Rabu, 10 Ogos 2011

Iktibar rusuhan di London


SIAPA menyangka rusuhan terbesar boleh berlaku di kota London mengakibatkan banyak kerosakkan dan musnahnya harta benda. Kecurian dan kehilangan barang-barang di gedung dan kedai berlaku dengan berleluasa tanpa kawalan.

Semuanya bermula dengan demonstrasi secara kecilan akibat kematian seorang pemuda kulit hitam yang ditembak polis. Demonstrasi secara aman telah bertukar menjadi ganas dan merebak ke seluruh bandar-bandar besar.

Seorang pelajar Malaysia tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan itu dengan patah tulang rahangnya akibat dipukul serta barangnya dirampas.

Polis Britain memang terkenal di dunia sebagai sebuah pasukan keselamatan paling cekap di dunia. Tetapi dalam kes ini jelas mereka lambat mengawal dan bertindak sehingga ia merebak dengan cepat. Dan hingga hari ini rusuhan dan keganasan ini telah masuk hari yang ke lima.

Apa yang mengejutkan para perusuh terdiri dari anak-anak muda belasan tahun dari kaum kulit hitam dan putih. Mereka mencuri dan mengeledah barang-barang di pasar raya dan kedai. Tindakan ini telah mengejutkan seluruh dunia memandangkan ini bukanlah sifat sebenar penghuni kota London yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, dalam sidang akhbarnya begitu kecewa dengan apa yang berlaku. Beliau yang terpaksa memendekkan percutiannya di luar negara terpaksa kembali ke London bagi menyelesaikan kemelut ini dengan segera.

Bagi Cameron, rusuhan yang berlaku ini adalah akibat masalah akhlak dan disiplin yang dihadapi generasi muda Britain. Menurutnya, kejadian ini memalukan masyarakat Britain seluruhnya dan menyeru agar seluruh institusi keluarga negara itu menilai kembali tahap disiplin anak-anak muda mereka.

Manakala bagi kita apa yang berlaku di London itu seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran agar suasana itu tidak akan berlaku di negara kita. Apatah lagi kita terdiri dari pelbagai kaum, etnik dan agama. Sekali tercetus amatlah buruk padahnya.

Justeru itu kecekapan dan kepantasan pihak polis dan keselamatan dalam mengawal dan mencegah demonstrasi jalanan pada 9 Julai lalu harus dipuji. Jika pihak polis tidak mengambil tindakan tegas banyak lagi perkara buruk boleh berlaku dan boleh memberi kesan negatif terhadap keselamatan negara keseluruhannya.

Bukan mustahil peristiwa 9 Julai lalu boleh berlaku dan merebak dengan pantas seperti apa yang berlaku di London itu. Tetapi, alhamdullilah, hasil kepantasan dan kecekapan anggota keselamatan demonstrasi itu dapat dipatahkan.

Soal keselamatan bukanlah barang mainan yang boleh dipandang remeh. Ibarat api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. 

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan