Sabtu, 6 Ogos 2011

Keselamatan para penumpang


KES bunuh dan ragut yang disiarkan dalam akhbar harian tempatan sehari dua ini mengingatkan pengalaman saya menaiki keretapi "Senandung Wau" dari Pasir Mas ke Tampin sebulan lalu.

Keretapi bertolak dari stesen Pasir Mas pukul 7.30 malam dan sampai di stesen Tampin kira-kira hampir masuk azan subuh. Waktu turun dari gerabak keretapi itu suasana masih gelap gulita dan sunyi; tidak ramai orang yang lalu lalang. Kedai makan atau gerai masih belum dibuka.

Terdapat beberapa orang yang boleh dikira dengan jari; ada yang masih berselimut di atas bangku dan duduk tidak berbuat apa-apa, seolah sedang menunggu sesuatu.

Ini adalah kali pertama saya sampai di stesen Tampin. Stesennya kecil dan agak ke dalam dari jalan besar dan dikelilingi hutan. Kalau kita berada di stesen tersebut kita tidak dapat melihat kenderaan yang lalulalang di atas jalan besar di seberang jalan kerana ditutupi pokok-pokok yang besar dan berhutan.

Oleh kerana keadaan masih gelap, saya mengambil keputusan menunggu sehingga cerah sedikit sebelum mengambil teksi ke Melaka yang mengambil masa satu jam untuk sampai.

Jadi, kalau ikut pengamatan saya, bagi penumpang terdiri dari anak gadis dan wanita memang berisiko dan kurang selamat sekiranya mereka tiba pada waktu tersebut. Lainlah kalau ada ahli keluarga atau kenalan yang sedia menunggu sebelum keretapi tiba.

Sekarang kes jenayah ragut dan sebagainya boleh berlaku di siang hari, malah di hadapan orang ramai. Dan kalau tempat itu sunyi dan gelap, apatah lagi.

Satu lagi pilihan yang selamat ialah para penumpang harus mengambil masa perjalanan yang memastikan ia tiba pada waktu agak siang sedikit; umpamanya, keretapi tiba pada jam 7.00 atau 8.00 pagi, di mana pada masa itu ramai yang lalulalang dan sudah keluar dari rumah untuk bekerja dan sebagainya.

Tetapi yang menghairankan waktu saya tiba tidak ada seorang pun anggota polis di situ. Pihak berkenaan di stesen Tampin patut mengambil langkah pro aktif dalam menjaga keselamatan para penumpang, lebih-lebih lagi kaum wanita.

Apakah kita perlu menunggu untuk bertindak setelah berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini ?


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan