telah menambah tekanan terhadap pengurusnya,
Arsene Wenger.

Penghijrahan penyerang sensasi Cesc Fabregas ke Barcelona telah
melemahkan sedikit pasukan tersebut. Menurut Fabregas, keputusannya
meninggalkan Arsenal disebabkan pasukan itu tidak punya potensi
memenangi apa-apa trofi pada masa mendatang.

Dia dan beberapa pemain lain pernah menyuarakan agar Wenger
dapat membeli beberapa pemain bintang bagi melengkapkan
pasukan The Gunners itu.

Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, banyak pemain handalan
berhijrah ke kelab lain. Contohnya, penyerang Adebayor yang
telah berpindah ke Manchester City dan kemudian dipinjamkan
ke Real Madrid.

Kini yang terbaru, penyerang lincah Samir Nasri pula meluahkan
hasratnya untuk meninggalkan pasukan Arsenal. Spekulasi bertiup
kencang bahawa Nasri akan ke Manchester City. Ada juga mengatakan
dia berminat untuk ke Old Trafford. Sehingga kini tiada pengesahan.

Tetapi apa yang menghairankan semua pihak ialah sikap
Arsene Wenger yang tidak mahu berbelanja untuk mendapatkan
pemain-pemain handalan bagi menggantikan pemain yang telah
berhijrah.

Pengurus England, Fabio Capello, baru-baru telah melahirkan rasa
peliknya sikap Wenger yang tidak ghairah mendapatkan para pemain
baru bagi mengisi kekosongan itu. Capello juga mengingatkan Wenger,
jika dia tidak melakukan sesuatu, Arsenal bakal menghadapi musim
ini dengan prestasi terburuk.

Namun kejayaan Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal selama ini
ialah beliau berjaya membarisi rata-rata pemain muda dalam kesebelasan
The Gunners dan dalam masa yang sama berjaya menerapkan permainan
cantik di antara pasukan elit di EPL.

Tetapi dalam bolasepak permainan cantik sahaja tidak memadai jika
tidak dapat memenangi sebarang kejuaraan atau trofi. Enam tahun tanpa
sebarang kejayaan adalah satu tempoh yang lama bagi para penyokong
The Gunners.

Mereka dahagakan kejayaan dan kemenangan. Apakah mereka boleh
bersabar dengan Wenger ? Bagi Arsene Wenger, dia tidak merasa tekanan
buat masa ini dan masih berkeyakinan Arsenal mampu melakukan kejutan.

Ataupun apakah sudah sampai masa Arsenal mempunyai seorang pengurus
baru ?












Tiada ulasan:

Catat Ulasan