Sabtu, 21 Mac 2015

Cara Ustaz Kazim tak kena

DALAM program Forum Perdana Ehwal Islam semalam, Ustaz Kazim Elias telah mengumumkan dia tidak akan muncul lagi di kaca TV sebagai penceramah. Program semalam adalah yang terakhir baginya.

Sebelum ini Ustaz Kazim ada membayangkan dia akan bersara sebagai seorang penceramah terutamanya melalui kaca-kaca TV. 
Ustaz Kazim Elias

Kenapa dia tiba-tiba mahu bersara sebagai penceramah agama ?

Ada dua kejadian berlaku baru-baru ini; pertama : Mufti Perlis, Dr MAZA telah menegur Ustaz Kazim kononnya sering menggunakan hadis palsu di dalam ceramahnya. Kedua : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada menasihatkan para pendakwah dan penceramah agama agar tidak menyelitkan unsur lawak jenaka secara berlebihan dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah mereka.


Teguran Dr Maza itu telah pun selesai dengan baik bila mereka berdua mengadakan pertemuan. Manakala teguran Mufti Perak itu tidak menyebut siapa penceramah tersebut kerana ia ditujukan secara umum.

Bagaimanapun, nasihat Tan Sri Harussani itu terkena juga pada Ustaz Kazim kerana dia sering buat lawak dan menyanyi dalam setiap ceramahnya. 

Nampaknya, Ustaz Kazim telah tersentuh hati dengan teguran itu sehingga membuat keputusan mahu bersara sebagai penceramah. Ada yang bertanya adakah Ustaz Kazim tidak boleh menerima teguran ?  Seolah mudah sangat merajuk hingga membuat keputusan sedemikian !

Soal buat lawak dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah bukan isu yang ingin diperkatakan di sini. Terpulanglah pada persepsi masing-masing.

Cuma saya rasa cara Ustaz Kazim mengumumkan persaraannya di dalam program Forum Perdana itu tidak berapa kena. Dia tidak sepatut melakukannya dalam program tersebut. 

Dia perlu menghormati penganjur program tersebut termasuk salah seorang ahli panel malam tersebut iaitu Dr Maza sendiri yang duduk disebelahnya.

Ustaz Kazim sepatutnya mengumumkan hasratnya itu hanya melalui Facebook nya atau pun mengadakan sidang media khas buatnya tanpa melibatkan penganjur program dan tetamu dalam majlis tersebut.

Cara itu lebih tenang dan merendahkan diri.

Khamis, 19 Mac 2015

Husam cadang Dr Mahathir turun ke bawah beri penjelasan

NAIB Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam ceramah kempen PRK Dun Chempaka telah mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang memberi penjelasan pada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara yang dianggapnya tenat.

Menurut Husam, Dr Mahathir perlu memberi penjelasan mengenai isu-isu penting seperti isu 1MDB dan GST pada rakyat bawahan dan tidak hanya memberi pandangannya melalui penulisan dalam blog.
Datuk Husam Musa

Jadi maksud Husam, Dr Mahathir kena turun ke bawah berceramah seperti ostad-ostad tin milo dalam parti Isle itu ?

Hello Husam, Dr Mahathir adalah bertaraf negarawan dan bukan ostad badut atau ostad bollywood untuk beri ceramah dengan masuk keluar kampung.

Kalau Tun ingin menyatakan sesuatu pandangan dia hanya perlu menulis dalam blognya yang boleh dibaca berjuta pembaca dalam hanya beberapa saat sahaja setelah diterbitkan.

Tidak perlu dia turun ke bawah atau ke padang untuk memberi penjelasan dalam sesuatu isu. Kerja seperti itu hanya layak dibuat oleh pemimpin seperti Husam dan ostad-ostad badut dan ostad bollywood sahaja.

Lagi pun angin tsunami apa yang masuk ke telinga Husam dengan mencadangkan agar Tun turun berceramah ? Bila masa Tun masuk PAS ? Dan adakah Husam yang dah masuk Umno ?

Satu lagi soalan, sekiranya Tun turun berceramah sama - adakah dia hanya berceramah dalam isu-isu 1MDB dan GST ? Isu kes liwat Anwar macam mana ?  Tidak termasuk dalam senarai ke ?

Pada Husam, sebelum dia mencadangkan apa-apa berkaitan dengan negarawan itu dia perlu berfikir semasak-masaknya. Jangan main sedap mulut sahaja.

Dr Mahathir itu seorang ahli fikir dan berilmu. Kamu tu apa ?


Ahad, 15 Mac 2015

Kes Saiful saman Anwar Ibrahim

MOHD SAIFUL Bukhari Azlan telah mengambil tindakan saman sejumlah RM50 juta terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduhnya membuat laporan palsu berkaitan kejadian kes liwat tujuh tahun lalu.

Kes saman ini dijadualkan perbicaraannya pada Ogos ini. Tindakan Saiful ini berasaskan pada kesan yang diterimanya akibat dituduh berbohong dan melakukan fitnah terhadap Anwar. Akibat dari itu ia menanggung malu dan menerima kesan yang teruk dari pandangan umum.

Anwar telah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana meliwat Saiful dan kini dipenjarakan selama lima tahun di Sg. Buloh.

Bagi para penyokong Anwar ia adalah satu keputusan yang tidak dapat terima dan melempar berbagai tuduhan terhadap badan kehakiman dan proses undang-undang dalam merumuskan secara muktamad kes itu yang telah mengambil masa selama tujuh tahun dengan Anwar telah diberikan segala peluang bagi mempertahankan dirinya; termasuklah penangguhan demi penangguhan kes tersebut sebanyak 69 kali.

Tambahan lagi Anwar telah diwakili sejumlah 14 para peguam yang dipilihnya sendiri. Tetapi semua itu menjadi anti-klimaks bila dia tidak sanggup bersumpah dikandang saksi dan disoal balas oleh pendakwa.

Walau pun ini adalah haknya disegi undang-undang, namun pilihan ini adalah pilihan paling lemah dalam usahanya membersihkan dan mempertahankan dirinya.

Apa pun proses itu sudah selesai dan muktamad. Kini Saiful bertindak menyaman malu atas dasar maruah dan prinsip.

Dengan itu kes ini adalah satu kesempatan terbaik pada Anwar, barisan peguambelanya dan para penyokong setianya mendedahkan dan membuktikan bahawa Saiful adalah seorang penipu, pembohong dan melakukan fitnah !

Kes saman ini bermula pada Ogos ini dan para peguam Anwar mempunyai peluang keemasan untuk menyoal balas Saiful dalam kandang saksi. Dalam kes liwat lalu Saiful telah digerudi oleh para peguam Anwar selama tujuh hari !

Begitu juga Anwar sebagai orang yang kena saman jangan pula beri alasan sakit kepala atau sakit perut untuk mengelak disoal balas dalam kandang mahkamah.

Pada para penyokong Anwar yang sibuk berhimpun di Kompleks Sogo dan ditepi-tepi jalan bagi menyatakan sokongan dan menuntut pembebasan Anwar, bersabarlah untuk mengikuti perbicaraan Ogos ini untuk menentukan siapakah sebenarnya pembohong dan membuat fitnah !

Para barisan peguam Anwar ini adalah kesempatan terbaik membuktikan adakah Saiful seorang saksi yang mempunyai kredibiliti sebagaimana diputuskan ketiga peringkat mahkamah; Tinggi, Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Tidak perlulah berdemo, berkhemah, tidur atas jalan dan sebagainya kerana ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai malah ia menyusahkan ibu bapa di kampung.


Jumaat, 13 Mac 2015

Dr Mahathir tegas dan konsisten

TUN Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan yang disegani dan dihormati kawan dan pihak lawan terus memperlihatkan sikap dan pendirian yang tegas dan jelas dalam isu-isu dihadapi negara.

Dengan stailnya yang bersahaja dalam menyatakan sesuatu perkara baik dalam bentuk tulisan atau ucapan, Dr Mahathir selalunya akan memberikan hujah dan alasannya ke atas sesuatu subjek itu dengan cara yang mudah, logik dan tajam.

Kadang-kadang ia dibuat dalam gaya yang sinikal tetapi penuh dengan mantik !
Tun Dr Mahathir Mohamad

Begitulah Dr Mahathir dari sejak era Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj hingga ke era Najib Razak beliau terus tegas dan kritikal dalam isu-isu berkaitan politik dan negara.

Keistimewaan Tun bila dia ingin menyampaikan sesuatu sama ada dalam bentuk ucapan atau tulisan ianya dibuat dengan cara yang mudah walau pun sesuatu yang hendak dikatakan itu agak kompleks dan berat.

Apa sahaja isu diperkatakan melalui Tun semuanya kelihatan simple dan mudah difahami. Inilah kelebihan dan keistimewaan yang pada negarawan ini.

Kini Tun pula menjadi pengkritik nombor wahid terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak. Kritikan beliau yang berterusan tanpa henti terhadap kerajaan seolah-olah beliau ada lah parti pembangkang dan bukannya Pakatan Rakyat.

Namun sikap dan pendiriannya ini boleh difahami kerana beliau adalah seorang yang berterus terang dan tegas dalam mempertahankan setiap pendiriannya. Dia akan menyatakannya pada sesiapa tanpa mengira dan memilih bulu.

Hingga sekarang pihak pembangkang pun ikut tumpang sekaki bersama Tun menyerang kepimpinan Najib Razak dengan memetik dan menerbitkan segala kenyataannya di dalam penerbitan mereka sebagai tanda sokongan di atas semua kenyataannya itu.

Isu-isu seperti 1MDB, TPPA, GST dan sebagainya; pandangan Tun adalah selari dengan pendirian pembangkang. Ini tidak bermakna Tun menyebelahi parti pembangkang dalam memperkatakan isu-isu tersebut.

Tetapi ia lebih memperlihatkan sikap tegasnya dalam memperkatakan sesuatu tanpa rasa segan dan takut. Walau pun sikapnya itu tidak menyenangkan parti yang ia menjadi ahlinya dan kerajaan namun ia tidak menghalangnya dari menyatakan pendiriannya.

Tun dikenali sebagai seorang yang berterus terang dan bersifat " direct to the point" dalam apa sahaja isu baik ekonomi, kewangan, pentadbiran dan sebagainya. Dia akan menyatakannya tanpa berselindung. Ertinya, Tun akan mengatakan sesuatu itu dari hati nuraninya.

Kini apa sahaja isu kritikan Tun terhadap Najib akan disambut baik oleh parti pembangkang, PKR, DAP dan PAS.

Namun persoalannya; apakah sikap dan pendirian Tun terhadap Anwar Ibrahim boleh diterima ketiga parti itu ? Seperti maklum sikap dan pendirian Tun terhadap Anwar tetap konsisten dan tidak berubah sejak dia memecat Timbalannya itu pada 1998 lagi.

Seperti kata Tun semasa dia memecat Anwar dari parti dan kerajaan dahulu bahawa ramai yang sukar mempercayai segala pertuduhan terhadap Anwar. Namun seperti kata Tun, ia perlu mengambil masa dan lama kelamaan orang boleh menerima kenyataan apa yang berlaku pada Anwar dan ia bukan konspirasi !

Selasa, 3 Mac 2015

Khairy tidak perlu layan Rafizi

SETIAUSAHA AGUNG PKR merangkap Naib Presiden, Rafizi Ramli telah menggelar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai pengecut kerana tidak berani menyahut cabarannya berdebat isu keputusan mahkamah kes liwat Anwar Ibrahim.

Rafizi mencabar Khairy ekoran langkah Pemuda Umno melancarkan road show ke seluruh negara bagi menjelaskan pada orang ramai tentang keputusan mahkamah persekutuan pada 10 Februari lalu.

Yang menariknya Umno mengambil keputusan memberi penerangan pada orang ramai secara tertutup dan dalam skala yang kecil di mana ada permintaan dari pihak-pihak tertentu yang memerlukan penjelasan lebih terperinci kes tersebut.
Rafizi Ramli

Soalnya, apakah ukuran yang diambil Rafizi bila dia memanggil Khairy sebagai pengecut ? Pada hal yang sebenarnya mencabar untuk berdebat ialah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Bukan Khairy.

Langkah Khairy menjelajah seluruh negara bagi memberi penjelasan kes Anwar adalah satu tindakan yang betul setelah pihak pembangkang tidak boleh menerima kenyataan keputusan kes tersebut malah telah mengelirukan lagi kefahaman orang ramai.

Justeru itu Khairy tidak perlu layan kerenah Rafizi itu. Mahkamah telah membuat keputusan muktamad. Tiada apa yang perlu diperdebatkan. Sekiranya berdebat pun ia lebih ke arah mencari muslihat politik PKR.

Lainlah kalau debat itu ditugaskan pada Tan Sri Shafee kerana dia adalah pengamal undang-undang. Dan dia bertanggungjawab kes liwat itu dari awal sampai akhir. Lebih utama Shafee bukan orang politik. Dia akan berhujah berdasarkan undang-undang.

Tidak seperti Rafizi yang boleh dijangka akan bermain dengan teori konspirasi yang sehingga kini tidak dibuktikan malah tidak secebis dikemukakan di mahkamah untuk dipertimbangkan para hakim.

Kita juga ingin bertanya pada Rafizi tentang panggilan pengecut yang ditujukan pada Khairy itu berdasarkan apa ? Kalau ukuran pengecut yang Rafizi pakai itu pada Khairy di ambil kira yang sebenarnya ia juga terpalit ke muka bossnya Anwar Ibrahim.

Tidakkah Anwar juga seorang pengecut ? Anwar tidak sanggup bersumpah dengan Quran. Dia juga tidak berani bersumpah di kandang saksi dan tidak berani berdepan dengan pendakwa untuk disoal balas dalam mahkamah. Semua perkara dia tidak berani. Dia hanya berani di pentas-pentas ceramah yang mengarut.

Pada Khairy tidak usah layan pancingan yang dibuat Rafizi. Dan tidak perlu terperangkap dengan mainan politik pembangkang itu. Fokuskan pada siri jelajah penerangan pada orang ramai agar isu tersebut tidak diputarbelit dan dikelirukan. Mudah-mudahan semakin lama semakin ramai orang boleh menerima kenyataan.

Sekiranya, Rafizi masih ghairah hendak berdebat, dia boleh bersemuka dengan Tan Sri Shafee. Saya yakin Shafee lihat Rafizi seperti semut aje..


Ahad, 1 Mac 2015

Tengku Razaleigh Hamzah calon pengganti Najib ?

SETIAP kali orang bercakap tentang siapakah pengganti Najib Razak sebagai Perdana Menteri (PM) maka nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan muncul sebagai salah satu calon.

Lumrahnya, pandangan seperti ini bukan datang dari ahli-ahli Umno. Tetapi ia lebih popular dikalangan orang yang berada di luar Umno.
Tengku Razaleigh Hamzah

Pada dasarnya bila Najib sebagai Presiden Umno merangkap Perdana Menteri berundur maka jawatannya akan diambil alih oleh Timbalannya di dalam parti dan kerajaan. Ini adalah prinsip dan peraturan parti kerana sistem politik di negara ini parti menguasai kerajaan.

Tetapi bila ada yang mencalonkan Ku Li sebagai pengganti Najib sebagai PM ia kelihatan tidak praktikal. Kerana Ku Li sebagai pemimpin Umno hanyalah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian parti. Malah Ku Li tidak pun menduduki kerusi Ahli Majlis Tertinggi parti. Jauh sekali terpilih sebagai antara tiga Naib Presiden parti.

Adalah satu perkara yang mustahil Ku Li akan menjadi PM ke 7 selepas Najib berdasarkan kedudukannya dalam parti Umno. Kecuali dalam PRU 14, Umno dan BN dapat dikalahkan dan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.

Sebab Ku Li adalah calon yang dikemukakan parti PAS sebelum PRU 13 sebagai bakal PM selain dari Anwar Ibrahim. Ertinya, Ku Li adalah calon kompromi yang boleh dirundingkan dikalangan parti PR - PKR, DAP dan PAS.

Namun selagi Umno melalui BN mampu memenangi PRU14 nanti harapan Ku Li untuk menjadi PM ke 7 tidak mungkin menjadi kenyataan. Hanya satu jalan yang memungkinkan beliau menjadi PM adalah dengan bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden Umno.

Sekiranya dia gagal bertanding ada hanya satu peluang iaitu dengan PR berjaya menubuhkan kerajaan pada PRU 14 nanti. Ketika itu dia berpeluang menjadi calon PM kerana pada masa yang sama Anwar Ibrahim masih berada di penjara Sungai Buloh.

Dalam konteks ini agak pelik juga bila Ku Li sebagai ahli Umno dicalonkan parti pembangkang sebagai calon PM.  Tetapi itulah yang berlaku sebelum PRU 13 lalu.

Sekiranya kita menoleh kembali sejarah Umno 40 tahun dahulu selepas Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn sebagai penggantinya menghadapi kesukaran memilih Timbalannya. Berita tersebar luas mengatakan Hussein Onn lebih cenderung untuk memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Tetapi hasrat itu terhalang kerana Ghazali tidak memegang jawatan tertinggi parti. Dia bukan Timbalan atau Naib Presiden parti. Dia hanya menduduki Ahli Majlis Tertinggi. Kerana itu peluangnya tertutup.

Justeru itu Tun Hussein tiada pilihan melainkan memilih Timbalannya di kalangan tiga Naib Presiden yang terdiri dari Ku Li, Tun Ghaffar dan Dr Mahathir. Akhirnya, Dr Mahathir terpilih sebagai orang nombor dua kerajaan merangkap pemimpin nombor dua parti.

Kesimpulannya, sekiranya Ku Li ingin menjadi calon pengganti PM Najib, maka dia perlu bertanding jawatan tertinggi parti. Atau pun dia mendapat ehsan dari PR sebagai calon PM - itu pun jika PR berjaya menguasai Putrajaya.

Selain dari itu dia boleh lupakan sahaja hasratnya untuk menjadi PM ke 7.