Rabu, 31 Ogos 2011

Gaddafi masih bersembunyi



LIBYA sekarang sudah jatuh sepenuhnya di tangan
tentera pemberontak. Nasib pemimpin Muammar Gaddafi
tidak diketahui.

Ada laporan mengatakan Gaddafi dan keluarganya telah
melarikan diri ke Algeria. Tetapi berita ini tidak dapat
disahkan.

Jurucakap NATO, bagaimanapun berkeyakinan bekas pemimpin
itu masih bersembunyi dan berada di Libya.

Kini tentera pemberontak dan dibantu oleh komando SAS British
dan Perancis telah meningkatkan operasi memburu bekas pemimpin
itu dibeberapa wilayah, terutamanya di tempat kelahirannya Sirte.

Anak ketiga Gaddafi, Saadi, sebagaimana laporan Al Jazeera, telah
menghubungi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk menyerah
diri.

Pengerusi NTC Mustafa Abdul Jalil, telah mengeluarkan amaran
agar Gaddafi dan pengikutnya menyerah diri dalam waktu terdekat ini.
Kerana mereka (NTC) tidak akan menunggu dalam tempoh yang panjang.

Sekiranya Gaddafi tidak menyerah diri mereka akan memburunya sehingga
tertangkap. Pihak tentera pemberontak berkeyakinan mereka dapat menawan
Gaddafi dalam masa terekat ini.

Jika benar Gaddafi masih berada di Libya, peluangnya untuk meloloskan
diri adalah tipis. Apatah lagi dengan bantuan NATO serta teknologi satelit
peluang bekas pemimpin itu untuk terus bersembunyi adalah terbatas.

Justeru itu nasib Gaddafi dan anaknya Saif  bakal menerima nasib
yang sama seperti bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein. Saddam
telah digantung mati setelah ia dibicarakan di mahkamah di atas
segala perbuatannya semasa ia berkuasa.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga telah mengeluarkan
waran tangkap terhadapnya di atas tindakannya membunuh orang awam
dalam usahanya menangkis kebangkitan rakyat menentangnya.

Gaddafi telah berikrar akan mempertahankan dirinya hingga ke titisan
darah terakhir. Apakah beliau akan mengotakan ikrarnya itu ? Atau
beliau akhirnya akan menyerah diri atau ditawan ?

Sebenarnya, Muammar Gaddafi tidak banyak pilihan dan
harapannya untuk hidup semakin nipis. Dia perlu buat pilihan
sama ada mati secara terhormat atau bersedia menghadapi
perbicaraan oleh rakyatnya sendiri.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan