Ahad, 25 Mac 2012

Profesor Diraja Ungku Aziz

Disiplin dalam pemakanan
MINGGUAN MALAYSIA telah mengadakan wawancara dengan Prof. Diraja Ungku Aziz sebanyak dua kali sebagaimana tersiar pada 19 Februari dan 18 Mac 2012.

Antara kandungan menarik cerita tentang Pak Ungku yang kini sudah pun menjangkau usia 90 tahun ialah betapa beliau masih cergas dan terus aktif menulis, membaca dan berfikir.

Tidak ramai orang yang seusia dengannya masih mampu menulis dan berfikir secara analitikal. Semuanya hasil dari tabiat dan disiplin dalam hidupnya dari soal makanan dan amalan kehidupan seharian.

Pak Ungku masih sihat dan kalau ada masalah cuma pendengarannya sahaja yang kurang. Ini adalah sesuai dengan keadaan usianya yang hampir seabad. Tidak ada masalah jantung atau kencing manis yang menjadi penyakit popular bagi yang lanjut usia.

Disiplinnya dalam soal makan dengan tidak pernah menjamah nasi lemak dan roti canai; makanan hampir wajib bagi kebanyakan rakyat negara ini adalah sesuatu yang sukar dilakukan ramai orang. Amalannya memakan bawang besar dan bawang putih secara mentah setiap hari banyak membantu meningkatkan tahap kesihatannya.

Adalah sesuatu yang menginsafkan sebagai orang yang berusia 90 tahun masih boleh menulis, membaca dan berfikir secara jelas dan tajam lebih-lebih lagi bebas dari segala penyakit zaman moden ini. Ini semua adalah dari ilmu pengetahuannya yang tinggi serta disiplin yang diamalkan dalam kehidupannya.

Orang-orang muda dan tua patut sekali menjadikan Pak Ungku sebagai ikon dan contoh dalam mengurus dan menjalani kehidupan seharian. Nilai-nilai positif dan amalan mendisiplinkan diri adalah sesuatu yang sukar diamalkan jika tidak bersungguh-sungguh dan konsisten.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan